Isnin, 19 Ogos 2024

0 Berbakat dan rajin adalah sumpahan di tempat kerja

1. Kawan aku Jamil (bukan nama sebenar), aku kenal dia masa zaman U lagi. Kat U dulu lagi, dia memang seorang yang gifted. Masa orang baru nak belajar apa itu komputer, dia dah tahu buat programming. Dia selalu jadi pakar rujuk. Orang selalu minta tolong buat assignment dan projek. Kalau ada tugasan berkumpulan, berebut orang nak satu kumpulan dengan dia. Antara kawan-kawan satu batch, aku yakin dia antara orang yang ada masa depan yang cerah dalam bidang IT.

2. Lepas grad dulu, dia kerja 5 tahun di swasta. Fast forward, dia sekarang dah 15 tahun kerja IT dalam kerajaan. Kenapa dia minta kerja kerajaan? Dia cakap nak berkhidmat untuk negara. Lagipun dia dapat biasiswa dulu jadi nak bagi sumbangan semula pada kerajaan. Tapi setiap bila aku jumpa dia, jarang tengok dia happy, selalu nampak murung. Dalam group Whatsapp kami selalu dia diam, bila bersuara mesti akan luahkan tentang masalah kerja.

3. Dia pernah cakap, jadi orang gifted, rajin, baik dan bertanggungjawab dalam kerja gomen ni adalah satu cursed. Kami yang lain yang dari U selalu rasa nak jadi macam dia, tapi dia cakap benda tu cursed pulak. Kerja gomen ni dia cakap, siapa yang paling tahu buat kerja, yang rajin, yang baik hati, yang rasa bertanggungjawab, orang itu lah yang akan dicampak dan dilambakkan segala-gala macam kerja.

4. Sudah lah kerja hakiki teknikal IT dia kena buat, dia la kena jaga operasi, dia la kena tolong buat coding, dia jugak la kena masuk meeting, kena menjawab dengan pihak atasan, kena lantik jawatankuasa itu ini, kena jadi setiausaha catat minit, kena buat paperwork, kena buat kontrak, kena mengajar orang, kena jadi tempat rujukan dan macam-macam lagi kerja di luar tugas hakiki.

5. Kalau team dia ada 10 orang, yang betul-betul boleh diharap hanya 2 orang. Jadi kebanyakan masanya balik-balik 2 orang tu je yang dilambakkan dengan pelbagai kerja, sebab 2 orang tu je yang boleh diharap, yang ada kepakaran, yang tahu apa nak kena buat, yang rajin, yang ada rasa bertanggungjawab. Yang lain semua, baik bos ke, pegawai yang setara ke, anak buah ke, bila ada apa-apa isu atau insiden ke, kebanyakannya akan clueless, senyap, tak bersuara, hanya tahu mengarah, atau tunggu arahan je baru nak buat. Sampai kadang-kadang tu macam dia seorang je yang carry seluruh department dia, kalau tak department dia nampak tak berfungsi.

6. Jadi kalau orang yang bagus dan buat banyak kerja ni, mesti orang fikir gaji dia akan dapat lebih, dapat bonus lebih, dapat elaun lebih, cepat naik pangkat, selalu dapat anugerah pekerja cemerlang (APC), kan? Nope. Kerja gomen ni, kau rajin ke, kau malas, bagus, tak bagus, hebat, tahu apa-apa, kuat mengular, selalu hilang, boleh diharap, tak boleh diharap, kerja banyak, kerja sikit, kuat cuti, selalu MC, takde apa-apa perbezaan pun dari segi gaji, kenaikan gaji, kenaikan pangkat, elaun, bonus dan anugerah. Takde beza.

7. Kau boleh kerja macam orang gila, manakala orang sebelah kau kerja relaks hari-hari scroll TikTok kat ofis, takde impak dan kena apa-apa pun. Gaji, pangkat, semua sama, yang beza kerja dan tanggungjawab kau akan jadi lebih banyak. Setiap kali bila ada bonus/bantuan kewangan khas atau kenaikan gaji tahunan pun, sama je nilainya yang semua orang dapat, tak kisah apa prestasi kau.

8. Nak naik pangkat? Berbeza dengan skim perkhidmatan lain yang kebanyakannya ada time-based, cukup masa akan naik pangkat tanpa kira kekosongan. Skim IT ni pula antara beberapa skim yang suck dan dianaktirikan dalam perkhidmatan awam. Kawan aku walau dah kerja 15 tahun pun masih stuck kat gred 44. Kawan-kawan dia yang lain ada yang dah kerja lebih 20 tahun pun masih stuck gred 44. Skim lain kalau 20 tahun kerja tu ada yang dah gred 48, 52 dan 54 dah.

9. Skim IT ni dia macam skim piramid. Jawatan kat bawah banyak, tapi tapi jawatan kat atas semakin sikit. Kalau nak naik, kena ikut kekosongan jawatan di atas. Sudah lah jawatan atas tu sikit, nak bagi kosong kena tunggu orang atas tu naik dulu atau bersara atau mati, nak naik pula kena ikut batch, tak pandang pada prestasi kerja pun. Kalau ada seseorang tu bagus gila pun, tapi pegawai lain yang tak tahu apa akan naik pangkat dulu sebab batch lebih awal. Itu yang ramai yang jadi bos-bos dalam gomen ni macam haprak, jelek, annoying, irritated, sebab bagus atau tak bagus, lambat laun mereka akan jadi bos juga walau tak layak.

10. Bila department dapat bos baru je, kadang apa yang bos baru mampu fikirkan untuk nampak membuat perubahan dan transformasi, adalah reorg. Balik-balik reorg, macam tak boleh fikir idea baru. Kerja IT ni pulak kritikal dan memerlukan kepakaran khusus dalam suatu bidang, bukan semudah kau nak reorg macam kerja pentadbiran. Last-last yang jadi mangsa kena campak, pindah sana sini, ditambah skop kerja, adalah orang yang bagus dan boleh buat kerja.

11. Nak dapat penghargaan macam APC? Last dia dapat 10 tahun lepas. Lepas tu dia dah tak dapat, alasannya sebab ramai lagi yang tak dapat, bagi la peluang kat orang lain. Kalau yang dapat tu memang bagus takpe juga. Ini yang tak bagus, yang hampeh, yang tak buat kerja, yang tak tahu apa pun boleh dapat APC. Sebabnya dia selalu terlibat dengan sukan (which is tak penting dan selalu hilang orang lain kena cover kerja dia), selalu teman bos makan tengahari, rajin terlibat aktiviti potluck kat department. Pelik, sangat pelik.

12. Nak melawan bos sangat pun tak boleh, sebab at the end, yang menilai dan bagi markah pada LNPT akhir tahun adalah bos yang jadi pegawai penilai pertama dan kedua. Kadang kau bagus macam mana pun, tapi sebab bos sendiri dapat markah rendah, dia pun bagi markah lebih rendah kat kau, dengan alasan markah kau tak boleh lebih tinggi dari dia. Nak minta tukar? Pun sama je, sebab budaya kerja gomen kat mana-mana pun banyak yang sama je. Keluar mulut buaya, masuk mulut harimau. Bos kat tempat lama dah macam celaka, masuk tempat baru silap-silap dapat bos lagi celaka. Akhirnya, kau bagus macam mana pun, bos takkan pandangan dan hargai. Di mata dia, kau hanyalah sekadar seorang pekerja rajin, bagus, patuh, tak melawan, yang boleh dipergunakan.

13. Orang yang bermasalah pula, paling tidak hukumannya adalah ditukarkan kat tempat lain. Jadi kebarangkalian untuk suatu department kerajaan tu terima orang baru yang bermasalah adalah besar. Kita biasa bila nak pekerja baru mestilah nak yang bagus, tapi dapat pula orang yang bermasalah yang ditolak dari jabatan lain. Jadi kitarannya sama sahaja dari dulu sampai sekarang, tak pernah berubah.

14. Aku kadang kesian dengan Jamil, tapi tak mampu nak buat apa-apa. Mungkin orang yang kerja gomen yang berada sama macam situasi Jamil akan faham. Sebagai sahabat, aku hanya mampu mendengar sahaja luahan dia. Sebab kadang mudah untuk aku bagi cadangan dan nasihat, tapi yang menghadapnya adalah dia sendiri. Semoga kau baik-baik sahaja, Jamil.

Sekian.



P/S: Mohon rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):






tags: pekerja gomen kerajaan penjawat awam rajin pandai berbakat gifted sumpahan cursed tempat kerja ofis pejabat

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.