Khamis, 21 Jun 2018

6 Ibu bapa dan isteri tanggung belia biawak hidup

Kerajaan baharu di bawah kepimpinan Pakatan Harapan telah pun sebulan lebih terbentuk sejak PRU14, namun terdapat beberapa portfolio menteri kabinet masih belum diisi, antaranya adalah Menteri Belia dan Sukan yang akan menerajui Kementerian Belia dan Sukan. Antara nama yang hangat diperkatakan untuk mengisi kekosongan itu adalah Syed Saddiq, Nurul Izzah, Fahmi Fadzil dan Nik Nazmi.

Namun aku bukan nak bercerita sangat tentang siapakah calon yang paling sesuai jadi Menteri Belia dan Sukan, tapi lebih kepada isu berkaitan BELIA. Bab sukan aku taknak tulis sangat sebab sukan ini suatu yang lebih teknikal dan unik, tidak semua orang terlibat dengan sukan, tetapi semua orang pasti melalui fasa menjadi belia. Aku harap siapa pun yang akan menjadi menteri nanti, dia akan dapat mengambil berat tentang isu ini, iaitu isu biawak hidup di kalangan belia.


Mengikut kamus dewan, belia (youth) bermaksud orang yang sudah akil baligh tetapi belum tua lagi; orang muda; pemuda atau pemudi. Belia juga boleh didefinisikan sebagai suatu fasa di antara kanak-kanak dan dewasa. Istilah "belia" sering ditukar ganti dengan "remaja" dan "pemuda", selalunya mempunyai erti yang sama, cuma sekali-sekala dibezakan. Golongan ini merupakan teras penting yang menggambarkan kewujudan negara pada masa akan datang.

Hari ini ramai yang mengaku golongan belia walaupun umur dah masuk 50 tahun. Maka apakah lingkungan umur yang boleh dianggap sebagai golongan belia? Ada yang kata 19 hingga 29 tahun. Ada yang kata 20 hingga 24 tahun. Ada yang kata 15 hingga 24 tahun. Ada juga yang kata 16 hingga 40 tahun. Bagi aku istilah belia ini boleh terpakai untuk golongan yang berumur 15 - 18 (akhir remaja) dan 19 - 35 (young adults).

Maka apakah masalah tentang golongan belia pada hari ini, terutama bagi golongan belia yang datang dari golongan Millenial iaitu Generasi Y (lahir di antara tahun 1980 - 1994) dan awal Generasi Z (lahir di antara tahun 1995 - kini) yang perlu ditangani oleh kerajaan dan juga masyarakat?

Ya, hari ini semakin ramai golongan belia yang terlalu manja, tak mahu berdikari, pemalas, tiada insiatif, semua benda nak kena suap serta sanggup jadi freeloader dan biawak hidup ditanggung orang lain walaupun dah lepas usia remaja.


Remaja hari ini semakin ramai yang tak tahu hala tuju dan tak mahu buat perancangan masa depan hanya kerana dilahirkan dalam keluarga yang agak senang, ibu bapa masih ada dan bekerja, ibu bapa, kakak-kakak dan abang-abang masih boleh bagi subsidi dan sara hidup mereka, mereka tidak pernah merasa bagaimana susahnya nak cari duit, menyebabkan mereka tak pandai berdikari dan berusaha untuk masa depan mereka.

Generasi terdahulu nak dapat peluang belajar agak susah, terpaksa buat pinjaman PTPTN untuk sara hidup sebab mak ayah tak bagi duit belanja. Kalau anak yang sulung tu lagi lah susah macam mana pun kena pandai-pandai la nak survive sebab takde abang dan kakak yang sudah bekerja yang boleh tolong. Dah masuk universiti kalau takde motor, naik je lah bas atau jalan kaki. Kalau takde duit sangat, pandai-pandai la buat kerja part time kat mana-mana.

Bila dah habis kerja, nak cari kerja pun bukannya mudah. Peluang nak tambah pendapatan nak buat kerja tambahan pun kurang, apatah lagi nak buat bisnes. Kereta pun dah 2 3 tahun kerja baru mampu nak beli, belum cerita pasal kahwin. Berapa tahun kumpul duit baru boleh nak kahwin, tak campur lagi perbelanjaan nak sara isteri dan anak.

Itu cerita golongan sebelum Generasi Y dan juga orang di awal Generasi Y. Namun cerita generasi selepas itu berbeza.

Kini peluang nak mendapat akses kepada pendidikan lebih besar. Universiti awam semakin banyak. Ramai ibu bapa yang lebih senang dari dahulu. Walaupun dah dapat PTPTN, mak ayah masih boleh hulur duit belanja. Urusan golongan adik-adik menjadi lebih mudah kerana abang-abang dan kakak-kakak mereka sudah pun bekerja.

Baru lepas SPM nak dapat kereta pun senang, boleh pakai je kereta lama ibu bapa, abang dan kakak mereka. Nak dapat apa pun senang, tak payah susah-susah buat kerja part time, minta je kat mak bapak, abang dan kakak, mesti akan dapat.

Sekarang peluang pekerjaan pun lebih banyak dan pelbagai. Kalau tak dapat kerja makan gaji pun, alternatif lain nak cari rezeki lebih luas. Boleh buka gerai jual nasi lemak, berniaga secara online, bawa kereta buat Grab, jaga kedai hasil modal pencen mak ayah, dapat bayaran buat video kat Youtube, buat paid review kat Instagram dan macam-macam lagi.

Cuma bila dah terlalu selesa disuap, disubsidi dan dimanja ibu ayah, abang dan kakak, ramai yang cenderung untuk jadi anak nakal manja atau spoiled brat. Mereka rasa buat apa belajar dan kerja bagai nak rak pun, mak ayah masih ada untuk sara hidup mereka. Nak apa-apa boleh minta je abang dan kakak belikan.


Kalau mereka tak dapat apa yang mereka minta, mereka akan memberontak, herdik mak ayah, merajuk, lari dari rumah, keluar lepak dengan kawan dan sebagainya, hingga akhirnya mak ayah terpaksa mengalah dan turutkan juga permintaan anak manja mereka.

Kalau setakat malas belajar takpe lagi, banyak je alternatif lain selain bidang akademik yang boleh diceburi seperti bidang sukan, kemahiran, seni dan lain-lain, atau boleh je lepas SPM terus cari kerja apa-apa pun yang setimpal dengan kelulusan kat mana-mana pun.

Ini dah la malas belajar, suruh belajar kemahiran pun tak mahu, suruh cari kerja pun tak nak sebab di mata mereka setakat kerja jadi cashier 7-Eleven, mat despatch atau housekeeping hotel takde class katanya. Mereka cuma pandang profesion kerja hebat-hebat kat pejabat tapi belajar malas. Lepas tu marah cakap peluang pekerjaan sikit. Last-last mak ayah terpaksa lah juga tanggung sampai ke tua, dan warga asing bertambah sebab orang-orang kita lebih rela jadi biawak hidup dari buat kerja yang diambil warga asing ni.

Percaya tak masih ada belia yang sudah pun berumur 30 tahun lebih, yang sihat tubuh badan yang kudrat masih kuat, tapi hidupnya masih ditanggung oleh ibu bapanya. Itu pun nasib baik mak bapak dia masih ada lagi. Kalau satu hari nanti mereka dah takde, kau nak hidup macam mana? Sebab itu hari ini semakin banyak ibu bapa yang melahirkan Tuan mereka.

Itu cerita tentang spoiled brat yang akhirnya menjadi biawak hidup yang ditanggung ibu bapa sampai ke tua. Begitu juga halnya dengan golongan lelaki freeloader atau biawak hidup yang ditanggung oleh isteri.

Hari ini banyak kita dengar kisah suami tidak bekerja dan ditanggung oleh isteri. Kita bukan bercakap tentang suami yang sakit dan tidak mampu untuk bekerja. Kita bercakap tentang lelaki yang sihat tubuh badan tapi sanggup tebalkan muka jadi biawak hidup hanya kerana isterinya bekerja.


Macam contoh ada seorang kawan aku, adik beradiknya ramai dalam 7 orang. Malangnya 2 adik perempuannya kini hidup dengan biawak hidup. Merekalah yang keluar bekerja cari rezeki untuk sara keluarga, manakala suami-suami mereka yang sihal walafiat tu cuma duduk rumah minta duit bini. Walaupun ahli keluarga lain sakit hati melihat keadaan ini, tapi isteri mereka hanya menahan sabar dan memendam rasa menanggung penderitaan.

Biasanya hal ini terjadi berlaku ketika di pertengahan perkahwinan. Masa awal perkahwinan, sang suami memang bekerja tetapi kerja biasa-biasa sahaja. Bila dah beberapa tahun, pekerjaan suami mula menghadapi masalah seperti diberhentikan, perniagaan merosot dan sebagainya. Disebabkan isterinya bekerja dan mungkin gaji isteri pun lebih besar daripadanya, maka dia pun jadi malas nak cari kerja lain dengan alasan isterinya bekerja dan dia duduk rumah jadi surirumah jaga anak.

Kalau betul-betul jaga anak dan buat kerja-kerja rumah takpe, kita pun faham dan boleh terima lah. Ini anak dia hantar rumah mak bapak, rumah tak kemas pun, dapur tak berasap pun, sebaliknya dia cabut pergi ntah mana-mana lepak dengan kawan, pergi memancing dan buat benda-benda yang tak mendatangkan hasil. Itu belum cerita dia curang dan main cinta pula dengan perempuan lain. Biawak-biawak hidup pun masih lagi ada hati nak menggatal dengan betina lain.

Bila dah takde duit, pandai pula cari isteri minta duit. Kalau isteri tak bagi, dia marah isteri dia. Bila isteri tegur, buat-buat tak dengar, lepas tu herdik pula isteri dia. Sudahlah isteri dia yang nak kena bayar duit rumah, kereta, belanja anak-anak, barang dapur dan lain-lain barang keperluan, isteri dia juga nak kena jaga anak, memasak, kemas rumah dan sebagainya. Malah suami nak beli rokok pun isteri kena tanggung jugak.

Lepas tu bila hal rumahtangga ada masalah sikit, isteri dia juga yang dipersalahkan. Anak menangis, isteri dia kena marah. Rumah bersepah, isteri kena marah. Makan malam takde, salah isteri. Kereta rosak, isteri dia jugak yang salah. Isteri dia pulak tahan je bila kena marah. Kalau nak ikutkan hati rasanya perasaan sayang dan cinta tu dah takde dah pun, tapi mengenangkan anak-anak dan takut hidup seorang diri, kena macam mana pun tahan je. Pada mereka lebih baik tanggung biawak hidup ni dari kena cerai hidup tanpa suami.

Aku harap kerajaan dan masyarakat boleh buat sesuatu untuk membasmi masalah freeloader dan biawak hidup di kalangan belia. Ia bukan sahaja boleh merosakkan institusi keluarga, malah boleh menghancurkan institusi rumahtangga dan masyarakat.

Mungkin boleh banyakkan program dan kempen peningkatan serta pembangunan belia, boleh keluarkan panduan atau guideline dalam kerjaya dan kehidupan di peringkat awal lagi, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan untuk berdikari tanpa terlalu bergantung kepada ibu bapa, memberi banyak alternatif dan pilihan mencari rezeki bagi para penganggur dan mereka yang tidak bekerja, membela nasib para isteri yang terpaksa membela suami biawak hidup dan sebagainya. Buatlah apa-apa pun asalkan dapat mengurangkan biawak hidup di kalangan belia.

Gambar hiasan

Sepatutnya ketika zaman belia lah kita jadi lebih lebih cergas, rajin dan produktif. Ini masa muda dia dah mula nak jadi biawak hidup, malas nak buat kerja, mengharap orang lain tanggung hidup dia, kalau dah tua nanti tak tahu lah macam mana kehidupan dia nanti.

Ingat, biawak hidup adalah barah dalam masyarakat dan amat merugikan negara. Semakin lama semakin bertambah bilangan orang yang menjadi biawak hidup di negara kita. Semakin banyak biawak hidup, masyarakat kita akan jadi semakin teruk.

Janganlah kita menjadi biawak hidup, dan katakan tidak kepada biawak hidup!



P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: mendukung biawak hidup freeloader pembangunan belia menteri kbs spoiled brat anak nakal manja

6 ulasan:

  1. Aku kerja dgn mat indon dulu. Jika cuti hujung minggu dia akn ke hutan berhampiran utk cari aym hutan dan sayur. Dpt sekor 2 aym hutan 4 ekor biawak. Kami potong biawak seperti siang ikn. Goreng dgn kunyit mkn dgn sambal mmg mantap. Aku mkn aym saja. Indon jawa anggap mkn biawak tidak haram kerana tdk mkn bangkai. Islam diindon mmg ckup mudah.

    BalasPadam
  2. wow seriously.. ini betul2 wujud ke? or main2? mcm baca cerita drama rekaan je?.... tapi pikir2 balik ak pun hampir2 jadi biawak hidup gak... syukur la dpt push diri over on edge... huhuhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ada je ko ni, pruutt dmuka ko. Kahkahkah

      Padam
    2. banyak je wujud. cuba baca berita2 pasal suami biawak hidup kat link2 yang aku letak tu.

      Padam
  3. Aku ada abang ipar & family nya menumpang rumah (sebumbung dgn aku & mak aku) . Ipar aku x mau keluar walau dah disuruh pindah keluar tapi tak nak pindah. Dia buat bodoh aje dia kata bini dia (kakak aku) Ada hak tinggal situ. & anakx2 yg dah kawin pun duduk menumpang bawa skali pasangan masingx2.
    Anak jantan bawak bininya. Anak prp bawak lakinya. Apa ke gilerr... Ipar duai serumah. Dah suruh berambus keluar pun buat bangang aje. Mentangx2 mak aku dah tua & aku prp andartu. Dia hingat rumah bapak dia punya. Siap bukak bengkel atas tanah tu lagi. Dah lah maintenance rumah lepas tgn.
    Padan muka abg ipar aku, dapat menantu jantan biawak hidup. Menantu jantannya si biawak hidup pun sama dah disuruh berambus Tak jugak berambus. Aku ni bukan mahram dia org, apa hal Tak tau hukum ke. Pelik lah, jahil ke munafiq mereka 2 ekor tu, walhal abg ipar aku tu pernah jadi imam & menantu jantan masih cikgu sekolah agama. Dua x2 ekor x tau malu pada Allah. Waris aku dah suruh mereka semua keluar. Degil nya. Mcmx2 alasan , tak cukup duit lah, anak mengandung lah, tgh pantang lah, gaji kecik lah, tgh Cari duitlah. Pencen x cukup lah. Walhal rumah sendiri dah ada. Bagi sewa kat org . Kutip sewa bulanx2. Dasar biawakx2 hidup. Hidup nak senang dgn nyusahkan org. Apatah lagi keluarga dia dah bertambah besar dgn cucux2, aku & mak aku jadi terpinggir dlm rumah. Cepat lah hendaknya karma sampai kat mereka supaya mereka sedar sebelum mata tertutup.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.