Ahad, 8 Oktober 2017

2 Elemen utama dalam pemasaran drama dan filem

Baru-baru ini berita akhbar melaporkan terdapat 9 filem tempatan bahasa Melayu dan Tamil tak laku bermula dari Januari hingga Ogos tahun ini. Semua filem tersebut yang dihasilkan di bawah Skim Wajib Tayang (SWT) hanya mampu memperoleh kutipan di bawah RM20,000. Filem Melayu yang terlibat adalah Mendidih Bro, Spy In Love, Kamar Seksa, Kerja Kahwin, Hijabsta Ballet dan Pencuri Hati Mr Cinderella yang mendapat kutipan di antara RM4,000 hingga RM19,000 sahaja.

Sumber gambar.

Tatkala ada yang mengatakan filem ini kurang mendapat sambutan disebabkan keadaan ekonomi yang tidak stabil, masih ada filem tempatan lain yang mengaut keuntungan yang banyak malah sehingga berbelas juta ringgit seperti Abang Long Fadil 2 yang meraih RM17 juta. Maka jika masalah ekonomi rakyat marhaen yang dikatakan menjadi punca kutipan filem tidak memberangsangkan, kenapa ramai yang masih sanggup menonton filem-filem luar negara sehingga memperoleh kutipan yang sangat banyak?

Maka di manakah kesilapannya? Apa sebenarnya cara untuk memperoleh kutipan yang tinggi, atau sekurang-kurang tidaklah rendah sangat?

Antara faktor utama yang membuatkan penonton sanggup keluar duit untuk menonton filem di panggung adalah jenis cerita dan juga pelakon. Tak kiralah apa jua genre seperti aksi, fantasi, fiksyen sains, superhero, seram, komedi, cinta, drama, rencah kehidupan, animasi dan sebagainya, kalau kena dengan kegemaran dan selera mereka pasti mereka akan pergi tengok. Ada juga yang pergi menonton wayang kerana ada pelakon kegemarannya, atau mungkin pengarah kesukaannya.

Namun sejauh mana hebatnya naskah filem itu, sehebat mana pelakon dan pengarahnya, takkan bermakna andai tidak ramai yang tahu pun kewujudan filem tersebut. Sebab itu paling penting bagi sesebuah filem itu laku dan ditonton ramai adalah pemasaran dan promosi.

Bagaimana cara dan teknik untuk memasarkan filem agar kewujudannya diketahui ramai dan seterusnya menarik minat untuk orang ramai pergi ke panggung untuk menontonnya?

Teknik promosi yang paling biasa kita tahu adalah pengiklanan. Ada banyak medium yang boleh digunakan untuk tujuan pengiklanan seperti video trailer, poster, permainan video dan sebagainya di pelbagai platform seperti televisyen, akhbar, papan iklan, radio, telefon, laman web, Youtube, media sosial seperti Facebook, Instagram, FBAds, Google Adsense dan sebagainya.

Akan tetapi biasanya ia memerlukan kos yang tinggi hanya untuk tujuan pengiklanan ini. Mungkin sebab itu banyak filem tempatan tidak laku disebabkan orang tidak tahu pun kewujudan filem tersebut. Ada kalanya lepas dah beberapa minggu ditayangkan di pawagam sehingga tempoh tayangannya sudah hampir tamat, barulah filem tersebut diviralkan oleh orang yang pernah menontonnya kerana merasakan filem tersebut amat berkualiti dan perlu ditonton dan disokong oleh orang ramai namun sudah agak terlambat.

Tidak tahu kenapa mereka tidak boleh berbelanja besar untuk pemasaran filem, mungkin kerana produksi filem kecil dan tidak mampu untuk menanggung kos yang tinggi untuk mempromosikan filem mereka. Berbanding dengan syarikat produksi filem yang besar seperti Astro Shaw, Skop Production, Tayangan Unggul, Grand Brilliance dan sebagainya, filem-filem terbitan mereka mendapat promosi yang meluas di merata tempat terutama di kaca televisyen, corong radio, Internet dan pelbagai lagi. Sebab itu filem-filem terbitan mereka biasanya box-office atau paling tidak pun mendapat pulangan lebih dari modal, walaupun ada juga filem mereka yang biasa-biasa sahaja.

Selain promosi oleh syarikat penerbit, individu yang terlibat dalam pembikinan suatu naskah filem itu juga boleh membantu mempromosikan filem mereka sendiri di media sosial peribadi masing-masing. Kalau seorang pelakon yang mempunyai jutaan pengikut di Instagram giat mempromosikan filem lakonan sendiri di Instagramnya, pasti ramai yang akan sedar tentang kewujudan filem tersebut dan seterusnya pergi ke wayang untuk menyokong selebriti kegemaran mereka. Ini kalau dia sendiri pun malu untuk mengiklankan filem lakonan sendiri di akaun media sosial mereka, siapa lagi nak bantu?

Namun bagi aku teknik pengiklanan filem yang paling berkesan bagi aku adalah elemen lagu. Ya, lagu tema bagi sesebuah filem. Boleh kata kebanyakan filem yang hebat dan meletup di dalam dan luar negara kebanyakannya mempunyai lagu tema yang ikonik.

Kalau mendengar lagu "My Heart Will Go On" nyanyian Celine Dion, pasti kita akan teringat pada filem Titanic, atau lagu Aerosmith "I Don't Want to Miss a Thing" yang membawa nostalgia pada filem Armageddon, atau lagu filem Furious 7 yang popularitinya bertahan agak lama iaitu "See You Again" nyanyian Wiz Khalifa dan Charlie Puth. Begitu juga dengan filem-filem animasi yang biasanya banyak menggunakan lagu sebagai salah satu tarikan seperti Frozen, Moana, Beauty & The Beast, Lion King dan sebagainya.


Formula lagu tema ini juga sebenarnya sudah lama diamalkan di dalam industri filem tempatan seawal zaman P. Ramlee lagi. Walaupun orang mungkin jarang menonton filem P. Ramlee, namun runut lagu seperti Jerintan Batinku, Bunyi Gitar, Getaran Jiwa, Jangan Tinggal Daku, Maafkan Kami, Anakku Sazali dan lain-lain lagi pasti masih segar di ingatan ramai orang.

Selepas itu juga banyak filem yang mempunyai lagu tema yang sangat ikonik dengan filemnya seperti lagu "Sandarkan pada Kenangan" nyanyian Datuk Jamal Abdillah & Fauziah Ahmad Daud untuk filem Azura, "Wajah Rahsia Hati" nyanyian Fauziah Ahmad Daud & Datuk Sheila Majid untuk filem Ali Setan, "Di Ambang Wati" nyanyian Wings untuk filem Sembilu, "Tragedi Oktober" nyanyian Awie untuk filem Tragedi Oktober, "Pulangkan" nyanyian Misha Omar untuk filem Pontianak Harum Sundal Malam, "Teruja" nyanyian Ella untuk filem Gol & Gincu, "Asmaradana" nyanyian Tiara Jacquelina untuk filem Puteri Gunung Ledang, "Ombak Rindu" nyanyian Hafiz Suip & Adira untuk filem Ombak Rindu dan sebagainya.

Kalau diperhatikan kebanyakan filem tempatan yang berjaya mendapat kutipan tinggi ini pun biasanya mempunyai lagu tema. Filem-filem box-office yang dalam lingkungan 5 tahun kebelakangan ini pun kebanyakannya mempunyai lagu tema yang catchy dan mesra telinga hingga sering diputarkan di corong radio, seperti lagu "Kalah Dalam Menang" nyanyian Syamsul Yusof dan Mawi untuk filem Munafik, lagu "Polis Evo" nyanyian Joe Flizzow dan SonaOne untuk filem Polis Evo, lagu "Arena Cahaya" nyanyian Zee Avi untuk filem Ola Bola, lagu "Masih Di Sini" nyanyian Bunkface untuk filem BoBoiBoy The Movie dan lain-lain lagi. Malah lagu "Senorita" nyanyian Syamsul Yusof, Dato' AC Mizal dan Shuib untuk filem Abang Long Fadil 2 pun sudah popular sampai budak-budak pun hafal walau filem tak keluar lagi di panggung.


Formula lagu tema ini bukan sahaja sekadar untuk filem sahaja malah sudah lama diamalkan dalam penerbitan drama. Kadang-kadang orang tahu lagu dulu baru kenal dramanya, kadang-kadang orang tengok drama dulu baru tahu lagunya. Pendek kata, kewujudan lagu tema dalam drama dan filem ini macam win-win situation kerana ia saling mempromosikan antara satu sama lain. Penyanyi baru yang tak berapa nak popular, orang mula kenal lepas lagunya dijadikan lagu tema drama/filem. Kalau lagu tu sedap pula, ia akan sering dimainkan di radio dan secara tidak langsung memberi pula promosi percuma pada drama atau filem yang diwakilinya.

Kesimpulannya, kalau nak buat filem atau drama, melaburlah sikit untuk buat lagu tema yang sedap. Bukanlah nak kata kalau filem atau drama ada lagu tema pasti akan popular dan box-office, tapi sedikit sebanyak dengan lagu yang sedap pasti orang akan kenal lantas menarik minat orang ramai untuk pergi tonton. Malah filem tersebut pasti akan diingati setiap kali lagu temanya berkumandang walaupun filem itu sudah lama. Bak kata dengan lagu yang sedap, drama sampah pun boleh jadi popular, filem yang teruk pun boleh box-office.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: elemen teknik utama formula utama penting pemasaran promosi drama filem tempatan kutipan paling teruk lagu tema ost soundtrack

2 ulasan:

  1. Kerana industri ini dikuasai oleh orang-orang bodoh.

    BalasPadam
  2. Lagu kadang2 penting walaupun dramanya boleh dikategorikan drama bawah umur.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.