Jumaat, 30 Ogos 2019

0 Wajah di sebalik setiap perkhidmatan IT

1. Hari ini kita hidup di zaman teknologi digital. Boleh kata lebih 90% kehidupan seharian kita menggunakan peralatan elektronik dan perkhidmatan digital ICT untuk pelbagai jenis urusan seharian.

2. Teknologi elektronik ini ada di mana-mana di sekeliling kita, dari jam loceng, jam tangan, telefon bimbit, peti ais, mesin penapis air, fungsi elekronik kenderaan, radio, pengimbas kad prabayar tol, perakam waktu pejabat, komputer, kamera CCTV, mesin wang, televisyen dan sebagainya.

3. Kita juga banyak menggunakan perkhidmatan IT setiap hari, dari menggunakan media sosial, perkhidmatan strim lagu dan video, urusan menempah tiket bas, kapal terbang dan wayang, cari perkhidmatan teksi/e-hailing, membuat bayaran secara cashless, online banking, membeli makanan dan sebagainya.


EVOLUSI DAN JANGKA HAYAT TEKNOLOGI

4. Jadi bila dah namanya peralatan elektronik dan digital, ia pasti akan berevolusi dan ada jangka hayat tertentu. Sampai masa ia mungkin akan rosak, atau teknologinya sudah ketinggalan dan sudah tidak sesuai digunakan serta tidak boleh dipakai lagi di zaman terkini.

5. Sebagai contoh kau ada kamera analog lama Kodak tahun 90'an yang pakai filem, walaupun sekarang mungkin masih boleh berfungsi lagi namun dah tak praktikal untuk digunakan sebab nak cari filem susah, nak upload gambar kat media sosial pun susah, malah telefon pintar pun semua dah ada fungsi kamera digital.

PENGGERAK PERKHIDMATAN IT

6. Perkhidmatan IT pula walaupun di pihak pengguna kita nampak macam mudah dan ringkas, tapi di sebalik perkhidmatan tu terdapat pelbagai kod pengaturcaraan yang kompleks, pengurusan data dan maklumat yang gigantic, arus elektrik, jaringan Internet, peranti-peranti elektronik dan mekanikal yang bekerja tanpa henti 24 jam sehari dan lain-lain lagi, jadi tak terbayang sebenarnya betapa ramainya orang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan suatu perkhidmatan IT itu dapat berjalan dengan baik dan lancar.

7. Dan disebabkan terlalu banyak kebergantungan kita dengan IT dalam urusan kerajaan, perniagaan, pekerjaan, peribadi dan sebagainya, maka pasti akan timbul masalah besar kepada ramai orang malah boleh mengakibatkan kerugian ekonomi jika perkhidmatan IT tersebut mengalami gangguan dan kegagalan walaupun hanya untuk seketika.

GANGGUAN SEMENTARA BERERTI KERUGIAN

8. Sebagai contoh sebuah portal membeli belah ternama, dalam tempoh 5 minit sahaja mungkin ada berjuta-juta orang membuat transaksi urusniaga secara online yang kesemuanya berjumlah RM1 juta. Bayangkan jika portal tersebut mengalami masalah selama 5 minit, pelanggan mereka beralih pula menggunakan portal membeli belah yang lain, jadi mereka sudah pun kehilangan urusniaga sebanyak RM1 juta dalam tempoh sementara 5 minit sahaja.

9. Tambah lagi kehilangan urusniaga tersebut bukan sahaja melibatkan pihak portal membeli belah tersebut, malah pihak lain turut terkesan. Jualan para penjual dan vendor dalam portal tersebut terjejas, bank pun kehilangan peluang transaksi jutaan wang ringgit dan sebagainya. Jadi kegagalan perkhidmatan IT seperti ini pasti akan menyebabkan kesan domino terhadap pelbagai pihak.

10. Jadi bila berlakunya kegagalan sistem rangkaian lapangan terbang dan sistem perbankan online seperti yang berlaku baru-baru ini, sampai banyak penerbangan terpaksa ditangguh, orang tak boleh guna aplikasi bank, nak buat pembayaran online pun tak boleh, ambil pula 3, 4 hari untuk dibaikpulih, kita boleh bayangkan betapa besarnya impak dan kerugian yang dialami.

11. Itu baru cerita bab kerugian, belum tengok bab kerja-kerja kontigensi dan baik pulih. Orang yang pernah melaluinya tahulah macam mana, bila fikir-fikir balik memang BUASIR OTAK! Terpaksa bersengkang mata menghadap monitor berjam-jam, tidur di pejabat berhari-hari, melupakan sementara urusan dunia luar, sambil berdoa dan berharap agar ia dapat kembali pulih.

PROSES BAIK PULIH YANG RUMIT

12. Nak membaik pulih perkhidmatan IT ni bukan macam baik pulih benda lain. Contohnya macam kalau air-cond kereta kau rosak, kau hantar kat bengkel, mekanik tu boleh check dan diagnose apa benda yang bermasalah dan rosak, condenser ke, compressor ke, kipas ke, blower ke, valve ke, gas tak cukup ke, paip bocor ke, lepas tu dah tahu apa masalah, boleh baiki atau tukar part baru. Mekanik tu boleh bagi jangkaan masa berapa lama boleh siap, dan dalam hati dia memang ada kepastian dan jaminan yang masalah ini mesti boleh selesai.

13. Manakala perkhidmatan IT pula, proses baikpulihnya sangat rumit dan kompleks sampai berangkai-rangkai dan berantai-rantai. Aku bagi contoh, ada satu sistem online mengalami kegagalan dan tak boleh diakses. Orang awam yang menjadi pengguna sistem pun buat aduan kat talian helpdesk. Lepas tu helpdesk hantar aduan kat orang yang jaga sistem. Pentadbir sistem pula lepas dia check, dia cakap ini masalah rangkaian, lalu dia campak pula aduan tu kat orang rangkaian.

14. Pentadbir rangkain pula check buat troubleshoot try and error sana sini, cakap rangkaian dia OK takde masalah. Suruh server admin pula check. Pentadbir server check, dia cakap server dia tak boleh up, suruh pentadbir pusat data semak host VM (Virtual Machine). Data center admin check, tengok ada masalah kat SAN storage yang agak kritikal. Dia cuba diagnose dan buat troubleshooting tapi tak berjaya, jadi dia contact vendor storage untuk datang support. Vendor pulak nak pergi ke on-site sahaja mungkin ambil masa 2, 3 jam.

15. Dalam pada masa yang sama, sementara nak tunggu masalah kritikal tersebut dibaik pulih yang tidak boleh jangka bila boleh selesai, mereka ambil keputusan untuk guna dulu server backup di DRC (Disaster Recovery Center/Pusat Pemulihan Bencana). Jadi mereka contact orang yang jaga DRC untuk up semua server yang terlibat.

17. Pentadbir rangkaian pula perlu ubah DNS agar semua trafik pengguna yang mahu ke sistem tersebut dihalakan ke server backup, kemudian pentadbir pangkalan data perlu pastikan data sistem adalah yang terkini, dan orang sistem perlu semak dan sahkan yang aplikasi mereka boleh berjalan lancar seperti biasa, barulah sistem tersebut dibuka semula kepada orang ramai untuk digunakan.

18. Lepas beberapa hari storage di server asal berjaya dibaik pulih, mereka kena buat maintenance sekali lagi untuk reverse balik semua proses kembali ke server asal. Itu nasib baik ada DRC, ada backup dan sebagainya. Biasanya jabatan kerajaan yang besar-besar, syarikat IT yang besar-besar dan syarikat gergasi adalah benda semua tu. Dibuatnya kalau agensi atau syarikat kecil takde DRC dan backup sebab takde bajet atau majikan kedekut. 

19. Yang pengguna cuma tahu bila tak boleh akses sistem, buat aduan kat helpdesk yang asyik busy memanjang sebab ramai orang call, lepas tu masuk kat page Facebook, Twitter mereka marah dan maki bila nak setel masalah. Yang mereka tak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir tu, berapa banyak kali masalah tu kena campak sana sini, berapa ramai orang yang terlibat demi untuk selesaikan masalah tu, dengan masing-masing ada anxiety dan timbul kebimbangan teruk bila masalah ni nak selesai, boleh dijamin akan setel ke, siapa yang bakal dipersalahkan dan sebagainya.

ASAM GARAM PEKERJA IT

20. Macam tu lah asam garam pekerja IT ni terutama di bahagian operasi IT. Bila takde masalah, rutin kerja memang tak teruk mana. Sekali ada masalah, huru hara hidup. Tapi korang jangan takut pula untuk terjun bidang operasi IT ni, sebab masalah bukan selalu berlaku pun. Kira dalam setahun tu, mungkin 95% dari masa kerja kau tu OK, 5% je ada masalah teruk, jadi kira OK lah kan.

21. Mungkin ramai juga majikan yang jenis buta IT atau tak pentingkan IT sangat, jadi kita kena pandai dan kreatif cari jalan untuk selamatkan diri kita dan karier kita. Pastikan semua benda ada hitam putih. Kalau ada server lama dan perlukan upgrade, buat laporan bertulis dan hantar kat bos, paling tidak pun ada rekod emel, lepas tu pandai-pandai lah mereka buat keputusan. Kalau ada masalah di masa akan datang, sekurang-kurangnya kita dah ada hitam putih yang kita pernah laporkan dulu pasal masalah tu.

22. Kita pun kalau majikan tak begitu support kita dalam menjalankan urusan kerja harian, kita kena pandai berdikari dan cari juga jalan macam mana nak survive dalam organisasi. Kita kena buat sampai satu tahap mereka rasa mereka lebih perlukan kita sebab kepakaran dan hasil buah tangan kita, dari kita perlukan mereka.

ELAK JADI KAMBING HITAM

23. Seperti contoh kalau di pejabat mereka masih kira kehadiran pekerja secara manual, kita bangunkan sendiri Sistem Kehadiran Kakitangan guna open source software yang percuma seperti PHP dan database MariaDB (dulu MySQL). Kalau takde server, kita guna je PC biasa, install OS Linux untuk buat web server. Kalau takde sistem backup, kita copy je coding yang kita dah buat, copy database dump dan simpan dalam external hard disk. Buat bash script untuk dump database dan copy secara berkala.

24. Lepas tu kau simpan segala jenis username dan password server, database, switch, router dalam kepala otak. Bila ada masalah, kau troubleshoot depan bos kau, bagi diorang rasa kagum dengan kau. Jadi bila kau dah ada satu reputasi tinggi dalam jabatan/syarikat kau, bila apa-apa berlaku mereka nak salahkan dan buang kau pun susah, malah mereka pula yang terpaksa berharap pada kau untuk selesaikan masalah.

25. Ye lah, sistem kau buat, server kau buat, network kau buat, semua benda kau buat. Kalau mereka salahkan kau dan kau berhenti kerja, pada akhirnya mereka pun yang susah nanti, jadi mereka pasti akan jaga dan layan kau elok-elok.

26. Tapi kalau kau dah bina reputasi tinggi di tempat kerja tapi masih di"anak tiri" dan di"kambing hitam" oleh majikan kau, kau berhenti kerja dan cari kerja lain je lah. Buat apa nak bersusah payah buasirkan otak kau demi untuk majikan yang tak hargai hasil usaha kau, tak payah buang masa dan tenaga bak kata Prince of Noob, penulis artikel ini di blog Buasir Otak.

27. Sebab kalau kau memang dah ada kemahiran, kepakaran dan pengalaman, kau takkan risau untuk berhenti kerja dan cari kerja lain. Senang untuk kau jual diri kau lompat kerja tempat lain, malah nak demand gaji tinggi sikit pun boleh, sebab kepakaran dalam bidang kerja IT ini sampai bila-bila pun mesti masih ada juga orang yang perlukan khidmat mereka.

28. Tapi kalau kau memang dah tak tahan, atau serik, atau bosan kerja dalam bidang IT ni, jangan risau kau buat je kerja lain. Buka bisnes ke, bawak Grab ke, mohon PTD kat gomen ke, buka kolam memancing ke, ikut lah. Rezeki ada di mana-mana. Kau terjun bidang lain, generasi IT baru boleh ambil alih tempat yang kau tinggalkan tu.


Baca juga artikel berkaitan berikut:

Mohon rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):




P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.



https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: pekerja kakitangan it wajah di sebalik perkhidmatan it ict kambing hitam reputasi proses baik pulih

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.