Isnin, 1 April 2019

2 Restoran makanan segera bukan tempat belajar

1. Dulu kat restoran boleh hisap rokok. Jadi bila orang hisap rokok kat meja makan sebelah bayi pun, walaupun dari sudut moral dan etika itu buruk, tapi dari segi undang-undang ia tidak salah. Jadi paling tidak pun orang cuma boleh tegur dan viralkan sahaja, tapi kalau nak ambil tindakan undang-undang tetap tak boleh.

2. Kini orang dah tak boleh hisap rokok di restoran sebab ia dah jadi peraturan kerajaan, jadi bila ada orang merokok di kedai makan, ia bukan sahaja buruk dari sudut moral dan etika, malah ia sudah salah di sisi undang-undang. Pelaku sudah boleh dikenakan tindakan undang-undang kalau kantoi oleh penguatkuasa atau orang lapor.

3. Kita ada banyak lagi sikap dan tabiat yang buruk, yang walau ditegur dan diviral sekalipun pun, ia susah untuk diubah dan masih banyak berlaku di mana-mana. Jadi satu-satunya cara nak mengubah mentaliti dan budaya sikap buruk ini adalah menjadikan ia sebagai suatu peraturan dan larangan.

4. Antara contoh sikap buruk yang sering juga berlaku di restoran terutama restoran fast food selain dari merokok,  adalah belajar dan buat kerja di restoran terutama pada waktu puncak.

5. Bayangkan restoran tu sudahlah sesak waktu orang nak makan tengahari, meja pula terhad sampai orang terpaksa menunggu untuk duduk, tapi ada pula 2 3 meja ada orang tengah guna untuk belajar, buat kerja atau berbisnes MLM.

6. Ada pula yang tengah belajar tu hanya 2 orang, pakai earphone tak peduli dunia sekeliling lepas tu duduk kat meja besar 6 kerusi sebab nak letak kertas, buku, laptop, penuh atas meja. Lepas tu belajar sendiri-sendiri bukan nak berbincang pun. Kalau macam tu lebih baik la kau belajar kat rumah, bilik, hostel, rumah kawan, perpustakaan atau gazebo.

7. Lepas tu bila ada orang nak makan nak guna meja tapi meja penuh, mereka dengan hati keringnya buat tak tahu saja. Takde pun nak bangun dan bagi mejanya pada orang yang memerlukan. Sudahnya keluarga besar yang nak makan pula terpaksa duduk meja asing-asing sana sini sebab meja dah penuh.

8. Tak salah nak belajar, buat kerja, berbisnes kat restoran pun, tapi agak-agaklah. Janganlah duduk waktu puncak masa sarapan pagi, makan tengahari atau makan malam. Pergi lepak pukul 10 malam sampai 4 pagi, takde siapa pun peduli sebab orang tak ramai meja kosong pun bersepah. Tahu kau nak belajar, nak dapat pointer bagus, nak grad 4 flat, nak study dengan awek, tapi jangan pentingkan diri sendiri.


9. Ini samalah macam kau duduk kat kerusi khas warga emas/OKU/wanita mengandung dalam LRT sambil pakai earphone tunduk main telefon, lepas tu bila ada orang yang layak guna kerusi masuk dalam LRT, kau boleh acah-acah tak nampak atau buat-buat tidur. Langsung takde adab dan sivik.

10. Aku tak pasti orang yang salah guna kemudahan untuk golongan khas ini boleh dikenakan tindakan undang-undang ada atau tidak. Aku rasa macam takde, sebab tu orang selamba je guna. Cuba kalau ada peraturan siapa yang salahguna boleh disaman RM1,000, orang nak duduk pun tak berani.

10. Satu lagi sikap buruk di restoran makanan segera yang dah selalu orang bercakap dan viralkan di media sosial adalah lepas makan tak kemaskan sisa makanan sendiri dan tinggal je atas meja terutama di restoran fast food. Konsep layan diri ni bukan sekadar kena beratur dan ambil makan sendiri, malah termasuk kemas sendiri lepas dah makan. Cuma itulah nak ubah budaya buruk macam ni tak cukup dengan viralkan, kena juga ada peraturan baru orang akan buat.

11. Jadi aku harap kerajaan boleh kuatkuasakan peraturan seperti larangan belajar/buat kerja di restoran pada waktu puncak, atau larangan tinggalkan sisa makanan di meja, atau larangan mengambil hak golongan yang memerlukan dan yang sewaktu dengannya, barulah sikap buruk itu akan berubah sedikit demi sedikit dan akhirnya menjadi budaya yang lebih baik.

12. Mungkin ada yang tak setuju dan cakap tak guna ada peraturan sebab orang tetap akan langgar. Ya, memang pasti akan ada je orang yang tak ikut dan langgar peraturan itu, seperti larangan merokok di restoran sekarang dah ada orang mula merokok balik, tapi nak buat macam mana, orang bangang yang tak suka ikut peraturan itu tetap akan ada.

13. Sampai sekarang pun ada masih ada je orang langgar lampu isyarat, atau hisap dadah, atau merompak, atau merogol, atau dera anak dan sebagainya, walaupun dah ada undang-undang yang melarangnya. Bila dah macam tu ia bukan lagi salah undang-undang tapi salah pelakunya.

14. Peraturan ni kalau tak dapat ubah semua orang pun, sekurang-kurangnya dapat ubah ramai orang. Yang masih bebal yang sedikit tu nak buat macam mana, biarlah undang-undang sahaja yang menghukumnya.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.

https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: belajar di restoran fast food makanan segera etika empati tiada meja penuh ramai orang sesak waktu puncak mcd mcdonalds kfc starbucks


2 ulasan:

  1. Setuju sangattt..tak faham dengan orang camni..memang jenis penting diri sendiri.

    BalasPadam
  2. Beli air segelas je lepas tu minum duduk berjam2.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...