Iklan Leaderboard

Isnin, 25 Jun 2018

3 Internet of Things: Dominasi teknologi masa depan

Pernahkah anda bayangkan pada masa akan datang, kehidupan kita sentiasa terhubung dalam talian Internet bermula dari bangun pagi sehinggalah tidur di malam hari?

Pada pukul 6 pagi, jam anda membunyikan loceng lalu menyemak kalendar anda di Internet untuk memberitahu jadual kerja anda pada hari ini. Saat anda menekan ON pada suis lampu, pemanas air, seterika dan lain-lain peranti elektronik di rumah anda, ia akan mengumpul maklumat kepenggunaan tenaga elektrik di rumah anda dan menyimpannya di Internet untuk semakan anda.


Anda pun mencapai telefon pintar anda yang memang sudah sentiasa terhubung ke Internet lalu masuk ke dalam kereta untuk ke tempat kerja. Ketika anda memulakan enjin, kereta anda terus berhubung ke Internet untuk menetapkan lokasi dengan GPS, mengemaskini keadaan trafik dan menyemak kesihatan kenderaan anda.

Setibanya anda di pejabat, anda mendaftar masuk kehadirana anda dengan sistem pengecaman jari. Sistem tersebut akan menyemak identiti anda di server yang berada di ibu pejabat melalui Internet. Sejurus selepas itu anda pun membuka komputer riba anda lalu memulakan kerja harian anda menggunakan pelbagai aplikasi awan di Internet.

Pada waktu makan tengahari, anda pun pergi ke sebuah kafe yang menggunakan kiosk skrin sesentuh layan diri. Semua menu yang tertera di skrin tersebut dikemaskini secara terpusat di semua rangkaian kafe, malah dengan menggunakan pembayaran tanpa tunai, semua transaksi berlaku melalui Internet.

Setelah habis bekerja, anda pulang ke rumah. Dengan menggunakan teknologi rumah pintar, semua peralatan elektronik di rumah boleh dikawal secara jarak jauh melalui aplikasi di telefon pintar. Anda boleh membuka pagar, membuka lampu, menonton rakaman CCTV, merekod rancangan TV, memanaskan air, menyemak kandungan peti ais dan sebagainya hanya melalui telefon pintar anda.

Jam tangan yang anda pakai sentiasa memantau tahap kesihatan anda seperti tekanan darah, denyutan nadi, tahap glukosa dalam badan dan lain-lain, lalu menyarankan jenis makanan dan nutrisi apa yang sesuai diambil. Data tersebut terus dihantar ke peti ais anda lalu mencadangkan resepi yang boleh digunakan yang dimuat turun terus dari Internet.

Sebelum kita tidur, lampu dan penghawa dingin akan membuat semakan masa, cuaca dan suhu kawasan setempat di Internet lalu menetapkan tahap kecerahan lampu dan juga suhu penghawa dingin secara automatik.

Walaupun ia mungkin belum lagi menjadi kenyataan sepenuhnya, namun tanpa kita sedar, kemudahan jalur lebar Internet sekarang semakin digunakan dengan meluas, dengan kos pembangunan dan kos penggunaan teknologi yang semakin rendah, kadar penembusan telefon pintar yang semakin meningkat, semakin banyak peralatan dan peranti elektronik yang dicipta dengan kebolehan Wi-Fi dan sensor, semua faktor ini mencipta sesuatu konsep yang secara istilahnya digelar "Internet of Things".

"Internet of Things" atau pun lebih mudah dikenali sebagai IoT merupakan topik berkaitan teknologi yang sering menjadi bualan sekarang. Ianya merupakan satu konsep yang mempunyai potensi dalam mempengaruhi bagaimana kita hidup dan juga bagaimana kita bekerja.

Maka apa itu IoT?

Konsep mudahnya adalah menghubungkan semua peranti yang mempunyai butang ON dan OFF ke talian Internet. Ini adalah termasuk telefon bimbit, mesin basuh, lampu dan apa saja yang kita boleh difikirkan. Juga termasuk komponen mesin seperti enjin kereta, enjin jet dalam kapal terbang dan lain-lain. Sebuah firma analisis Gartner menyatakan bahawa pada tahun 2020 nanti akan terdapat lebih 26 billion peranti yang terhubung ke Internet!


Bagaimana IoT memberi kesan kepada kita?

Trend baru pada masa depan adalah "Segala apa yang mempunyai kebolehan dan potensi untuk terhubung akan dihubungkan". Banyak contoh dan potensi yang boleh diperolehi daripada situasi ini, sebagai contohnya, ketika anda dalam perjalanan ke mesyuarat di luar, kereta anda sudah mempunyai akses kepada kalendar anda lalu memberitahu jalan pintas paling cepat untuk ke lokasi mesyuarat.

Realitinya IoT membolehkan peluang dan hubungan tanpa had, yang mana mungkin kita belum pernah terfikir sebelum ini. Malah ia bukan sekadar dapat digunakan dalam kehidupan peribadi, malah jika dilihat pada konteks yang lebih besar, ia boleh digunakan dalam pelbagai sektor dan bidang seperti pentadbiran kerajaan, pengurusan syarikat, pendidikan, pengangkutan, keselamatan, perniagaan, pelancongan, logistik, ekonomi, perubatan, hiburan dan sebagainya.

Akan tetapi apabila jutaan peranti telah pun terhubung, bukankah ia akan membuka lebih banyak ruang untuk isu yang berkaitan dengan keselamatan dan perkongsian data? Adakah maklumat kita selamat?  Apa yang kita boleh lakukan bagi memastikan setiap maklumat adalah selamat? Maka sebab itu antara cabaran dan isu besar dalam pelaksanaan IoT adalah tentang privasi dan keselamatan data serta maklumat.

Satu lagi cabaran dalam melaksanakan IoT adalah bagaimana sesebuah syarikat atau badan kerajaan boleh menguruskan jumlah data dan makluamt yang sangat banyak ini. Syarikat dan agensi kerajaan perlulah memikirkan cara terbaik untuk menyimpan, mengesan, menyemak, memantau dan menganalisa jumlah data yang bakal dijana.

Adakah kita sudah bersedia untuk menerima dan mengadaptasi gelombang IoT ini?


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: maksud definisi internet of things iot bahasa melayu malaysia teknologi masa depan hadapan dominasi

3 ulasan:

  1. Rindu plk dgn tahun 80an dn 90..nk jumpa seseorang terus pergi rumah sistem telekomunikasi blm kembang lagii waktu tuu..permainan tradisi yg semakin kita lupakn..sekarang internet boleh dikatakn mengatur hidup seseorang..kita xboleh hidup tanpanya..dulu ada profesor mana ntah kata dia boleh hidup tanpa telefon bimbit..aku lupa nma prof nii..aku nk tahu dia masih pegang dgn kata2nya..💻📱☎📞📻📺📡📠⌛⏳

    BalasPadam
  2. nak bisjut?

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...