Isnin, 18 Mac 2019

4 Hubungkait game PUBG dengan tragedi New Zealand

1. Sejak berlakunya tragedi berdarah di New Zealand, ramai orang mula mengecam sebuah game popular yang boleh dimainkan di komputer atau telefon bimbit iaitu PUBG (PlayerUnknown's Battlegrounds).

2. Game PUBG ini dikatakan boleh mendorong pemainnya melakukan keganasan dan juga dikatakan mempunyai unsur hina Islam apabila terdapat objek yang seakan-akan sejadah di dalam game tersebut. Malah rakaman video yang dilakukan oleh pengganas kulit putih itu juga dikatakan dirakam menyerupai game PUBG.


3. Aku pernah cuba main PUBG tapi tak berjaya menarik minat aku. Pertama sebab di usia aku sekarang bila main game penembak yang berbentuk first/third person view aku akan cepat pening. Kedua sebab game berkonsep battle royale ni berulang-ulang benda yang sama je setiap perlawanan membuatkan aku cepat bosan. Walaubagaimanapun aku akan cuba terangkan juga sedikit sebanyak tentang game ini dalam bentuk yang paling ringkas dan mudah difahami.

4. Untuk makluman bagi yang belum tahu, secara ringkasnya game PUBG adalah sejenis game penembak (first/third person shooter) dan survival yang mana setiap pemain hanya mempunyai 1 nyawa bagi setiap perlawanan. Konsep permainan adalah berbentuk Battle Royale, di mana 100 orang pemain akan diturunkan dari kapal terbang ke sebuah pulau dan bertarung sesama sendiri untuk hidup.

5. Setiap pemain akan bermula tanpa sebarang peralatan dan senjata. Mereka juga boleh pilih untuk turun di mana-mana kawasan di pulau itu, kemudian mula mengembara untuk mencari topi, baju perisai, senjata dan peralatan yang boleh digunakan untuk membantunya bertahan. Pemain yang ditembak mati akan dikeluarkan terus dari perlawanan dan boleh mulakan perlawanan baru, manakala pemain terakhir yang berjaya bertahan dan hidup akan memenangi perlawanan tersebut.

6. PUBG adalah game yang mempopularkan genre battle royale sebelum munculnya game-game lain yang bergenre sama seperti Fortnite, Apex Legends, Call of Duty: Black Ops 4 Blackout dan sebagainya.

7. Istilah battle royale digarap dari sebuah novel/manga/filem Jepun yang muncul dengan tajuk sama sekitar akhir tahun 90-an dan awal tahun 2000, yang mengisahkan tentang sekumpulan pelajar sekolah menengah yang dicampak ke sebuah pulau dan dipaksa untuk saling bertarung sampai mati. Hanya seorang pelajar terakhir yang hidup akan diselamatkan dari pulau tersebut. Filem barat juga ada yang mengambil konsep battle royale ini seperti filem Hunger Games.

8. Sebelum kewujudan game berbentuk battle royale, game berbentuk first/third person shooter game ini telah wujud sejak tahun 90-an dengan game seperti Wolfenstein 3D dan Doom. Antara game penembak yang sudah lama popular juga adalah Half Life, Counter Strike, Call of Duty, Rainbow Six Siege, Overwatch, GTA dan sebagainya.

9. Motif game penembak ini pula ada pelbagai, ada yang berbentuk ketenteraan, peperangan, sejarah, fiksyen sains, seram, zombi, survival, solo, berpasukan dan sebagainya.

10. Hakikatnya, game penembak atau apa jua jenis game yang wujud adalah untuk hiburan dan minat semata-mata, sama seperti orang mendengar muzik seperti lagu tempatan, Inggeris dan KPop, menonton filem, drama TV dan anime, membaca novel dan komik, bersukan atau menonton perlawanan sukan seperti bola sepak, melakukan aktiviti luar seperti memancing, berkonvoi motor dan sebagainya.

11. Jadi apabila ada orang mengecam dan mengaitkan game PUBG dengan kejadian pengganas di New Zealand, aku tak jumpa apa perkaitan dia, sama seperti perkaitan pengganas tersebut dengan Pewdiepie sampai beliau dikecam media dan orang ramai. Serius, aku tak nampak apa kaitan dia.

12. Pengganas ekstrimis tersebut pun sudah menyatakan motif serangannya adalah kerana fahaman "White Supremacy", bukan sebab dia terpengaruh dengan game. Jadi apa yang sepatutnya kita dan media highlight adalah tentang bahayanya ideologi ketuanan kulit putih tersebut, atau mungkin tentang peraturan pembelian dan pemilikan senjata api yang longgar di kebanyakan negara, bukan game yang langsung tiada kaitan.

13. Sebelum wujudnya game pun sudah wujudnya banyak kes jenayah yang melibatkan senjata api. Kau rasa perompak, kongsi gelap, Mafia, Yakuza, nazi, neo-nazi, Ku Klux Klan, ISIS dan semua jenayah melibatkan keganasan senjata api tu mereka terpengaruh dari game ke? Game ni hiburan untuk orang nerd, bukan penjenayah.

14. Lagipun kalau orang kata game penembak ini boleh mempengaruhi dan menarik minat orang untuk melakukan jenayah senjata api, boleh juga kata game ini boleh mempengaruhi dan menarik minat orang untuk masuk bidang ketenteraan dan menjadi askar, bukan begitu?

15. Dan yang kata game PUBG ini hina Islam sebab ada prob yang berbentuk sejadah dalam game tersebut, boleh jadi ia hanya permaidani. Dan kalau ia sejadah pun, ia hanya barang dalam rumah tersebut di pulau yang telah ditinggalkan. Dalam pulau terbiar itu juga boleh jadi ada gereja, ada kuil dan lain-lain objek berkaitan agama lain. Kalau dalam game tersebut misinya kena bunuh orang Islam, itu memang harus ditentang, tapi dalam game tu misinya hanya bunuh sesama sendiri untuk survival. Jadi apa isunya di sini?

16. Wujudnya permainan video pun adalah untuk memenuhi fantasi budak nerd. Nak bertumbuk tak pandai, mereka main Street Fighter. Minat bola tapi nak main tak pandai dan tak suka bersukan, mereka main game FIFA atau PES. Mereka minat komik/anime Dragon Ball, mereka main game Dragon Ball. Mereka suka dengan kehidupan manusia, mereka main The SIMS. Mereka suka strategi, mereka main Warcraft, Starcraft atau Command & Conquer. Mereka suka pada suatu penceritaan, mereka main game RPG seperti Final Fantasy. Mereka suka bidang ketenteraan, mereka main Counter Strike. Mereka suka pada pertarungan teknik dan magik, mereka main DOTA2, LOL atau Mobile Legends. Mereka suka puzzle, mereka main Tetris atau Candy Crush.

17. Tambah pula suatu judul game itu bukanlah kekal selamanya pun, kadang-kadang ia lebih kepada trend dan populariti semata-mata. Counter Strike tengah popular, ramai orang main. Masa Angry Bird tengah popular, ramai orang main. Masa DOTA2 tengah popular, ramai orang main. Masa PUBG tengah popular, ramai orang main. Biasanya apa-apa game pun masa tengah trending memang ramai akan main, lepas tu bila dah lama sikit orang dah kurang main, dan bila ada game baru yang lebih menarik muncul, orang beralih pula ke game lain.

18. Ingat game Pokemon Go yang pernah viral tahun 2016 dulu? Berapa ramai orang main sampai jadi macam-macam isu sehingga menteri dan mufti keluarkan kenyataan. Nah sekarang, siapa lagi yang main Pokemon Go? Yang tinggal cuma peminat setia Pokemon sahaja, yang lainnya mungkin sudah berpindah main Mobile Legends, PUBG atau Fortnite.

19. Cuma bab game melekakan itu aku setuju, sama seperti hiburan lain seperti muzik, filem, drama, bola, memancing dan sebagainya. Apa-apa jenis minat dan hiburan pun kalau dah sampai tahap ketagih dan mengabaikan tanggungjawab, itu perlu dibendung. Apatah lagi apabila minat itu sampai ke tahap fanatik dan taksub, lagi bahaya sebab satu langkah lagi ia akan ke tahap ekstrimis.

20. Permainan video ini pula satu lagi masalahnya ia mudah diperolehi dan dimain di mana-mana dan bila-bila masa tanpa ada kawalan. Tak dinafikan ada game yang kurang sesuai untuk kanak-kanak kerana mengandungi kandungan yang ganas, seksual dan ekstrim, namun asalkan ada telefon atau komputer, semua orang boleh install. Tak macam filem di wayang, kalau klasifikasi filem tu "18", kanak-kanak memang takkan dibenarkan masuk.

21. Jadi di sinilah peranan ibu bapa untuk mengawal. Game juga ada sistem ratingnya sendiri, boleh rujuk Internet kalau tak tahu. Ibu bapa kena pantau dan jangan benarkan anak install dan main game yang tidak sesuai untuk umur mereka. Kita faham ibu bapa zaman sekarang ramai yang bagi anak-anak kecil telefon pintar sendiri, tapi sekurang-kurangnya pantau penggunaannya.

22. Dan rating umur game PUBG? Kalau ikut standard PEGI (Pan European Game Information), had umur untuk game PUBG adalah 16 tahun ke atas. Maka game PUBG ini sebenarnya memang langsung tak sesuai untuk kanak-kanak. Tapi rating umur pemainan video biasanya boleh ditentukan mengikut negara.

23. Jadi apa yang kerajaan Malaysia boleh buat adalah wujudkan sistem rating umur bagi segala jenis game, seperti mana Lembaga Penapisan Filem keluarkan rating had umur untuk semua filem yang ditayangkan di Malaysia. Mungkin Lembaga Penapisan Filem boleh dikembangkan lagi fungsinya untuk membuat tapisan game dan dijenamakan semula sebagai Lembaga Penapisan Filem dan Permainan Video. Sekurang-kurangnya ia memudahkan ibu bapa untuk menapis dan mengawal game yang boleh mereka benarkan anak-anaknya bermain.

24. Sebab game online ni, kadang-kadang bahayanya bukan pada kandungan game itu sendiri, tetapi pada komunikasi tanpa had kita dengan pemain lain. Pemain bebas berkawan dan berbual dengan pemain lain dalam game tersebut. Lalu dari situlah anak-anak kita belajar segala jenis kemarahan, jeritan, makian dan carutan. Lagipun game online ni biasanya ada micro transaction yakni pembelian dalam game. Kalau dibiar tanpa kawalan, anak akan suka-suka hati beli barang dalam game tu guna kredit kad ibu bapa atau tolak prepaid telefon, akhirnya yang sengkeknya ibu bapa.

25. Selain game, pantau juga segala jenis aplikasi yang ada dalam telefon bimbit anak-anak seperti Tik Tok, Bigo Live dan sebagainya. Itu pun banyak merosakkan akhlak anak-anak kita tak habis-habis terjoget-joget terkinja-kinja untuk tontontan orang asing.

26. Akhir kata, setiap orang boleh melontarkan pandangan dan boleh untuk tidak bersetuju dengan pandangan orang lain, tapi bercakaplah dengan tutur kata yang baik dan sopan tidak kiralah dengan siapa kita berkata. Tak perlu marah, mencaci dan memaki orang lain yang tidak sama pendapat dengan kita. Sikap itu bukan level kita. Kita lebih baik dari itu.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.

https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: pengganas terrorist tembakan penembak penyerang rambang bunuh orang islam muslim masjid tragedi peristiwa berdarah christchurch new zealand motif motivasi punca faktor white supremacy supremacist maksud kaitan game pubg haram mufti ban 

4 ulasan:

  1. Sangat setuju. Sebagai gamer yang juga tak main PUBG sebab pening, memang tak berapa masuk akal permainan PUBG boleh sampai jadi jenayah sedemikian.

    Hidup DOTA 2. Kahkah.

    BalasPadam
  2. Hello...buat kamu yang suka banget main game online,kalian gak perlu khawatir kuota kamu abis,karena sekarang ada Game MOJOPAHIT LEGENDS,yang pastinya game yang irit kuota banget ini bakalan seru,karena game MOJOPAHIT LEGENDS ini adalah game pertempuran yang sebenarnya.
    Ayo download sekarang aplikasi Game terbaik,dan rasakan sensai mainin game yang sebenarnya.
    Kamu cukup download di Google Play Store,,,ENJOYY guys

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.

Ads RichPartners