Isnin, 2 September 2019

0 Menjayakan kempen utamakan produk Muslim

1. Nampaknya kempen Buy Muslim First (#BMF) atau utamakan membeli barang dan produk orang Muslim semakin giat dijalankan semula. Sebagai seorang Muslim, aku amat sokong kempen seperti ini. Kempen ini bukan bermakna kita boikot nak jatuhkan produk kaum/agama lain, cuma kita utamakan produk orang Islam dulu untuk membantu mengukuh ekonomi orang Islam.

2. Sebab apa kita tak boikot sepenuhnya produk kaum/agama lain? Sebab di Malaysia ni, pusing sana sini mesti akan terkait antara satu sama lain. Peniaga Muslim pun ada ambil stok barang dari pemborong bukan Muslim. Peniaga bukan Muslim pun ada jual produk Muslim di kedainya. Syarikat bukan Muslim pun ada ambil orang Muslim menjadi pekerjanya, begitu juga sebaliknya. Kedai Muslim pun bukannya ada di semua tempat. Jadi kalau kita boikot sepenuhnya, ekonomi peniaga dan pekerja Muslim juga boleh terkena kesannya.


KAEDAH YANG DICADANG

3. Jadi kaedah yang dicadangkan dalam kempen BMF ini adalah seperti berikut:
  • Beli produk Muslim di kedai pemilik Muslim.
  • Jika tidak ada kedai pemilik Muslim berdekatan, beli produk Muslim di kedai pemilik bukan Muslim.
  • Jika tidak ada produk Muslim, beli produk bukan Muslim di kedai pemilik Muslim.
  • Jika tidak ada produk dan kedai Muslim, beli di kedai bukan Muslim yang pekerjanya Muslim.
  • Jika semua kriteria di atas tidak dapat dicari, terpulang kepada anda nak beli di mana.

TIADA PAKSAAN DALAM KEMPEN

4. Kalau ada rakan Muslim kita yang tak ikut kempen ini pun, terpulang. Jangan pula mencemuh dan mengeji mereka. Tiada paksaan dalam melaksanakan kempen ini. Tapi kalau tak nak ikut kempen ini pun, jangan pula menyindir dan merendahkan orang yang mahu ikut berkempen dengan perlian seperti hangat-hangat tahi ayam dan sebagainya. Yang penting usaha nak bantu saudara sesama agama tu dah ada. Agama Islam adalah agama kasih sayang jadi tak perlu mengecam antara satu sama lain.

PERANAN PENIAGA MUSLIM

5. Untuk menjayakan kempen ini, para peniaga dan pelanggan perlu memainkan peranan. Untuk peniaga terutama yang ada kedai atau menawarkan suatu perkhidmatan, benda paling utama adalah akhlak. Anda jaga adab dengan pelanggan, sentiasa murah dengan senyuman, tawarkan bantuan, tidak menipu, insya Allah tanpa ada kempen seperti ini pun, pasti ramai orang akan jadi pelanggan tetap anda.

6. Walaupun aku sokong kempen ini, namun aku sendiri ada beberapa kedai dan perkhidmatan orang bukan Muslim yang aku selalu pergi dan guna seperti bengkel kereta dan sebagainya, sebab apa? Sebab layanan mereka pada pelanggan sangat baik sampai boleh berkawan. Jadi kunci utamanya adalah jaga hubungan dan bina kepercayaan pelanggan. Kalau anda peniaga Muslim tapi muka selalu ketat, kasar dan tak bersungguh layan pelanggan, kami nak bantu pun hilang selera.

PERANAN PELANGGAN MUSLIM

7. Dan di pihak pelanggan pula, ada 2 sebab kenapa pelanggan Muslim membeli barang/perkhidmatan dari peniaga Muslim. Pertama, pelanggan Muslim ini memang ikhlas mahu sokong ekonomi Muslim. Makan di restoran Muslim, beli barang di kedai runcit Muslim, beli barang keperluan jenama Muslim.

8. Dia punya ikhlas nak tolong peniaga Muslim, sampai langsung tak pernah tawar menawar dan minta murah dari peniaga Muslim. Bila bayar tu kalau ada baki beberapa ringgit atau sen, dia suruh peniaga "keep the change". Langsung tak pernah berkira dengan peniaga Muslim. Lepas tu siap promote bisnes peniaga Muslim ni kat kawan-kawan dia. Pelanggan ikhlas nak membantu macam ni yang paling bagus.

9. Manakala jenis yang kedua, pelanggan Muslim ini beli barang/perkhidmatan dari peniaga Muslim lain semata-mata nak mengambil kesempatan, sebab dia tahu dia susah nak ambil kesempatan terhadap peniaga bukan Muslim. Dia mempergunakan sentimen saudara sebangsa dan seagama untuk ambil kesempatan.

10. Bila kawan buka bisnes, dia cakap nak bantu tapi minta murah gila-gila konon atas dasar kawan. Beli atau guna perkhidmatan dari peniaga Muslim tapi nak berhutang. Bila minta bayar hutang asyik lari dan bagi alasan. Orang tu berniaga, bukan buka bank. Nak hutang berhutang la dengan bank, pergi menyusahkan peniaga Muslim tu dah kenapa.

11. Ada seorang kawan aku pernah kena, dia buka kedai percetakan. Datang seorang penceramah motivasi kawasan setempat nak print buku motivasi dia sendiri. Dia cakap dia pergi kedai kawan aku ni sebab nak tolong Melayu, tapi dia nak bayar bulan depan. Malangnya masuk setengah tahun masih tak bayar. Setiap kali minta hutang ada je alasan, malah kawan aku tu pula yang dimarahnya.

12. Lepas tu dengan muka tak malu nak print lagi buku baru dia kat kedai kawan aku sedangkan hutang lama masih tak selesai. Cuba pergi kedai printing Cina tengok mereka bagi hutang ke tak bagi? Kita dah tolong dia, dia tindas kita pula. Nama je penceramah motivasi tapi ambil kesempatan atas kaum seagama sendiri. Memang boleh Buasir Otak bila fikir balik.

13. Seorang lagi kawan aku, ada buka bisnes dekorasi dan pengubahsuaian rumah. Datang seorang kawan lama, konon nak bagi projek buat deko kat rumah VIP. Sebab percayakan kawan lama, dia pun buat la projek kat rumah VIP tu. Lepas dah siap, kawan dia suruh minta bayaran dari VIP tu. Kawan aku tu minta bayaran kat PA VIP tu, dia suruh minta kat kawan dia tu. Last-last kena tolak sana sini kena scam dengan kawan sendiri.

KESIMPULAN

14. Jadi pokok pangkalnya, dalam kempen utamakan produk Muslim ini, dua-dua pihak sama ada peniaga dan pelanggan kena mainkan peranan. Niat kena ikhlas nak bantu satu sama lain, jaga hubungan sesama pihak, tidak menipu dan tidak mengambil kesempatan antara satu sama lain. Bantulah atas nama persaudaraan agama dan bangsa, bukan gunakan persaudaraan agama dan bangsa untuk kepentingan masing-masing.


Mohon rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):




P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.


https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: menjayakan berjaya kempen beli utama utamakan produk jenama peniaga pelanggan muslim orang islam buy first boikot kedai syarikat cina #bmf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.