Hari yang ditunggu tiba juga. Makmal komputer penuh dengan pelajar yang kelam-kabut menyiapkan slaid, ada yang masih ubah font, ada yang baru nak test kod, ada juga yang buat-buat tenang tapi tangan berpeluh.
Bo duduk di tempatnya sambil menyemak semula fail project folder. Amir sibuk menggosok baju kemeja di bahagian bahu, Amirah berlatih ayat pembentangan depan cermin makmal, dan Aila… seperti biasa, tenang tapi nampak sedikit gementar.
“Bo, aku takut la,” Aila berkata perlahan, jari-jemarinya bermain dengan pen.
Bo tersenyum kecil. “Takde apa nak takut. Kita dah siap semua. Aku dah test website kita malam tadi, semua fungsi okay.”
Aila menarik nafas. “Aku bukan risau pasal website… aku risau tersasul depan Puan Zaleha. Dia tengok orang macam nak tembus.”
Bo ketawa kecil. “Kau ingat dia nak makan orang ke? Dia tu garang sikit je muka. Tapi kalau kau yakin dengan apa kau buat, dia akan puji.”
Amir menyampuk sambil memasang tie hitam yang entah ke mana arah lilitannya.
“Bo, tolong betulkan ni weh. Aku rasa aku ikat simpul tali kapal.”
Bo menggeleng tapi membantu. “Kau ni kan Amir, belajar networking tapi ikat tali pun fail.”
Amirah pula datang sambil membawa air mineral. “Eh kau dua orang, cepat la siap. Aila, nanti kau bahagian design dulu ye, lepas tu aku terus masuk laporan.”
“Okay,” balas Aila. “Bo bahagian backend, Amir database.”
Amir angkat tangan tinggi-tinggi. “Roger!”
. . .
Satu jam kemudian, giliran kumpulan mereka tiba.
Puan Zaleha duduk di meja depan dengan wajah serius, berkaca mata separuh bingkai dan fail tebal di sisi. Beberapa pelajar lain duduk di barisan belakang menonton.
Amirah memulakan pembentangan. “Assalamualaikum dan selamat pagi. Kumpulan kami akan membentangkan projek bertajuk UTM Library Online Portal, satu sistem carian dan tempahan buku atas talian yang kami bina menggunakan PHP dan MySQL.”
Aila menyambung dengan lancar. “Bahagian frontend direka agar mesra pengguna, dengan responsive layout menggunakan Bootstrap framework. Kami juga sediakan fungsi carian buku berdasarkan tajuk, pengarang, dan kategori.”
Bo kemudian mengambil giliran untuk menunjukkan backend. Dia buka laman admin di skrin besar dan tunjuk fungsi tambah, kemas kini, dan padam rekod.
“Untuk bahagian pelayan, kami gunakan local Apache server, dengan struktur database yang direka Amir menggunakan lima jadual utama,” katanya sambil klik antara halaman.
Puan Zaleha mengangguk kecil. “Interface nampak kemas. Kodnya kamu tulis sendiri atau ambil dari template?”
Bo menjawab jujur, “Kami reka dari awal, Puan. Ada rujuk dokumentasi, tapi keseluruhan kod ditulis semula.”
Puan Zaleha tersenyum sedikit. “Bagus. Kalau semua kumpulan boleh buat macam ni, senang saya menanda.”
. . .
Sesi berakhir dengan tepukan kecil dari pelajar lain. Bo menarik nafas lega. Amir tepuk bahunya kuat.
“Bo, kau memang gempak. Lecturer puji beb! Ni kena belanja makan ni.”
Amirah menyampuk, “Ha’ah! Kena belanja. Kau banyak tolong kita, Bo.”
Aila tersenyum sambil memandang ke arahnya. “Terima kasih, Bo. Kalau bukan sebab kau, aku rasa sistem ni tak siap.”
Bo garu kepala. “Eh janganlah cakap macam tu. Ni usaha semua orang.”
. . .
Selepas kelas, mereka semua bergerak ke kafe Arked Meranti untuk makan tengah hari. Cuaca panas, tapi angin lembut petang tu buat suasana tenang.
Mereka duduk di meja luar yang menghadap padang. Amir beli nasi ayam, Amirah dengan mee bandung, Bo dan Aila sama-sama ambil nasi goreng pattaya.
Amir mengangkat sudu. “Okay, sempena kejayaan kita yang gemilang hari ni, aku nak buat toast! Bukan roti bakar, tapi toast kejayaan!” katanya sambil angkat cawan air tembikai.
Amirah ketawa kuat. “Kau ni macam majlis konvo!”
Mereka semua gelak. Bo cuma tersenyum kecil. Dia suka momen macam ni, sederhana, tapi bermakna.
Aila menoleh ke arahnya. “Bo, malam ni aku nak betulkan bahagian design sikit. Kau free tak nak semak?”
“Boleh. Kau mesej je nanti.”
. . .
Masa berlalu santai. Sampai satu ketika, Amir tiba-tiba teringat sesuatu dan bersuara kuat,
“Oh ya, aku ada cerita nak kongsi!”
Semua berpaling. Amir sengih nakal.
“Aku baru tahu semalam… rupanya Aila ni dah single semula. Kan, Mirah?”
Amirah yang sedang mengunyah terus angkat kening. “Ha? Ohh, tu! Haa betul, aku lupa nak bagitau. Aila, sorry aku terlepas cerita.”
Aila pandang Amirah dengan muka pelik. “Kau ni… cerita aku pun nak umum kat kafe ke?”
Amir buat-buat tak dengar. “Ha Bo, dengar tak? Kau ada peluang la sekarang!” katanya sambil ketawa.
Bo tersedak sedikit, cepat-cepat minum air. “Weh Amir, apa kau merepek ni?”
Amirah pula menambah dengan selamba, “Aila, kau tau tak? Si Bo ni tolong buat coding banyak sebab dia sebenarnya suka kau, tau.”
Suasana meja tiba-tiba senyap. Bunyi sudu jatuh ke pinggan pun kedengaran jelas. Bo terpaku, muka terus merah padam. Amir cepat-cepat tutup muka sendiri sambil ketawa tak kena gaya.
Aila terkejut. Tapi masih cuba cover.
“Ha ha kau ni Amirah mengarut je. Takkan la Bo ni suka kat aku. Aku ni tak pandai macam dia. Dia mesti suka kat awek-awek yang selalu duduk depan dalam kelas.”
Kemudian dia pandang Bo. “Em… betul ke?”
Bo cepat-cepat gelak paksa. “Eh mana ada. Pandai-pandai je si Mirah ni. Dah kita satu team, mestilah nak buat yang terbaik. Lagipun, kalau korang dapat markah tinggi, aku pun senang.”
Amirah cepat menambah, “Alaa jangan malu, Bo. Aku dengar dari Amir sendiri!”
Amir terus tersentak. “Weh aku tak cakap kau boleh bagitau orang!”
Bo geleng kepala, tapi masih senyum nipis, cuba kawal keadaan. “Kau dua orang ni memang nak cari pasal dengan aku, kan?”
Aila masih pandang Bo. Nada suaranya perlahan, “Tapi... betul ke apa dia cakap tadi?”
Bo tarik nafas dalam, senyum tawar. “Tak la. Lagipun, Aila kan dah ada Fahmi. Gila aku nak kacau awek orang.”
Aila tunduk sekejap, kemudian bersuara perlahan, “Saya dengan Fahmi… sebenarnya dah tak ada apa-apa sejak bulan lepas lagi.”
Bo tersentak, pandangannya terpaku pada Aila. Amirah dan Amir sama-sama membulatkan mata.
“Ohh… aku rasa masa untuk aku senyap dah tiba,” kata Amir cepat-cepat sambil mengalihkan pandangan.
Bo tak tahu nak balas apa. Dalam hati, macam ada sesuatu yang terbuka luas, campuran lega, terkejut, dan gementar. Dia cuma senyum kecil, tapi dalam kepala, fikirannya tak berhenti berputar.
Dah tak ada apa-apa sejak bulan lepas?
Maksudnya… selama ni dia…?
Suasana meja senyap beberapa saat sebelum Amirah cuba menceriakan balik, “Okay, semua pretend macam tak ada apa-apa. Makan balik, makan!”
Mereka semua ketawa kecil, tapi ketegangan di antara Bo dan Aila masih terasa di udara. Sesekali pandangan mereka berselisih, tapi masing-masing cepat mengalih mata.
. . .
Petang itu, Bo dan Amir balik ke rumah sewa. Dalam perjalanan, Amir bersuara sambil memandu.
“Weh Bo, aku minta maaf weh. Aku tak sangka si Mirah tu boleh bocor rahsia macam tu.”
Bo tersandar di kerusi penumpang, termenung. “Takpe lah. Benda dah jadi.”
“Tapi weh, kau nampak tak muka Aila tadi? Dia macam… tak marah pun. Macam terkejut, tapi tak tolak pun.”
Bo diam sekejap sebelum menjawab perlahan. “Entahlah, Mir. Aku pun tak tahu nak rasa apa sekarang.”
Amir sengih. “Aku rasa... ni baru intro kisah cinta semester empat.”
Bo ketawa kecil tapi lemah. “Kau ni asyik buat lawak dalam semua situasi.”
“Kalau tak, hidup kita kat UTM ni hambar, bro,” balas Amir.
. . .
Malam itu, Bo duduk di bilik sendirian. Laptopnya terpasang, tapi dia tak mampu fokus. Kod di skrin seolah-olah kosong.
Dia masih teringat ayat Aila, “Saya dengan Fahmi sebenarnya dah tak ada apa-apa…”
Ayat yang pendek, tapi cukup untuk buat dadanya bergetar.
Telefon di atas meja berbunyi. Notifikasi WhatsApp.
Aila:
“Bo, pasal tadi… aku minta maaf. Aku tak tahu Amirah akan cakap macam tu.”
“Aku pun terkejut.”
Bo menaip perlahan.
“Takpe, Aila. Aku pun tak marah. Kira lawak tengah makan la tu.”
Aila membalas cepat.
“Tapi Bo…”
“Ya?”
“Apa yang dia cakap tu… ada betulnya ke?”
Bo berhenti menaip. Dia pandang skrin lama, jari teragak-agak. Akhirnya dia menaip,
“Entahlah. Dulu mungkin, tapi sekarang aku cuma fikir nak habiskan projek ni dulu.”
Beberapa saat tiada balasan. Kemudian muncul tiga titik menaip, hilang, muncul balik. Akhirnya mesej masuk:
“Okay. Tapi… kalau kau nak tahu, aku pun rasa semester ni macam… istimewa sikit.”
Bo terkedu. Dia tak tahu nak balas apa. Cuma senyum kecil muncul di bibir.
Dia letak telefon, baring di katil, pandang siling sambil berbisik perlahan,
“Semester ni… memang akan jadi lain.”
“Cuma…”
Matanya tak berkelip melihat kipas yang berputar deras.
“Aku tak yakin. Aku dengan perempuan tak pernah bernasib baik.”
“Bukan aku tak mahu. Bukan aku tak mencuba. Cuma takut untuk jatuh cinta lagi. Kerana aku, Sang Gagalis”
Fikirannya mula menerawang ke ingatan lapan tahun lalu, ketika dia di Tingkatan 1.
“Azila…”
(Sambungan novel ini akan diterbitkan pada setiap hari jam 8 malam)
- Bab 1 - Si Genius
- Bab 2 - Tugasan Berkumpulan
- Bab 3 - Hari Pembentangan
- Bab 4 - Cinta Pertama
- Bab 5 - Jejaka Perasan
- Bab 6 - Adik Angkat
- Bab 7 - Kena Main
- Bab 8 - Kesedihan Berganda
- Bab 9 - Dewi Pelajaran
- Bab 10 - Budak Pengakap
- Bab 11 - Yang Terakhir
- Bab 12 - Selepas SPM
- Bab 13 - Masih Sama
- Bab 14 - Luahan Hati
- Bab 15 - Gagal dan Gagal
- Bab 16 - Gadis Gamer
- Bab 17 - Kawan Sahaja
- Bab 18 - Kirim Salam
- Bab 19 - Mesej Tak Disangka
- Bab 20 - Peluang Kedua
- Bab 21 - Dan Akhirnya
- Bab 22 (Epilog) - Majlis Konvokesyen

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.
* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.