Jumaat, 21 Jun 2019

1 Jangan malu meminta bantuan ketika terdesak

Setiap manusia pasti diuji dengan pelbagai jenis ujian, dan kadang kala ada manusia yang diuji dengan sangat berat dan dahsyat. Ada yang ditimpa dengan musibah, kemalangan, masalah kesihatan, keretakan rumahtangga, kehilangan kerja dan sebagainya.

Orang yang menghadapi ujian berat ini biasanya menyebabkan mereka mengalami masalah dari sudut wang ringgit.

Rumah dilanda banjir, perlu wang yang banyak untuk baiki kerosakan dan beli barang keperluan.
Terlibat dalam kemalangan jalan raya, perlukan duit untuk baiki kenderaan.
Menghidap penyakit teruk, perlu wang ringgit untuk biayai kos rawatan.
Isteri tidak bekerja kena tinggal suami, perlu cari duit untuk teruskan kehidupan.
Orang hilang kerja, perlukan duit untuk tanggung makan minum anak bini.

Bila dalam keadaan terdesak, ada yang akhirnya guna cara yang salah untuk dapatkan duit.


Ada yang terpaksa mencuri makanan di kedai.Ada yang terpaksa meragut beg tangan orang.
Ada yang terpaksa merompak rumah orang.
Ada yang terpaksa menipu untuk dapatkan duit.
Ada yang terpaksa melacur demi menyara hidup.

Namun walau macam mana terdesaknya kita, melakukan maksiat dan kejahatan terhadap orang lain bukanlah jalan penyelesaiannya.

Sebaliknya, jangan takut dan malu untuk meminta pertolongan dari orang lain.

Minta bantuan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan media sosial. Tak semua manusia itu kejam, jahat dan pentingkan diri. Ceritakan masalah anda, aku yakin masih ramai yang bersifat mulia, yang faham dan bersimpati dengan masalah anda dan akan turut membantu.

Kalau tak bantu dalam bentuk sumbangan wang ringgit pun, mereka boleh bantu dari segi nasihat, atau mungkin memberi panduan dan jalan bagaimana untuk membantu anda mencari wang dan teruskan hidup seperti melalu jabatan kebajikan, pusat zakat atau mendapatkan pekerjaan dan sebagainya.

Walaupun sifat meminta-minta ini kurang baik, tapi bila dalam keadaan terdesak, ia jauh lebih baik dari mencuri, merompak, menipu dan lain-lain perbuatan terkutuk. Biarlah orang nak anggap kita ni mengemis ke apa, dari orang tahu kita pencuri atau penipu.

Dan kalau boleh elakkan meminjam duit dari orang lain lebih-lebih lagi dalam nilai yang besar, tatkala kita tahu kita sebenarnya tidak mampu pun untuk membayarnya, sebaliknya minta sumbangan iklas, sekurang-kurangnya kita tak terikat dengan hutang dan orang lain pun bagi sumbangan mengikut kemampuan mereka.

Lebih baik kita dapat RM500 hasil sumbangan ikhlas dari orang ramai, berbanding kita perolehi RM500 dengan mencuri, meragut dan melacur, atau pinjam RM500 dari seseorang dan berjanji nak bayar lepas gaji lepas tu lari dan elak tak nak bayar.

Jadi bila dalam keadaan terdesak, jangan malu untuk meminta bantuan.

Dan apabila ada orang datang kepada kita memohon bantuan, atau kita tahu ada orang yang terdesak perlukan bantuan, maka bantulah. Kalau tak banyak, bantulah mengikut keupayaan dan kemampuan kita.

Sedang orang itu diuji dengan kesusahan, kita juga sebenarnya sedang diuji dan dinilai, apakah yang kita buat apabila mendapat tahu ada orang perlukan bantuan. Adakah kita akan bantu atau hanya sekadar melihat dan mendengar sahaja?



P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.


https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: jangan malu segan takut meminta bantuan pertolongan ketika terdesak

1 ulasan:

  1. Masa saya mula2 buat kutipan derma untuk biayai kos guaman ada yang suggest pinjam Ahlong.. Tahukah anda membuat pinjaman dengan Ahlong bukan membantu selesaikan masalah tapi sengaja menempah bala. Bukan mudah untuk meminta minta ni.. Lebih2 lagi kita tak pernah meminta minta macam tu. Tapi dalam keadaan terdesak.. kita pilih apa yang baik walaupun bukanlah yang terbaik. Yelah dari buat kerja haram kan

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.