Jumaat, 16 November 2018

11 Banyak cakap, pendiam, bijak atau tidak berilmu

Ketika di zaman belajar di sekolah, universiti dan juga alam pekerjaan, ada macam-macam jenis orang yang kita akan biasa jumpa, antaranya orang yang banyak cakap, yang pendiam, yang rajin, yang malas, yang bijak, yang kurang bijak, yang ada banyak ilmu, yang kurang ilmu, yang otak pick up, yang lambat pick up, yang introvert, yang extrovert dan sebagainya. Kita sendiri juga mungkin ada salah satu dari ciri-ciri tersebut.

Berikut adalah 4 jenis orang yang sering kita jumpa itu:


1. Banyak cakap tapi tidak berpengetahuan

Orang macam ni memang paling banyak kita akan jumpa. Orangnya memang kuat bercakap tapi sebenarnya tak boleh buat kerja, kurang pengetahuan, malah dia sendiri tak tahu apa yang dia cakap itu betul atau salah.

Dia banyak bercakap sebab mahu mahu dilihat bijak dan tak mahu dipandang sebagai ketinggalan atau bodoh, malah seringkali mahu menunjuk pandai terhadap semua perkara termasuk hal yang dia sendiri tak tahu pun, namun kerana kuat sembangnya juga dia telah menyerlahkan kebodohan tanpa dia sendiri sedari.

Biasanya orang seperti ini bila ada tugasan berkumpulan dia suka masuk kumpulan orang yang bijak dan boleh buat kerja untuk mengambil kesempatan. Selalunya dia nak jadi ketua dan mahu orang lain ikut cakap dia. Tapi sebab dia suka bercakap dan berani bercakap di hadapan orang ramai, selalunya dia lah yang akan ditugaskan untuk membuat pembentangan memandangkan dia takde kerja sangat.

Orang macam ni yang biasanya diibaratkan sebagai tin kosong, iaitu orang yang banyak cakap tetapi tidak berilmu. Tin kosong ini lagi kuat dijentik, lagi kuatlah dia berbunyi, tapi isi takde pun, kosong.

Namun orang tin kosong ini memang kurang bijak dan tak pandai buat kerja, tapi dialah yang selalunya dapat naik pangkat cepat sebab bermulut manis, pandai bodek bos dan pandai meyakinkan orang atasan yang dia buat kerja.

Walaupun dia mungkin disukai dan digemari orang atasan, namun selalunya dibenci dan tidak disukai orang sekeliling yang tahu perangai sebenar dia.

2. Tak banyak cakap dan tidak berpengetahuan

Orang seperti ini ramai juga, jenis pendiam dan tak banyak cakap. Dia tak banyak cakap pun sebab dia sedar yang dia tidak berapa tahu atau kurang kerajinan membuat kerja.

Kalau dalam tugasan berkumpulan, dia biasanya menjadi ahli tidur sahaja. Kalau dia ada dalam perbincangan pun dia akan kurang bercakap dan kurang memberi idea, sama ada kerana dia kurang arif atau kerana tidak mahu menambah kerja dia.

Selalunya orang-orang ini hanya diberi kerja-kerja yang lebih mudah kerana orang lain semua sudah maklum yang dia memang tak berapa mahir dan tak tahu sangat buat kerja. Orang macam ni diibaratkan sebagai diam diam besi berkarat.

Walaupun begitu, mereka ini lebih OK sikit berbanding orang tin kosong, sebab sekurang-kurangnya mereka sedar yang mereka tak pandai sangat sebab tu tak berani nak memandai-mandai sangat.

3. Banyak cakap tapi berpengetahuan tinggi

Ada juga orang yang banyak cakap tapi dia memang pandai, walaupun bilangannya taklah ramai sangat. Dia sedar dia pandai, banyak pengetahuan, rajin, maka dia pun banyak bercakap untuk memberi pandangan, melontarkan idea, melakukan kerja dan sebagainya.

Laluan pendidikan dan kerjaya mereka juga amat cerah dan lebih mudah kerana mereka ada 2 kelebihan ini iaitu pandai bercakap dan otak yang bijak. Para guru, pensyarah, bos, orang atasan memang menyenangi orang seperti ini.

Cuma orang yang ada ciri-ciri ini walaupun tak semua, biasanya mereka mempunyai sifat ego dan narsisistik yang tinggi. Mereka rasa kagum dengan diri sendiri, dan mahu orang lain juga turut merasa kagum terhadap dirinya. Sebab itu dia banyak mulut agar orang lain tahu akan kehebatannya.

Dalam tugasan berkumpulan, dia akan menawar atau melantik diri sendiri menjadi ketua, orang lain perlu mendengar ideanya sahaja dan mematuhi arahannya. Kadang kala dia juga suka klaim yang tugasan itu adalah hasil idea dan usaha dia seorang walaupun semua ahli mempunyai sumbangan masing-masing dalam tugasan tersebut.

4. Tak banyak cakap dan berpengetahuan tinggi

Orang yang pandai tapi kurang cakap ini biasanya orang yang betul-betul genius namun sikit bilangannya. Luaran nampak cool, relaks, tenang, macam tak lah hebat mana, tapi bila kenal rupa-rupanya dia ni seorang genius.

Mereka ada tapi susah nak jumpa. Susah nak jumpa pun bukan sebab apa, sebab mereka ini jenis merendah diri, tak suka kecoh-kecoh dan tak suka menonjolkan kehebatan dirinya dengan mulut, sebaliknya dia buktikan kehebatannya dengan usaha dan hasil kerjanya.

Orang macam ni dia susah nak bagi idea, sebab dia tahu kalau dia bagi idea pun, akhirnya dia yang kena buat benda tu seorang diri. Dia tahu ramai orang lain terutama orang atasan akan mengambil kesempatan ke atas kebijaksanaan dan kebaikannya. Dia hanya akan bercakap dan melontarkan pandangan bila dia rasa perlu sahaja.

Namun begitu dia tetap seseorang yang boleh diharapkan semua orang. Bagilah apa kerja pun padanya, dia pasti akan dapat melakukan tugasan tersebut. Orang macam ni diibaratkan sebagai diam diam ubi berisi.

Biasanya orang ini paling disenangi ramai orang dari orang atasan, orang bawahan dan juga rakan sekeliling sebab dia mempunyai banyak pengetahuan, boleh buat kerja dengan baik dan tak berkira untuk tolong orang lain dengan kepakaran yang dia ada.

Maka kalau ada di kalangan kawan korang atau pekerja bawahan yang merupakan silent genius ini, jangan sia-siakan mereka.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.

https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: jenis orang dalam pendidikan pekerjaan sekolah belajar kursus tugasan universiti assignment banyak kurang cakap pandai bijak bodoh 

11 ulasan:

  1. hahaha. Aku kategori keempat kot, pendiam dan tak menonjol. Akhirnya dalam usia 30 tahun ni, masih lagi bujang dan bergaji RM2000. Tak ada perubahan dalam hidup sebab tidak menonjol.

    BalasPadam
    Balasan
    1. nampak gaya mcm kau kategori kedua kot. pendiam tapi tak pandai.

      Padam
  2. jenis tahu jawapan tapi takut nak angkat tangan. Bisik kat kawan jawapan.Kawan dapat pujian.

    BalasPadam
  3. Apa kata noob pasal icerd?..

    BalasPadam
  4. Motivasi: Kata-Kata Profesor Ungku Aziz

    Rajin Bercakap, Rajin Bekerja – Bagus sekali
    Rajin Bekerja, Malas Bercakap – Kena Buli
    Malas Kerja, Rajin Bercakap – Wayang Cina
    Malas Bekerja, Malas Bercakap – Tak Guna
    Malas Bekerja, Suka Mengadu – Nyanyuk
    Malas Bekerja, Selalu Ponteng – Baik Berhenti
    Malas Bekerja, Suka Menyibuk – Baik Mati

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.