Selasa, 3 Oktober 2017

1 Mempersalahkan mangsa lebih daripada pemangsa

Antara pemangsa dan mangsa.
Pencuri dan yang dicuri.
Peragut dan yang diragut.
Pembunuh dan yang dibunuh.
Pembuli dan yang dibuli.
Perogol dan yang dirogol.
Penindas dan yang ditindas.


Dalam situasi mangsa dan pemangsa ini, biasanya pemangsa yang melakukan kesalahan dan kerosakan terhadap mangsa. Namun dalam masyarakat kita hari ini cenderung untuk menyalahkan mangsa atau apa yang dipanggil victim blaming, seperti beberapa contoh berikut:

Apabila berlaku suatu kecurian di rumah, yang melakukan kesalahan adalah pencuri, dan yang seharusnya dikecam adalah pencuri, tetapi ada yang menyalahkan mangsa kecurian kerana tidak memasang penggera dan CCTV.

Apabila berlaku suatu kes ragut, yang melakukan kesalahan adalah peragut, dan yang seharusnya dikecam adalah peragut, tetapi ada yang menyalahkan mangsa ragut kerana berjalan dengan beg tangan di tepi jalanraya.

Apabila berlaku kes bunuh kerana cemburu, yang melakukan kesalahan adalah pembunuh, dan yang seharusnya dikecam adalah pembunuh, tetapi ada yang menyalahkan mangsa bunuh kerana menyebabkan pasangan cemburu.

Apabila berlaku suatu kejadian buli di sekolah, yang melakukan kesalahan adalah pembuli, dan yang  seharusnya dikecam adalah pembuli, tetapi ada yang menyalahkan mangsa buli kerana tidak hormat pada pembuli.

Apabila berlaku suatu kes rogol, yang melakukan kesalahan adalah perogol, dan yang seharusnya yang dikecam adalah pembuli, tetapi ada yang menyalahkan mangsa rogol siapa suruh keluar malam-malam?

Apabila berlaku suatu penindasan, yang melakukan kesalahan adalah penindas, dan yang seharusnya yang dikecam adalah penindas, tetapi ada yang menyalahkan mangsa penindasan kerana mempercayai penipuan penindas.

Dalam apa jua kejadian pasti ada punca, sebab dan kesan yang perlu diteliti. Ada kalanya mangsa sebenarnya adalah pemangsa, manakala pemangsa adalah mangsa yang sebenar. Begitu juga ada kalanya mangsa tidak semestinya betul dan pemangsa tidak semestinya salah. Mangsa juga mungkin ada melakukan sesuatu yang menjadi punca kepada suatu kejadian sehingga menyebabkan dia menjadi mangsa kepada pemangsa.

Namun walau apa pun kesalahan, kesilapan atau kecuaian yang dilakukan di pihak mangsa, ia juga bukanlah lesen kepada orang lain untuk bertindak menjadi pemangsa.

Jika ada orang yang tidak kunci pintu rumahnya, orang lain tetap tidak boleh masuk ke rumahnya dan mencuri barang sesuka hati.

Jika ada orang letak barang dalam bakul motor, orang lain tetap tidak boleh ragut barang tersebut sesuka hati.

Jika seorang perempuan berlaku curang pada kekasihnya pun, kekasihnya tetap tidak boleh bunuh kekasihnya sesuka hati.

Jika seorang murid junior tak hormat pada murid senior pun, murid senior tetap tidak boleh buli dan belasah murid junior itu sesuka hati.

Jika seorang wanita berjalan pada waktu tengah malam sekali pun, orang lain tetap tidak boleh rogol wanita tersebut.

Jika ada orang yang suka cakap besar pun, orang lain tetap tidak boleh menindas orang tersebut.

Namun hakikatnya tidak begitu.

Sebab itu mahu tidak mahu, untuk terus bertahan dalam masyarakat yang begitu ramai pemangsa yang hanya menunggu kesempatan, serta mentaliti ramai orang yang lebih suka cenderung untuk menyalahkan mangsa berbanding pemangsa, maka terpaksalah kita menjadi lebih berhati-hati dan berjaga-jaga agar tidak menjadi mangsa, dan agar tidak dipersalahkan orang hanya kerana kita menjadi mangsa.

Itu belum lagi victim shaming. Sudahlah menjadi mangsa, dipersalahkan pula oleh masyarakat, malah dimalukan lagi di Internet oleh orang-orang yang langsung tiada kaitan dengan hidup kita.

Malah boleh jadi orang yang dikatakan menjadi mangsa juga boleh jadi pemangsa, dan orang yang dituduh menjadi pemangsa yang jahat itu juga boleh jadi dia sebenarnya adalah mangsa, iaitu mangsa fitnah.

Sebab tu bila ada isu yang melibatkan mangsa dan pemangsa, kena dengar dulu cerita dari kedua-dua pihak, dan biarkan pihak berkuasa menjalankan tugas menyiasat dan menjatuhkan hukuman. Kita yang tak tahu apa-apa ni tak perlu nak jadi hakim dan tokok tambah cerita.

Kita tidak boleh ada menghukum seseorang itu bersalah sehingga dibuktikan tidak bersalah, sebaliknya seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan yang dia bersalah.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: victim blaming mangsa pemangsa salahkan menyalahkan korban

1 ulasan:

  1. Kadang tu Tak Salah pun tapi menyalahkan orang yang Tak bersalah lebih teruk dari yg bersalah

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.