Rabu, 10 April 2019

3 Kerajaan PH bakal kerajaan sepenggal suatu analisa


1. Suatu ketika dahulu, aku pernah menulis bagaimana PH boleh terus kekal berkuasa dalam tempoh yang lama selepas memenangi pilihan raya. Namun tatkala usia kerajaan PH semakin hampir menyambut ulang tahun yang pertamanya, aku yakin kerajaan PH akan kalah pada PRU15 dan bakal menjadi kerajaan sepenggal sahaja.

2. Pandangan aku ini bukanlah bermaksud aku menyokong parti pembangkang BN atau PAS, sebaliknya hanya suatu pemerhatian dan analisa aku terhadap lanskap politik sejak kebelakangan ini.


3. Kesilapan pertama kerajaan PH adalah kegagalan mereka mengekalkan momentum kegembiraan, keseronokan dan harapan rakyat seperti mana ketika mereka baru memenangi PRU14. Sewaktu dalam tempoh seminggu dua selepas PRU14 dahulu, aku dapat rasakan semangat rakyat yang berkobar-kobar selepas jatuhnya sebuah kerajaan yang telah memerintah selama lebih 60 tahun.

4. Aku ingat lagi bagaimana gembiranya rakyat ketika itu melihat pemimpin-pemimpin kerajaan lama didakwa, dibawa ke mahkamah, rumah dan pejabat digeledah sehingga terjumpa pelbagai penemuan yang tidak pernah kita sangka.

5. Aku ingat lagi betapa bangganya rakyat Malaysia akhirnya dapat membuat sebuah perubahan dalam sebuah negara demokrasi, malah sanggup menyumbang dan menderma wang ringgit demi untuk mengurangkan hutang negara.

6. Aku ingat lagi bagaimana sedih dan kecewanya ramai penyokong kerajaan lama, yang rata-rata hanya diam dan tidak mampu bersuara melihat betapa sugulnya wajah pemimpin-pemimpin mereka.

7. Namun tak sampai beberapa minggu, keseronokan rakyat mula berubah menjadi kekecewaan, apabila ramai pekerja kerajaan kontrak ditamatkan perkhidmatan begitu sahaja, banyak projek dibatal dan ditangguh sehingga ada syarikat terpaksa memberhentikan pekerja mereka, sedangkan ada di kalangan mereka yang turut sama mengundi memenangkan PH menjadi kerajaan baru.

8. Hal ini membuatkan ramai orang rasa tertipu dan dikhianati. Tambah lagi banyak janji yang tidak berjaya ditunaikan dan dilaksanakan menambah lagi kedukaan dan kekecewaan rakyat yang begitu berharap inginkan suatu perubahan yang baik.

9. Perangai barisan menteri dan pemimpin kerajaan juga tidak ubah seperti menteri dan pemimpin kerajaan terdahulu, dengan sikap yang sombong, sukar didekati, tambah lagi dengan pelbagai kenyataan dungu dikeluarkan, menimbulkan persoalan buat apa tukar kerajaan kalau apa yang kita dapat sama sahaja malah mungkin lebih teruk?

10. Kesilapan seterusnya adalah apabila kerajaan PH banyak melakukan kesilapan dan lambat pula menghukum pemimpin kerajaan lama yang dituduh melakukan kesalahan dan korupsi, sehingga akhirnya ia memakan diri sendiri. Pihak pembangkang kini bijak mengambil peluang menggunakan kesilapan kerajaan sebagai modal untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka.

11. Namun kesilapan terbesar kerajaan PH adalah apabila mereka menimbulkan pelbagai kontroversi terhadap 3 perkara ini, iaitu Melayu, Islam dan Institusi Beraja. Cakaplah apa pun, realitinya formula untuk kekal berkuasa sebagai kerajaan di negara Malaysia ini ada 3 sahaja, iaitu jaga Melayu, Islam dan Institusi Beraja.

12. Dengan formula ini pun lah BN yang diketuai UMNO boleh kekal berkuasa selama 60 tahun, kerana parti UMNO lah satu-satunya parti yang selama ini dilihat sebagai pembela dan pejuang Melayu, Islam dan Institusi Beraja.

13. Sebab itu tak kisahlah kalau pemimpin dari parti itu ada isu moral, korupsi, kronisme, nepotisme, kleptokrasi, salah guna kuasa dan sebagainya, mereka tetap dapat bertahan sebagai kerajaan selama 60 tahun, kerana majoriti orang Melayu tetap akan sokong mereka.

14. Berbeza dengan kerajaan baru ini yang mana turut dianggotai parti DAP yang rata-rata tidak disukai oleh orang Melayu, mereka dilihat tidak begitu menjaga kepentingan Melayu, Islam dan Institusi Beraja dengan timbulnya isu-isu seperti sumbangan kewangan kepada kolej swasta dan sekolah persendirian Cina, pengiktirafan UEC, tender kerajaan terbuka termasuk bukan bumiputera, perjanjian ICERD, Statut Rom, hibah Tabung Haji yang rendah dan sebagainya.

15. Malah pergeseran di antara PM Tun Mahathir dengan Tengku Mahkota Johor juga dilihat tidak memberi apa-apa keuntungan kepada kerajaan PH, kerana orang Melayu ini walau apa pun rata-rata lebih memihak kepada raja berbanding ahli politik, seperti mana yang tertera dalam Rukun Negara iaitu "Kesetiaan kepada Raja dan Negara", bukan "Kesetiaan kepada Ahli Politik".

16. Bukan tak boleh nak buat dan iktiraf sesuatu yang baru, tapi nampak macam gelojoh dan drastik sangat. Kerajaan tak sampai 1 tahun tapi macam-macam nak ubah dan iktiraf, sedangkan manifesto banyak lagi benda tak tertunai.

17. Itu belum kira macam-macam cukai yang diperkenalkan lepas dah mansuh GST. Cukai SST, cukai hiburan, cukai gula, cukai latihan, cukai digital, levi pelepasan dan macam-macam lagi. Kalau macam ini lebih baik kekal je dengan GST.

18. Walaupun begitu tak dinafikan kerajaan baru ini mahu mengubah dan mereformasikan tadbir urus, sistem perundangan, kehakiman, pendidikan, kesihatan, kewangan dan sebagainya ke arah yang lebih baik.

19. Malah ada juga pemimpin yang berkaliber dan disayangi oleh sekelompok masyarakat seperti Menteri Pendidikan Dr. Maszlee, yang mana walaupun beliau sering dilabel dan dikecam oleh warganet, namun realitinya beliau cukup disayangi dan disenangi oleh golongan guru dan pendidik.

20. Tapi kerajaan buatlah apa pun usaha yang baik, nak membanteras rasuah, meningkatkan integriti, menurunkan kos sara hidup, memperbaiki ekonomi, membongkar penyelewengan, kebebasan media dan sebagainya, tapi bila 3 perkara ini disentuh sehingga orang Melayu rasa terancam dan tergugat, terus checkmate.

21. Sekarang ini apa sahaja kebaikan yang kerajaan PH telah buat dan akan buat, belum cukup untuk mengembalikan sokongan dan keyakinan rakyat kepada parti PH, kerana sentimen rakyat Malaysia terhadap kerajaan PH sudah berubah.

22. Kalau dulu ada ramailah juga warganet yang nak pertahankan kerajaan PH bila berlaku apa-apa isu di media sosial, tapi sekarang ini mereka nak pertahankan pun rasa segan dan malu sebab tak mahu dihentam, dikecam dan ditroll oleh penyokong pembangkang dengan gelaran-gelaran seperti mahacai, hancing, penjilat, raykat, keldai dap dan macam-macam lagi.

23. Jadi nak tak nak kalau nak kekal lama berkuasa, kerajaan PH kena jadi macam BN, kena jaga kepentingan Melayu, Islam dan Institusi Beraja, tanpa menindas dan menidakkan hak kaum dan agama lain. Jangan kerana terlalu nak mengejar undi golongan minoriti, hilang undi golongan majoriti.

24. Tambah lagi dengan kerjasama UMNO-PAS yang dilihat sebagai pembunuh undi parti pembangkang. Matematiknya mudah, ratio pengundi masa PRU14 dulu lebih kurang 5:4:3, di mana PH - 5, BN - 4 dan PAS - 3. Memandangkan undian PH paling banyak di antara 3 parti besar yang bertanding, maka PH menang dan bentuk kerajaan.

25. Bayangkan jika PRU15 nanti BN dan PAS bersatu dan bergabung, ratio undian akan jadi 5:7 di mana PH - 5 dan BN+PAS - 7. Itu pun kalau PH tak hilang langsung sokongan. Kalau hilang, ratio mungkin 4:8 atau 3:9, dan PH masih tertinggal di belakang BN+PAS. 

26. Andai kata kerajaan PH masih tidak sedar akan hal ini, masih "in denial mode" dan tidak mahu berbuat sesuatu untuk mengubah situasi, aku yakin kerajaan PH akan jadi kerajaan sepenggal. Mereka sendiri patut dah boleh rasa yang sokongan rakyat terutama orang Melayu kepada mereka semakin berkurangan. Malah peristiwa kerajaan sepenggal PH ini bakal memastikan penguasaan BN untuk tempoh 60 tahun lagi.

27. Ambil contoh peristiwa 13 Mei 1969, walaupun 50 tahun telah berlalu, namun ia masih lagi dijadikan modal penyokong UMNO untuk tidak mengundi DAP dengan amaran seperti "Jangan undi DAP kalau tidak mahu peristiwa 13 Mei berulang".

28. Jadi peristiwa kerajaan sepenggal ini juga pasti akan dijadikan modal politik dengan amaran seperti "Jangan undi PH lagi kalau tidak mahu kerajaan sepenggal berulang", atau "Jangan undi PH lagi kalau tidak mahu kakitangan kerajaan diswastakan macam dulu", atau "Jangan undi PH lagi kalau tak nak hibah Tabung Haji rendah" dan sebagainya, dan ia akan berterusan sehingga 50, 60 tahun akan datang.

29. Pada 60 tahun akan datang pula, waktu itu mungkin kena ada PM macam Najib baru sokongan akan berubah memihak semula ke parti PH (kalau PH masih wujud lah). Kalau tak, kedudukan BN sebagai kerajaan sukar untuk digugat.

30. Oleh itu aku harap kerajaan PH gunakanlah peluang 4 5 tahun ini untuk memperbaiki kelemahan dalam kerajaan dan memperbetul apa-apa yang tak betul. Kalau ia dapat mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka, baguslah untuk mereka. Tapi kalau mereka kalah PRU15 sekali pun, sekurang-kurangnya tahi semua dah dicuci dan BN boleh bermula semula baru dalam kerajaan yang sudah dibersihkan. Asal jangan kutip balik tahi lama dan buat tahi baru sudahlah.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.

https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: kerajaan sepenggal pakatan harapan ph barisan nasional bn pas umno gabung bersatu dap jaga kepentingan kaum melayu islam institusi beraja raja sultan johor tmj tun mahathir tun m

3 ulasan:

  1. Analisa yang bagus kalau kita tengok tempoh setahun pemerintahan PH. Tapi nanti kena tengok juga untuk 4 tahun akan datang. Dalam tempoh tu macam2 perkara boleh jadi. Mungkin PKR keluar dari PH, mungkin PAS tak sokong UMNO, mungkin MCA gabung dengan DAP. So aku menunggu analisa dari Buasir OTak bila nak sampai ke PRU 15 nanti.

    BalasPadam
  2. Setuju. Masih jauh untuk next PRU. Macam-macam boleh berlaku. Tahun pertama belum habis pun dah macam-macam berlaku, kannn

    BalasPadam
  3. Kaum hitam dan kuning dlm DAP sgt kurang ajar..tambah pulak pemimpin melayu mcm mujahil dan mastot yg sgt hampeh..harap2 tukar kerajaan lg lah pru nnti

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...