Ahad, 26 November 2017

2 Kehebatan bukan lesen untuk merasa tinggi diri

Hangat di media sosial tentang wanita yang bergaji RM2,500 sebulan telah pun mempunyai 6 buah rumah pada usia muda. Namun yang lebih diperkatakan bukanlah kejayaan beliau, tetapi sikap yang kurang enak memperkecil dan memandang rendah orang lain terutama golongan muda yang bergaji kecil kerana tidak berjaya sepertinya.

Malah ada juga yang mempertikai ilmu yang diberikan di dalam seminarnya tidak praktikal untuk semua orang kerana melibatkan wang suami, duduk di rumah ibubapa/mertua serta kaedah memberi sewa yang mengaut banyak keuntungan dengan menyewakan rumah kepada ramai pelajar dan mengutip wang sewa mengikut kepala dan sebagainya.

Gambar hiasan

Ramai orang ada ilmu yang bagus.
Ramai orang yang kaya ana berharta.
Ramai orang ada pangkat dan darjat tinggi.
Ramai orang berjaya dalam bidang tersendiri.

Ya, sebenarnya ramai orang yang sudah mencapai kejayaan dalam hidup ini, tidak kiralah dalam apa jua cabang sekalipun. Namun menjadi orang berjaya, bukanlah lesen untuk kita memperlekeh dan memandang rendah kepada orang yang tidak mengambil jalan yang sama seperti kita.

Setiap orang kehidupannya berbeza. Setiap manusia ada jalan ceritanya sendiri. Ada yang susah, ada yang senang dari kecil. Ada yang dilahirkan dari perut ibu miskin, ada yang lahir dari perut ibu kaya. Ada yang dibesarkan dalam keluarga bermasalah, ada yang dibesarkan dalam keluarga bahagia. Ada yang mampu berusaha dan akhirnya keluar dari masalah, ada yang tidak mampu dan terus dibelenggu dan terperangkap dalam masalah. Ada yang mencapai kejayaan setelah belajar dengan orang lain, ada yang terus gagal walau sekuat mana dia usaha. Ada yang tidak perlu berbelanja besar kerana tiada banyak komitmen, ada yang ada banyak komitmen dan perlu menjaga ibu yang sakit.

Andai kita ada ilmu yang baik, tidak salah untuk kita ajarkan kepada orang. Malah adalah sangat baik untuk kita mengajarkan ilmu yang kita ada agar orang lain turut memperoleh kejayaan seperti kita. Namun janganlah kita marah atau mengherdik orang yang tidak mahu mempelajari ilmu kita, orang yang tidak mahu mengikuti jalan seperti kita. Jangan jadi seperti penjual MLM, hanya kerana mahu menarik orang menjadi downlinenya, habis dihina semua orang yang kerja makan gaji.

Kita boleh berjaya, boleh buat seminar jual air liur cerita rahsia dan pengalaman bagaimana kita boleh berjaya, namun hakikatnya hal berkaitan kehidupan tidak boleh dipaksa-paksa. Setiap orang ada minat yang berbeza. Setiap orang ada cita-cita, impian dan matlamat yang berlainan. Setiap orang mengejar perkara yang tidak sama. Setiap orang berjalan di laluan yang berbeza. Tidak perlu membanding-bandingkan diri kita dengan orang lain. Malah, ukuran kejayaan bagi setiap orang itu pun sangat berbeza.

Ada orang menjadikan kekayaan wang ringgit sebagai ukuran kejayaan.
Ada orang menjadikan sijil PhD sebagai ukuran kejayaan.
Ada orang menjadikan bilangan hartanah yang dia ada sebagai ukuran kejayaan.
Ada orang menjadikan hafal seluruh Al-Quran sebagai ukuran kejayaan.
Ada orang menjadikan kebahagiaan orang susah sebagai ukuran kejayaan.
Ada orang menjadikan pencapaian anak murid sebagai ukuran kejayaan.
Ada orang menjadikan populariti di media sosial sebagai ukuran kejayaan.
Ada orang menjadikan kemenangan dalam pertandingan sebagai ukuran kejayaan.
Ada orang menjadikan jenis kereta yang dimiliki sebagai ukuran kejayaan.
Ada orang menjadikan kebahagiaan rumahtangga sebagai ukuran kejayaan.
Ada orang menjadikan penerbitan buku sebagai ukuran kejayaan.

Kau nak jadi apa, kau buat. Kau yang menentukan kehidupan kau sendiri. Yang pasti, apa jua kejayaan yang seseorang itu perolehi, bukanlah lesen untuk mengutuk, menyindir dan menghina orang lain.

Seorang jutawan yang suka menunjuk-nunjuk kekayaannya, pasti akan dibenci dan tidak dihormati orang lain.
Seorang guru yang kuat mencarut, pasti akan dibenci dan tidak dihormati orang lain.
Seorang agamawan yang kuat memaki hamun, pasti akan dibenci dan tidak dihormati orang lain.
Seorang ahli politik yang suka menghina orang, pasti akan dibenci dan tidak dihormati orang lain.
Seorang doktor yang suka memperkecil dan memandang rendah orang, pasti akan dibenci dan tidak dihormati orang lain.
Seorang professor yang suka menyindir dan memperlekeh orang, pasti akan dibenci dan tidak dihormati orang lain.
Seorang pelakon kacak yang suka memalukan orang lain, pasti akan dibenci dan tidak dihormati orang lain.

Kerana pada akhirnya, bukanlah kejayaan mahupun kehebatan yang menentukan tahap penghormatan dan respek orang lain terhadap seseorang, sebaliknya sikap. Hebat macam mana pun tapi kalau sikap teruk, layan orang lain buruk, mulut kuat menyakiti hati orang lain, bersikap megah dan tinggi diri dengan kejayaan yang dimiliki sehingga merasa layak untuk memandang rendah orang lain, pasti akan dijauhi dan dibenci orang lain.

Tetapi kalau orang yang tidak hebat mana pun pencapaiannya tetapi mempunyai sikap yang baik, melayani orang lain dengan penuh hormat, menjaga hati dan perasaan orang lain, sentiasa merendah diri dan tidak sombong, pasti akan dihormati dan disenangi orang sekeliling.


Baca juga artikel berkaitan:


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: wanita gaji rm2500 beli 6 rumah flat apartment kos rendah kecam boleh hidup kl bujang papa kedana jangan percaya bulat

2 ulasan:

  1. Kadang2 bila ada di atas, terlupa pernah di bawah. Mungkin bila di bawah, baru faham erti rendah

    BalasPadam
  2. Selalu jugak terfikir benda yang sama. Sama ada orang yang macam ni apa niat sebenarnye..nak menunjuk die hebat atau nak share ilmu atau nak mengambil kesempatan..

    Wallahualam..

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.