Sabtu, 12 Januari 2019

8 Warkah untuk insan bernama Bapa

Bapa...

Hubunganku dengan bapaku tidaklah begitu rapat.
Dari kecil lagi kami agak jarang bercakap.
Bapaku memang jenis pendiam, selalunya akan bercakap bila perlu sahaja.
Walaupun mukanya nampak garang dan tegas, tapi seingat aku dia jarang marah padaku, pada anak-anaknya, pada ibuku.

Akan tetapi disebabkan aku masa kecil agak nakal sedikit, walaupun bapaku jarang marah, sesekali berbirat juga punggung aku kena libas tali pinggang.
Antara memori yang aku tak dapat lupa sampai sekarang masa aku darjah 5. Aku terkantoi curi duit ibu bapaku untuk beli video game. Sudahnya video game aku berkecai kena hempas bapaku atas lantai. Sejak itu kenakalan aku berkurangan sedikit dan jadi lebih rajin belajar demi untuk menyaingi abangku dan mahu kedua ibu bapaku berbangga denganku.


Aku mula berjauhan dari keluarga, dari bapaku, bermula dari Tingkatan 1 apabila menjejakkan kaki di sekolah berasrama penuh.Walaupun emosinya tak tertunjuk di wajahnya, namun aku tahu dia sangat ambil berat pada aku, pada anak-anaknya.

Setiap kali ibu bapaku datang melawatku di sekolah, mereka akan bawakan makanan kegemaranku.
Setiap kali aku telefon ibu bapaku untuk memberitahu mereka yang aku perlukan duit, bapaku akan masukkan duit ke dalam akaun bankku.
Setiap kali aku mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan, bapaku akan membelikanku hadiah.

Ketika aku melangkah ke universiti juga, walaupun semakin jarang bersua muka, bapaku tidak akan lupa bertanyakan khabar pada anaknya. Bertanya tentang makan minumku, tentang tempat tinggalku, tentang wang sakuku, tentang pelajaranku. Walaupun aku agak degil tidak dapat memenuhi impian bapaku untuk mengikuti jejak langkahnya menjadi seorang jurutera, namun aku dapat juga menghadiahkannya segulung ijazah dalam bidang yang lain.

Tamat sahaja pengajian, bapaku sering menjadi rujukan bagaimana untuk mengharungi alam dewasa. Bagaimana untuk mencari pekerjaan, mahu menduduki temuduga, mahu sewa rumah, mahu membeli kenderaan, mahu memperbaharui cukai jalan, mahu membeli rumah, mahu berkahwin, mahu buat pinjaman peribadi dan seribu satu perkara lagi. Pendek kata, banyak urusan dunia yang aku bergantung pada bimbingan dan pertolongan bapaku sehinggalah aku pandai berdikari untuk menguruskannya sendiri.

Berbeza dengan ketika aku di zaman kanak-kanak dan remaja, semakin dewasanya aku, semakin banyak perkara yang dapat aku bualkan dengan bapaku. Dari hal pekerjaan, isu semasa, politik, kekeluargaan, kehidupan dan sebagainya. Mungkin kerana bapaku lebih suka bercakap tentang hal orang dewasa, maka dia lebih selesa untuk berbual denganku apabila mindaku sudah dewasa. Mungkin kerana itu juga sikap dan pemikiran aku sedikit sebanyak dipengaruhi oleh bapaku.

Beberapa tahun yang lepas, bapaku bersara setelah menghabiskan lebih 30 tahun bekerja. Bapaku kemudiannya tinggal di rumahnya bersama ibu serta beberapa adik-beradikku. Bapaku ketika dia masih bekerja memang jenis kuat dan rajin, membuatkan dia tak boleh duduk diam walaupun selepas bersara. Bapaku rajin berkebun dan membuat kerja rumah, membantu perniagaan abangku, rajin menjaga cucu-cucunya, aktif dengan aktiviti dan program di surau dan lain-lain lagi.

* * * * * * * * * *

Lima hari yang lepas...
Bapaku pulang dijemput Ilahi pada Subuh hari...

Kematian ini, tidak kira betapa banyaknya persediaan kita, apabila tiba masanya, kita pasti tidak akan bersedia.

Sesungguhnya pemergiannya sangat mengejutkan kami sekeluarga, kerana bapaku tidak mempunyai sebarang penyakit berat. Malah sehari sebelum pemergiannya, bapaku masih aktif berkebun di halaman rumah.

Namun, Allah lebih menyayanginya, dan kami sekeluarga redha dengan pemergiannya.

Aku, mengenali bapaku sebagai seorang bapa...

Namun aku tidak pernah mengenali bapaku sebagai seorang sahabat, seorang saudara, seorang pekerja, seorang ketua, seorang pensyarah dan seorang anggota masyarakat.

Aku berasa amat terkejut dan terharu apabila begitu ramai orang dari saudara mara, jiran tetangga, rakan sekolah rendah, rakan sekolah menengah, rakan universiti, bekas rakan sekerja, bekas anak murid, ahli surau datang melawat untuk menemani saat-saat akhir hayat bapaku di dunia ini. Surau yang biasanya hanya dua saf di waktu Zohor, penuh sehingga luar untuk bersolat jenazah.

Itulah kali pertama dan terakhir aku melihat tubuh dan wajah bapaku kaku tidak bernyawa.
Itulah kali pertama dan terakhir aku memandikan jenazah bapaku.
Itulah kali pertama dan terakhir aku mengkafankan jenazah bapaku.
Itulah kali pertama dan terakhir aku bersolat untuk jenazah bapaku.
Itulah kali pertama dan terakhir aku menurunkan jenazah bapaku ke liang lahad.
Itulah kali pertama dan terakhir aku mengkambus tanah menutupi lubang kubur bapaku.
Itulah pengalaman kali pertama dan terakhir menguruskan jenazah bapaku yang pasti akan terpahat dalam ingatanku sampai bila-bila.

Selesai semua urusan, aku menjenguk akaun Facebook bapaku.
Di situ juga penuh dihujani ucapan takziah dan doa dari saudara mara dan rakan-rakan bapaku.
Ada sahabat yang bercerita tentang hubungan persahabatannya dengan bapaku.
Ada bekas rakan sekerja yang bercerita tentang sifat dan perwatakan bapaku yang pendiam, suka senyum dan disenangi orang sekeliling.
Ada bekas anak buah yang menceritakan pengalaman kerjanya dengan bapaku, ada bekas anak murid yang berterima kasih kepada bapaku kerana banyak membantu dan memahami masalahnya ketika bapaku menjadi pengajarnya.

Aku sebagai anak, yang hanya kenal bapa aku sebagai seorang anak, tidak pernah tahu sisi lain bapaku, bagaimana bapa aku di mata orang lain. Membaca semua coretan-coretan itu, tidak mampu untuk aku melawan rasa sebak.
Bukan hanya sebak kerana bapaku sudah tiada, malah sebak memikirkan diriku yang tidak mampu mewarisi sifat baik bapaku.
Sebak kerana merasakan diriku tidak mampu mewarisi ketokohan dan kewibawaan bapaku.
Sebak kerana merasakan tidak mampu menjadi seperti mana yang bapaku harapkan.
Sebak kerana tidak mampu untuk menjadi sepertimu.

Suatu ketika dahulu, tatkala kita baru dilahirkan, ibu bapa kita menyambut kelahiran kita dengan sangat gembira, pakaikan kita dengan baju yang cantik dan comel.
Bila tiba masa ibu bapa kita pergi dahulu, kita menguruskan kematian ibu bapa kita dengan hati yang sangat berat dan sedih, dan hanya memakaikan mereka dengan kain putih sahaja.
Sebab itu selagi ada peluang, selagi ibu bapa masih hidup, berbaktilah pada kedua orang tua kita. Gembirakanlah hati mereka, selagi mereka dan kita masih mampu lagi untuk gembira.

Begitulah kehidupan...

Kita, seringkali mendengar cerita buruk tentang anggota masyarakat kita, namun hakikatnya anggota masyarakat kita jugalah yang sebenarnya banyak membantu dan melancarkan pelbagai urusan seharian kita duniawi dan ukhrawi.

Oleh itu saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang telah terlibat dalam membantu menguruskan jenazah bapa saya, dari pegawai perubatan yang mengesahkan kematian bapa saya, anggota polis yang memberi panduan apa yang perlu dibuat, ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, para sahabat, tok imam, ahli jawatankuasa surau, pengurus jenazah, tukang penggali kubur dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam urusan fardhu kifayah ini.

Saya juga, dengan rasa rendah diri, ingin memohon doa dari sahabat semua untuk arwah bapa saya.

Semoga ibadah dan amal jariah arwah bapaku sepanjang hayatnya di dunia diterima dan menjadi bekalan di akhirat.
Semoga arwah bapaku ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan menjadi penghuni syurga-Mu.
Dan semoga kita semua, diberikan pengakhiran yang baik.

Amin.




8 ulasan:

  1. Balasan
    1. Nahh..🍘🍫🍪🍪

      Padam
    2. Bisjut kepala bapak ko. Hanat

      Padam
  2. Bisjut hatuk kamu

    BalasPadam
  3. Noob..ada masa tonton video hebatt nii..



    https://youtu.be/ixJgY2VSct0

    BalasPadam
  4. semoga arwah ditempatkan dikalangan yg beriman.. amiinn

    BalasPadam
  5. Oh,baru perasan,noob baru kehilangan bapa tercinta.😩😟😞😖🙁☹😭

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...