Khamis, 30 Ogos 2018

3 Bukan mudah melahirkan atlet wanita yang handal

Nama Fatin Syahirah tiba-tiba menjadi bualan para netizen. Siapa Fatin Syahirah? Beliau bukan gadis yang terkenal kerana TikTok, tetapi beliau adalah wakil negara untuk sukan papan selaju atau skateboard kategori wanita dalam Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, Indonesia. Beliau menjadi viral kerana persembahannya yang agak hambar dalam pusingan akhir acara "Women Street" yang menyebabkan beliau mendapat tempat terakhir dalam kalangan 8 peserta.


Berikut adalah aksi beliau dalam acara Papan Selaju: Women Street.


Jika dilihat atas kapasiti seorang rakyat Malaysia dan juga seorang pencinta sukan, aku juga pasti akan turut kecewa melihat persembahan beliau, sehingga dilihat seperti hilang semangat. Aksi dan kemahirannya kelihatan agak amatur dan ia sepatutnya harus dipertimbangkan untuk menyertai kejohanan besar seperti ini kerana pada aku, tahap kemahiran beliau masih lagi belum cukup untuk mewakili negara. Biarlah kita tidak hantar wakil pun takpe, daripada hantar wakil seperti tangkap muat je.

Namun atas kapasiti seorang rakyat Malaysia juga, aku harap para netizen jangan mengutuk, mengecam dan menghentam beliau lagi. Kalau ada orang yang perlu dikecam, dikritik dan dipersalahkan, salahkan pihak yang membuat pemilihan atlet untuk sukan papan selaju yang pertama kali dipertandingkan ini di Sukan Asia. Aku tak tahu Majlis Sukan Negara ke, Majlis Olimpik Malaysia ke, Kementerian Belia dan Sukan ke, Persatuan Pembangunan Kemajuan Skateboard Malaysia ke, siapa-siapa jelah yang bertanggungjawab untuk membuat pemilihan atlet.

Bagi aku Fatin Syahirah mangsa keadaan. Dia dihantar bermain mewakili negara dalam sebuah kejohanan besar di saat dia tidak bersedia. Malah dalam kenyataannya;
“Saya sangat gugup kerana ini adalah kejohanan utama yang pernah saya sertai dan saya tidak pernah menyertai kejohanan di luar negara. Saya kecewa dengan prestasi ini, tapi kalau ada pelung lagi saya akan buat yang terbaik.”
Ini adalah kejohanan utama pertama dia, dan dia tak pernah menyertai kejohanan di luar negara. Maka sebelum dia sertai kejohanan besar seperti ini, bagi lah pendedahan dulu hantar dia sertai macam-macam kejohanan kecil atau kejohanan terbuka dalam dan luar negara dulu. Bila dia dah biasa dan berjaya membuktikan pencapaiannya, barulah dia dihantar dan diberi tanggungjawab untuk membawa nama negara untuk kejohanan-kejohanan besar.

Kau tengok video ni pun dah tahu tahap dia macam mana, macam main waktu petang-petang je. Kita nak hantar orang wakil negara, bukan wakil rumah sukan sekolah.


Situasinya macam kau baru belajar di darjah 2, tapi dah disuruh ambil UPSR, rasa-rasa wajar ke tak wajar?

Lagipun dia seorang gadis masih remaja, baru berumur 16 tahun. Kau ingat kalau kau kritik, hentam, basuh dia pun, dia boleh terima semua tu dengan hati yang gembira ke? Budak-budak dan juga remaja belasa tahun ni emosi dia senang koyak, apatah lagi orang perempuan. Kau orang hentam pula beramai-ramai, kau rasa apa akan jadi? Silap-silap dia terus give up dan tak nak main skateboard lagi.

Kita yang dewasa ni, yang tukang tengok saja ni, yang berdiri atas skateboard pun tak lepas, sekurang-kurangnya bagi la nasihat, galakan, sokongan dan kata-kata semangat sikit agar dia boleh terus berlatih dan mantapkan lagi kemahiran beliau.

Kalau dia tu atlet yang dah dewasa, yang dah habis sekolah, umur dah 20-an ke atas, yang ada kemahiran tapi masih perform teruk, takpelah kau nak kecam pun. Ini budak umur 16 tahun. Kau yang umur dah 30 tahun tu pun, kalau kena kecam beramai-ramai kat Internet, menangis jugak tepi bucu katil.

Satu lagi kau orang kena faham, sukan ekstrim atau apa-apa sukan yang biasanya sinonim dengan kaum lelaki, kau ingat senang nak cari orang perempuan yang main? Fatin Syahirah tu terpilih pun mungkin sebab dah takde calon perempuan lain dah yang main skateboard, atau dalam beberapa orang perempuan Malaysia yang main skateboard, dia paling power. Ini kalau dia pun dah merajuk dan putus asa tak nak main skateboard, siapa lagi yang ada untuk wakil Malaysia main skateboard kategori perempuan?

Lainlah kat negara-negara lain yang populasi penduduknya berlambak, apatah lagi main skateboard dah jadi budaya permainan lelaki dan perempuan di sana. Macam kat Malaysia kau cuma boleh dapat 100 calon perempuan yang main skateboard, kat negara Indonesia, Jepun, Filipina dan sebagainya, kau mungkin boleh dapat 10,000 calon perempuan yang main skateboard.

Samalah macam sepak takraw. Ada pernah nampak orang perempuan main takraw? Ada tapi tak ramai. Sebab tu sukan sepak takraw kategori wanita Malaysia susah nak pergi apatah lagi nak bersaing dengan pasukan Thailand, sebab tak ramai pilihan calon yang ada.

Tu belum lain-lain sukan lagi macam futsal, bola sepak, e-sports dan lain-lain. Anak perempuan kau nak main bola, takraw, video game, skateboard, awal-awal lagi dah kena hambat mak bapak suruh belajar. Kalau nak bersukan jugak, dapatlah main bola jaring, olahraga, basikal, bola tampar dan beberapa lagi yang dibenarkan.

Nak lahirkan atlet bukan mudah, kena bermula dari awal dari kecil lagi. Tapi kalau dah budaya kita pun dah tak ke arah itu, tak ramai ibu bapa yang bersikap terbuka dan mampu untuk memberi sokongan kepada anak-anak dalam bidang sukan terutama anak perempuan, maka macam mana nak lahirkan atlet perempuan yang power?


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ADRENALINE) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk5.



tags: fatin syahirah atlet skateboard papan selaju malaysia sukan asia 2018 indonesia aksi hambar final akhir gagal


3 ulasan:

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.