Sabtu, 2 April 2022

0 Jangan sakiti orang lain jika tidak mahu disakiti

1. Aku bukanlah menyokong perbuatan merakam dan menularkan sesuatu insiden. Malah hal itu tak perlu dilakukan pun, andai semua masalah dalam dunia ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa ajak netizen jadi hakim.

2. Contohnya kau terlanggar kereta orang. Orang tu keluar kereta dan berjalan jumpa kau nak selesaikan baik-baik, tapi kau bersikap defensif dan maki hamun dia pula. Dia pun angin maki hamun kau balik. Lalu kau, dia, dan orang sekeliling masing-masing keluarkan handphone untuk rakam insiden tu dan upload kat media sosial.

3. Jadi kenapa orang rakam dan tularkan? Orang yang terlibat dengan insiden melakukannya biasanya kerana nak defend diri dan expose kesalahan pihak satu lagi. Manakala orang sekeliling rakam dan tularkan pula sebab nak expose behaviour buruk dan juga dijadikan content mereka.

4. Mungkin ada yang tanya, perlu ke rakam? Biasanya orang rakam adalah untuk dijadikan bukti. Benda kalau cakap mulut je susah nak percaya. Tapi kenapa kena tularkan? Sebab mungkin mangsa dah cuba minta pertolongan melalui cara yang betul tapi tak dapat bantuan dan pertolongan sewajarnya.

5. Sebagai contoh, seorang pekerja kena maki dan hina dengan bos dia. Dia dah cuba bawa isu ini ke pihak yang betul kepada pengurusan atasan tapi tak diendahkan dan tidak diambil peduli. Disebabkan terlalu tertekan, dia memilih untuk tularkan agar netizen menjadi hakim dan kes itu terus diambil tindakan.

6. Benda ni bukan benda baru. Sejak wujudnya phone ada kamera, Internet dan media sosial, ia lagi mudah dilakukan. Sebab itu boleh kata setiap masa ada sahaja isu yang viral seperti insiden pembuli jalanan maki pengguna jalan raya lain, isteri viralkan suami curang, wanita maki pekerja kedai, lelaki tengking pekerja drive thru, polis bantuan maki jiran, CEO dan bos syarikat maki hamun staff, pegawai kerajaan maki orang tua, pensyarah hina pelajar miskin, influencer hina gelandangan, dermawan hina orang miskin dan sebagainya.

7. Cuma benda-benda viral ni jangka hayatnya pendek. Waktu tengah meletup memanglah menjadi topik hangat di Internet dan sembang kedai kopi. Tapi selepas beberapa hari, orang sudah lupa dan move on ke isu lain pula. But still, damage has been done.

8. Ada orang cakap, orang zaman sekarang lembik, sikit-sikit nak viral. Orang zaman dulu kalau mereka kena, memanglah mereka tak viralkan sebab masa tu takde semua teknologi tu. Tapi apa mereka buat bila tak puas hati? Pergi calarkan kereta, pancitkan tayar, pecahkan cermin kereta, baling batu kat rumah, rosakkan harta benda dan sebagainya.

9. Kedua-dua benda ini sebenarnya benda yang tak betul. Orang yang menindas tak betul, orang yang membalas pun tak betul, malah netizen yang turut sama memaki hamun pun tak betul. Tapi benda takkan jadi kalau tiada yang mula. Semua perbuatan buruk pasti ada kesan dan akibatnya.

10. Cuma bila ada suatu isu yang viral, apa yang kita sebagai orang umum boleh buat, adalah mengambil iktibar dari isu tersebut. Yang buruk jadikan pedoman, yang baik jadikan teladan. Tidak perlulah setiap kali ada isu viral kita terus rasa defensif dan menepis tanpa melihat realiti yang disampaikan.

11. Andai kita sering menafikan realiti yang berlaku, maka sama lah seperti kita balik ke zaman tok nenek moyang kita. Jika kita disakiti, ditindas, dianiaya, diherdik, dihina, direndah-rendahkan, kita tak boleh mengadu, meluah, melawan dan menunjuk kebenaran. Orang yang ada pangkat, status dan darjat yang tinggi akan terus terbela. Kita pula terpaksa simpan dan pendam sahajalah dalam hati. Malahan kita pula yang akan dipersalahkan dan dilabel sebagai kaki report, lemah, manja dan sebagainya.  

12. Walau banyak mana pun kita bagi nasihat, tulis peringatan dan sebagainya, kita tak mampu kawal perbuatan orang lain. Kita tak mampu nak kawal orang dari rakam dan viralkan sesuatu. Tapi apa yang kita mampu, adalah kawal perbuatan dan tingkah laku kita.

13. Maka kalau kita jaga setiap perbuatan dan kelakuan kita, jaga lisan dan tutur kata kita, hormat sesama insan lain, sentiasa melayani orang lain dengan sikap yang baik, insya Allah, aib dan kelemahan kita akan terpelihara dari dirakam dan ditularkan untuk dihakimi netizen.

14. Paling penting, jangan menyakiti, menindas, menganiaya dan push orang lain sampai ke limit mereka. Orang yang kita tengok paling baik pun ada had mereka. Jika kita kita push mereka sehingga melampaui batasan, mereka mungkin akan balas dalam keadaan yang kita tak sangka. Waktu itu, tiada siapa yang kita boleh salahkan melainkan diri sendiri.

15. Formulanya mudah. Jangan menyakiti orang lain andai kita sendiri tidak mahu disakiti.

Sekian, dan selamat menyambut bulan Ramadhan.

 

P/S: Mohon rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):






tags: isu rakam viral jangan sakiti orang lain jika tidak mahu disakiti maki hina tindas aniaya maki hina


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.