Isnin, 13 November 2017

5 Nilai kehidupan kita ibarat sebiji batu

Ada suatu kisah, seorang kanak-kanak lelaki berjumpa ayahnya dan bertanya, "Ayah, apakah nilai harga kehidupan saya? Adakah saya ini bernilai atau tidak?"

Ayahnya tidak memberi jawapan dan hanya memberi satu batu kecil dan berkata, "Anakku, kamu ambil batu ini dan cuba jualkannya di pasar malam. Jika ada sesiapa yang bertanyakan harga batu tersebut, jangan jawab apa-apa sebaliknya hanya tunjukkan 2 jari sahaja, tetapi jangan jualkannya dan kembali kepada ayah semula untuk beritahu berapakah nilai batu itu."


Budak lelaki itu pergi ke pasar malam dan meletakkan batu itu di depannya, sehingga seorang wanita bertanya kepadanya, "Berapa harga batu ini? Saya nak letakkan dalam pasu bunga saya." Seperti yang diarahkan oleh bapanya, budak itu tidak berkata apa-apa dan hanya menunjukkan 2 jari sahaja.

Wanita itu berkata, "RM2 sahaja? Baik saya mahu membelinya." Budak itu memohon maaf dan berkata batu ini bukan untuk dijual lalu pulang ke rumah. Budak itu memberi tahu ayahnya ada wanita mahu membeli batu itu dengan harga RM2 di pasar malam.

* * * * * * * * * *

Kemudian ayahnya berkata, "Anakku, kamu ambil batu ini dan cuba jualkannya di muzium. Jika ada sesiapa yang bertanyakan harga batu tersebut, jangan jawab apa-apa sebaliknya hanya tunjukkan 2 jari sahaja, tetapi jangan jualkannya dan kembali kepada ayah semula untuk beritahu berapakah nilai batu itu."

Budak lelaki itu pergi ke muzium dan meletakkan batu itu di depannya, sehingga seorang lelaki bertanya kepadanya, "Berapa harga batu ini? Batu ini sangat jarang dijumpai." Seperti yang diarahkan oleh bapanya, budak itu tidak berkata apa-apa dan hanya menunjukkan 2 jari sahaja.

Lelaki itu berkata, "RM200 sahaja? Baik saya mahu membelinya." Budak itu sangat terkejut. Dia memohon maaf dan berkata batu ini bukan untuk dijual lalu berlari pulang ke rumah. Budak itu memberi tahu ayahnya ada lelaki mahu membeli batu itu dengan harga RM200 di muzium.

* * * * * * * * * *

Selepas itu ayahnya berkata, "Anakku, kamu ambil batu ini dan cuba jualkannya di kedai barang kemas. Jika ada sesiapa yang bertanyakan harga batu tersebut, jangan jawab apa-apa sebaliknya hanya tunjukkan 2 jari sahaja, tetapi jangan jualkannya dan kembali kepada ayah semula untuk beritahu berapakah nilai batu itu."

Budak lelaki itu pergi ke kedai barang kemas dan menunjukkan batu itu kepada pemilik kedai. "Berapa harga batu ini? Batu ini sangat berharga. Saya mesti membelinya." Seperti yang diarahkan oleh bapanya, budak itu tidak berkata apa-apa dan hanya menunjukkan 2 jari sahaja.

Lelaki itu berkata, "RM200,000 sahaja? Jualkannya kepada saya." Budak itu bertambah terkejut. Dia memohon maaf dan berkata batu ini bukan untuk dijual lalu dengan pantas pulang ke rumah. Budak itu memberi tahu ayahnya yang pemilik kedai mahu membeli batu itu dengan harga RM200,000 di kedai barang kemas.
* * * * * * * * * *

Kemudian ayahnya berkata, "Anakku, tempat terakhir yang ayah nak kamu pergi adalah kedai batu permata. Jika ada sesiapa yang bertanyakan harga batu tersebut, jangan jawab apa-apa sebaliknya hanya tunjukkan 2 jari sahaja, tetapi jangan jualkannya dan kembali kepada ayah semula untuk beritahu berapakah nilai batu itu."

Budak lelaki itu pun pergilah ke kedai batu permata dan menunjukkan batu itu kepada tuan kedai. Tuan kedai itu sangat terkejut dan bertanya kepada, "Di mana kamu dapat batu ini? Tahukah kamu hanya ada beberapa biji sahaja batu ini dalam dunia? Berapa kamu jual batu ini?" Seperti yang diarahkan oleh bapanya, budak itu tidak berkata apa-apa dan hanya menunjukkan 2 jari sahaja.

Lelaki itu berkata, "RM20 juta? Percayalah, walaupun saya menjual seluruh kedai, dan hidup saya, saya tidak akan dapat membeli batu yang tidak ternilai ini." Budak itu terkedu seperti tidak percaya apa yang didengarinya. Dia terus pulang ke rumah dan menceritakan kepada ayahnya apa yang berlaku.

* * * * * * * * * *

Ayahnya kemudian berkata, "Anakku, kamu sudah tahu nilai kehidupan kamu sekarang?"

"Apa dia ayah?", tanya semua anak lelakinya.

"Nilai kehidupan kamu sama seperti nilai batu itu tadi. Wanita di pasar malam, lelaki di muzium, pemilik kedai barang kemas dan kedai batu permata tadi melihat nilai batu itu dengan pandangan mata dan penilaian yang berbeza. Mereka telah pun memberitahu nilai kehidupan kamu.", jawab ayahnya.

Tidak kira siapa diri kita, dari mana kita datang, tempat mana kita lahir, keluarga mana kita dibesarkan, warna apa kulit kita, sebanyak mana harta dan wang ringgit yang kita ada, manusia akan melihat nilai seseorang itu berbeza-beza, bergantung kepada siapa yang dilihat, dan siapa yang melihat. Nilai diri kita adalah bergantung kepada di mana kita tempatkan diri kita, orang-orang di sekeliling kita, dengan siapa kita bergaul, dan bagaimana cara kita bawa diri kita.

Anda mungkin merasakan anda adalah batu yang bernilai RM2 itu sepanjang hidup anda.
Anda mungkin telah dikelilingi orang yang melihat nilai anda hanya RM2 sepanjang hidup anda.

Namun setiap orang sebenarnya mempunyai permata di dalam diri masing-masing, dan kita diberi pilihan untuk berkawan dan bergaul dengan orang yang boleh menghargai kita, yang nampak permata yang ada dalam diri kita.

Kitalah yang memilih untuk letakkan diri kita di pasar malam, di muzium, di kedai barang berharga, atau kedai batu permata.

Dan kitalah yang memilih untuk melihat nilai yang ada dalam diri orang lain, dan kita boleh membantu mereka untuk menjumpai permata yang ada dalam diri mereka.

Pilihlah orang di sekeliling anda dengan bijak, orang yang tahu menghargai nilai diri anda, dan elakkan diri dari orang yang tidak mahu menghargai anda, yang sentiasa memandang rendah anda, yang hanya mahu menjatuhkan hidup anda.

Anda boleh memilih untuk dikelilingi orang yang melihat nilai diri anda hanya RM2.
Anda boleh memilih untuk dikelilingi orang yang melihat nilai diri anda serendah RM200.
Anda boleh memilih untuk dikelilingi orang yang melihat nilai diri anda sebanyak RM20,000.
Anda boleh memilih untuk dikelilingi orang yang melihat nilai diri anda setinggi RM20 juta.
Atau anda boleh memilih untuk dikelilingi orang yang melihat diri anda sangat tidak ternilai.

Percayalah, ia pasti akan membawa perbezaan dalam hidup anda

* Diadaptasi daripada sebuah cerita lama.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.







tags: nilai kehidupan harga diri maruah kita ibarat sebiji batu cerita kisah lama china

5 ulasan:

  1. strong message, good reading for motivation

    BalasPadam
  2. bini aku lihat aku sbg lelaki paling berani, hensem dan baik hati....

    BalasPadam
  3. jangan meniaga di pasar malam

    BalasPadam
  4. ni cerita tipu ni. mana ada batu harga 20 juta. cincin ada la. boleh pulak ayah dia ada batu 20 juta, kalah menteri.

    BalasPadam
  5. good motivation and cheer me up .. thank u

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.