Selasa, 20 Ogos 2019

3 Kemelut Utusan Melayu suatu pengajaran

1. Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! terbitan syarikat Utusan Melayu (M) Bhd. dikhabarkan akan mula dihentikan penerbitan bermula Khamis ini untuk satu tempoh yang tidak ditetapkan. Walaubagaimana pun Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata, operasi Utusan Malaysia dan Kosmo akan terus diterbitkan seperti biasa, namun harga jualan kedua-dua akhbar berkenaan akan dinaikkan.

2. Lebih 100 kakitangan yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan bekas kakitangan telah melancarkan piket di luar ibu pejabat Utusan di Jalan Chan Sow Lin, antaranya menuntut pihak pengurusan menyelesaikan segera tunggakan gaji kakitangan hampir 2 bulan.

3. Ada kakitangan Utusan dilaporkan terpaksa memberi sirap kepada bayi bagi menggantikan susu kerana tidak mampu membelinya, selain ada yang mendapatkan pinjaman ceti haram serta dikejar bank kerana gagal membayar pinjaman.


4. Utusan memang sudah lama dilanda masalah kewangan, terutama selepas kejatuhan BN pada PRU14 yang menyaksikan parti UMNO terpaksa melepaskan pegangan saham sebanyak 31.6 peratus dalam syarikat akhbar itu.

5. Walaupun akhbar ini adalah akhbar nasional namun ia seperti mewakili suara UMNO, kerana laporannya terlalu berat sebelah dengan memihak pada kerajaan terdahulu dan ada kalanya kurang tepat sehingga menyebabkan ia pernah disaman beberapa kali.

5. Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon mengecam ahli politik Umno yang disifatkan tidak mengendahkan nasib kakitangan Utusan Malaysia walaupun mendapat manfaat dari liputan akhbar harian itu sejak penubuhannya.

6. Memetik kenyataan beliau, "Malang apabila kakitangan Utusan Malaysia telah bekerja untuk ahli-ahli politik ini selama hampir 80 tahun. Dalam tempoh 80 tahun itu, mereka telah menjadikan ramai ahli politik kaya, mereka telah melindungi banyak ahli politik dalam kedudukan mereka. Tetapi dalam satu tahun terakhir, ahli-ahli politik itu kini mengkhianati kepercayaan para pekerja yang telah diambil oleh kakitangan Utusan untuk kesejahteraan para ahli politik itu."

7. Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak menyertai kempen menyelamatkan Utusan dengan menyeru orang ramai untuk terus membeli akhbar terbitan syarikat tersebut, serta meletakkan kesalahan atas masalah dihadapi syarikat tersebut ke atas kerajaan PH kerana membekukan akaun bank UMNO sejak PRU14 menyebabkan mereka tidak mampu mengeluarkan dana untuk membantu syarikat penerbitan tersebut.

8. Namun memandangkan akhbar ini juga agak sinonim dengan kaum Melayu, pemberhentiannya sedikit sebanyak memberi kesan emosi terhadap masyarakat Melayu secara amnya, yang turut bersimpati terhadap nasib para pekerjanya yang bakal kehilangan punca pendapatan dan tidak mampu menyara keluarga. Jadi apa pengajaran dari isu ini?

9. Pertama, kita kena faham yang industri cetak semakin merudum. Utusan bukanlah syarikat pertama yang menghadapi masalah ini. Banyak majalah yang popular suatu ketika dulu sudah dihentikan penerbitan bercetaknya seperti majalah Ujang, Apo dan Gempak. Comic House juga telah tutup kedai setelah bertahun-tahun menerbitkan komik manga dari Jepun.

10. Era digital ini menyaksikan ramai orang kurang membeli bahan bercetak sebaliknya lebih selesa membacanya secara digital di komputer dan telefon pintar. Sebab itu banyak portal berita dan media baru berlumba-lumba membuat kemunculan di laman web dan media sosial. Pengiklan juga sudah beralih dari membeli petak iklan di akhbar/majalah bercetak ke iklan petak di laman web portal media, pengiklanan Youtube dan beriklan dengan influencer media sosial.

11. Pengajaran kedua adalah, jangan terlalu bergantung pada suatu parti politik terutama bila buat bisnes. Ini kerana parti politik itu tidak kekal lama, dan ia hanya kuat ketika ada kuasa. Masa BN jadi kerajaan dulu, memanglah sedap menjilat kerajaan sebab masa tu mereka berkuasa. Kalau ada apa-apa masalah pun, kerajaan masih boleh payung, boleh beli akhbar untuk diedarkan ke jabatan dan agensi kerajaan. Bila BN dah kehilangan kuasa, hilang sumber kewangan, jadi macam mana mereka nak payung? Kalau kerajaan PH nak hentikan langganan akhbar Utusan pun itu hak mereka, tak boleh buat apa.

12. Sama lah macam kebanyakan syarikat dan kontraktor yang terlalu bergantung harap pada sesebuah parti politik. Bila ada kuasa, memang sedaplah dapat projek dan dana macam-macam. Lepas tu kuat pula mengutuk parti lawan kat media sosial, seolah-olah terlalu yakin partinya akan kekal memerintah sampai kiamat. Tapi bila pihak yang disokong dah hilang kuasa, projek pun tak dapat, keuntungan berkurang, terus diam kelu membisu, sehingga akhirnya terpaksa lompat parti menjilat pihak yang pernah diludah suatu ketika dulu demi kelangsungan hidup. Ahli politik sedaplah, kalah pun masih banyak duit. Para penyokong yang makan gaji dan berniaga ini yang terpaksa tanggung akibat.

13. Pengajaran ketiga, dalam perniagaan, mencipta musuh adalah suatu kesilapan terbesar. Seperti contoh anda berniaga jual makanan. Anda sepatutnya boleh mempunyai prospek pelanggan sebanyak 100%, namun disebabkan anda terlalu menjilat sesebuah pihak dan kuat mengutuk dan mengguris hati pihak lawan, jika komposisi pihak lawan anda adalah 50% dari prospek pelanggan anda, maka anda telah kehilangan 50% pelanggan yang akan membeli produk anda. Anda kini hanya tinggal 50% sahaja prospek pelanggan yang mungkin akan membeli produk anda.

14. Kan tak berapa bijak, elok-elok anda boleh jual produk anda pada 100% orang, disebabkan sikap anda, separuh daripadanya telah boikot produk anda, dan lagi separuh pula belum tentu semua akan beli produk anda. Sebab tu kalau nak berniaga, nak tak nak kena nampak neutral. Kalau anda nak sokong mana-mana pihak, jangan nampak terang-terangan sangat. Kalau nak bagi pandangan atau kritikan sekali pun, buat secara berhemah dan rasional tanpa menyakiti hati dan perasaan sesiapa.

15. Sama lah kalau yang kerja makan gaji tu. Tak payah beria-ia berpolitik sangat bagi kenyataan di media sosial yang boleh menyakiti orang lain, yang menggungat sensitiviti kaum dan agama serta mengancam perpaduan dan keselamatan negara. Bila dah viral, orang korek maklumat peribadi kau sampai tahu kau kerja kat mana, lepas tu bagi tekanan kat majikan kau, ramai-ramai nak boikot produk majikan kau, silap-silap dengan kau-kau kena buang kerja. Benda ni dah banyak kali berlaku sebelum ni, jadi jangan pandang ringan.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.



https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: kemelut utusan melayu malaysia kosmo surat khabar dihentikan masalah kewangan protes piket berhimpun bankrap muflis demonstrasi

3 ulasan:

  1. Marilah kita beli mulai esok noob..☯

    BalasPadam
  2. bagi diaorang melingkup. dulu kuat sangat memfitnah. sekarang bagi diaorang rasa.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.