Jumaat, 3 Mei 2019

1 Kata-kata yang sama, penutur yang berbeza

1. Ibuku pernah berpesan, bila dah ada duit tu berjimatlah sikit dalam berbelanja dan buatlah simpanan untuk masa depan.

2. Guruku pernah berpesan, syukurlah dengan apa yang ada, jika kita rasa susah pasti ada yang jauh lebih susah dari kita.

3. Kawanku pernah berpesan, biarlah gaji kecil asalkan ada pekerjaan dan dapat peroleh rezeki yang halal.

4. Seorang pakar motivasi pernah berkata, selepas tamat belajar jangan memilih sangat kerja, sebaliknya buatlah kerja apa-apa pun dulu untuk cari rezeki dan timba pengalaman.


5. Seorang ustaz pernah berpesan, janganlah kita melakukan kejahatan dan jauhilah segala bentuk maksiat.

6. Seorang perekacipta pernah berkata, dia bercita-cita mahu mencipta sebuah kereta yang boleh terbang.

7. Seorang ahli perniagaan pernah berkata, dia mengimpikan untuk menaja dan membawa pemuzik luar negara untuk mengadakan persembahan di Malaysia agar jenamanya dapat diperkenalkan di seluruh dunia.

8. Seorang ahli ekonomi pernah berkata, lambakan pekerja asing di negara kita adalah disebabkan ramai warga tempatan tidak berminat untuk bekerja dalam sektor 3D (Dangerous, Dirty & Difficult).

9. Semua pesanan dan kenyataan ini apabila kita dengar, kita akan terima dan tidak akan membantah sangat, pertama kerana kata-kata itu ada benarnya, dan kedua kerana orang yang menuturnya adalah seseorang yang kita kenal, hormat dan ahli kepada apa yang dituturkan.

10. Sekarang, bayangkan pula yang menuturkan kata-kata itu adalah orang lain.

11. Seorang CEO syarikat besar menyarankan orang ramai agar berjimat dalam berbelanja dan buat simpanan. Orang jawab, kaya boleh la suruh jimat, cuba jadi miskin tengok, nak hidup pun susah apatah lagi nak menyimpan.

12. Seorang selebriti popular menasihatkan orang ramai agar bersyukurlah dengan apa yang ada. Orang balas, artis duit banyak boleh la cakap. Cuba kalau gaji RM1,000 sebulan tengok syukur tak syukur.

13. Seorang anak menteri berpesan, carilah kerja apa pun walaupun gaji kecil daripada hidup menganggur. Orang berkata, cuba potong gaji bapak kau bagi gaji kecil sanggup tak sanggup?

14. Seorang ahli politik berkata, jangan memilih sangat kerja, carilah kerja apa-apa untuk timba pengalaman. Orang jawab, bagi lah jawatan kau kat kami, kata jangan memilih kerja.

15. Seorang pesalah rasuah memberi nasihat, jangan buat benda jahat, jangan buat kerja tak elok. Orang kata, kau tak payah nak sembang acah-acah baik, kau pun teruk nak bagi nasihat konon.

16. Seorang menteri mahu memperkenalkan sebuah kereta terbang keluaran tempatan. Orang membalas, otak menteri ni dah takde idea lain ke, asyik nak merepek je. Mula-mula kereta terbang, lepas tu tol terbang.

17. Seorang menteri mahu berusaha membawa artis popular luar negara mengadakan konsert di Malaysia agar ramai pelancong luar negara datang untuk menyaksikan konsert tersebut. Orang jawab, menteri otak hiburan, hedonisme. Baik tolong artis tempatan dari tolong artis luar.

18. Seorang pemimpin negara berkata, lambakan pekerja asing di negara ini berpunca dari sikap rakyat sendiri tidak berminat bekerja dalam sektor 3D. Orang kata, tak habis-habis nak salahkan rakyat. Cuba kau kerja kat sektor 3D tengok sanggup tak sanggup?

19. Kata-kata yang sama, penutur yang berbeza. Tahap penerimaan kita terhadap suatu kata-kata adalah bergantung kepada siapa yang berkata. Kita sering menilai suatu kata-kata berdasarkan orang yang menutur. Orang yang kita suka, kenal, rapat, hormat, cakap apa pun kita akan terima. Orang yang kita benci, tak berapa rapat, cakap apa pun kita susah nak terima. Kita akan ketawa bila kawan baik kita bahan kita, tapi kita akan marah bila orang yang tak rapat bahan kita.

20. Begitulah lumrah manusia. Bukan salah penutur, bukan salah pendengar. Ia memang sudah ada dalam diri manusia. Sebab itu kalau kita nak tuturkan sesuatu terutama pemimpin dan ahli politik, kena pandai baca sentimen dan menjangkakan respon serta tahap penerimaan masyarakat yang mendengar. Walaupun benda tu nampak kecil dan biasa, silap-silap boleh jadi isu besar dan mencipta kontroversi.

21. Rakyat tidak suka mendengar alasan. Rakyat tidak suka dipersalahkan. Rakyat cuma mahu dengar benda-benda baik sahaja daripada kerajaan. Jadi kalau nak sampaikan sesuatu yang pahit, sebaiknya gunakan proksi. Biar orang lain yang lebih dekat dan dihormati masyarakat bercakap. Biar mereka yang ahli dan ada kelayakan dalam suatu bidang yang bercakap. Ini bila menteri bertaraf SPM bercakap hal yang besar, orang nak terima pun susah.

22. Lagipun orang politik mana ada kredibiliti. Kalau ada yang masih percaya cakap ahli politik memang malanglah.


Baca juga artikel berkaitan:


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.


https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: kata nasihat pesanan teguran pandangan kenyataan sama penutur respon maklum balas berbeza

1 ulasan:

  1. Sekarang ni zaman generasi 'the most educated and yet the most underpaid' . Keluar duit banyak atau berhutang puluhan ribu utk belajar tinggi2, last2 disuruh buat kerja 3D drp menganggur sbb job yg setara dgn kelayakan tu terhad dan saingan bertambah sengit, kekuatan ekonomi negara tak stabil. Masalahnya, bila ada di kalangan mereka yg apply utk buat kerja2 3D tu, majikan sendiri yg tak mahu employ dorang sbb tengok kelayakan dorang ada ijazah sarjana muda, sarjana bagai. Ada majikan yg mmg prefer nak ambil warga asing sbb boleh bayar gaji atau upah yg lebih rendah. So? Nak salahkan rakyat lebih2 sgt bab mslh pengangguran ni tak adil juga la. Lepas tu, bila ada di kalangan diorang yg jd grab drivers, jual nasi lemak tepi jalan, pun kena sound juga. Pendapatan perlu dicari, hidup perlu diteruskan. Masalah ni bukan one direction saja. Bukan semua org boleh bernasib baik apply saja apa2 kerja terus diterima oleh majikan walaupun dilihat layak pada mata kasarnya. Buka mata, buka fikiran.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.