Rabu, 13 Julai 2016

15 Raya balik kampung tapi tidur hotel jadi trend

Balik kampung tidur hotel.

Konsep pulang beraya ke kampung, namun tinggal di hotel telah menjadi trend dalam kalangan rakyat Malaysia zaman sekarang dengan ramai yang memberikan alasan atas faktor keselesaan.

Walaupun ada yang kurang bersetuju dengan trend tersebut, namun jumlah ahli keluarga yang terlalu besar, anak-anak yang masih kecil atau tiada rumah ibu bapa di kampung menyebabkan sesetengah hotel di negara ini sebenarnya hampir penuh pada minggu pertama Aidilfitri.


Menurut seorang pekerja swasta, Fatin Hamimah Yusof, 26, trend raya di kampung, tetapi tidur di hotel bagi keluarganya lebih disebabkan keselesaan memandangkan ahli keluarganya yang besar.
Ujar Fatin, rumah datuknya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hanya mempunyai tiga bilik sedangkan setiap kali Aidilfitri lebih 30 orang ahli keluarganya berkumpul di rumah tersebut.

Menurut anak kelima daripada enam adik-beradik itu, sejak tahun 2010, dia dan ahli keluarga memilih tidur di homestay atau hotel antaranya Hotel Pearl View, Butterworth dan DND Homestay.

Akui Fatin, pada awalnya ramai yang membantah cadangan tersebut, namun ia diterima kemudiannya atas keselesaan semua pihak.

Sementara itu, bagi seorang pereka di sebuah syarikat swasta, Amirrul Aqmal Razarudin, 24, yang pernah bermalam di Hotel Holiday Inn, Alor Setar, Kedah pula, tidak timbul isu hubungan renggang atau kurang akrab dalam kalangan ahli keluarga ekoran trend itu.

Sumber dari Kosmo!

* * * * * * * * * *

Tak sanggup tidur di rumah emak

Seorang wanita yang lebih tua dari saya yang berjemaah solat, berbual selepas solat ketika saya berada di motosikal untuk balik. Saya bertanya tentang sambutan raya dan hal anak tunggalnya. Air mukanya terus berubah.

Katanya, "Dia sampai balik pagi raya dengan anak bini tapi tak cuti, jalan jem. Tak apalah, asal dia balik,"

"Petang raya, dia kata nak pergi rumah mentua dan tidur di sana, di Kampung Tongplu, Pedu. Saya tak kata apa-apa. Tetapi semasa depan nak naik kereta, cucu saya bertanya pada mak dia,

"Kita tidur di hotel semalam kah?"

"Mak dan bapa dia hanya mendiamkan diri tetapi saya sempat melihat menantu saya membeliakkan mata pada anaknya," katanya.

Sampai di sini, dia berhenti bercakap. Dia tunduk dan mula mengesat air mata dengan hujung telekong yang masih dipakai. Saya faham anak dia sebenarnya bermalam di hotel dan pagi itu baru balik ke rumah orang tuanya. Kes pecah tembelang.

"Hinakah kami mak bapa dia? Bapa yang membesarkan dia, yang mendodokan dia dalam kain sentung, menepuknya sehingga lena di dalam kelambu kerana takut digigit nyamuk. Hinanya emak dia yang dia gonggong susunya sehingga bertahun, disuap nasi sehingga membesar. Hinakah kami yang beri dia sekolah dengan titik peluh kami?

"Saya tahu, depa jijik tengok dapur saya, jijik dengan bilik ayaq dan jambannya, jijik dengan bilik tidur yang panas bertilam kekabu.

"Tetapi tidak sedarkah mereka yang mereka membesar dengan keadaan itu? Tetapi hari ini mereka pandang jijik. Itulah sebab depa tak mahu tidur di rumah ibu bapa sendiri. Mereka sanggup tidur di hotel. Bukan tak ada tempat di rumah itu, kerana hanya dia saja anak tunggal. Termagaknya dia," katanya dalam nada yang sedih.

Wahai anak, bukanlah perkataan dari lidahmu sahaja yang boleh melukakan hati ayah dan bondamu, bukanlah tingkah lakumu sahaja yang boleh mengguris hati emak dan ayahmu. Tetapi tindakanmu juga boleh merobek hati kecil mereka.

Jika biasa dengan kemewahan di rumah sendiri, jangan mengharapkan perkara yang sama di rumah ayah dan bonda. Kita dibesarkan dengan kepayahan ayah bonda, sesekali laluilah kembali. Jika kita rasa tidak selesa di rumah ibu bapa, kenapa kita biarkana mereka hidup tidak selesa? Kenapa tidak diubahsuai rumah mereka seperti rumah kita?

Ingat, kekayaan yang kita miliki sebenarnya berpunca dari pengorbanan ibu bapa yang menyekolahkan kita. Maka sepatutnya mereka hidup lebih selesa dari diri kita kerana mereka yang melabur harta dan tenaga untuk mencipta kejayaan kita.

Tetapi, hasilnya kita kau semuanya, meninggalkan ibu bapa dengan hidup di rumah tuanya. Apa jua perkara yang kita rasa jijik pada kehidupan ibu ayah kita, sepatutnyadibebankan kepada diri kita. Bukannya melarikan diri dari keadaan itu.

Dalam kes ini, tidur di hotel kerana tidak sanggup tidur di rumah ayah yang penuh geli geleman pada kita.

Jika anak-anak tidak dididik untuk merasa kepayahan orang lain, suatu hari nanti mereka tidak akan mampu hidup apabila ditimpa kepayahan. Jika anak dididik merasa jijik dengan apa yang orang lain lalui, apa lagi keturunannya suatu hari nanti mereka juga akan memandang jijik kepada seluruh mereka yang miskin.

Betapa ibubapa mengharapkan anak yang pulang sesekali menghidupkan kembali suasana rumah yang sunyi setelah anak berkeluarga. Tidurlah semalam dua, makan bersama, berkongsi bilik air dan bilik tidur sebagainya. Jika rasa payah, biarlah demi menjaga hati ibu bapa. Janganlah merungut dengan apa yang tidak sempurna di rumah mereka.

Mungkin ibu bapa teringin nak menaiki kereta baru kita, bawalah mengunjung saudara mara. Mungkin mereka sedikit teringin berbangga dengan kejayaan anak, bawalah bertandang dan bershopping.

Sesungguhnya Allah memberikan ganjaran yang baik kerana berkunjung mengeratkan silaturrahim, mengembirakan ibu bapa. Jangan jadikan kunjungan beraya ke kampung menjadi gurisan tajam pada hati ibu bapa yang akan memahat pada dosa yang besar.

Tidak salah tidur di hotel atau homestay jika keadaan rumah yang tidak muat kerana ramai. Mohon izin dengan baik dari ibu bapa, sudah tentu mereka memahami. Menipu itu ibarat bangkai yang amat mudah tercium bau busuknya. Apa lagi bila Allah hendak membukanya. Bertindaklah dengan rasional. Ibu bapa itu satu keutamaan. Ingat, suatu hari nanti kita juga akan berada di situasi ibu bapa kita.

Sumber FB Cikgu Abd Ghani Haron.

* * * * * * * * * *

Balik kampung tapi tinggal di hotel

Sebelum pelatah melatah dengan hanya baca tajuk, biar saya awal-awal declare saya tinggal di rumah bukan di hotel. Kedua, saya rasa tak perlu jadikan isu bila ada yang kena duduk hotel. Memang ada yang dah geli dan jijik nak memijak di bilik air yang berlendir lumut hijau sedangkan dulu masa kecil-kecil tempat tu dia selamba jer main slide pakai perut.

Tak dinafikan saya untuk seorang bapa yang berderet-deret anak dara dan isteri yang lawa untuk boleh berkompromi isu aurat. Bukanlah anak-anak dan isteri saya masuk rumah sahaja dah buka tudung dan tukar jadi tshirt atau baju kelawar tetapi kalau dah kena tidur di ruang tamu bergolek-golek kalau pakai jubah pun akan nampak semua simpang dan selekoh, bukan ke tak elok nampaknya. Nak masuk ke bilik, penuh pulak...nak tidur di luar jadi freeshow. Bercampur dengan cousin, biras dan in-law yang bukan mahram buat semuanya menjadi risau.

Tak salah jika sebahagian terpaksa tinggal di hotel dengan niat untuk terus lama berada di kampung. Yang jadi mak pak pun janganlah sensitif sangat, kena faham juga masalah anak-anak kita sekarang ni. Saya cuma nak ajak kita bersangka baik sahaja dengan orang yang terpaksa buat begitu. Dulu zaman orang nak tengok porno kena smuggle VHS tape dan senyap-senyap komplot tengok kat rumah kawan ramai-ramai dan ketika itu umur dah 15 tahun. Tapi sekarang, buka tablet sahaja keluar dah iklan Casino dengan foto lembu-lembu ternakan yang menayangkan susu-susu perahan manusia padahal baru umur 8 tahun. So, zaman pak mak dan zaman kita...fitnahnya berbeza.

Kepada semua, saya harap jangan prejudis kepada yang terpaksa cari homestay dan hotel. Saya duduk rumah kerana cukup bilik yang berpintu dan penjagaan aurat dari percampuran yang tidak terkawal. Kena ingat juga, anak tak berbapak selalu kena mark akan ramai pada bulan 9 (anak New Year) dan bulan 6 (anak Merdeka) tapi orang jarang fikir pada bulan Rajab ramai juga yang lahir anak sedara mara ni.

Sekian

Sumber FB Saiful Nang.

* * * * * * * * * *

Ok isu ni bila time raya mesti hangat. Aku pun takde apa nak tulis panjang-panjang lagi memandangkan apa yang ditulis oleh kesemua artikel di atas ada benarnya. Apa-apa pun, bagi aku mudah je...

Kau nak duduk rumah ke, nak duduk hotel ke homestay ke, lantak kau. Masing-masing dah besar panjang takkan masih nak kena beritahu apa yang perlu dibuat apa yang perlu elak untuk dibuat. Ibu bapa kau, keluarga kau, kau sendiri yang lebih faham. Apa-apa bincanglah dengan ibu bapa, sesama suami isteri dan adik beradik dan pilih yang terbaik.

Aku sendiri pun setiap kali balik kampung terutama bila dah ramai sangat, kadang-kadang aku rasa macam nak je duduk sehari kat hotel cantik tepi pantai yang jauhnya hanya dalam 8km je dari rumah mak bapak aku, tapi hajat aku tu tak pernah kesampaian. Sebab apa? Sebab aku seorang penjimat cheapskate kedekut bakhil yang rasa rugi belanja RM200-RM500 sehari untuk tidur hotel sedangkan aku boleh duduk free kat rumah mak bapak aku.

Yang penting kau duduk hotel tu hanya masa untuk tidur waktu malam je. Selain daripada tu kau datang rumah mak bapak kau awal-awal pagi tolong apa yang patut dan balik hotel waktu malam lepas dah selesai semua urusan di rumah. Jangan kau datang rumah mak bapak kau waktu time makan je pastu balik. Apa kau ingat mak bapak kau tu kuli kau? Kau tu sebahagian daripada keluarga, bukan tetamu.

At the end benda ni simple je sebenarnya, kau tanya balik diri kau kenapa kau nak duduk hotel.

Jika ia kerana kau fikirkan tentang keselesaan orang lain, tentang menjaga aurat dan demi menghormati maruah saudara yang lain, kau seorang yang empati.

Namun jika ia kerana kau fikirkan tentang keselesaan diri kau sendiri, kau jijik dengan rumah mak bapak kau, kau malas nak tolong buat kerja rumah, ya tidak syak lagi... kau seorang yang tahi.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik. Klik pada gambar di bawah untuk melihat preview komik. Untuk membeli boleh hubungi kami melalui:

Email: princeofnoob[at]gmail[dot]com
PM Facebook: https://www.facebook.com/prince.nub 
Whatsapp/SMS agen kami: SangKancil - 013-9313541

Buasir Otak: The Komik




tags: budaya balik kampung rumah ibu bapa emak bapa tidur hotel homestay jijik jaga aurat

15 ulasan:

  1. kahkah..sampai kat noob je ulasannya terus jadik tak formal..
    apapun, lantak kau lah tidur mana pun..tapi poie la bagitau mak pak dulu..

    BalasPadam
  2. biarlah sempit dan tak selesa asalkan tidur rumah mak :))

    BalasPadam
  3. tasangke benda remeh gini boleh jadi isu. Dah rumah mak ayah dia kecik, bilik tido tak cukup, tak usah nak marah marah la anak natido kat hotel.

    BalasPadam
  4. Itu kalau musim raya..seluruh family balik kampung boleh la diterima..kalau dah baliknya pun awal puasa,tengah2 bulan puasa..balik setahun sekali tak pernah beraya bersama family mertua..balik pun satu family je..sekadar menjenguk mak ayah dua hari satu malam..pun tidur kat hotel..apa cerita?mak ayah dah siap satu bilik untuk sorang anak..lebih dari selesa untuk anak..

    BalasPadam
  5. Janji balik raya...last balik hotel utk tido je, lepak smpi malam, masuk hotel, esok pagi dtg balik. Nak jimat utk long stay better dduk homestay sbb jimat n leh kawtim harga. setakat 1 malam dduk hotel je la. Ni hanya utk kes hari raya je dgn ramai sanak saudara ye...

    BalasPadam
  6. tdo rumah mak la best... best best best.. home sweet home.. rumahku syurgaku..

    BalasPadam
  7. tak tau nak kata ape
    bila ramai ramai berkumpul ...sepatutnya meriah dan seronok walaupon tidor kat tengah umah kan kan kan

    BalasPadam
  8. puihh la lu noob. ko boleh la tido ramai2 sbb ko xkawin lg. try ko dah kawin. xkan ko nak suh bini ko tido selerak dgn waris waras.. mesti hotel gak ko cari ..apa laa lu noob..

    BalasPadam
  9. Kita tidur homestay.memang kejap2 balik rumah mak.nak makan semua nak bergambar.ada juga terlepas peluang bergambar dan bergurau senda...tapi kalau 41 orang dalam rumah mak..

    BalasPadam
  10. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  11. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  12. Zaman dah berubah yang penting balik tengok Mak Ayah. Kalau rumah sempit tidur la hotel kalau besar dan ada bilik tak logik la pulak nak tidur hotel.

    BalasPadam
  13. Balik raya tido homestay/hotel bkn sbb jijik . Tpi sbb jaga aurat . Kalau bilik uma mak tu cukup sorang 1 x pe . Ni tido bergelimpangan kt ruang tamu . Fmly sulong , fmly angah , fmly adik semua . Aurat letak kt mana ? Xde istilah berdosa pon tido hotel/homestay .

    BalasPadam
  14. Balik raya tido homestay/hotel bkn sbb jijik . Tpi sbb jaga aurat . Kalau bilik uma mak tu cukup sorang 1 x pe . Ni tido bergelimpangan kt ruang tamu . Fmly sulong , fmly angah , fmly adik semua . Aurat letak kt mana ? Xde istilah berdosa pon tido hotel/homestay .

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.