Selasa, 6 Ogos 2019

0 Kebebasan melampau merosak tamadun manusia

1. Baru-baru ini di negara US terdapat 2 kejadian tembakan rambang di Dayton, Ohio dan El Paso, Texas yang menyebabkan ramai orang mati dan cedera. Tahun ini sahaja sudah terdapat 255 kes tembakan rambang di US. Kebanyakan kes tembakan rambang di US dilakukan oleh lelaki berkulit putih. Negara US mempunyai lebih banyak kes tembakan rambang berbanding negara lain.

2. Antara faktor yang mempengaruhi penembak rambang ini melakukan jenayah sedemikian adalah kerana tekanan hidup, masalah kesihatan mental, balas dendam akibat dibuli, mahukan kemasyhuran, budaya individualistik yang mementingkan diri, jenayah copycat di mana pelaku mendapat inspirasi dari kes jenayah yang pernah berlaku, pergaduhan, meniru babak filem dan permainan video, masalah perkauman dan juga memperjuangan suatu agenda, ideologi dan kepercayaan secara radikal dan ekstrem.

3. Malah sejak kebelakangan ini, banyak kes tembakan rambang dilakukan oleh orang kulit putih yang didorong dengan sifat perkauman dan juga ideologi "white supremacy" atau ketuanan orang kulit putih, di mana mereka percaya bangsa mereka adalah superior berbanding kaum lain di muka bumi ini. Itulah yang berlaku pada kes tembakan rambang di masjid di New Zealand bulan Mac 2019 tempoh hari, dan juga yang di El Paso, Texas.


4. Kes masjid di New Zealand didorong oleh kebencian penembak terhadap imigran muslim yang kebanyakannya datang dari tanah arab ke negara kulit putih, ditakuti lama kelamaan akan menguasai dan mengambil alih orang kulit putih di sana. Kes di El Paso pula didorong oleh kebencian penembak terhadap golongan imigran dan bangsa Hispanic yang semakin ramai di sana dan mengambil alih peluang pekerjaan dari golongan kulit putih.

5. Sebelum melakukan perbuatan jenayah tersebut, kedua-dua penembak dalam kes ini telah menulis manifesto tentang rancangan, hasrat dan tujuan tindakannya di laman forum 8chan. Begitu juga dangan penembak dalam kes tembakan rambang di sebuah kuil Yahudi di San Diego, California pada bulan April 2019 juga meninggalkan manifesto di laman 8chan yang menyatakan kebenciannya terhadap kaum Yahudi yang datang ke US serta niatnya untuk membunuh mereka.

6. Jadi apa sebenarnya masalah di US dan beberapa negara majoriti bangsa kulit putih sehingga terlalu banyak kes tembakan rambang? Nak kata penduduk ada tekanan hidup, masalah kesihatan mental, perasaan balas dendam, pergaduhan, perkauman, pengaruh filem dan permainan video, perjuangan agenda dan ideologi, kat mana-mana negara pun ada, tapi kenapa kat US dan beberapa negara lain je yang sampai tembak menembak?

7. Semuanya disebabkan oleh kebebasan. Rakyat mereka bebas untuk memiliki senjata api atas alasan hobi dan pertahanan diri. Ini bermakna bukan hanya orang baik boleh ada senjata api, malah orang jahat juga boleh. Malah orang baik juga bila dah tak boleh kawal diri, kalau kat negara kita paling kurang dia mengamuk dan libas pisau, kalau kat sana dia ambil senapang tembak je terus semua orang. Bila sekali ada orang menembak secara rambang kat semua orang, masa tu orang baik nak keluarkan pistol untuk pertahankan diri pun dah tak sempat, silap-silap dah kena tembak dulu.

8. Tambah lagi mereka terlalu bebas untuk bersuara. Nak kutuk kaum, hina agama, perjuang ideologi, menghasut, semua boleh, tambah lagi bila tempat seperti forum online 4chan, 8chan, Reddit dan sebagainya yang sangat mendokong kebebasan bersuara termasuk menggunakan akaun anonymous. Dalam tu penuh dengan agenda politik seperti anti-muslim, anti-semitik, white supremacy, liberal, konservatif dan sebagainya, tanpa sebarang sekatan dan tapisan. Kat Malaysia pun ada forum ala-ala macam tu, penuh dengan isu perkauman dan keagamaan.

9. Manusia memang ada hak dan kebebasan untuk melakukan sesuatu, namun ia tetap ada had dan harus dikawal. Sebab itu wujudnya nilai moral, etika, peraturan dan undang-undang agar tindak tanduk manusia terkawal dan tidak melampaui batas. Kenapa peraturan jalan raya diwujudkan? Supaya semua orang dapat menggunakan jalan raya dengan selesa dan selamat. Bayangkan jika tiada langsung peraturan jalan raya? Ramai dah orang mati atas jalan, kalau bukan mati kena langgar, mati sebab gaduh. Bayangkan kalau rakyat Malaysia boleh miliki senjata api? Kucing jiran berak depan rumah pun silap-silap boleh bertembak.

10. Hanya dengan peraturan akan menjadikan manusia kekal bertamadun. Lebih banyak kebebasan diberi kepada manusia, lebih banyak kemusnahan dan kerosakan berlaku pada tamadun manusia. Namun tak semua perkara ada dalam peraturan dan undang-undang negara. Sebab itu manusia perlukan agama sebagai panduan. Dalam agama lah kita belajar nilai etika, moral, cara hidup, menghormati orang lain, tidak berbuat jahat, mengelak kemusnahan diri dan sebagainya. Dan disebabkan kepercayaan itu, kita bukan hanya sekadar belajar, malah cuba untuk berpegang teguh dengan melakukan apa yang disuruh dan tidak melakukan apa yang dilarang.

11. Sebagai contoh dalam Islam, kita dilarang minum arak, sebab ia memang banyak mendatangkan mudarat seperti boleh menyebabkan kemalangan, kematian, pergaduhan. Kita dilarang main judi kerana ia boleh mendatangkan kerugian sehingga tergadai harta benda. Kita dilarang berzina sebab ia boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan. Kita dilarang berhubungan sejenis kerana ia akan membantutkan pewarisan generasi. Kita dilarang membunuh orang tanpa sebab kerana ia akan mendatangkan kesusahan dan kesedihan pada ramai orang.

12. Dengan set-set peraturan agama seperti ini, ia sebenarnya membentuk manusia agar menjadi manusia yang baik, tidak merosakkan diri dan orang lain serta saling bertimbang rasa antara satu sama lain. Jadi apabila manusia sudah tidak mahu beragama, dan kerajaan pula memberi terlalu banyak kebebasan yang entah apa-apa, itu yang terjadi di negara barat sekarang. Penuh celaru dan keliru.

13. Dengan isu peningkatan kes tembakan rambang dan kadar jenayah, golongan ekstremis bangsa, golongan fasis dan rasis, proses liberalisasi, isu pemilikan senjata, isu TGBL, hak gugur kandungan, kes rogol dan tuduhan rogol palsu, kekeliruan identiti dan jantina, atlet transgender bertanding kategori perempuan, agenda politik dalam hiburan, gaji sama rata, pemisahan penuh agama dengan pentadbiran kerajaan dan pelbagai lagi isu yang memeningkan kepala.

14. Jadi adakah kita masih lagi mahu terus mengkagumi dan berkiblatkan negara barat? Cara hidup mereka sendiri pun lebih bercelaru dari kita. Yang baik kita contohi, yang karut-karut dan bertentangan dengan adat budaya serta agama kita, kita buang jauh-jauh.


 P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.



https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: mass shooting usa america texas ohio tembakan rambang mati cedera kebebasan mutlak bebas gaya cara hidup 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.