Selasa, 30 Oktober 2018

9 Kehidupan kita bukan tanda aras kepada orang lain

“Be nice to nerds. Chances are you may end up working for them.” dipetik dari Charles Sykes, penulis buku “50 Rules Kids Won’t Learn in School”.

Tular di media sosial satu luahan hati dari seorang bekas mangsa buli dan ejekan ketika di zaman sekolah yang kini sudah pun menjadi pelatih doktor merasa puas apabila melihat orang yang pernah membulinya kini bekerja sebagai pengawal keselamatan menjaga tempat letak kereta di hospital tempat dia menjalani internship.

Status ini turut disokong oleh orang lain dengan mengatakan budak-budak yang dipanggil nerd dulu, sekarang ini lah yang menjadi harapan apabila besar nanti. Yang glamour, famous, nakal ni takkan jadi apa-apa atau sekadar biasa-biasa sahaja.

Persoalannya... benarkah?


Mungkin ada sedikit kebenarannya namun tidak semestinya betul.

Tahukah anda, tidak semua yang budak nerd, skema, sikat rambut belah tepi, end up akan jadi doktor atau lebih berjaya dari budak yang nakal di sekolah?

Tahukah anda, tidak semua budak yang nakal, kaki buli, samseng ketika di sekolah, kaki fly lompat pagar beli rokok, end up akan jadi pengawal keselamatan atau kurang berjaya dari budak yang skema di sekolah?

Aku masa sekolah kira dalam kategori nerd. Pernah juga kena buli, disuruh basuh baju, kena pow beli makanan, selalu kena ejek, kena nganjing dan lain-lain peristiwa hitam terutama ketika di sekolah menengah asrama yang aku tidak mahu ingat.

Sekarang, walaupun aku dah ada kerjaya, ada kehidupan sendiri, tapi nak rasa aku lebih berjaya dari orang-orang lain di sekolah aku tidaklah sesekali. Malah aku perhatikan ada je orang lain yang dahulunya nakal dan suka buli orang, kini jauh lebih berjaya dari aku.

Ada yang kerja makan gaji berpangkat tinggi, ada yang kerja di pelantar minyak dengan gaji puluhan ribuan ringgit, ada yang sudah ada empayar syarikat sendiri, ada yang sudah berkeluarga besar, ada yang sering melancong ke luar negara, malah ada juga yang dahulunya sangat nakal pernah pukul orang kini kopiah tak lekang dari kepala.

Aku bukanlah nak menyokong perbuatan nakal dan buli mereka ketika sekolah. Perbuatan itu memang kita kena kecam, cegah dan larang sama sekali. Aku yang pernah menjadi mangsa buli tahulah perasaan kena buli tu macam mana. Malah ada orang yang sampai sekarang pun aku masih mengelak untuk jumpa mengenangkan perangainya yang tak berubah-ubah masih suka mengejek dan mengungkit cerita lama.

Namun untuk kita rasa kita lebih berjaya dari orang lain, rasa darjat kita lebih tinggi dari orang lain, hanya kerana kita rasa kehidupan kita kini lebih baik dari orang lain, bagi aku itu sudah salah sama sekali. Sama ada pembuli itu akan gagal atau berjaya dalam kehidupannya akan datang, itu adalah rezeki dan takdir masing-masing.

Dia berjaya atau gagal tiada kaitan dengan hidup kau. Jangan jadikan kejayaan dia sebagai penyebab kepada kekecewaan dan kemurungan hidup kau. Jangan jadikan juga kegagalan dia sebagai pemangkin kepada ketakburan dan keegoan kau. Sebab dia pun dah lama move on dan tak peduli pun dengan hidup kau, kenapa kau masih nak hidup diekori bayang-bayang dia? Serius tak berbaloi.

Kalau bekas pembuli aku tu berjaya dalam hidup, aku tak peduli, tak rasa cemburu, tak rasa dengki, tak rasa sakit hati. Aku cuma... langsung tak peduli. Tapi kalau bekas pembuli aku tu gagal dalam hidup, aku tiada rasa puas mahupun gembira, malah aku rasa kasihan. Aku cuma berharap perangainya sudah berubah dan dia akan memperoleh kehidupan yang lebih baik.

Walaupun orang itu mungkin pernah menyakiti kita waktu kita kecil dulu, kenapa kita pula mahu berasa puas dan gembira apabila melihat dia jatuh? Kenapa kita perlu melihat keadaan dia sekarang dalam keadaan hina? Dia mungkin keji pada suatu masa dahulu, kenapa kita pula kini mahu jadi seorang yang keji? Maka apa beza kita sekarang dengan dia pada masa silamnya?

Mungkin orang itu sudah berubah, malah berubah lebih baik dari kita, siapa tahu?
Kita, mungkin sudah berjaya dapat pekerjaan yang lebih baik, tapi dia mungkin ada isteri dan anak yang lebih baik?
Kita, mungkin berjaya memperoleh pendapatan yang lebih banyak, namun dia mungkin punya lebih banyak masa bersama keluarga dan untuk beribadat?

Dan bercakap tentang kejayaan, pertama sekali, apa definisi berjaya bagi kau?
Adakah ukuran kejayaan itu berdasarkan jenis pekerjaan, tahap pendidikan atau jumlah pendapatan?
Adakah kau rasa kau dah berjaya mengalahkan orang lain dalam kehidupan?
Sejak bila kita kehidupan kita ni bagai suatu pertandingan?

Aku bagi satu analogi.

Kau naik kereta dari rumah kau di Kuala Lumpur pergi ke tempat lain. Maka benda pertama kau kena buat adalah tetapkan destinasi, contohnya Johor Bahru. Kemudian kau kena merancang perjalanan kau, kena bawa apa yang perlu dibawa, kena tahu jalan apa yang aku nak ambil, kena semak keadaan trafik agar kau berjaya untuk tiba ke destinasi yang telah ditetapkan.

Sepanjang perjalanan kau pula, kau akan berselisih dengan banyak lagi kenderaan atas jalan raya. Ada yang nak pergi ke Shah Alam, ada yang nak pergi ke Putrajaya, ada yang nak pergi ke Seremban, ada yang nak pergi ke Melaka. Pendek kata, masing-masing ada destinasi yang berbeza.

Dalam perjalanan itu juga, kau nampak ada orang bawa basikal, ada orang bawa motor, ada orang bawa kereta murah, ada orang memandu kereta mewah, ada orang membawa lori, ada orang menaiki bas, ada orang memandu laju, ada orang memandu santai, ada orang memandu dengan begitu perlahan. Kadangkala ada juga kau bertembung dengan kenderaan yang rosak di tepi jalan, ada juga yang terlibat dalam kemalangan.

Tiba di suatu persimpangan, ketika kau sedang menunggu lampu merah, kereta di sebelah kau menekan-nekan pedal minyak membakar ekzos nak cabar kau berlumba. Kau pun rasa tercabar lalu menekan pedal minyak sekuat hati apabila lampu trafik bertukar merah.

Kau dan kereta itu pun saling potong memotong dalam jarak 5 km, sehinggalah akhirnya kau menukar haluan simpang ke kiri dan kereta itu membelok ke kanan. Walaupun kau rasa kau perlu bersaing dengannya dan perlu mengalahkannya, namun akhirnya destinasi kau dan dia tetap berbeza.

Setelah hampir 5 jam memandu, akhirnya kau tiba di destinasi yang dituju, lalu kau mengerjakan pekerjaan dan urusan kau di sana. 3 hari kemudian, kau memandu kembali kereta untuk menuju pula ke destinasi yang baru.


Begitulah juga dengan kehidupan dunia kita.

Benda pertama yang kita semua ada adalah matlamat, dan di dunia ini kita semua ada matlamat yang tersendiri. Ada yang nak berjaya dalam peperiksaan, ada yang nak masuk universiti, ada yang bekerja jadi doktor, ada yang nak kerja biasa-biasa, ada yang nak beli motor, ada yang nak pakai kereta, ada yang nak beli rumah, ada yang nak berkahwin, ada yang mahu anak ramai, ada yang nak buka kedai sendiri, ada yang mahu jadi penyanyi, ada yang mahu berbakti kepada masyarakat dan lain-lain lagi cita-cita.

Maka untuk mencapai matlamat kita, kita perlu membuat perancangan, tahu apa yang perlu dilakukan, minta bantuan dan nasihat dari orang yang lebih berpengalaman, kenalpasti apa cabaran dan dugaan yang bakal kau hadapi, kaji, belajar dan berusaha dengan gigih untuk mencapai matlamat kita.

Bukan setakat perancangan, cara dan laluan kita untuk mencapai matlamat kita juga berbeza. Ada yang jalannya mudah kerana dilahirkan dalam keluarga yang kaya. Ada yang jalannya lebih sukar kerana dilahirkan dari perut seorang ibu yang miskin. Ada yang peluangnya cerah kerana dikurniakan otak yang cerdas. Ada yang peluangnya lebih kecil kerana dilahirkan tidak cukup sifat.

Dalam kita mahu mengejar impian kita pun, pasti akan ada cabaran, halangan dan dugaan di tengah jalan. Tinggal beberapa hari nak SPM, ibu bapa kita meninggal dunia. Sedang kita berlatih untuk menjadi pemain bola sepak, kaki kita patah akibat kemalangan jalanraya. Baru kita nak berkahwin dengan pilihan hati, orang tuanya mahu jodohkan anaknya dengan orang lain.

Namun ada beberapa ketika dalam kehidupan, kita tak boleh lari dari persaingan yang berbentuk sementara. Ketika di sekolah, kita bersaing dengan rakan sekelas dalam peperiksaan. Habis SPM, kita bersaing dengan orang lain untuk mendapat tempat di universiti. Tamat belajar, kita bersaing dengan graduan lain untuk mendapat pekerjaan, dan seterus-seterusnya.

Akhirnya, kita tetap akan ada destinasi yang berbeza dari orang lain. Dan sama ada kita sudah berjaya capai atau belum matlamat yang ditetapkan, kita akan sentiasa mempunyai matlamat yang baru sehinggalah kita mati.

Maka berhentilah dari membandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Kau, aku, dia, mereka, tidak akan pernah sama.

Berhentilah dari merasakan taraf kita lebih tinggi dan istimewa berbanding orang lain.
Usah memandang rendah pada orang yang dilihat kurang berjaya dari kita.
Jangan pula merasa puas dan gembira melihat kejatuhan dan kegagalan orang lain.

Dan janganlah sesekali, jadikan kehidupan kita sebagai tanda aras untuk kehidupan orang lain, kerana kita ini, dari 7.7 billion penduduk bumi, bukanlah seistimewa mana, lebih dari orang lain.


Baca juga artikel berkaitan sikap dan realiti kehidupan:

Baca juga artikel berkaitan isu buli:


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.

https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: pembuli nerd kerja lebih baik berjaya gagal dalam hidup sombong angkuh puas gembira orang lain jatuh twitter tweet 

9 ulasan:

  1. Balasan
    1. Bisjut kepala bapak ko. Hanat

      Padam
    2. HAHAHAHHAHA, Bisjut & royi?

      Padam
  2. Mmg la taraf dia x sama level. Dia doktor.. Membe dia jaga. Ko rasa sama ke? Knowledge pun xsama level... Dia keja menyelamatkan nyawa ... Di sisi tuhan manusia sama je mlainkan takwa. Disisi manusia.. Xkan sama. Walaupun dari pandangan kau sama. Tapi pd org lain xkan sama dan hidup ni bkn berkisar pd pandangan kau je.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tengok pada nickname kau pun sudah boleh tahu pemikiran kau cetek dan sampah...

      Padam
    2. doktor ke pandai ke itu bukan lesen untuk memandang rendah pada orang lain. malah itu bukan lesen untuk orang respek pada kau. orang akan respek kalau perangai kau elok. kau doktor ke pengawal keselamatan ke perdana menteri ke ustaz ke kalau sikap kau teruk, di sisi manusia sama je, orang akan hilang respek. kalau sikap kau baik dan terpuji, kau kerja cleaner sekalipun orang akan hormat. itu je aku nak cakap.

      Padam
  3. Yg si doktor tu bercakap mcm cerita kehidupan dia ni dah capai happy ending je, baru tgh intern kot....dah boleh tahu ke masa depan tu akan kekal cerah sentiasa takde dugaan apa2 bakal menjelma? Jauh lg perjalanan awak tu dik...kawan i doktor pakar pun takde rasa takbur mcm awak tu...

    BalasPadam
  4. Jgn sesekali pandang rendah orang lain. Kejayaan sebenar dlm hidup ni satu je iaitu ending kita sama ada kita mampu jawab soalan mungkar nakir dlm kubur. Itulah ukuran kejayaan yg sebenar yg mana semua urusan hidup ilmu, amal, pertemuan, rezeki mesti dihalakan ke arah itu. Ko ada Phd lima pun blum tentu dpt jawab soalan mungkar nakir klu eksyen dan ada terdetik perasan bagus dlm diri.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.

Ads RichPartners