Jumaat, 14 November 2025

0 Novel Sang Gagalis: Bab 6 - Adik Angkat

Sang Gagalis

"Setiap orang pernah gagal. Tapi tak semua berani bercerita tentangnya"

Bab 6 - Adik Angkat


Masuk Tingkatan 3, Bo dah mula rasa hidup di SEMESTA ni makin pelik. Makin tinggi tingkatan, makin banyak benda dia kena buat, tapi makin banyak juga benda dia tak faham kenapa dia buat. Salah satu contohnya: masuk Persatuan Silat Gayong.

Bukan sebab minat seni pertahanan diri.

Bukan sebab nak jadi pendekar.

Tapi sebab Ray.

“Bo, kau kena join, weh. Aku dah daftar nama kau,” kata Ray selamba satu petang lepas prep.

“Hah? Bila masa aku cakap aku nak join?”

“Alah, kau ni. Cuba benda baru. Lagipun... ramai awek batch bawah join. Aku dengar ada sorang nama Ros, comel gila weh. Aku nak usha.”

Bo garu kepala. “Kau ni memang patut masuk silat. Cuma yang kau lawan tu nanti bukan orang, tapi akal sendiri.”

Tapi akhirnya, sebab tak nak berdebat, Bo pun ikut.

. . .

Latihan pertama memang azab. Dari berdiri tegak, bertahan lutut, tendang, langkah kanan kiri, semua buat paha macam terbakar. Jurulatih, yang semua orang panggil Atok Mail, jenis tak senyum.

“Kalau tak tahan, keluar barisan!”

Bo tengok Ray dah separuh nyawa. Tapi masa tu la dia nampak dua orang pelajar perempuan tingkatan dua di hujung barisan.

Salah seorang, Ros, budak yang Ray sebut.

Yang seorang lagi, Ani.

Ros jenis manja sikit. Kalau salah langkah, dia ketawa sambil tepuk paha. Tapi Ani lain. Dia nampak serius, tapi bila senyum, ada lesung pipit yang buat Bo terhenti sekejap masa tengah buat kuda-kuda.

“Oi Bo, apa termenung tu! Jatuh kang baru tahu,” jerkah Ray.

Bo cepat-cepat tukar posisi. Tapi dalam kepala, nama “Ani” dah melekat.

. . .

Minggu berganti minggu. Dari sekadar ikut Ray, Bo makin rajin datang latihan. Kadang-kadang Ray sendiri ponteng, tapi Bo tetap turun. Katanya nak “jaga stamina,” tapi sebenarnya cuma nak tengok Ani bersilat.

Setiap kali mereka latihan berpasangan, Bo cuba berdiri tak jauh dari tempat Ani dan Ros. Kadang-kadang curi dengar perbualan dua sahabat tu.

“Ros, kau tengok Bo tu. Asyik pandang sini je,” bisik Ani satu kali, sambil senyum nakal.

Ros toleh sekilas, ketawa kecil. “Ish, mungkin dia tengok Ray kot. Diorang kan satu blok.”

“Yelah tu.”

Dan entah macam mana, semakin lama, Ros dan Ray pun makin rapat.

Dari “kawan latihan” jadi “kawan makan sekali.”

Dari “kawan makan” jadi “abang angkat.”

Bo pernah saksi sendiri masa Ray dan Ros duduk bawah pokok jambu belakang dewan.

“Mulai hari ni, kau aku angkat jadi adik aku, Ros,” kata Ray penuh gaya, sambil hulur bunga macam watak drama 3 petang. Bunga tu dia petik dari mana pun tak tahu.

Ros senyum manja, menyambut bunga yang Ray bagi dengan perlahan. “Siap panggil abang lagi ni.”

Bo yang kebetulan lalu sambil usung beg training cuma menggeleng kepala. “Ray ni memang ada bakat jadi penceramah motivasi cinta.”

. . .

Beberapa bulan kemudian, nama mereka diumumkan terpilih ke Pertandingan Silat Gayong Peringkat Negeri Pahang di Kuantan.

Ray terus melonjak gembira, “Weh, ni la peluang aku tunjuk depan Ros!”

Bo balas, “Dan peluang aku nak muntah sebab kau ulang benda sama lima kali.”

Tapi dalam hati, dia pun sebenarnya teruja.

Latihan makin ketat. Kadang-kadang sampai malam. Bo dan Ray digandingkan untuk persembahan sparring, Ros dan Ani pula kategori perempuan. Bila latihan habis, mereka berempat selalu lepak bawah bumbung gelanggang sambil minum air kotak dan biskut julie’s.

“Aku tak sabar nak ke Kuantan,” kata Ani sambil main hujung tali bengkungnya.

Bo jawab, “Aku pun. Tapi aku harap tak tumbang tengah gelanggang.”

Ani tergelak kecil. “Kalau kau tumbang, aku rakam, aku viralkan kat notis asrama.”

Bo gelak juga, tapi dalam hati dia rasa macam, eh, comelnya bila dia ketawa.

. . .

Hari pertandingan tiba.

Dewan besar di Kuantan tu bising dengan bunyi sepakan dan sorakan. Bo, Ray, Ros, dan Ani pakai seragam hitam penuh, siap dengan bengkung dan lambang Gayong.

Bo dan Ray buat persembahan sparring mereka dengan semangat. Tak menang, tapi jurulatih puji sebab persembahan nampak hidup. Bila sampai giliran Ros dan Ani, Bo tak berkelip. Langkah Ani cepat, lentik tangan dia waktu tangkis pun kemas betul.

Habis acara, semua duduk berehat tepi dewan. Bo tarik nafas, lap peluh. Nampak Ani tengah duduk sorang sambil minum air mineral. Hatinya berdebar.

Dia pun bangun, langkah perlahan.
“Err... Ani.”

Ani toleh, senyum kecil. “Eh Bo. Tadi bagus sparring korang.”

Bo tergaru kepala. “Biasa je. Kau orang lagi terer.”

“Tak menang pun.”

“Tak menang takpe, yang penting usaha,” Bo jawab, cuba gaya confident tapi suara bergetar sikit.

Sunyi sekejap. Bo nekad sambung.
“Sebenarnya... aku nak cakap... aku suka semangat kau bersilat. Aku kagum. Kalau boleh... aku nak... kenal kau lebih rapat. Macam... adik angkat ke.”

Ani senyum, tapi sebelum sempat jawab, satu suara garau menyampuk dari belakang.
“Eh budak! Kau nak kenal siapa ni?”

Bo menoleh, dan terus kaku. Seorang abang senior Tingkatan 5 berdiri tegak, tangan bersilang di dada. Wajahnya garang, badan berotot. Semua orang kenal, Abang Johan, juara peringkat negeri.

“Err, tak ada apa-apa bang. Sembang je,” Bo cuba senyum.

“Jangan sembang banyak. Ani ni adik angkat aku tahu tak.”

Bo terkedu. “Oh... ya, ya bang. Maaf bang. Saya tak tahu.”

Johan mendekat dua langkah. “Lain kali jangan kacau dia.”

Bo tunduk dalam-dalam. “Baik bang.”

Dia terus berundur, muka merah padam. Malu, marah, segan, semua bercampur.

Ray yang nampak dari jauh dah tahan ketawa, tapi gagal.

Bo tahu nanti habis la dia kena bahan.

. . .

Dalam perjalanan balik ke Raub dalam bas, Bo duduk di kerusi tepi tingkap. Sunyi. Lampu jalan berlari di luar. Ray duduk sebelah, sibuk mesej Ros, “adik angkat” barunya.

“Weh, kau diam je dari tadi,” tegur Ray.

Bo tak toleh. “Penat.”

Ray sengih. “Penat ke malu?”

Bo jeling. “Kalau aku baling kau keluar tingkap ni baru lega rasanya.”

Ray ketawa besar. “Ala, relax la. Nama pun pengalaman. Next time jangan kacau adik orang, kacau akak orang pulak.”

Bo geleng kepala. “Kau memang tak guna.”

Malam tu, lepas semua dah tidur, Ray sempat bisik dari katil sebelah,
“Bo, serius la. Kau ni memang layak dapat gelaran baru, pendekar hati patah.”

Bantal melayang ke muka Ray.
“Diam la, Ray! Aku nak tidur!”

Ray masih tergelak kecil dalam gelap.

Bo tutup mata, tapi dalam hati dia terfikir, kenapa setiap kali dia mula rasa suka, mesti jadi bahan ketawa?

 

Bersambung... 

(Sambungan novel ini akan diterbitkan pada setiap hari jam 8 malam)


  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.