Iklan Leaderboard

Rabu, 6 September 2017

1 Orang biasa cari peluang, orang hebat cipta peluang

Zaman dulu nak menjadi atau dapatkan sesuatu agak susah. Kita kena pandai cari peluang dan berharap pada orang lain. Nak cari kerja kena tunggu iklan kat suratkhabar. Nak buat bisnes kena banyak belajar, tahu jalan dan kenal ramai orang. Nak jadi penyanyi, kena pergi ujibakat, kena masuk rancangan realiti, kena kenal orang dalam. Nak jadi kartunis, kena hantar karya kat majalah komik untuk dinilai dan bersedia untuk direjek. Nak jadi penulis buku, kena tulis manuskrip dan hantar kat penerbit buku. Nak cari bakal isteri, kena mengurat awek kat tepi stesen bas, kawan satu kuliah atau mak bapak carikan.


Berbeza dengan zaman sekarang yang mana ada banyak laluan dan cara untuk kita jadi dan dapatkan apa yang kita nak. Kalau dulu kita kena cari peluang, sekarang kita kena cipta peluang.
Nak cari kerja tak perlu tunggu iklan kat suratkhabar lagi. Kita boleh cari je kat Internet, boleh hantar je resume melalui email pada syarikat, boleh Whatsapp terus je bakal majikan, boleh belajar banyak skill dan kemahiran yang diperlukan yang kita tak belajar di universiti dulu dari Internet, malah kalau kita bijak kita boleh tunjuk portfolio hasil kerja kita melalui Internet sahaja, sebab tu ada orang yang pernah ditawar bekerja di syarikat besar tanpa perlu melalui temuduga pun kerana dia pandai jual portfolionya melalui Internet sahaja.

Kalau dulu rasa nak buat bisnes macam susah je, sekarang ini ramai orang dah mula buat bisnes sendiri termasuk di kalangan orang-orang muda dan graduan walaupun hanya secara kecil-kecilan sahaja. Habis sahaja belajar, sementara belum dapat kerja, ada yang dah terus buka bisnes sama ada berniaga di Internet, jual nasi lemak, jadi freelancer buat projek IT, startup bisnes jual buku dan sebagainya. Ada bisnes yang perlu modal besar, ada yang tak guna modal banyak, malah ada yang tak perlu modal langsung, hanya bersandarkan kepada kemahiran yang kita ada semata-mata. Malah kalau bisnes itu berjaya dan boleh pergi jauh, tak perlu dah kita cari kerja lain dan boleh terus maintain sahaja dengan bisnes itu.

Dulu nak jadi pelakon atau penyanyi, kena rajin cari peluang pergi studio atau syarikat rakaman, kena ujibakat, kena tapis, kalau ada pakej baru dapat jadi artis. Ada satu masa tu, kena pula bertanding dalam rancangan realiti, kalau menang pun belum tentu dapat jadi artis yang berjaya. Tapi sekarang laluan untuk jadi artis lebih banyak. Buat lawak bodoh kat Vines dan Instagram, bila dah popular boleh dah masuk rancangan TV. Menyanyi kat Youtube atau Smule, bila dah popular syarikat rakaman yang cari kita.

Zaman dulu waktu industri majalah komik masih gah, masa Internet belum begitu maju dan laju, nak jadi kartunis sikit punya susah. Hantar kat majalah belum tentu dapat keluar. Kalau dapat keluar pun belum tentu dapat kerja jadi kartunis tetap. Majalah komik pun tak banyak maka persaingan memang banyak. Tapi sekarang banyak platform yang boleh digunakan sebagai batu loncatan untuk jadi pelukis komik. Boleh berkarya di Instagram, Facebook, Devianart dan sebagainya. Boleh juga masuk pertandingan komik yang sering diadakan di Internet di dalam dan luar negara. Malah kalau sudah popular dan ramai pengikut, ada penerbit yang akan cari untuk terbitkan buku komik kita. Paling tidak pun, kita boleh terbitkan komik sendiri secara kecil-kecilan.

Begitu juga dengan penulis. Kalau dulu nak jadi penulis agak susah, nak terbitkan buku sendiri apatah lagi. Sekarang ini tulis ayat dua tiga patah kat Twitter pun dah boleh compile jadi buku. Kualiti atau tidak, bermoral atau tidak, itu nombor dua, yang penting popular dan ramai pengikut. Kalau dulu penulis yang terpaksa cari penerbit, kini penerbit yang cari penulis. Yang penting buku boleh jual. Kalau tak pun, boleh je keluar duit sendiri terbitkan novel sendiri yang kau tulis dalam Wattpad.

Sekarang ini orang cari jodoh pun tidak lagi sekonservatif dahulu. Dulu nak cari jodoh lingkungan agak terhad. Kalau tak satu kampung, mesti kampung sebelah, atau satu sekolah, atau satu universiti, atau satu pejabat, atau mak bapak yang aturkan, atau paling tidak pun ayat awek kat kedai makan. Kini ia tidak lagi terhad dalam lingkungan itu sahaja, malah kita boleh jumpa jodoh masa tengah melancong, kat acara, kat kelab peminat, kat media sosial, malah kat portal cari jodoh. Kalau desparate lagi, iklankan sahaja diri kat Facebook dengan kreatif kata nak cari teman hidup, mesti akan ada juga orang yang berminat.

Macam juga Uber dan Grab, dulu kalau nak cari pendapatan lebih kena ada teksi, kena tunggu pelanggan kat stesen teksi atau pusing merata-rata untuk dapatkan pelanggan. Kini duduk je kat mana-mana, dapat notifikasi kat telefon terus ambil pelanggan guna kereta sendiri. Dulu nak hantar barang kena guna syarikat pos, sekarang dah ada orang buat perkhidmatan rider peribadi untuk hantar barang.


Itu hanya beberapa contoh, sebenarnya banyak lagi benda yang zaman sekarang kita bukan lagi sekadar kena cari peluang, sebaliknya cipta peluang sendiri. Kadang-kadang peluang tu memang takde, maka kita sendirilah yang wujudkan peluang tu tanpa perlu bergantung orang lain wujudkan peluang itu untuk kita.

Oleh itu kepada para graduan yang belum bekerja, atau pengkarya yang masih lagi tercari-cari arah, atau orang yang masih menuggu impian dan cita-cita datang kepadanya, atau orang yang mahu mencari pendapatan lebih, atau orang yang mahu mencari jodoh, atau siapa-siapa yang mahu jadi dan dapatkan sesuatu, zaman sudah berubah. Jangan sekadar menunggu peluang sebaliknya ciptalah peluang.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: dulu kini sekarang zaman berubah moden cari tunggu cipta peluang capai impian cita-cita

1 ulasan:

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...