Jumaat, 10 Mei 2019

1 Ulang tahun pertama Kerajaan PH suatu penilaian

1. Semalam merupakan hari ulang tahun pertama Pakatan Harapan menjadi kerajaan Malaysia selepas memenangi PRU14 pada 9 Mei 2018, dan juga ulang tahun pertama Barisan Nasional menjadi pembangkang selepas kalah pilihan raya buat pertama kali.

2. Tiga faktor utama yang menjadi asas kepada titik perubahan setahun yang lepas adalah faktor isu yang berkaitan DS Najib, faktor nostalgik Tun Mahathir dan faktor janji-janji PH.

3. Sebaik kekalahan BN pada PRU14, mereka terduduk dan buntu dalam beberapa bulan. Namun kini BN kembali popular, bukan disebabkan oleh BN dan UMNO itu sendiri tetapi kerana faktor Najib dan sokongan PAS.

4. Tun Mahathir pula, yang sebelum ini ramai orang simpati atas segala tindakan yang dikenakan kepadanya oleh kerajaan Najib, tambahan pula ramai yang menggamit kenangan dan bernostalgia rindu zaman Tun M, kini menunjukkan belangnya sama seperti ketika beliau menjadi Perdana Menteri ke-4.


5. Melayu sering dikritik, penjawat awam tidak diambil hati, rakyat sering dipersalahkan, pergeseran dengan institusi beraja, penswastaan agensi kerajaan, projek kereta nasional dan lain-lain benda sama berulang kembali. Yang kita rindu zaman tu mungkin sebab ada KLCC, litar Sepang, Putrajaya, Multimedia Super Coridor, selain dari tu takde apa nak dirindui, kalau boleh nak lupakan dah.

6. Manakala janji-janji PH pula, rasanya ramai pun dah terpedaya dengan janji dan isu yang sering mereka bangkitkan sebelum ini seperti mansuh tol, PTPTN, turun harga minyak, pertambahan peluang pekerjaan, pengurangan pendatang asing, tutup Lynas dan sebagainya. Jadi bila banyak yang rupanya tidak dapat dipenuhi, ramai pengundi rasa tertipu dan kecewa.

7. Mungkin kejayaan yang boleh dibanggakan sedikit adalah dengan menghadapkan Najib ke mahkamah untuk membicarakan kes 1MDB, SRC dan sebagainya. Selain dari itu, tiada apa yang nak dibanggakan sangat. Banyak benda cuma tukar nama dan dijenamakan semula je. Ekonomi pun tak berapa nak cantik lagi sejak PH mentadbir kerajaan, seperti yang dilaporkan oleh media ekonomi antarabangsalah, bukan dari page FB media murahan ye.

8. Sudahlah berita kejayaan kurang didengar, macam-macam isu yang kurang enak didengar pula yang seringkali timbul seperti kes Adib, UEC, ICERD, Statut Rom, ECRL, MRT, K-Pop dan sebagainya. Menteri pun satu, ramai yang buat keputusan dan bagi kenyataan entah apa-apa. Malah apa yang mereka mengata pada pemimpin kerajaan lama, mereka pun buat juga. Dulu pijak semut pun tak mati, sekarang nak dekat pun susah, ada yang sombong, tak mesra, tak kelakar. DS Najib yang dulu sikit punya ramai orang benci, sekarang dia pula jadi kelakar dan disukai ramai.

9. Malah sekarang ini yang banyak serang kerajaan PH, bukannya penyokong atau cybertrooper BN, bukan ahli pembangkang, bukan juga pemimpin UMNO, MCA, MIC dan PAS pun, tapi dari mantan PM iaitu DS Najib sendiri. Kalau dulu ramai orang jadi cyber trooper tak berbayar di media sosial untuk turunkan BN dan menangkan PH. Hari ini kebanyakannya dah masuk gua.

10. Jadi bila PH kena serang, tak ramai warganet dah nak pertahankan. Mungkin mereka sudah rasa bosan, malu dan kecewa. Sedangkan pemimpin kerajaan pun macam tak nak membalas serangan dari DS Najib, warganet biasa ni lagi lah malas nak balas. Jadi boleh nampaklah sokongan kepada DS Najib ni semakin meningkat manakala sokongan kepada kerajaan PH semakin merudum. Tak perlu buat bancian, soal selidik apa bagai, bandingkan je reaksi dari page FB DS Najib dengan page FB Tun Mahathir, Syed Saddiq, Lim Guan Eng, Dr. Mujahid dan yang sewaktu dengannya.

11. Cuba kalau menteri-menteri ni membalas balik setiap hantaran media sosial DS Najib, sekurang-kurangnya dapat lah mereka bagi penjelasan dan pertahankan diri sendiri. Ini kat FB, Twitter mereka masih penuh dengan hantaran syok sendiri je. Kalau tengok FB menteri-menteri kerajaan lama, ha macam tu lah rupanya, penuh dengan status syok sendiri.

12. Dulu pemimpin kerajaan lama selalu dilihat dengan gaya hidup mewah sehingga timbul rasa prejudis di kalangan rakyat. Bila beberapa pemimpin kerajaan lama kena dakwa di mahkamah dan harta disita, ramai yang bersorak. Jadi ramai yang berharap pemimpin kerajaan baru ni jenis yang bersederhana, tawadduk dan zuhud. Sekali bila keluar perisytiharan harta menteri-menteri kabinet, nah, masing-masing ada aset berjuta-juta, gaji puluh ribu sebulan.

13. Jadi apa bezanya? Takde beza. Politik memang hanya untuk orang kaya-kaya. Rakyat selama ini percaya mereka berjuang menaikkan orang-orang ini agar nasib mereka berubah, hakikatnya kita hanya berjuang agar mereka yang sudah kaya ini untuk bertambah kaya sahaja.

14. Akhir kata, sempena satu tahun Malaysia Baharu, aku bagi markah 2/10 kepada kerajaan baru. 2/10 tu kira OK lah untuk tahun pertama. Kalau tahun depan bagus, naik 4/10. Tahun seterusnya 6/10, sehinggalah tahun ke-5 10/10. Itu pun kalau makin baguslah. Kalau tak mungkin kekal 2/10 atau makin menurun. Takpe, kita bagi lagi masa. Masih ada 4 tahun lagi.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.


https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: penilaian ulang tahun pertama kerajaan ph pakatan harapan malaysia baharu 

1 ulasan:

  1. Moga 4 tahun yang berbaki ini memperlihatkan lebih banyak kebaikkan bukan kepincangan..dan tidak hanya tangan-tangan yang memilih iaitu rakyat asyik dipersalahkan.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.