Isnin, 26 November 2018

3 Kerajaan perlu menubuhkan Jabatan IT Negara

Dalam bidang Teknologi Maklumat, walaupun negara Malaysia ini boleh dikatakan sudah agak maju dan terkehadapan, hakikatnya bidang IT ini di negara kita ini masih di tahap negara pengguna, bukan negara pencipta.

Kita masih banyak menggunakan perisian, perkakasan, peralatan, perkhidmatan web, permainan digital dan lain-lain produk ICT dari negara luar seperti Google, Facebook, Microsoft, iPhone, Samsung, HP, Sony Playstation, Grab dan sebagainya, berbanding produk ICT keluaran tempatan. Ia sama ada sangat sedikit atau tiada langsung produk IT tempatan.

Ada tak komputer berjenama tempatan? Masih adakah telefon pintar jenama tempatan? Wujudkah konsol permainan video jenama tempatan? Berapa ramai orang main permainan digital yang dihasilkan syarikat tempatan?


Mungkin ada sikit atau pernah wujud produk IT tempatan suatu masa dulu, tapi hakikatnya ia tak pernah bertahan lama kerana kurangnya sambutan oleh rakyat kita sendiri. Mungkin kerana produknya tidak berkualiti, harganya mahal atau sama sahaja dengan produk lain yang jenamanya sudah kukuh, atau pengguna sendiri tidak yakin dengan produk tempatan.

Dalam kerajaan sendiri, berapa banyak projek IT yang dibangun atau menggunakan produk tempatan? Macam mana kita nak memperkasa dan membudayakan pembangunan bidang IT tempatan kalau kerajaan juga tidak menjadi pemangkin dan pencetus kepada revolusi digital?

Negara kita ada banyak kepakaran dan golongan profesional dalam bidang IT, kenapa negara kita masih terlalu banyak bergantung kepada produk jenama luar dan tidak boleh membangunkan produk IT kita sendiri?

Sekarang dah tahun 2018, tak lama lagi dah tahun 2020, sedangkan revolusi teknologi maklumat ini sudah bermula sejak 30-40 tahun yang lalu. Sampai bila kita hendak terus kekal dan berbangga sebagai negara pengguna dalam industri IT? Kalau kita ubah apa-apa dari sekarang, tak mustahil sampai tahun 2050 pun kita masih terus hanya menggunakan produk IT dari luar.

Antara salah satu sebab kenapa negara kita sukar menjadi negara pencipta dalam bidang IT adalah kerana kita tiada sebuah Jabatan IT Negara yang mengurus, merancang dan mentadbir segala benda berkaitan hal ehwal Teknologi Maklumat, seperti mana negara-negara maju lain seperti UK, Korea Selatan, US dan sebagainya. Yang mengawalselia bidang IT dalam kerajaan sekarang cuma ada MAMPU, sebuah agensi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang mana fungsinya terhad dan tidak meluas.

Kebanyakan bidang kerja profesional dah ada jabatan dan badan profesional mereka sendiri. Akauntan ada Jabatan Akauntan Negara. Peguam ada Jabatan Peguam Negara. Jurutera ada Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Jurutera Malaysia. Artikek ada Lembaga Arkitek Malaysia. Profesional IT sahaja tiada jabatan sendiri.

Aku yakin jika kerajaan menubuhkan Jabatan IT Negara, ia pasti akan menjadi titik tolak kepada pembangunan IT di Malaysia ke arah yang lebih baik, dan negara kita bukan hanya sekadar mencapai kemajuan dalam bidang IT sebagai negara pengguna, malah boleh turut menjadi negara pencipta dan pembangun dalam bidang IT sehingga dikenali dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Untuk tujuan itu, terdapat sekumpulan individu yang peka dan prihatin tentang hal ini telah memulakan sebuah petisyen agar pihak kerajaan menubuhkan Jabatan IT Negara seperti petisyen di bawah:


PETISYEN: KERAJAAN PERLU MENUBUHKAN JABATAN IT DAN MELANTIK KETUA PERKHIDMATAN DARIPADA PROFESIONAL IT


PENGENALAN

Keputusan kabinet berkenaan perpindahan MAMPU ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui surat bertajuk Cadangan Rasionalisasi Struktur Jabatan Perdana Menteri bertarikh 28 Jun 2018 dilihat sebagai reformasi baharu ke arah meningkatkan daya saing Teknologi Maklumat (IT) Sektor Awam. Ia seiring dengan fungsi agensi berteraskan IT lain yang diletakkan di bawah KKMM seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Namun begitu, arahan bertarikh 12 Oktober 2018 untuk mengekalkan MAMPU kembali di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui surat bertajuk Perakuan Pindaan Waran Perjawatan Berikutan Perubahan Semula Senarai Agensi di bawah Program Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tahun 2018, telah menimbulkan tanda tanya kepada banyak pihak.

Keputusan mengembalikan fungsi teras IT di bawah MAMPU dilihat tidak seiring dengan amalan terbaik negara maju seperti di United Kingdom melalui Government Digital Service, Australia melalui Digital Transformation Office, Singapura melalui Govtech dan Korea Selatan melalui National Computing and Information Service.

Prestasi perkhidmatan dalam talian negara tersebut dilihat lebih signifikan dan berdaya saing dengan meletakkan ICT sebagai satu entiti yang berautoriti bagi menjalankan aktiviti khusus berkaitan penyelidikan dan pembangunan berkaitan ICT. Model ini seharusnya diadaptasi di Malaysia bagi memastikan prestasi perkhidmatan IT kerajaan yang lebih baik ke arah pembangunan yang mapan.

RESOLUSI

Sehubungan dengan itu, kami mendesak agar pihak kerajaan mengkaji semula keputusan ini dengan menimbangkan dua (2) resolusi utama yang didatangkan bersama petisyen ini iaitu:

#1 MENUBUHKAN JABATAN IT

Jabatan IT sebagai sebuah entiti yang berautoriti secara khusus dengan memberi fokus kepada reformasi pendigitalan sistem penyampaian kerajaan meliputi aktiviti berkaitan penggubalan akta/dasar/polisi, penyelidikan, pembangunan, pelaksanaan dan penguatkuasaan program di bawah Pelan Pendigitalan Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 11 Oktober 2017 serta aktiviti berkaitan IT Sektor Awam.

Jabatan IT juga berperanan penting bagi menyelaras aktiviti tersebut merentasi kementerian dan agensi. Menerusi Jabatan IT, perkhidmatan dapat dikoordinasi dengan lebih baik serta mengatasi pertindanan dan birokrasi di antara agensi seterusnya mengembalikan semula tahap penerimaan dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan dalam talian kerajaan.

#2 MELANTIK KETUA PERKHIDMATAN DARIPADA PROFESIONAL IT

Sektor IT kerajaan hendaklah diterajui oleh Ketua Perkhidmatan dari kalangan Pegawai Skim Teknologi Maklumat (F) dan dianggotai oleh pegawai profesional yang berpengetahuan di dalam bidang IT.

Ia penting bagi memastikan keputusan dasar yang lebih tepat dan realistik seiring dengan tuntutan semasa rakyat dan perubahan pantas ekosistem perkhidmatan kerajaan serta memacu profesionalisma Skim Perkhidmatan Sistem Maklumat. Pada ketika ini, bilangan pegawai Skim Perkhidmatan Sistem Maklumat yang dipusatkan di MAMPU telah melebihi 10,000 orang.

PENUTUP

Kami menyokong penuh dasar dan kemimpinan baharu kerajaan yang dilihat lebih proaktif memperkasa fungsi perkhidmatan awam ke arah pembangunan negara yang mapan. Kami percaya Malaysia Baharu memerlukan reformasi perkhidmatan awam yang holistik dengan memperkukuh fungsi IT Sektor Awam. Dengan usaha bersepadu kami yakin Wawasan 2025 untuk kembali meletakkan Malaysia di landasan negara maju bakal tercapai.

Oleh itu aku mohon sokongan korang semua untuk sign petisyen ini di pautan berikut: https://www.change.org/p/government-of-malaysia-kerajaan-perlu-menubuhkan-jabatan-it-dan-melantik-ketua-perkhidmatan-drpd-profesional-it

Suara korang amat diperlukan agar penubuhan Jabatan IT Negara dapat direalisasikan. Aku harap korang dapat luangkan sedikit masa korang untuk sign petisyen tersebut.

Semoga industri IT tempatan terus maju dan maju.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.

https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: petisyen petition jabatan it negara malaysia penubuhan profesional it ict kerajaan skim f pegawai teknologi maklumat negara pencipta pengguna

3 ulasan:

  1. Byk juga penganguran dlm bidang it nii noob..setahun beribu keluar tpi ruang kerja plk xde..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sebab tu kena sokong penubuhan Jabatan IT ni, supaya industri IT semakin berkembang, peluang pekerjaan dalam bidang IT pun semakin banyak. Jangan lupa sign petisyen tu ye.

      Padam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.