Selasa, 19 Mac 2019

1 Keputusan cemerlang dalam SPM tidak penting?

1. Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 baru keluar minggu lepas dengan mencatatkan pencapaian yang lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.89 berbanding 4.90 pada 2017. Seramai 230,465 calon lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2018 dengan 8,436 calon mendapat gred A+, A dan A- untuk semua mata pelajaran. Seperti biasa, media sosial dilambakkan dengan slip peperiksaan dan ayat-ayat perangsang dari orang dewasa.


2. Namun dalam keghairahan orang dewasa memberi kata-kata perangsang, semangat dan galakan kepada pelajar yang keputusan kurang cemerlang, tidak perlulah pula mencemuh dan memperlekeh mereka yang berjaya dan mendapat keputusan cemerlang dengan ayat-ayat seperti:

- Ada apa dengan A, SPM tak penting pun.
- Bill Gates berhenti belajar boleh je berjaya.
- Tak guna dapat banyak A sebab nanti dah besar kerja makan gaji jugak.
- Dari belajar pandai-pandai lebih baik belajar macam mana nak berniaga cari duit.
- Dapat banyak A tak semestinya kerja bagus bila dah besar nanti.
- A yang banyak tak semestinya berjaya di masa depan.
- Orang yang SPM teruk pun boleh jadi lebih kaya dan berjaya dari orang SPM hebat.
- Kalau sekadar ujian dapat A hidup takkan ke mana kerana hanya pandai teori sahaja tapi praktikal hancur.
- Tak payah belajar tinggi-tinggi pun, Pewdiepie buat video Youtube je dah kaya.
- Instafamous SPM tak power pun tapi follower ramai, banyak buat paid review. SPM is nothing.

3. Aku faham takde masalah bila mana korang nak sedapkan hati, memberi semangat dan memujuk pelajar-pelajar yang mendapat keputusan kurang cemerlang, tapi macam mana dengan pelajar-pelajar yang berjaya? Kejayaan mereka memang tak layak untuk dirai dan dihargai ke? Diorang memang layak dicemuh dan dihina ke hanya kerana mereka berjaya mendapat banyak A dalam SPM?

4. Dan ada pula yang kata dapat A banyak-banyak pun nanti bila kolej, universiti buat benda bangang juga bercinta, buat maksiat, main Tik Tok, Bigo dan sebagainya. Habis tu hanya orang yang tak dapat A banyak baru layak buat benda-benda bangang bagai? Macam lah korang tahu semua orang yang dapat banyak A akan buat benda bangang-bangang tu bila masuk universiti?

5. Memanglah SPM taklah penting sangat kalau nak dibandingkan dengan diploma, degree, master, PhD semua tu, tapi bagi pelajar sekolah, semua peperiksaan besar itu penting tak kiralah UPSR, PT3 dan SPM, malah SPM tu sangat penting bagi mereka kerana itulah peperiksaan besar terakhir mereka sepanjang alam persekolahan, malah keputusannya boleh mempengaruhi perjalanan karier dan impian mereka, maka salahkan mereka mempunyai cita-cita dan berimpian mahu mendapat keputusan cemerlang?

6. Tahukah kita bukan mudah nak dapat keputusan cemerlang dalam apa jua peperiksaan sekolah hatta UPSR sekalipun. Di kala murid lain sibuk bermain, menonton TV, bermain Internet, layan K-Pop, main PUBG, Fortnite, Mobile Legends dan sebagainya, mereka ini luangkan lebih banyak masa mereka untuk belajar dan berusaha lebih dari orang lain demi untuk mengejar cita-cita mereka. Benda yang mereka korbankan lebih banyak daripada murid-murid lain, maka perlu ke kita yang dewasa ini mencemuh usaha mereka itu?

7. Kita juga pernah lalui zaman itu, maka adakah kita akan rasa gembira dan bermotivasi andai usaha kita dicemuh dan diperlekeh oleh orang yang lebih dewasa? Bagilah mereka peluang untuk bergembira sekejap atas kejayaan mereka sebelum menempuh cabaran baru. Lagipun inilah peluang murid-murid cemerlang ini untuk menggembirakan hati ibu bapa mereka dalam bidang akademik.

8. Dan kita semua yang dah besar ni pula tolong bersikap matang sikit dan jangan bagi idea yang salah kepada generasi-generasi muda. Ya, memang keputusan A itu bukan penjamin masa depan, tapi tak semua orang itu mempunyai cita-cita yang sama. Ada yang perlu juga belajar bersungguh-sungguh mengejar A demi mengejar cita-cita dan impian mereka.

9. Yelah, andai kau bercita-cita menjadi seorang doktor, ingat keputusan SPM 7B 2C 1D boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang medik? Dan kalau kat semua pelajar pun kau cakap kat mereka keputusan peperiksaan itu tak penting, habis tu siapa nak belajar medik?

10. Nanti bila hospital kekurangan doktor pada masa akan datang korang juga marah. Lepas tu bila kita terpaksa import doktor dari India dan Bangladesh, korang cakap kenapa ramaikan warga asing? Tanya mana pergi doktor pakar tempatan? Dah tu korang sendiri yang influence generasi muda supaya tak perlu belajar rajin-rajin sebab keputusan peperiksaan tak penting.

11. Sudahlah jumlah pelajar yang ambil matapelajaran aliran STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) semakin lama semakin merosot kerana ramai ibu bapa yang ingin mengambil langkah selamat memberi isyarat salah kepada anak-anaknya sehingga mematikan minat mereka kepada subjek STEM. Kalau anak kurang bijak dan lambat pickup tidak mengapa juga, tapi kalau anak memang ada bakat belajar dan bijak, galakkan mereka ambil subjek STEM.

12. Orang bijak akademik atau kurang bijak akademik masing-masing ada tempatnya bila dewasa nanti. Tapi kalau anak-anak ada cita-cita yang besar seperti doktor, arkitek, peguam, jurutera, jurukomputer, saintis, pensyarah, guru dan sebagainya, galakkan mereka belajar dan dapatkan keputusan SPM yang baik supaya laluan mereka mudah untuk mencapai cita-cita mereka.

13. Memang kita susah nak nampak sangat kepentingan keputusan akademik, tapi bila golongan profesional ramai yang dah tua dan bersara, dan kita pula kekurangan pelapis dari golongan muda, masa tu baru kita sedar penting atau tidak pembelajaran akademik sekolah.

14. Akhir kata, tidak kira orang bijak ke kurang bijak ke semua perlu diberi semangat dan inspirasi, tapi nak bagi semangat kepada orang yang kurang bijak bukanlah dengan cara membunuh semangat dan merendah-rendahkan orang yang bijak.

* Diolah semula dari artikel lama "Orang dewasa usah beri idea yang salah pada murid" sempena keputusan SPM yang baru keluar minggu lepas.

Baca juga artikel berkaitan:


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.

https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: keputusan ujian peperiksaan spm sekolah menengah 2018 nasihat inspirasi motivasi 5a hina leceh perlekeh cemerlang gagal wrong idea salah

1 ulasan:

  1. mujur dah x de mamat yg duk bising pasal SPM tu...

    ~BB~

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.

Ads RichPartners