Khamis, 4 April 2019

1 Nak jadi Youtuber atau atlet e-Sukan? Fikir semula

PENGENALAN

1. Bidang pekerjaan bagi aku ada dua kategori, iaitu pekerjaan konvensional dan bukan konvensional.

2. Pekerjaan konvensional ini lebih kurang macam kerja makan gaji, sama ada berstatus tetap atau kontrak, tak kisahlah sama ada kerja peringkat bawahan atau pun atasan, bidang profesional atau sebaliknya. Biasanya kerjaya makan gaji ni gaji dah tetap, gaji akan dibayar setiap hujung bulan serta ada caruman KWSP atau pencen dari majikan.

3. Antara pekerjaan konvensional ini adalah guru, doktor, jurutera, arkitek, pengaturcara, pegawai kerajaan, polis, tentera, operator kilang, kerani dan lain-lain jawatan yang dibayar gaji bulan oleh majikan.

4. Manakala pekerjaan bukan konvensional adalah kerjaya bukan makan gaji atau kerja sendiri. Pendapatan yang diperolehi tidak tetap, bergantung pada situasi.


5. Antara pekerjaan bukan konvensional adalah:
  • Peniaga yang pendapatannya bergantung kepada keuntungan jualan.
  • Pekerjaan yang pendapatannya bergantung pada penghasilan projek seperti penulis buku dan pelukis freelance.
  • Kerjaya yang pendapatan bergantung pada hasil upah melakukan suatu kerja seperti tukang urut, pemandu Grab, penyanyi dan pelakon.
  • Kerjaya yang pendapatannya bergantung pada elaun penajaan dan hadiah kemenangan pertandingan seperti pemain badminton, atlet e-sukan dan sebagainya.

6. Biasanya sejak dari kecil lagi kita sudah dibentuk agar memperoleh pekerjaan konvensional. Laluan pendidikan kita pun biasanya ke arah itu; bermula dengan sekolah rendah > sekolah menengah > universiti > kerja makan gaji. Tak ramai yang mempunyai hasrat untuk mengejar kerjaya bukan konvensional, memandangkan pekerjaan konvensional mempunyai lebih banyak 'job security'.


PERBEZAAN KERJAYA KONVENSIONAL VS BUKAN KONVENSIONAL

7. Antara perbezaan pekerjaan konvensional dan bukan konvensional adalah pekerjaan konvensional mempunyai pendapatan tetap, waktu kerja dan tempat kerja telah ditetapkan, ada cuti tahunan dan cuti sakit, ada insurans pekerjaan, ada caruman KWSP/pencen, manakala pekerjaan bukan konvensional biasanya tidak mempunyai pendapatan tetap, waktu kerja dan tempat kerja yang tidak tetap, cuti sendiri yang tetapkan, tiada insurans pekerjaan, tiada caruman KWSP melainkan atas inisiatif diri sendiri.

8. Pendek kata, pekerjaan konvensional ini semua benda dah ditetapkan oleh majikan, jadi kita cuma buat sahaja kerja kita. Berbanding dengan pekerjaan bukan konvensional, kita kena lebih banyak berdikari kerana tiada orang yang tetapkan untuk kita. Kitalah kena buat kerja, urus pekerja, urus kewangan, urus cuti, urus disiplin. Kalau kita rajin dan pandai dapatkan peluang, banyaklah yang kita akan banyak. Kalau kita malas, sikitlah yang kita akan dapat. Disiplin kena datang dari diri sendiri.

9. Jadi untuk 'survival', kerja bukan konvensional lebih sukar dan mencabar. Mungkin ada orang yang kerja makan gaji rasa lebih mudah untuk buka bisnes atau bawa Grab kerana merasakan pendapatan yang diperolehi lebih banyak, waktu bekerja pun tak terikat, tak perlu hadap karenah bos dan pekerja lain. Hakikatnya, ia tidak semudah itu.


10. Kalau orang kerja makan gaji boleh bangun jam 6 pagi sebab kena masuk kerja jam 8 pagi, orang yang berniaga jual nasi lemak kena bangun seawal 3/4 pagi untuk siapkan makanan yang perlu dijual jam 7 pagi. Pemandu Grab pula kena bangun jam 5 pagi dan mula bekerja jam 6 pagi cari penumpang kalau nak dapat rezeki lebih.

11. Kalau orang kerja makan gaji kena hadap karenah bos, kakitangan, pelanggan, orang kerja sendiri pun sama juga kena hadap karenah pelanggan, penumpang dan lain-lain. Sebab tu tak semua orang yang dah biasa dengan kerja konvensional boleh tukar buat kerja bukan konvensional.

12. Cuma untuk generasi baru sekarang ada beberapa pekerjaan bukan konvensional yang jadi pilihan mereka, malah ada juga di kalangan pelajar sekolah yang tidak lagi utamakan pelajaran dan akademik kerana bercita-cita mahu jadi Youtuber, atlet e-sukan, penyanyi dan yang sewaktu dengannya. Alasannya, ramai Youtuber, atlet e-sukan dan penyanyi sudah berjaya dan jadi kaya raya. Bila baca kat berita ada Youtuber Malaysia raih RM300,000 sebulan, terus kita pun nak jadi Youtuber.

13. Tak dinafikan jadi Youtuber, atlet e-sukan, penyanyi dan lain-lain pekerjaan bukan konvensional boleh jana pendapatan yang banyak, hakikatnya tidak mudah, malah bukan semua orang yang akhirnya boleh berjaya dalam bidang itu malah lebih banyak risikonya.


CABARAN KERJAYA YOUTUBER

14. Macam Youtuber, pendapatan yang diperolehi juga taklah tetap sebab ia bergantung pada views bulanan. Kalau video kau banyak views bulan tu, banyak la dapat. Kalau tak banyak views, kurang la pendapatan. Aku sendiri pernah ada channel Youtube buat video parodi dan meme, malah pernah sekali dapat sampai USD500 (RM2000+), sebelum Youtube banned monetization kat channel aku bulan lepas atas sebab 'reused content'.

15. Bila aku cari di Youtube, banyak juga channel dah kena banned selepas Youtube dah ketatkan peraturan monetization mereka sejak beberapa tahun ini. Malah ada juga Youtuber sepenuh masa terus hilang kerja selepas channel dia yang dah bertahun-tahun diusahakan kena banned begitu sahaja. Aku mujur juga lah buat video Youtube part-time je, kalau full-time mau meraung lah juga.

16. Bila channel dah kena banned, nak kena buat channel baru perlu bermula balik dari awal. Kena rajin buat content yang original dan menarik, tak boleh guna content orang lain, kena pula cari banyak subscribers, kena raih views yang banyak, baru boleh mohon balik untuk monetize.


17. Sudahlah syarat nak layak dapat hak monetization pun dah ketat. Channel kena ada minimum 1,000 subscribers, jumlah tontonan 10,000 views untuk semua video, sekurang-kurangnya 4,000 jam tontonan dalam tempoh 1 tahun. Itupun masih tertakluk pertimbangan dan peraturan Youtube. Kalau artis mungkin senang nak lepas syarat asas dia, kalau orang biasa?

18. Nak buat video Youtube yang original pula bukannya mudah, kena labur banyak masa, usaha, tenaga dan wang ringgit. Lepas tu bila penat-penat buat, yang tengoknya cuma beberapa orang je, langsung tak berbaloi. Itulah kesusahan dan risiko jadi Youtuber.

19. Ya, memang kita boleh jana pendapatan dengan Youtube tapi tiada 'job security'. Youtube  boleh bila-bila masa ubah peraturan mereka dan tarik balik hak monetization. Kalau di Malaysia ada pekerja kena pecat dengan notis 24 jam, kita boleh lawan balik dan buat laporan pada pihak berkuasa. Tapi kalau hak monetization Youtube tiba-tiba kena tarik, nak ambil tindakan undang-undang pun susah sebab mereka syarikat yang berpangkalan di US.


CABARAN KERJAYA ATLET E-SUKAN

20. Begitu juga dengan atlet e-sukan. Sebab ramai yang suka main game, terus rasa nak jadi pemain e-sukan profesional. Pertama, nak jadi pemain e-sport bukan mudah. Saingannya terlalu ramai sebab begitu ramainya orang main game zaman sekarang. Nak jadi pemain catur, badminton, squasy, boling dan golf profesional lagi mudah sebab pesaingannya tak banyak macam pemain game. Mungkin nisbahnya 1 dari 100 orang bermain sukan, tapi orang yang main game ni nisbahnya 1 dari 5 orang.

21. Jadi katakan ada 100,000 orang Malaysia yang main sesebuah game, kau kena jadi 5 pemain terbaik dari 100,000 orang. Malah kalau dapat jadi pemain e-sukan profesional pun, tak banyak liga dan kejohanan e-sports di Malaysia, jadi terpaksalah bertanding di peringkat antarabangsa yang rata-rata lebih ramai pemain yang jauh lebih hebat.

22. Lagipun jangka hayat karier pemain e-sukan ni biasanya tak lama sebab trend dan populariti sesebuah game tu cepat berubah. Suatu ketika dulu pada awal tahun 2000-an, e-sports yang popular adalah seperti Starcraft, Warcraft 3 dan Counter Strike yang melahirkan ramai pemain esport bagi permainan-permainan tersebut.

23. Namun bila game tersebut sudah lama dan muncul lagi game baru yang lebih popular seperti Starcraft 2, DOTA2, LoL dan CS:GO, dan kini muncul pula game-game bergenre Battle Royale seperti PUBG, Fortnite dan APEX Legend, lalu muncullah lebih banyak pertandingan dan kejohanan untuk game-game yang baru menggantikan game-game lama.


24. Jadi nak tak nak pemain profesional game yang sudah lapuk ini sama ada perlu belajar dan berlatih bermain game yang baru yang dipertandingkan untuk kekal relevan, atau terpaksa bersara terus dari arena profesional. Kebanyakan pemain game profesional luar negara mula jadi pemain pro pada usia 14 atau 15, dan bersara pada umur sebelum mencecah 30 tahun. Jadi lepas bersara nak buat apa?

25. Berbanding sukan lain seperti bola sepak, badminton dan sebagainya, pemain profesional boleh aktif sehingga umur menjangkau 40, malah selepas bersara dari menjadi pemain profesional, mereka boleh menyambung kerjaya dalam bidang kejurulatihan dan sebagainya, kerana sukan yang dimain itu tetap sama, peraturan sama, cara bermain sama, tidak berubah dek zaman.

26. Bagi pemain e-sports yang telah bersara pula, agak sukar untuk menyambung kerjaya dalam bidang yang sama seperti menjadi jurulatih dan sebagainya, kerana jangka hayat sesebuah game itu sendiri pendek.

27. Juara dunia pertandingan game Pacman pada 30 tahun lepas, macam mana nak jadi jurulatih game Pacman jika sekarang tidak lagi diadakan pertandingan kompetitif game Pacman? Pemain profesional PUBG sekarang belum tentu dapat kekal lama dengan game PUBG, kerana mungkin 10 tahun akan datang kejohanan PUBG tidak lagi diadakan dan digantikan dengan game baru yang lain yang lebih popular pada ketika itu.

28. Dari segi pendapatan juga tidak tetap kerana ia bergantung kepada kemenangan dalam sesebuah pertandingan. Kalau berjaya jadi johan dapat 1 2 juta tu untunglah. Tapi kalau peringkat saringan pun dah tak lepas?

29. Lagipun market game kat Malaysia ni tak besar. Kalau kat luar negara tu industri game tu besar dan luas, kalau tak jadi pemain esports profesional pun, bolehlah kerja jadi game developer, game designer, game streamer, game announcer dan sebagainya. Kat Malaysia? Jadi game streamer nak dapat 1,000 views pun susah, jangan cerita 1 juta views.


KERJAYA BERASASKAN TREND

30. Begitu juga dengan pekerjaan bukan konvensional lain yang biasanya bergantung pada trend dan populariti seperti penyanyi, pelakon, social media influencer dan sebagainya. Jangka hayat karier tak panjang. Nak naik susah, sangat susah. Lepas tu bila dah berjaya, nak kekalkan momentum untuk suatu tempoh yang lama juga susah. Silap-silap popular setahun dua je, lepas tu orang dah mula lupakan kau.

31. Social media influencer, penyanyi, pelakon dan selebriti yang sangat popular 10 tahun lepas, belum tentu masih popular sekarang. Jangan kata 10 tahun, 3 tahun pun belum tentu dapat kekalkan populariti.


32. Banyak artis yang popular beberapa tahun lepas, yang sering keluar di kaca TV, yang lagunya sering berkumandang di radio, sekarang dah sunyi sepi. Youtuber yang dulu mudah-mudah je dapat 1 juta views, kini nak dapat 100,000 views pun susah. Facebook page yang popular pada beberapa tahun lepas, yang mudah dapat beribu-ribu Like dan Share, sekarang ini hidup segan mati tak mahu.

33. Kalau ketika tengah popular, ramai orang cari nak bayar promote produk, orang bayar show 1 jam beribu-ribu, orang bayar panggil masuk rancangan TV dan radio, tapi bila dah tak popular, orang dah tak cari kita, bayar show pun ciput. Sebab tu orang yang full-time buat kerja yang bersandarkan trend ni, masa tengah popular kena banyak untuk menyimpan, melabur dan buat bisnes sebagai jaminan apabila sudah tidak lagi popular di masa depan.


KESIMPULAN

34. Jadi saranan aku, terutama bagi budak-budak muda yang masih bersekolah dan baru habis sekolah, jangan terus berangan nak terjun dalam kerjaya bukan konvensional. Usaha untuk dapatkan dulu pekerjaan konvensional. Dalam masa yang sama, boleh berjinak-jinak buat pekerjaan bukan konvensional secara part-time.

35. Buatlah video sketsa lawak kat Youtube ke, masuk pertandingan esports ke, pertandingan Beyblade ke, pandu Grab ke, post nyanyian kat Youtube ke, tulis novel ke, buat komik ke, jual produk ke, buka kerja freelance ke dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kalau kerjaya part-time kita tidak berapa berjaya atau menghadapi masalah, kita masih ada kerja full-time makan gaji yang boleh menampung kehidupan seharian.

36. Sehinggalah pendapatan kerja bukan konvensional part-time kita itu melebihi pendapatan kerja konvensional full-time kita, barulah kita boleh pertimbangkan untuk berhenti kerja makan gaji dan fokus pada kerja bukan konvensional jadi full-time. Ini adalah realiti kehidupan di Malaysia. Jangan banding dengan negara lain, kerana di negara lain mungkin lain caranya. Cubalah juga untuk dapatkan kerja yang konvensional.

37. Tapi sementara masih tak dapat kerja konvensional yang diharap-harap dan ditunggu-tunggu tu, jangan terus menunggu dan tak buat apa-apa, bolehlah rajin-rajinkan diri buat kerja bukan konvensional. Cari ilmu, timba pengalaman, tambah pendapatan. Mana tahu tiba-tiba ada rezeki, boleh teruskan sahaja buat full-time dalam bidang bukan konvensional tersebut.

38. Akhir kata, ulasan dan nasihat ini hanya untuk raykat marhaen dari golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana sahaja. Jika ibu bapa anda seorang ahli perniagaan, selebriti popular, keluarga kerabat, ahli politik, menteri, pegawai tinggi kerajaan, ada syarikat sendiri, ada tanah berekar-ekar, rumah sewa 10 biji, maka abaikan sahaja. Anda mewarisi kekayaan keluarga, buatlah apa sahaja kerja yang anda mahu.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.

https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: mahu jadi cara teknik panduan youtuber youtube pemain atlet esukan esports player professional profesional full time sepenuh masa cabaran konventional kerja kerjaya pekerjaan tradisional job career conventional non 

1 ulasan:

  1. Tu laa
    Dulu monetize sekarang
    Kene 1000 sub
    Nasib buat video suka2 je

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...