Isnin, 18 September 2017

2 Tragedi kebakaran pusat tahfiz suatu pengajaran

Pagi Khamis yang lalu negara dikejutkan dengan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung yang menyebabkan lebih 20 orang terkorban. Kebakaran dipercayai bermula jam 5.10 pagi dari tingkat atas bangunan.

Teori awal pihak Bomba berkata berkemungkinan kejadian berpunca daripada litar pintas, namun kemudiannya mengesahkan yang ia bukan disebabkan litar pintas sebaliknya perbuatan khianat setelah penemuan 2 tong gas di tempat kejadian. Ia dikuatkan lagi dengan rakaman CCTV bangunan sebelah. Hasil siasatan pihak polis mengesahkan kebakaran itu dilakukan oleh 7 orang suspek yang berusia antara 11 hingga 18 tahun.




Infografik dari Berita Harian dan Harian Metro.

Apa yang boleh disimpulkan daripada seluruh kejadian ini?

1. Antara laporan terawal tentang kejadian ini adalah bangunan pusat tahfiz tersebut berisiko kerana tiada sijil layak menduduki (CF). Maka ramailah orang yang mengutuk pengetua dan pemilik pusat tahfiz tersebut malah mengambil kesempatan untuk turut mengutuk seluruh insitusi tahfiz. Memang ramai orang yang boleh dikatakan agak skeptikal dan alergik dengan hal-hal berkaitan agama Islam tunggu je peluang seperti kejadian ini untuk mengutuk.

2. Tak dinafikan ada sekolah tahfiz dan sekolah pondok yang tidak berapa menitik beratkan soal penjagaan dan pencegahan keselamatan. Sudah banyak kes kebakaran yang melibatkan sekolah tahfiz sejak tahun 80-an lagi. Berikut adalah keratan dari Berita Harian antara kes kebakaran besar sebelum ini yang melibatkan maahad tahfiz dan sekolah pondok:


3. Disebabkan sekolah tahfiz menempatkan ramai orang pelajar malah terdapat asrama, maka mahu tidak mahu ia tetap perlu mengikut piawai dan undang-undang yang telah ditetapkan seperti mana sekolah dan asrama lain. Perlu ada pemadam api, latihan kebakaran, semakan bomba dan sebagainya.

4. Mungkin sudah tiba masanya sekolah tahfiz dan pondok dikawal selia dan dipantau oleh kerajaan atau badan seperti mana sekolah-sekolah kerajaan yang lain. Malah perlu ada peruntukan yang tetap kepada sekolah tahfiz dan pondok ini, tak perlulah mereka asyik perlu bergantung kepada derma dan sumbangan orang ramai. Sumbangan RM30 juta kerajaan untuk maahad tahfiz swasta adalah permulaan yang baik.

5. Ada orang merasakan hanya disebabkan ia adalah sebuah sekolah yang berteraskan agama maka tidak apa jika berlaku apa-apa. Sekolah agama atau tidak, ia tidak ada beza pun dengan tadika, atau sekolah kerajaan, atau kolej dan lain-lain tempat pendidikan.

6. Bayangkan jika ia berlaku di sekolah menengah kebangsaan biasa, habis mesti kerajaan, kementerian, jabatan pendidikan, pengetua sekolah, cikgu semua kena hentam. Bayi meninggal tersedak susu di pusat asuhan pun pemilik habis kena kecam sampai tutup. Sebab tu semua kena ikut kena ikut prosedur dan piawai yang ditetapkan.

7. Kemudian seperti kebiasaan sikap tipikal netizen Malaysia, ramai orang yang belum apa-apa baru tahu sedikit terus buat andaian, terus buat kecaman, terus buat kesimpulan, terus menyalahkan satu sama lain. Dah tulis panjang lebar buat teori itu ini kecam sana sini, rupanya apa yang sebenarnya berlaku lain dari kecaman mereka. Bila hal-hal seperti ini berlaku tak payah la kita nak jadi polis ke detektif ke hakim ke peguam ke, biar pihak berkuasa jalankan siasatan mereka dulu.

8. Kejadian ini juga menyaksikan betapa mudahnya kebocoran maklumat berlaku apabila laporan awal sulit pihak polis telah bertebaran di media-media sosial. Malah maklumat terperinci tentang suspek seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan wajah mereka habis semua bersebaran. Walaupun kita mengutuk perbuatan kejam mereka, namun sekali lagi tak perlu kita buat kerja polis kerana dengan terbocornya maklumat-maklumat sensitif seperti itu ia mungkin akan menggangu siasatan polis. Biar pihak polis buat kerja mereka.

9. Apabila telah diketahui umum bahawa kebakaran ini adalah disebabkan kes khianat, maka sudah tidak wajar kesalahan diletak pada aspek lain. Ini kerana perbuatan khianat dan sabotaj telah pun melangkaui undang-undang, peraturan, aspek keselamatan dan sebagainya. Seketat mana peraturan dan secanggih mana tahap keselamatan pun, kalau ada orang sabotaj maka tragedi tetap boleh berlaku.

10. Suspek jenayah adalah berusia antara 18 hingga 11 tahun. Walaupun jenayah seperti ini boleh membawa kepada hukuman mati, namun atas faktor umur, sebahagian besar mungkin dihukum dibawah kesalahan juvana. Walaupun kita merasakan ia mungkin tidak setimpal dengan perbuatan mereka, namun begitulah undang-undang kita yang kita terpaksa terima walaupun hakikatnya sangat pahit.

11. Mereka menyatakan punca mereka mengambil tindakan untuk membakar tahfiz berkenaan adalah kerana dendam diejek oleh beberapa pelajar tahfiz ketika menghisap dadah di kawasan Taman Tasek Datuk Keramat yang berdekatan. Secara peribadi aku rasa pelajar tahfiz ini bukanlah mengejek sebaliknya menegur dan memberi nasihat, namun remaja ini menganggap ia sebagai satu ejekan. Tapi siapa sangka, hanya kerana hal kecil sahaja telah mengorbankan ramai nyawa yang berharga.

12. Didapati remaja yang melakukan jenayah tersebut kebanyakannya adalah di bawah pengaruh dadah jenis ganja. Aku harap pihak polis dapat cari juga orang yang bekalkan dadah kepada budak-budak ini dan tangkap dia sekali. Berapa ramai lagi anak muda melayu yang mereka nak jahanamkan dengan dadah hanya kerana nak untung.

13. Kesan dadah ini bukan hanya pada diri penagih itu sendiri malah orang lain pun terkena tempiasnya, termasuk sehingga hilang nyawa seperti kes ini. Malah lebih menyedihkan nyawa yang hilang itu adalah permata-permata agama generasi akan datang. Aku lebih rela kita kehilangan sampah masyarakat dari kehilangan permata yang bakal memberi manfaat dalam masyarakat.

14. Pihak polis melaporkan mereka ambil ganja sebelum melakukan operasi pembakaran itu. Ada orang yang nak sangat legalize atau menghalalkan ganja kononnya ganja itu boleh dijadikan ubat. Tapi apa yang aku nampak, ganja boleh bagi kesan yang sangat buruk pada masyarakat. Orang yang beria-ria sangat nak halalkan ganja ni pun bukannya nak gunakan untuk perubatan pun tapi sebab nak naik khayal hisap ganja.

15. Kejadian ini menunjukkan betapa ramai lagi masyarakat yang sakit. Remaja ini mungkin datang dari institusi kekeluargaan yang rosak. Dinyatakan kesemua suspek tidak bersekolah. Tidak tahu kenapa mereka tidak lagi bersekolah, bagaimana mereka boleh ambil dadah, dibiar bebas tanpa kawalan. Sebab tu dalam hal macam ini orang pertama yang perlu dipersalahkan adalah ibu bapa. Sebab mereka masih kanak-kanak, masih remaja, maka ibu bapa adalah orang pertama yang harus mencorakkan anak-anaknya.

16. Ini baru sedikit tapi cuba lihat balik berapa ramai anak-anak yang ibu bapa langsung tidak peduli, tidak masukkan ke sekolah, tidak bagi pendidikan, bagi kebebasan, tidak kawal pergaulannya. Sebab itu anak-anak muda ini mudah terjebak dalam budaya dan aktiviti yang tidak sihat seperti rokok, dadah, mat rempit, curi, ragut, buli, ugut, rogol, cabul, pesta seks dan sebagainya. Sebab apa? Sebab tiada orang peduli dan mengambil berat pada mereka.

17. Ada juga netizen yang turut sama menyalahkan sekolah dan cikgu kenapa tak pantau remaja-remaja tersebut. Nak pantau macam mana, mereka sekolah pun tak pergi. Kalau mereka pergi sekolah sekurang-kurangnya cikgu boleh kenalpasti dan bagi didikan setakat mana yang boleh. Tapi kalau mereka pergi sekolah pun, kuasa cikgu setakat mana je. Kalau rotan atau denda karang mak bapak pulak marah.

18. Namun pada aku kalau anak nakal ke atau kurang pandai ke, hantar juga mereka ke sekolah. Biar tak pandai, asalkan mereka habiskan masa di sekolah bersama kawan-kawan dan guru-guru dalam kelas, daripada merayap tak tentu pasal bergaul dengan orang bukan-bukan, hilang terus dari kehidupan masyarakat biasa.

19. Budak kalau dah terpesong jauh sangat dari landasan, tu yang susah nak betulkan balik. Mereka hidup dalam lingkungan dunia mereka sendiri, mereka rasa diri mereka besar, rasa diri hebat, rasa diri betul, rasa diri kuat, rasa tidak perlu hormat pada semua lapisan masyarakat. Bila dah jadi macam tu, kita yang dewasa ni nak tegur pun fikir dua tiga kali, silap hari bulan mereka datang balas dendam. Bila kita lapor pada ibu bapa mereka, ibu bapa mereka pertahankan pula anak mereka. Masa itulah masyarakat menjadi parah dan rosak.

20. Akhir sekali, yang dah pergi tidak akan kembali. Semoga semua mangsa kebakaran ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Semoga yang melakukan jenayah itu juga insaf dan kembali ke pangkal jalan. Namun kita yang hidup ini, belajarlah sesuatu daripadanya. Ingatlah, kesilapan adalah untuk dipelajari, bukan diulangi.

Sekian.

Baca juga - Tuhan ambil anak-anak tahfiz dan tinggalkan kita anak-anak hisap dadah, generasi apa yang kita lahirkan hari ini?


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: kebakaran sekolah maahad pusat tahfiz darul quran ittifaqiyah keramat suspek remaja pengetua mati syahid tuhan ambil anak tahfiz tinggalkan anak hisap dadah generasi apa yang kita lahirkan hari ini


2 ulasan:

  1. ada tiga punca kepada tragedi ini

    1) pengabaian kerajaan kepada sistem pendidikan tahfiz
    2) buiding fire safety
    3) juvenile criminal

    BalasPadam
  2. kita semua marah pada budak yang bakar tahfiz tu, tapi tiada yang sanggup membantu dari hak asasi suspek. mana mungkin budak bawah 18 tahun dihukum gantung sampai mati.. Ini melanggar hak asasi yang diperjuangkan oleh mendiang karpal singh! Masuk juvana, cukup 18 tahun dibebaskan.. ini baru namanya hak asasi manusia!

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.