Rabu, 24 Ogos 2022

0 Kenapa orang baik susah jadi pemimpin politik?

1. Bekas PM Malaysia ke-6 telah dijatuhkan hukuman penjara dan denda atas salah satu kes penyelewengan dana. Difahamkan terdapat beberapa lagi kes beliau yang masih dalam perbicaraan.

2. Walaupun hukuman telah dijatuhkan, tetapi ia bukanlah kemenangan pada sesiapa, hatta rakyat mahupun pembangkang. Menang atau kalah, wang yang hilang itu tidak akan kembali. Ia juga tidak dapat menghilangkan rasa malu di mata dunia kerana kes ini kes yang berskala global yang melibatkan banyak negara dan pihak antarabangsa.

3. Selain dari kes ini, terdapat juga kes-kes lain yang masih dalam perbicaraan yang melibatkan bekas pemimpin tinggi kerajaan dan pemimpin ahli politik dari pelbagai parti.

4. Isu macam ni kita susah nak dengar dalam 10-20 tahun sebelum ini, di mana pemimpin tertinggi politik keluar masuk mahkamah atas kes salahguna kuasa. Ini kerana bila mana suatu parti terlalu lama pegang kuasa, banyak benda boleh disorokkan. Tapi kini tidak lagi bila mana parti kerajaan telah bertukar-tukar.

5. Kes jenayah berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin tertinggi negara bukanlah hal yang baru. Bekas PM dan Presiden negara lain seperti Peru, Perancis, Thailand, Pakistan, Korea Selatan, Filipina, Indonesia, Nigeria dan lain-lain pernah mempunyai sejarah hitam.

6. Rentetan dari kes PM-6 ini, aku harap lepas ni akan lebih ramai pemimpin dan bekas pemimpin kerajaan, ahli politik dari mana-mana parti, pegawai kerajaan, pengasas NGO, ahli perniagaan, agamawan dan sesiapa sahaja yang korup, yang melakukan rasuah, salahguna kuasa, pecah amanah, seleweng dana, penggubahan wang haram dan lain-lain skandal jenayah akan dihadapkan ke mahkamah.

7. Orang cakap politik ini kotor. Orang mahukan kuasa demi mengaut keuntungan dan kepentingan sendiri serta kroni. Susah nak jumpa orang yang betul-betul baik dalam politik. Maka berbalik kepada persoalan asal, kenapa orang baik susah nak jadi pemimpin politik?

8. Jawapan paling mudah, adalah kerana pemimpin politik dipilih semata-mata kerana populariti. Bukan kerana ilmunya, kelulusan akademiknya atau sifat baiknya. Sebab itu orang yang setakat SPM pun boleh jadi pemimpin politik.

9. Ahli politik ni sebenarnya ibarat artis, selebriti dan influencer je, yang mana siapa-siapa pun boleh cuba untuk jadi. Bezanya, ahli politik ni dengan populariti datangnya kuasa. Makin popular, makin ramai orang sokong, makin senang kau diangkat jadi pemimpin dan dapat kuasa. Syarat untuk jadi pemimpin pula, asal kau popular je dah cukup. Pandai ke, bodoh ke, baik ke, letak tepi dulu.

10. Seorang penyanyi boleh popular dengan lagu yang sedap. Pelawak boleh popular dengan punchline yang kelakar. Influencer boleh popular dengan content yang dihasilkan. Maka macam mana ahli politik nak popular di kalangan ahli-ahli partinya? Sudah tentu dengan duit, projek, jawatan dan yang sewaktu dengannya.

11. Bayangkan jika seseorang yang sangat baik, ikhlas, jujur, amanah, fathonah, mahu mencuba jadi pemimpin kerajaan. Sebelum dia boleh jadi pemimpin kerajaan, dia kena jadi pemimpin dalam sesebuah parti politik dulu. Tapi nak jadi pemimpin dalam parti politik, kena bertanding dulu dan dapatkan undian tertinggi.

12. Maka dia pun kenalah bertanding jawatan tinggi dalam sebuah parti politik. Dia mahukan undian dari ahli partinya, tapi dia tak bagi duit, tak tawarkan projek, tak janjikan jawatan, buat kerja ikut prosedur, patuh pada peraturan duniawi dan ukhrawi.

13. Berbanding dengan calon lain, yang tabur duit pada ahli, tawarkan projek, janjikan jawatan, sanggup langgar prosedur dan peraturan itu ini demi untuk menang, kau rasa ahli-ahli parti akan pilih siapa untuk dijadikan pemimpin parti mereka?

14. Ok, tak payah pergi jauh. Katakan kau terlibat dalam sebuah persatuan. Masa pemilihan presiden persatuan, seorang calon tu jenis baik, jujur, amanah, selalu bagi tarbiah, sampai persatuan nak guna duit pun susah sebab dia jenis jaga peruntukan betul-betul dan sangat ikut peraturan.

15. Calon seorang lagi tu pulak jenis kuat sembang, nak guna duit senang sebab dia pandai kona sana sini, pusing kiri kanan, pandai tarik dana sana sini. Jadi kau sendiri akan pilih calon yang mana untuk jadi presiden?

16. Jadi bila ahli-ahli parti pun menolak orang yang baik dan lebih suka menaikkan orang yang boleh bagi kepentingan pada mereka untuk dijadikan pemimpin parti, kau rasa kita sebagai rakyat ada banyak pilihan ke? Bukannya kita boleh pilih sesiapa jadi wakil rakyat. Kita hanya boleh pilih di kalangan calon yang dah dipilih oleh ahli-ahli parti politik.

17. Sebab tu jadi orang baik-baik ni tak popular dalam politik. Takde kepentingan. Susah nak kawtim. Kalau diundi pun bukan dapat apa. Tak boleh kroni, tak dapat projek, tak dapat jawatan, tak boleh guna duit suka hati. Terlalu ikut buku. Terlalu ikut peraturan. Terlalu ikut agama, katanya.

18. Akhirnya orang yang baik hanya boleh survive di luar bidang politik yang tidak memerlukan populariti. Nak diangkat jadi pemimpin kerajaan jauh sekali. Sedih, tapi inilah realiti harga sebuah demokrasi.

Sekian.

 


P/S: Mohon rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):






tags: kes keputusan mahkamah bekas perdana menteri ke6 najib razak penjara 12 tahun denda 210 juta orang baik susah jadi pemimpin politik negara kerajaan

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.