Khamis, 1 November 2018

13 Zaman Ketuanan Melayu berakhir sebelum bermula

Baru-baru ini timbul semula satu isu yang sensitif di kalangan orang Melayu iaitu berkaitan "Ketuanan Melayu" apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan zaman ketuanan Melayu telah berakhir dan Malaysia sedang bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan.

Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu berkata, perkara tersebut turut menjadi agenda yang akan diperjuangkan parti itu.



“Ini bukan lagi zaman ketuanan Melayu tetapi kita sudah masuk fasa baharu di mana kita bincangkan tentang ke­saksamaan semua, bukan kesamarataan, tetapi kesaksamaan.

“Kita di zaman perkongsian kekayaan. Ini salah satu agenda yang akan parti saya ketengahkan dan perjuangkan,” katanya dalam Forum Ekonomi Belia 2018 di Ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, di sini hari ini.

Malah dalam siri thread Twitter yang ditulis olehnya, antara yang dibangkitkan adalah ke mana perginya 'Ketuanan' apabila 7 daripada 10 penagih di Malaysia adalah anak Melayu.



* * * * * * * * * *

Akibat daripada kenyataannya berkaitan Ketuanan Melayu itu, ia telah mengundang pelbagai reaksi dari pemimpin, ahli politik dan masyarakat, antaranya;

  • Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang berpandangan ketuanan Melayu sememangnya tidak lagi diamalkan, sebaliknya amalan politik dalam negara ini sudah sekian lama berubah kepada kepemimpinan politik Melayu.

    Beliau berkata, perkongsian dan pengagihan kekayaan ke arah masyarakat saksama seperti yang diuar-uarkan kerajaan juga bukanlah perkara yang baharu, maka ia tidak harus ditimbulkan sebagai satu bahan polemik.
  • Pakar Rujuk Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Datuk Dr Firdaus Abdullah berkata, apabila bercakap mengenai ketuanan Melayu, perkara itu tidak boleh dianggap sebagai tuan dan kuli dalam pengertian yang literal.

    Ketuanan Melayu perlu diterjemah melalui pengertian yang ada konotasi kebudayaan dan sejarah serta semangat kontrak sosial, ia perlu lebih figuratif.
  • Timbalan Presiden PERKASA, Datuk Sirajuddin Salleh berasa amat terkilan dengan tindakan yang dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menegaskan zaman ketuanan Melayu akan berakhir.

    Menurut Sirajuddin, amat malang bagi orang Melayu kerana mempunyai pemimpin seperti Syed Saddiq yang tidak mahu membela bangsanya sendiri sebaliknya ingin menghapuskan ketuanan Melayu. 
  • Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad menyifatkan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai ketuanan Melayu sudah berakhir menunjukkan beliau tidak faham dengan konsep sebenar apa yang dimaksudkan dengan ‘ketuanan Melayu’, malah tindakan tersebut sekali gus melambangkan ketidakmatangannya dalam membuat kenyataan.
  • Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pandangan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mengenai ketuanan Melayu sudah berakhir telah disalah tafsir.

    Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kenyataan Syed Saddiq itu ditafsir seolah-olah Bersatu tidak memperjuangkan kepentingan orang Melayu, sebaliknya parti berkenaan sendiri wujud atas dasar memperjuangkan nasib orang Melayu selaras dengan perkara-perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pertama sekali, kita kena faham yang istilah "Ketuanan Melayu" hanya slogan dan kini biasanya dijadikan modal retorik politik semata-mata. Ia tidak tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, undang-undang negara atau dokumen rasmi kerajaan.

Yang ada hanya Hak-hak Istimewa Orang Melayu dan juga perkataan "Melayu", dan ia disebut lebih 90 kali dalam Perlembagaan (termasuk perkataan Tanah Melayu).

Selain Melayu, yang disebut dalam dokumen tertinggi negara itu kalau mengenai kaum ialah bumiputera Sabah, Sarawak dan Orang Asli. Lain daripada itu, dirujuk sebagai kaum-kaum lain.

Berbeza dengan Kontrak Sosial, walaupun ia juga tiada dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957  namun ia merupakan permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal Perlembagaan.


Maka dari mana asal-usul istilah "Ketuanan Melayu" ini?

Sebenarnya tiada kamus yang mendefinisikan terma 'Ketuanan Melayu.' Namun, berdasarkan pemahaman umum, terma tersebut jika diertikan secara harfiah atau literal merujuk kepada 'dominasi bangsa Melayu' (dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Malay Supremacy atau Malay Dominance).

Ia juga biasanya dirujuk bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia. Orang Cina dan India di Malaysia yang dianggap sebagai pendatang (yang dibawa masuk oleh British) disifatkan terhutang budi kepada orang Melayu kerana kesanggupan dan kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) sebagai prasyarat British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Sebagai timbal balik kerana kesanggupan dan kesediaan apa yang disifatkan sebagai pengorbanan orang Melayu itu, perlembagaan memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa dan ini dimaktubkan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia). Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini biasanya dipanggil kontrak sosial.

Ok itu cerita hal sejarah, aku tak nak tulis panjang sangat. Korang boleh cari sendiri di Internet atau belek buku Sejarah.

Cuma apabila Menteri berkata zaman ketuanan Melayu telah berakhir, aku nak tanya balik, bila zaman ketuanan Melayu ini bermula sampai ia boleh ditamatkan pula?

Ia tiada tertulis dan termaktub pun dalam perlembagaan atau undang-undang, maka macam mana ia nak diakhiri?


Istilah "Ketuanan Melayu" itu sendiri boleh membawa banyak maksud berdasarkan pandangan dan tafsiran masing-masing kerana ia tidak ada satu objektif, visi, misi dan matlamat bertulis yang jelas di mana-mana. Ia tiada dokumen rasmi hitam putih kerajaan, maka semua pun tak tahu maksud sebenar dan hanya bersandarkan pada anggapan dan pandangan masing-masing.

Ada orang menganggap "Ketuanan Melayu" membawa maksud orang Melayu adalah tuan tanah kepada bumi Malaysia. Ini boleh dianggap betul kerana YDP Agong yang merupakan orang Melayu adalah tuan tanah kepada negara kita, dan orang Melayu dan bumiputera ada hak keistimewaan yang dipelihara dalam perlembagaan, walaupun secara hakikatnya masih ramai orang Melayu tak mampu nak memiliki tanah di negara sendiri.

Ada orang menganggap "Ketuanan Melayu" merujuk kepada hubungan status antara manusia, antara Tuan dan orang bawahan. Ini boleh dianggap betul juga kerana pemimpin negara kita adalah Melayu, maka dia adalah Tuan dan rakyat adalah orang bawahan, walaupun hakikatnya ramai orang Melayu yang dalam pekerjaannya bertuankan orang Cina, India, Jepun, Korea, US dan sebagainya.

Ada juga yang menganggap konsep "Ketuanan Melayu" ini tak lebih dari nak menjaga kepentingan dan menguntungkan segelintir golongan sahaja, terutama golongan Melayu elitis. Ini juga tak boleh dinafikan kerana golongan ini yang paling lantang melaung Ketuanan Melayu pada orang Melayu bawahan lain, tapi balik-balik mereka yang mengaut untung besar, sub pula projek pada orang Cina sedang orang Melayu bawahan ni sama ada dapat sikit atau tak dapat apa pun.


Apa-apa pun bagi aku zaman sekarang tak perlu nak bangkitkan lagi hal berkaitan Ketuanan Melayu, sebab istilah itu sendiri tak jelas dan banyak tafsiran serta andaian. Kalau nak cakap apa-apa berkaitan hal orang Melayu, cakap pasal perkara yang jelas dan ada hitam putih sahaja seperti dasar-dasar berkaitan orang Melayu, perkara berkaitan dengan orang Melayu yang ada dalam Perlembagaan, undang-undang yang melibatkan orang Melayu dan sebagainya.

Ini bila sembang "Ketuanan Melayu", memang logiklah ramai orang Melayu melompat bising. Kau ada tafsiran sendiri, orang lain pun ada tafsiran mereka sendiri. Bila Menteri cakap zaman Ketuanan Melayu akan berakhir, apa yang dimaksudkan dengan berakhir?

Hak keistimewaan orang Melayu akan dilucutkan dari perlembagaan ke, orang bukan Melayu boleh jadi Raja ke, orang bukan Melayu boleh memiliki lebih mudah dan banyak tanah di Malaysia ke (walaupun memang dah macam tu pun), tiada lagi syarat status syarikat bumiputera dalam perolehan kerajaan ke, atau orang Melayu kena berhenti dari berperasan macam Tuan sedangkan hakikatnya kuli ke, atau macam mana?


Cakap biar jelas.
Dan bila Menteri cakap pasal ini bukan lagi zaman ketuanan Melayu tetapi sudah masuk fasa baharu di mana kita bincangkan tentang ke­saksamaan semua, bukan kesamarataan, tetapi kesaksamaan, ya aku setuju pasal kesaksamaan, kerana keadilan itu saksama bukan sama rata.

Kesaksamaan itu bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya, kerana tidak semua akan menjadi adil jika diberi sama rata. Contohnya isteri dapat cuti bersalin 3 bulan tetapi suami dapat 1 minggu sahaja. Anak orang miskin layak dapat bantuan makanan tambahan (RMT) di sekolah manakala anak orang kaya tak dapat. Kalau sama rata, walau isteri yang bersalin, suami pun dapat tempoh cuti yang sama dengan isteri. RMT pula semua orang dapat tak kira anak orang kaya atau miskin.

Begitu juga dengan hal negara kita. Saksama apabila kaum Melayu yang tahap ekonomi dan kadar peluang mereka lebih rendah diberi keistimewaan berbanding kaum lain yang. Saksama apabila projek kerajaan diberi kepada syarikat bumiputera, kerana yang menjadi sub-kontraktor, reseller, pengedar, syarikat principal dan pengilang adalah syarikat bukan bumiputera juga.


Dengan ini barulah namanya "shared prosperity" atau perkongsian kemakmuran. Orang Melayu dan kaum lain semua dapat bahagian masing-masing. Pada masa yang sama, orang yang susah dan berpendapatan rendah masih akan diberi bantuan tanpa mengira bangsa dan agama.

Ini kalau hanya mengungkit tentang mengakhiri Ketuanan Melayu atas alasan "shared prosperity" bagi aku sangat tak adil lah, kerana namanya pun perkongsian, kenapa orang Melayu sahaja yang perlu berkorban?

Kenapa tak bangkitkan tentang Ketuanan Cina dalam bidang ekonomi? Kenapa tak cakap yang zaman penguasaan dan dominasi ekonomi orang Cina di Malaysia sudah berakhir? Melayu je kena berkongsi kekayaan kita pada kaum lain, kaum lain tak perlu berkongsi kekayaan mereka dengan orang Melayu?

Pengambilan pekerja dengan syarat "Chinese Only" masih dibolehkan? Amalan membayar gaji yang lebih rendah kepada pekerja Melayu berbanding kaum lain masih boleh diteruskan? Larangan syarikat untuk orang Melayu Islam mengerjakan ibadah dan mengenakan tudung bagi orang perempuan masih dibiarkan?


Kalau nak cakap pasal perkongsian, kenalah sentuh semua kaum, bukan pasal Melayu je. Kalau Menteri cakap secara umum dan menyentuh semua kaum tanpa membangkitkan hal "Ketuanan Melayu", aku yakin ramai orang boleh terima dan tak akan jadi isu besar pun. Ini mentang-mentanglah orang Melayu ni baik hati, sangat bertoleransi, kuat bersabar, balik-balik orang Melayu je lah yang disuruh berkorban demi kaum lain.

Kerajaan Pakatan Harapan ni memang nak mengundang kebencian dan kemarahan orang Melayu je ke? Sudahlah manifesto banyak tak laksana, ramai orang hilang pekerjaan, ni nak bangkitkan pula isu Ketuanan Melayu yang dah pasti akan membuatkan ramai orang Melayu sentap. Lainlah kalau pembangkang (BN) yang bangkitkan semula, takpelah kalau nak ulas. Ini takde angin takde ribut, tiba-tiba "Ketuanan Melayu telah berakhir".

Dan tolonglah, tak payah la siapa-siapa terutama pemimpin dan ahli politik sebut lagi pasal Ketuanan Melayu. Istilah tu sangat tak sesuai kerana hanya menimbulkan salah faham dan perbezaan tafsiran. Tiada siapa yang jadi Tuan tiada siapa jadi hamba. Lagipun malu la nak label diri kita ni Tuan kalau tanah pun takde, kerja pun makan gaji dengan bangsa lain. Gunakan istilah yang lebih sesuai dan sampai maksudnya seperti Dominasi bangsa Melayu, Hak Istimewa Melayu, Melayu Kaum Majoriti dan sebagainya.

Akhir kata, aku nak bagi cadangan sikit macam nak betulkan struktur ayat ucapan Menteri agar didengar lebih saksama dan sedap didengar tanpa mengubah maksud asal supaya orang lain tak buat andaian sendiri:
“Ini bukan lagi zaman monopoli kaum tetapi kita sudah masuk fasa baharu di mana kita bincangkan tentang ke­saksamaan semua, bukan kesamarataan, tetapi kesaksamaan.
Kesaksamaan dari sudut kemakmuran, peluang dan kekayaan, kerana kita sekarang di zaman perkongsian kekayaan. Orang Melayu kena kongsi, orang Cina kena kongsi, orang India kena kongsi, semua kena kongsi kekayaan dan saling bantu membantu antara satu sama lain, kerana hidup dalam masyarakat majmuk ini memang saling memerlukan.
Tiada lagi kaum-kaum tertentu memonopoli sektor pekerjaan, sektor ekonomi, sektor hartanah, sektor industri, sektor pelancongan, sektor pendidikan dan sebagainya. Semua akan dibantu dan ada peluang yang saksama. Bukan samarata, tapi saksama.
Ini salah satu agenda yang akan parti saya ketengahkan dan perjuangkan".

Sekian.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.

https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: syeed saddiq ketuanan melayu sudah berakhir orang kaum bangsa cina india asal usul sejarah definisi maksud

13 ulasan:



  1. Sejujurnya saya menghormati pandangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq berhubung isu "Ketuanan Melayu".
    Malah bagi saya, beliau sebenarnya seorang pemimpin muda Melayu yg sangat hebat kerana berani berkata benar tentang realiti bangsa Melayu masa kini.
    Hanya Melayu yg sudah terlalu lama digula-gula dan diulit mimpi-mimpi indah akan "TERSENTAP" dengan kenyataan yg ikhlas dan jujur ini.
    Sebagai seorang wartawan tua yg sentiasa dekat dengan kehidupan rakyat Melayu Marhaen - saya ingin menambah "Ketuanan Melayu" yg diwar-warkan selama ini hanya umpama "indah khabar dari rupa" kerana ramai orang Melayu yg diberi kuasa sebagai "Tuan" itu telah mengkhianati amanah terhadap bangsanya sendiri.
    Mereka melayan bangsa Melayu marhaen yg tidak berpangkat, berdarjat dan berharta seperti "HAMBA" manakala bangsa asing yg kaya-raya pula menjadikan "TUAN" itu sebagai hamba mereka yg boleh dibeli dengan wang ringgit bagi mendapatkan apa sahaja yg mereka hajati.
    Ambil sahaja satu contoh yg paling dekat dgn rakyat Melayu marhaen iaitu soal pemilikan tanah.
    Kalau dulu kita kata pemilikan tanah di kawasan bandar dikuasai bangsa asing kerana Melayu tidak lagi mampu memilikinya disebabkan harga yg terlalu mahal.
    Namun kini, tanah-tanah di luar bandar termasuk di hutan belantara, bukit-bukau malahan banjaran gunung sekalipun sudah dikuasai bangsa asing (dari segi nisbah keluasan tanah milik mereka berbanding Melayu).
    Sebahagian tanah-tanah itu asalnya diteroka secara haram berpuluh-puluh ekar seorang oleh bangsa asing sebelum diberikan hakmilik sedangkan Melayu yg meneroka tanah haram seekar dua terus dikenakann tindakan.
    Malah saya sendiri yg cuma mengusahakan sangkar ikan Patin di Sg Pahang seluas sekangkang kera juga sudah dua kali diberi notis oleh Pihak Berkuasa Negeri (Pejabat Tanah Daerah Temerloh) untuk merobohkan sangkar ikan Patin saya itu sedangkan beratus-ratus ribu hektar tanah yg diteroka secara haram oleh bangsa asing di seluruh Pahang termasuk di Daerah Bentong dan Raub, bukan sahaja dibiarkan tetapi akhirnya diberikan hakmilik!
    Itu baru satu contoh - belum lagi dalam soal penguasaan kekayaan ekonomi negara!
    Persoalannya bagaimana perkara itu boleh berlaku sedangkan kuasa pemerintahan negeri, kuasa politik dan kuasa pentadbiran tanah di daerah-daerah itu diterajui oleh orang Melayu sendiri?
    Lebih menyedihkan ada agensi dan malah parti politik Melayu sendiri yg dikurniakan tanah, menjual pula tanah itu kepada bangsa asing!
    Inilah realiti sedih bangsa Melayu yg selama ini ditutup oleh "TUAN-TUAN MELAYU KLEPTOKRAT" dgn momokan kononnya Melayu yg menegur kepincangan mereka itu sebagai penderhaka kepada pemerintah dan penderhaka kepada bangsa!
    Bagi saya mereka yg berani menegur kepincangan itulah PEJUANG & WIRA MELAYU sebenar!

    Khaidir Ahmad
    Melayu Marhaen
    Temerloh, Pahang
    28 Oktober 2018

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ini adalah Ketuanan Melayu mengikut tafsiran pengkomen, tafsiran orang lain berbeza pula. Dan sampai bila orang Melayu sahaja yang nak ditegur? Dalam Malaysia ni ada orang Melayu sahajakah? Apa kaum lain tiada terlibat dalam kepincangan dan penguasaan kekayaan ekonomi negara?

      Nak tegur tegur semua lah, biar semua kena, semua rasa. Orang Melayu tak semua baik tak semua teruk. Kaum lain pun tak semua baik tak semua teruk. Simple.

      Padam
    2. Tapi yg kerja pejabat2 tanah tuu kebanyakkn org melayu..klau noob mohon tnh mmg byk sgt karenah bila toke2 besar cpt jerr lulus..ini cumA contoh kecil saja dn byk lagii kes2 seumpamanya..

      Padam
    3. Kerja tanah kepala bapak ko. Hanatt

      Padam
  2. Parti PHundek ni xhbs2 nak bangkit isu sensitiviti org mlayu. Isu raja2, lgbt, khalwat. Mmg melingkup la korang next pru.

    BalasPadam
  3. Ni la akibat nya apabila budak wicet di lantik jd menteri. Baru ni heboh gambar separuh bogel dlm bathtube. Ni suma atuk kerala punya psl. Bila Nyanyuk dia dtg ntah sapa2 dia lantik jd menteri. Mat sabu yg cuma ada pengalaman dlm masak memasak tu pun boleh di lantik jd ketua tentera. Mmg jahanam la negara.. Bila la si atuk ni nak mampus.

    BalasPadam
  4. Tapi kita jgn lupa yg keturunan syed mmg xleh diperchaya..🤔🤔🙃😛

    BalasPadam
    Balasan
    1. syed time ni ngaku melayu tp bila nak kawen nak cari sharipah. kalau syed ada anak perempuan kena kawen dgn syed jugak, mana pandang lelaki melayu. nak jaga keturunan nabi kononnya.

      Padam
  5. Balasan
    1. Bisjut kepala bapak ko. Lahanat

      Padam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.