Sabtu, 3 Ogos 2019

2 Punca pelajar takut lapor kes buli dan salah laku

1. Sebelum ini aku pernah tulis tentang "Sisi gelap sekolah berasrama" yang kebanyakannya berkaitan budaya buli yang berbentuk penderaan fizikal dan juga mental. Ia mendapat hampir 3,000 perkongisan di Facebook. Aku juga ada tulis 2 artikel susulan berkaitan "Sisi cerah sekolah berasrama" dan juga "Kenapa orang tidak suka reunion sekolah".

2. Artikel aku ini mendapat banyak respon, kebanyakannya turut berkongsi kisah dan pengalaman pernah menjadi mangsa buli ketika di sekolah asrama, namun tidak kurang juga yang mengecam dan merendahkan mangsa buli ini betapa lembik, anak mak dan manjanya mereka.

3. Apa yang aku perasan, orang yang mengecam ini sama ada dia lah pembuli, atau dia pernah jadi "bullies survivor", jadi disebabkan itu dia rasa dia layak untuk menghina dan merendahkan orang lain yang tidak boleh jadi kental macam dia.

4. Dalam ruangan juga ada yang mempersoalkan kalau dah tahu kena buli, kenapa tak lapor pada cikgu, warden, ibu bapa? Kenapa tak pindah sekolah?

Kalau lah ia semudah itu.



5. Dalam kes kematian pelajar UPNM yang diseterika para pembulinya, terbongkar satu cerita tentang seorang kawan mangsa cuba untuk melaporkan pada pihak pengurusan dengan menghantar surat layang sebanyak 2 kali, namun tidak tahu di mana silapnya ia tidak diambil tindakan sewajarnya.

6. Lalu ada orang mempersoalkan lagi, kenapa hantar surat layang? Kenapa tak jumpa terus je cakap mulut ke mulut.

Kalau lah ia semudah itu...

Bacalah artikel "Kenapa sampai nak buat surat layang untuk lapor salah laku?" di bahagian bawah dan anda akan tahu kenapa.

7. Ya, mangsa buli atau orang yang tahu tentang sesebuah kes salah laku biasanya ada satu ketakutan atau trauma, sekiranya dia melaporkan kes salah laku atau jadi whisteblower pada guru atau warden, hidup dia di asrama akan jadi lebih teruk. Orang sekeliling akan gelar dia anjing, mat pot, barua, pondan dan sebagainya.


8. Sebagai contoh kalau dia laporkan ada budak hisap rokok, dia akan kena pukul. Kalau dia laporkan yang dia kena pukul lalu pembulinya kena buang sekolah, dia mungkin akan dipukul pula oleh rakan pembuli yang lain. Itu kalau pembuli dia kena buang sekolah, kalau cuma kena amaran atau gantung sekolah, pasti dia akan kena pukul lebih teruk lagi lepas tu.

9. Malah dia juga akan diejek dan dipulau oleh majoriti orang di asrama. Kadang-kadang orang yang tiada kaitan pun turut sama pulaukan dia sebab mereka takut dengan pembuli. Mereka takut kalau mereka berkawan dengan mangsa buli, apatah lagi nak laporkan pada pihak atasan sebarang kes salah laku yang mereka tahu, sebab mereka takut akan turut sama kena buli. Jadi situasi mangsa buli dan juga orang yang tahu cerita sebenarnya sangat hopeless. Nak lapor depan-depan, takut identiti terbongkar. Hantar surat layang, pihak atasan tak ambil serius.


10. Kalau sampai kat pengetahuan cikgu atau warden pun, para pembuli ini sering terlepas atau mendapat hukuman ringan kerana nak jaga nama baik sekolah atau institusi, atau mereka ada hubungan baik dengan cikgu/warden, atau mereka ini aset, anak emas dan harapan sekolah/institusi sebab bijak, jadi wakil sekolah/institusi dalam sukan dan sebagainya. Bila dah jadi kes jenayah macam penglibatan dadah, kes gaduh sampai cedera parah, orang terbunuh dan sebagainya barulah sibuk nak ambil tindakan berat. Sedangkan guru sendiri tak boleh pukul anak murid sewenang-wenangnya, adakah seorang murid itu layak dipukul oleh murid yang lain?

11. Orang kena buli ni kesannya boleh sampai ke tua. Biasanya kita akan ingat peristiwa hitam tu dan juga pembuli tu sampai bila-bila. Pembuli ni pula jarang ingat benda jahat yang pernah mereka buat kat orang lain. Kalaulah mereka ingat dan insaf, pasti mereka akan meminta maaf pada orang yang pernah dia buli bila dah dewasa, tapi ini tidak. Mereka tidak pernah sekali pun menyesali perbuatan jahat yang mereka pernah buat pada orang lain. Bila dah tua buli orang lain pula kat Internet buat public shaming, troll dan sebagainya. Pathetic gila hidup.

12. Masyarakat pula macam biasa, masih lagi kekal dengan budaya menyalahkan mangsa. Bila dengar kes buli, salahkan mangsa cakap dia lembik, manja dan sebagainya. Bila dengar kes curi di sekolah, salahkan mangsa siapa suruh bawa duit pergi sekolah. Bila dengar kes rogol, salahkan mangsa kenapa jalan seorang diri. Bila dengar kes ragut, salahkan mangsa kenapa bawa handbag. Yang pembuli, pencuri, perogol, peragut tak teruk disalahkan pun berbanding mangsa. Biasalah, selagi tak kena kat batang hidung sendiri, kat keluarga sendiri, mana peduli pasal orang lain.

13. Sekolah, institusi pendidikan dan juga apa-apa jua organisasi sepatutnya ada jaminan keselamatan sepanjang kita berada di tempat tersebut. Sebab itu sudah tiba masanya untuk isu-isu buli ini dipandang dengan lebih serius oleh semua pihak, sama serius macam mana masyarakat mengangkat isu depresi, rogol, cabul, scam dan sebagainya.

14. Pihak kerajaan, sekolah dan institusi pendidikan perlu ada satu peraturan yang keras terhadap perbuatan buli, malah harus sediakan satu talian atau saluran untuk pelajar membuat aduan tentang kes buli atau sebarang salah laku yang dilakukan oleh pelajar lain, dengan jaminan identiti pengadu dirahsiakan. Setiap aduan ini pula akan ditangani dengan serius, dan sekiranya terbukti bersalah, pelaku (tidak kiralah dia itu anak emas atau tidak) harus dikenakan hukuman yang keras dan setimpal dengan kesalahannya agar ia dijadikan pengajaran pada pelajar lain.

15. Sudah tiba masanya untuk kita perangi habis-habisan budaya buli, demi keselamatan yang lebih baik untuk anak-anak kita, demi masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang. Dan siapa yang sokong budaya buli, dia bangsat.

* * * * * * * * * *

Kenapa sampai nak buat surat layang untuk lapor salah laku?

Sebab di asrama ada TRADISI GILA dimana perepot (si pelapor) adalah anjing atau sampah asrama. Ya, itulah gelaran yang diberikan kepada mereka.. Aku pun tak tahu dari mana datangnya budaya perepot ni akan dianggap sampah dan anjing di asrama. Dianggap anjing yang paling bawah darjatnya. Si anjing kurap yang hina-sehinanya.

Yang pasti tu budaya GILA yang disukai si ORANG GILA yang sebenarnya anjing, khinzir, dan sampah. Aku pun dulu antara si sampah ni apabila tak pernah langsung untuk mereport salah laku yang kena pada diri sendiri atau pada orang lain.

Tak cukup dengan itu, pereport juga akan dipulau jika kantoi report dibuli atau melaporkan kejadian buli orang lain atau report salah laku lain. Jadi saksi pun akan dikategori sebagai pereport. Bukan takat senior, sama batch pun akan pulau kau dan silap-silap junior pun akan tak semena-mena benci kau.

Sebab tu aku tak pernah mereport juga, sebab tak nak kena pulau atau jadi target yang akan diungkit-ungkit sampai kau habis. Kadang-kadang, sampai loker perepot ni kena conteng dengan perkataan anjing guna marker pen dakwat kekal. Bukan takat loker, kadang-kadang baju dan harta benda kena khianat. Sengsara kena pukul tak sesengsara dilabel pereport ni sebenarnya. (Kecuali kecatatan kekal dan mati la)

Malah, siapa yang kena pukul sampai masuk hospital dan tidak mereport akan dianggap hero. Namanya akan didendang zaman berzaman. Kononnya itulah lelaki. Tetapi itu sebenarnya b**i (khinzir). Sebab kerana dialah yang dijadikan contoh zaman berzaman dan bergenerasi.

Dah macam cult. Majoriti buat, semua kena ikut membabi buta walaupun benda tu SALAH dan GILA. Jadi, si penindas ni lagilah suka. Sebab tu mereka tak takut pukul dan menindas sampai melibatkan nyawa.

Ramai cakap yang tergamak dan beraninya mereka buat macam tu. Sebab apabila mereka buat, kesan dan akibat itu adalah sangat minima. Paling teruk kalau kantoi pun, setakat buang asrama je. Tetapi masih boleh bersekolah tempat sama. Manakala si mangsa kena pukul sampai lunyai tu kena hadapi, iaitu satu institusi benci dan memulau si perepot tu. Malah, si pembuli tu tu masih berlegar-legar dan anytime boleh serang mangsa balik.

Bayangkan mangsa yang sudah trauma kena pukul tu, hari-hari kena lalui hidup trauma takut diserang dan dipukul beramai-ramai bila-bila masa tanpa dia ketahui. Dengar nama si pemukul tu nak jumpa pun tangan dah menggeletar tanpa henti. Sebab biasanya mangsa kena pukul tu bukan sekadar 10 - 20 minit. Tetapi boleh sampai 2-4 jam.

Sebab tu mereka berani. Sebab mereka tahu orang akan backup mereka. Korang tengoklah, sampai 17 orang kena tuduh kes UPNM tu. Sebab sistem dan majoriti memihak kepada mereka. Yang memukul berapa? Dan bersubahat tu berapa ramai?

Paling kelakar, kalau tingkatan 4 nak pukul junior, si tingkatan 4 akan meminta izin dengan super senior, iaitu si tingkatan 5. Ala-ala minta izin abang kawasan untuk buat kesalahan. Kadang-kadang si super senior tingkatan 5 yang tak ada kena mengena pun join sejam dua. Entah apa yang difikirkan, mengisi masa lapang?

Paling mengecewakan, pengurusan asrama masih pandang remeh kes buli atau salah laku tertentu. Kantoi membuli pun, setakat amaran, rotan, buang asrama, dan buang sekolah. Dah setel. Tiada follow up, tiada mekanisma untuk prevent further incident. Sebab tu aku tak pelik bila surat layang tu sampai dua kali tetapi tak ada mekanisma efektif untuk dilaksanakan.

Aku masih ingat kejadian salah laku di asrama yang aku kenal (tak perlu sebut asrama mana dan negeri mana). Kes ni tak kompleks mana pun, cuma si mangsa dan pemangsa dua-dua ada buat kesalahan.. Si mangsa ni buat kesalahan yang tak berapa serius pun sebenarnya. Tetapi si penindas ni buat undang-undang sendiri.

Jadi, si mangsa tu terus buat laporan polis tanpa merujuk pihak sekolah. Sebab apa? Sebab dia tahu yang sekolah takkan buat apa-apa bagi pandangan dia. Setakat rotan atau paling teruk buang asrama, dia kata dia takkan dapat keadilan yang dia rasa adil. Lepas buat laporan polis tu, terus polis datang dengan trak dan angkut semua pelajar penindas. Gila cepat polis buat kerja.

Tahu apa jadi lepas tu? Yang pereport tu sama-sama kena buang asrama. Ada dua sebab, pertama atas kesalahan yang tak berapa serius tu, kedua memalukan asrama (perepot tu yang cerita dekat aku dua sebab tu. Atas surat rasmi kena buang tu, aku tak pasti).

Tapi yang paling aku kecewa adalah, aku janji pada diri dan cuba ajak rakan-rakan untuk tak ulang apa yang senior buat ni pada junior. Tetapi hanya beberapa orang aja yang ikut azam aku untuk langsung tak pernah sentuh junior. Kebanyakan mereka teruskan tradisi GILA itu. Mereka yang dulunya mangsa pula jadi pemangsa. Itulah yang paling mengecewakan aku. Sebab hanya mereka yang pernah lalui semua ini akan faham dan memaknainya.

Kesan buli teruk sebenarnya. Kawan aku sampai ada masalah mental. Dan takut dengan orang ramai. Trauma. Ada yang sampai sekarang suicidal. Tiap-tiap hari fikir nak bunuh diri. Itu belum lagi kes terpencil yang mangsa buli jadi sadistic.

Ya, pembuli tu rilek je membesar dengan aman dan gembira. Sekarang ni ada kerja, ada isteri dan anak. Ada harta dan kadang-kadang lagi berjaya dari orang kena buli tu. Entah dia ingat tidak setiap nama dan muka mangsa buli dia. Sedangkan mangsa buli dia jadi suicidal, trauma, dan berbagai lagi kesan mental yang berpanjangan.

Mimpi buruk tiap malam, dan kadang-kadang sampai mimpi membunuh pembuli tu dalam mimpi dan sangat enjoy dengan mimpi tu. Tapi setiap masa ianya lebih kepada mimpi buruk. Itu belum lagi kes mengelamun dan berkhayal tengah membunuh pembuli dia dengan cara paling sadistik mereka boleh fikirkan.

Aku pernah juga cuba tanamkan pada junior untuk tak ulang tradisi GILA ni. Sebab si senior dah tanamkan ideologi GILA ini, mereka pula bila jadi senior dan aku dapat tahu mereka mengulanginya. Aku jadi kecewa.

Aku berharap juga satu hari nanti, pihak pengurusan asrama sendiri yang akan menanamkan pada junior untuk melawan IDEOLOGI GILA dan TRADISI BODOH yang diturunkan senior kepada junior ni. Sama ideologi progresif disematkan. Siapa yang tak ikut, adalah barbaric dan orang tak bertamadun.

Jadi, tak mustahil yang apabila propaganda melawan TRADISI GILA ini menggunakan benda yang sama di sekolah dan insititusi tinggi. Siapa yang masih membuli dan pelapor dianggap anjing adalah barbaric dan tidak bertamadun. Layak dikecam zaman berzaman. Malah, boleh merosakkan karier masa depan.

Semoga Zulfarhan Osman menjadi Kiki Camarena. Dimana pihak berwajib melakukan operasi besar-besaran untuk prevent further incident repeated.

Kalau tidak, sia-sialah kita semua marah-marah. Sebab esok lusa akan ada lagi Zulfarhan Osman, Mohamad Nur Akram Zime, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, Mohammad Naim Mustaqim, Muhammad Farid Ibrahim, Jackson Nuing Awe, (mak aih, ramainya!), dan banyak lagi.

Sumber penulisan dari FB Muhammad Musoddiq Bin Jaafar.


Baca artikel berkaitan: 

 P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.



https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: kenapa punca pelajar takut lapor kes buli salah laku murid lain kes zulfarhan seterika dera surat layang 

2 ulasan:

  1. wow.. tak sangka sedahsyat ni budaya buli di sekolah ye.. Saya dulu sedang-sedang aje, berkawan dengan semua orang

    BalasPadam
  2. Ye betul. Setiap sekolah asrama memang macam ni and dianggap tradisi. Aku antara orang yang kena pulau sebab? Aku cuba lawan benda ni. Orang yang aku anggap bestfriend semua tinggal aku. Cikgu? Dorang yang jadikan aku sebagai buah mulut. Cikgu yang lantik pengawas, end up pengawas tu yg buli. Aku sebut je nama skolah ni, SAS Putrajaya. Sekolah top, tapi otak masih jahil. Sorang buat salah, semua kena. Ada sorang senior ni yg cuba psycho aku dia ckp apa? Dia rasa benda ni tak salah selagi tak melanggar syariat Islam. Kepala bapak dia la. Sedangkan Nabi Nuh pon Allah turunkan bala dekat family dia je, inikan kita manusia biasa yang nak tindas suka ii hati. Syariat Islam ke tu? Dalam kes ni, cikgu dengan pembuli aku anggap jenayah. Aku tak pernah respect cikgu yang backup pembuli tu. Aku harap balasan kat akhirat nanti setimpal dengan apa yang dia buat. Hidup aku kat asrama sengsara sejak form 1 sebab tradisi babi ni

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.