Rabu, 19 September 2018

4 Review Filem: One Two Jaga

Baru-baru ini aku baru berkesempatan menonton filem One Two Jaga di wayang, sebuah filem tempatan arahan Nam Ron. Sinopsis filem ini berkisarkan tentang kisah di sebalik tabir pasukan badan beruniform Polis Diraja Malaysia, yang mana ia memaparkan sisi gelap segelintir anggota yang sanggup mengkhianati amanah dengan mengambil rasuah dan terjebak dalam kegiatan jenayah.

Aku bila menonton sebuah filem tempatan, perkara utama yang aku akan nilai dulu adalah plot dan jalan cerita. Pelakon, lakon layar, sinematografi, suntingan, kesan khas dan elemen-elemen lain kalau bagus tu bonus lah.

Dan untuk filem ini, aku bagi markah 5/5. Ya, markah penuh. Sebab apa? Sebab ceritanya memang sangat best. Bukan mudah aku nak berpuas hati dengan sebuah cerita melayu, tapi untuk filem ini aku sangat-sangat berpuas hati.

Kenapa? Ini ulasan aku.


[AWAS: Mungkin mengandungi sedikit spoiler. Kalau tak suka spoiler jangan teruskan membaca. Kalau belum tonton, aku cadangkan pergi tonton dulu filem ni lepas tu baru baca balik review ni tengok adakah anda bersetuju atau tidak dengan review ini]


1. Cerita fiksyen realiti yang benar-benar memapar realiti

Filem ini bukan filem fiksyen realiti pertama yang memaparkan tentang pasukan polis di negara kita, tapi boleh aku katakan filem berkaitan polis pertama yang paling realistik di negara kita. Tidak perlu aksi berat kejar lompat tembak sana sini, tiada konflik yang besar dan complicated macam sebuah organisasi gergasi yang jahat mahu menakluki negara.

Plot ceritanya ringkas sahaja, hanya berkisarkan tentang 2 anggota polis yang melakukan kerja harian mereka macam biasa, namun terpalit dengan konflik integriti, rasuah dan masalah pendatang tanpa izin (PATI) yang mahu cari makan di Malaysia.

2. Plot dan lakonan sangat semulajadi

Filem ini memaparkan plot cerita yang berlaku dalam sehari sahaja. Cerita bermula pagi, dan berakhir pada waktu petang/malam. Tiada jalan cerita yang sangat rumit dan complicated. Malah boleh aku cakap aku tak dapat kesan dan kenalpasti sebarang kelemahan plot atau plothole. Perjalanan ceritanya digarap dengan sangat licin.

Pelakon pula semuanya memberi lakonan yang bersahaja dan natural namun mantap, tidak berlebih-lebih atau exaggerate, bercakap macam biasa sahaja macam orang Malaysia biasa bercakap, takde jerit maki hamun sana sini, tak perlu try hard cakap macam gangster dengan slang Cina dan lain-lain kekarutan yang kita biasa temui dalam filem berkaitan polis yang lain.

3. Tiada elemen karut dan tak masuk akal

Tiada adegan kejar mengejar naik kereta, lompat bangunan sana sini, letup sana sini, kung fu silat taekwando sana sini. Yang ada pun pergaduhan di antara 2 orang polis dengan geng PATI di akhir-akhir cerita. Ya, gaduh pukul tumbuk tendang rambang macam pergaduhan sebenar tanpa siapa-siapa menunjukkan kemahiran seni mempertahankan diri yang lebih hebat dari orang lain.

Malah tiada langsung elemen cerita melayu tipikal seperti percintaan fantasi karut, watak utama lelaki sempurna, kacak, sado, kaya, anak Dato', ada rumah banglo besar dan lain-lain elemen yang menjadi dambaan para gadis, watak heroin yang cantik melampau-lampau, komedi yang memualkan dan sebagainya. Yang ada cuma adegan yang benar-benar masuk akal seperti pergi sekolah ambil anak lepas tu balik rumah kat apartment untuk makan tengahari.

4. Ia kisah tentang semua orang

Lupakan hero. Lupakan heroin. Lupakan protagonis. Lupakan antagonis. Lupakan orang baik. Lupakan orang jahat.

Cerita ini adalah kisah biasa tentang semua orang. Semua orang dalam cerita ini adalah watak utama bagi diri mereka sendiri. Polis muda ada isu dia sendiri, polis senior ada hal dia sendiri, tauke pembinaan ada konflik dia sendiri, anak tauke ada prinsip dia sendiri, pekerja asing dari Indonesia ada masalah dia sendiri. Masing-masing ada perkara yang mahu dikerja dan diselesaikan. Tidak semestinya yang baik dan betul itu akan menang dan yang jahat dan salah itu akan kalah, kerana itulah kehidupan.

5. Kritikan sosial yang sangat dalam

Jarang sebenarnya ada filem tempatan berbentuk kritikan sosial yang memaparkan sisi hitam perkara berkaitan kerajaan seperti pasukan keselamatan, pemimpin kerajaan, ahli politik dan sebagainya. Dalam filem Hollywood dan filem Tamil memang banyak, tapi bukan filem tempatan. Malah filem One Two Jaga ini pun aku tak yakin ia boleh ditayangkan sekiranya Malaysia masih dipegang oleh BN.

Bagusnya filem ini ia mengketengahkan isu yang berat dalam bentuk yang ringan. Isu tentang integriti anggota keselamatan dan penjawat awam, masalah rasuah yang membarah dari peringkat atas hingga bawah, konflik kekeluargaan biasa dalam masyarakat Melayu, masalah pendatang tanpa izin yang tiada kesudahan, masalah orang gaji yang lari dari majikan kerana didera, betapa manusia sanggup membuat apa sahaja demi untuk menyara kehidupan keluarga dan lain-lain lagi. Walaupun nampak pahit, namun itulah realiti.

* * * * * * * * * *

Sewaktu aku menulis review ini, filem ini mungkin sudah pun di penghujung-penghujung tayangan. Dah tak banyak pawagam siarkan, mungkin kerana kurang sambutan berbanding filem tempatan lain seperti Hantu Kak Limah dan Munafik 2, tapi aku harap siapa yang masih sempat tonton boleh pergi tonton, atau beli nanti kalau keluar DVD ke Blueray ke memandangkan aku difahamkan filem ini tidak akan disiarkan di Astro First.

Ramai orang berkata filem ini kurang mendapat sambutan kerana kurang marketing dan publisiti. Ya, mungkin ada benarnya juga kerana jarang kita nampak trailer filem ini di kaca TV, Astro dan di iklan-iklan media sosial. Kalau Astro Shaw yang terbitkan, mesti dah banyak kutipan sepertimana filem-filem lain terbitan Astro Shaw yang seringkali box-office kerana mereka banyak laburkan pada pemasaran dan pengiklanan.

Namun begitu pada aku faktor paling utama filem ini kurang sambutan adalah kerana ia bukan genre filem yang diminati ramai seperti cinta fantasi, aksi, hantu, seram komedi, gansgter dan rempit, serta tiada pelakon-pelakon kelas pertama yang popular dan ramai peminat serta pengikut. Ia hanyalah cerita fiksyen realiti yang berbentuk slice of life, dengan barisan pelakon yang tidak sepopular Fattah Amin, Zul Ariffin, Zizan, Aaron Aziz, Shaheizy Sam dan sebagainya. Buatlah marketing banyak mana pun, ia tetap susah nak dapat sambutan luar biasa.

Walaupun begitu aku harap para pembikin filem tempatan jangan serik dan jangan merajuk untuk menghasilkan filem-filem seperti ini macam Nam Ron cakap nak buat cerita porn, sebab perkara yang berkualiti ini memang susah untuk popular, dan perkara yang popular pula tidak semestinya berkualiti. Sebab itu tesis kajian tebal-tebal yang berkualiti tu pun lebih kurang dibaca berbanding novel cinta sampah. Sebab itu juga lebih ramai orang suka memviralkan benda bodoh dari menularkan benda yang ilmiah. Itu memang sudah ada dalam gene manusia.

Maka jangan berhenti berkarya. Jangan berhenti hasilkan karya yang berkualiti. Terus menjentik masyarakat dengan karya-karya yang ilmiah. Tak perlu terus bergantung harap pada penonton yang gemarkan hiburan-hiburan ringan dan tak berkualiti, kerana penonton yang mengharapkan hiburan yang ilmiah dan berkualiti pasti ada walaupun sedikit.

Apa-apa pun jom layan juga review dari brader-brader Hypoxia Syndicate ini.



P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ADRENALINE) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk5.






tags: review reviu ulasan filem movie film one two jaga arahan namron zahiril adzim

4 ulasan:

  1. Balasan
    1. Suwey btul ko nii..masa sama plk tuu..

      Nk royi..kikiki..🍞🍞

      Padam
  2. Ok..film tamil dh biasa dgn babak2 hitam pasukan polis..namron dh mcm denzel washnton aku tgk..kikiki..👮👮👧💂🕵

    BalasPadam
  3. Sep¡..apa kata ko buat mcm dulu noob..tinggalkn link diblog2 politik dn hiburan mcm ko buat dulu..🌹🏵🌺🌷💮🌸💐🌻🌱🍃🍃🍃🍁🍀☘🌿🌾🍂🌴🐝🐞🕷🐙🐜🐛🐌🐉🕊🕊🕊🐷

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.