Selasa, 30 April 2024

1 Kisah bekas pekerja KFC dan boikot

1. Ada seorang sepupu aku, ada diploma. Habis belajar, dia cari kerja dalam bidang dia, tak dapat-dapat. Sebab nak juga kerja demi membina kehidupan dewasa, dia kerja di KFC. Aku tak pasti dia start dari bawah atau masuk management trainee.

2. Tau-tau dah bertahun juga dia kerja kat KFC sebab boleh sustain. Gaji bayar elok, ada caruman KWSP, ada promotion. Dia pun dah selalu berpindah-randah cawangan KFC kat area Lembah Klang sebab dapat promotion. Lepas beberapa tahun, dapat la dia beli kereta, sewa rumah, kahwin dan ada anak.

3. Hari raya hari tu aku jumpa dia sembang-sembang. Aku tanya dia masih kerja KFC ke? Dia cakap dah berhenti sebelum bulan puasa lagi sebab kes boikot-boikot ni. Sekarang dia jadi rider GrabFood. Asal kerja syarikat asal US, sekarang kerja syarikat asal Singapura. Cuma dia cakap untuk sementara waktu je dulu sebab jadi rider makanan ni tak sesuai untuk jangka masa panjang. Caruman KWSP, promotion semua takde.

4. Cuma dia belum buat perancangan solid lagi sebab nak tunggu lepas habis raya semua baru nak cuba bermula semula. Aku tak mampu nak bagi apa-apa kata lepas tu. Mungkin aku boleh je kata, takpe kerja banyak, kerja je lah di mana-mana, buat lah bisnes apa-apa, jangan memilih kerja, kerja lah kat kilang ke mana, tapi aku tak duduk di kasut dia. Dia yang hadap semuanya.

5. Lagipun aku sendiri pun kerja makan gaji, tak mampu nak tolong. Cuma syukur, nasib aku baik sebab bukan kerja dengan majikan yang kena boikot. Kalau aku ada kompeni sendiri atau kerja kat kompeni bapak aku, mungkin aku boleh tolong ambik dia kerja. Jadi, aku hanya boleh bagi sokongan moral sahaja, dan sedikit duit raya.

6. Realitinya, nak cari kerja yang sustain sekarang bukan mudah. Ini baru kisah seorang. Ada lagi 30,000 pekerja atau lebih yang mungkin sama nasibnya. Tambah lagi dengan lambakan graduan sedia ada yang masih tak dapat kerja dan terpaksa cari kerja di luar bidang. Peluang semakin kecil, persaingan semakin ketat.

7. Nak buat bisnes pun bukan semua orang boleh buat berniaga. Ada orang cemerlangnya pada kerja makan gaji tapi tak pandai berniaga. Tambah lagi nak berniaga pun kena ada modal. Kalau duit pun tak banyak macam mana nak buat modal. Kita mungkin mudah nak cakap bercakap itu ini, tapi hakikatnya kita tak rasa dan tak peduli sebab bukan kena kat periuk nasi kita. Mengkritik memang mudah berbanding memberi solusi.

8. Di Malaysia sahaja, berlambak syarikat berpangkalan di US dan luar negara yang beroperasi, yang membuat dan menjual produk antarabangsa, yang menggajikan lebih ramai pekerja M40 dan T20 berbanding B40 terutama yang Melayu Islam dan warga OKU, yang turut sama membayar royalti dan salur keuntungan kepada syarikat HQ mereka di US atau negara lain.

9. Tapi kita memilih untuk melingkupkan syarikat antarabangsa yang menggajikan ramai pekerja B40 Melayu Islam, yang pemilik francais tempatannya pihak Melayu Islam, yang banyak bayar cukai pada kerajaan, yang KWSP ada saham, yang banyak bayar zakat, yang punya sijil halal, yang penyata kewangannya dilapor dan diaudit, yang menyalurkan jutaan ringgit sumbangan pada P4l3st1n dan masyarakat setempat, atas alasan "kalau tak boleh boikot semua, jangan tinggal semua".

10. Macam Starbucks kena boikot ok lagi, at least kedai kopi seumpama berjenama lain masih banyak di Malaysia, cawangan dan pekerja pun tak banyak sangat, target customer pun setakat T20, barista dia pun boleh lagi cari kerja di kedai kopi yang lain sebab banyak.

11. Kalau macam KFC dan McD, francais makanan segera 2 ni terlalu banyak cawangan dan pekerja di Malaysia. Rangkaian restoran lain seumpamanya seperti A&W, Texas Chicken, Burger King, MarryBrown dan sebagainya pun tak sebanyak mereka. Kalau nak kata pekerja-pekerja KFC, McD boleh la mintak kerja kat restoran fast food lain, hakikatnya tak cukup pun untuk tampung.

12. Aku sendiri tak boikot sesetengah rangkaian makanan segera, tapi tak la bermakna aku makan hari-hari. Kalau rasa nak makan aku makan. Kalau aku beli pun, niat aku lebih kepada nak bantu kelangsungan hidup pekerja-pekerja yang rata-ratanya B40 sebangsa seagama. Aku memilih untuk boikot produk US yang lain sebab "kalau tak boleh boikot semua, jangan tinggal semua".

13. Cuma "jangan tinggal semua" aku tak sama dengan majoriti yang lain. Aku memilih untuk boikot produk yang lebih tinggi kena spend duit, atau yang lebih banyak bayar cukai pada kerajaan US, atau yang tiada cawangan lokal di Malaysia, atau yang pekerjanya tak banyak umat Islam, atau yang owner atau CEOnya memang menyatakan sokongan pada negara haram, atau produk yang bukan keperluan tapi lebih kepada kemahuan, dan sebagainya.

14. Disclaimer: Penulisan ini bukanlah nak ajak korang semua support KFC McD ke apa. Nak boikot ke apa, itu pilihan masing-masing. Duit masing-masing. Pendapat masing-masing. Aku just nak tunjuk the bigger picture, sebab benda ni tak semudah itu, semua ada hubungkait dengan ekonomi, negara, kewangan, masyarakat, kehidupan, kebajikan, realiti, dan lain-lain lagi, for better or worst.


 


P/S: Mohon rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):






tags: kisah pekerja kfc kepsi mcd mekdi boikot

 

1 ulasan:

  1. Tu produk Apple, lagi bagus kena boikot.. Part guna brgn Apple satu kebanggaan sedangkan tu la syarikat yg mengkayakan US.. Dhla produk mahal nak mampus, x menyumbnag lgsg kat komuniti Islam

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.