Selasa, 27 Ogos 2019

3 Pekerja IT bukan anak tiri dan kambing hitam

1. Beberapa hari lepas telah berlaku suatu malapetaka yang menjadi igauan dan mimpi ngeri setiap orang yang bekerja dalam bidang IT terutama di bahagian operasi. Sistem lapangan terbang KLIA telah mengalami gangguan kritikal sehingga menyebabkan banyak penerbangan terjejas dan tergendala. Semua prosedur terpaksa kembali kepada kaedah manual. Puncanya, kegagalan sistem rangkaian.

2. Aku yang turut bekerja dalam bidang operasi IT boleh merasai perasaan mereka yang terpaksa menghadapi dan membaik pulih insiden tersebut. Gementar, marah, takut, penat, semua ada. Tambah pula terpaksa kerja lebih masa dalam tempoh yang panjang sehingga masalah tersebut selesai yang tidak tahu bila.


3. Cuma insiden ini jauh lebih parah dari apa yang aku pernah alami sebelum ini sebab ia melibatkan sektor yang sangat kritikal iaitu penerbangan dan pengangkutan, yang mana kegagalan 1 minit sahaja pun sudah boleh menyebabkan kerugian jutaan ringgit, malah mungkin boleh membahayakan nyawa penumpang.

4. Macam biasa ada orang akan kaitkan isu ini dengan politik dan juga 1001 teori konspirasi. Orang yang tak faham juga mungkin akan marah dan kutuk orang IT macam mana kegagalan tersebut boleh berlaku. Hakikatnya, orang IT di mana-mana syarikat atau jabatan kerajaan sekali pun hanyalah pekerja dan pelaksana sahaja. Mereka bukan boleh buat semua benda, malah tiada kuasa pun untuk menentukan hala tuju syarikat/jabatan.

5. Aku tidak tahu secara terperinci kegagalan sistem rangkaian KLIA, tapi aku difahamkan dari apa yang aku baca di portal berita dan juga media sosial, ia disebabkan kegagalan Core Switch model Cisco yang dikhabarkan telah lama digunapakai lebih dari 17 tahun yang lepas. Secanggih mana suatu server, database, data center, aplikasi, komputer, telefon pintar dan sebagainya, sekali network kaput, semua benda tak guna dah.

6. Memandangkan tak semua orang faham bidang IT ni terutama yang berkaitan operasi, aku terangkan dengan analogi yang mudah difahami. Rangkaian ni laluan trafik bagi data ibarat jalan raya, ada yang sempit macam lorong sehala, ada yang luas macam lebuh raya 4 laluan. Kat jalan ni ada lah papan tanda, lampu isyarat, jambatan, pondok tol dan sebagainya.

7. Sistem rangkaian KLIA tu ibarat macam Pulau Pinang dan Seberang Perai. Kalau nak pergi Pulau Pinang melalui jalan darat kena lalu jambatan. Flyover sambungan jambatan dengan jalan raya ibarat Core Switch. Bayangkan kalau flyover yang menyambungkan jambatan tu dengan jalan raya biasa runtuh, rasa-rasa aliran trafik boleh berfungsi lagi? Sistem pengangkutan antara Pulau Pinang dan Seberang Perai mesti terjejas teruk. Memang sekarang sudah ada 2 jambatan, tapi sementara nak tunggu flyover siap dibaiki, aliran trafik mesti akan jadi sangat luar biasa teruk terutama di jambatan yang masih elok.

8. Sistem jalan raya ini sangat kritikal dan sensitif. Kegagalan di suatu tempat boleh menyebabkan aliran trafik tergendala. Kalau dari 5 pondok tol tiba-tiba hanya 1 sahaja yang boleh guna, atau berlaku kemalangan di lebuh raya 2 laluan sehingga menyebabkan hanya 1 laluan sahaja boleh guna, atau jalan penuh dengan lubang, keseluruhan aliran trafik di kasawan itu mesti akan jadi perlahan dan sesak teruk.

9. Begitulah halnya dengan sistem rangkaian. Rosak satu peralatan pun boleh mengakibatkan kegagalan keseluruhan sistem rangkaian. Pakai lah kabel Cat 7 yang boleh support kelajuan sampai 10Gbps, atau kabel fiber optic yang boleh support 100Gbps, atau wireless AP 5Ghz yang boleh support kelajuan 433 Mbps, atau langgan talian ke Internet dengan kelajuan 1Gbps sekali pun, sekali Firewall atau Core Switch rosak, semua tak boleh pakai.

10. Semua benda berkaitan komputer ini barang elektronik. Bila dah namanya barang elektronik, benda tu mesti ada jangka hayat, dan jangka hayatnya pula biasanya taklah begitu lama. Sampai masa mesti kena tukar, kalau bukan sebab teknologi tu dah terlalu lama dan tak boleh nak support teknologi terkini, benda tu dah tak disokong dan diselenggara lagi oleh syarikat pembuatnya. Benda dah 10 tahun, pembuat produk tu sendiri pun dah tak mahu selenggara model lama dia, lebih baik dia jual model yang baru.

11. Bayangkan telefon pintar pun ada orang tukar setahun sekali, kereta pun kau pakai 5 tahun dah rasa nak tukar kereta lain, ini kan pula barang elektronik yang dah berusia lebih 15 tahun. Seperti contoh, kau masih pakai telefon bimbit Nokia 3310, dan sekarang tiba-tiba rosak. Kau hantar pergi kedai Nokia nak minta mereka baiki, dia suruh kau beli telefon baru je. Sudahlah warantinya setahun je yang dah dekat 20 tahun tamat, spare part untuk baiki pun dah tak dibuat lagi.

12. Itu kita cerita barang elektronik untuk pengguna biasa. Barang elektronik untuk syarikat, jabatan dan industri ini harga bukan sekadar ratus atau ribu sahaja, lebih sejuta pun ada. Kadang benda nampak kecik je macam saiz laptop, tapi harga lebih mahal dari kereta dan rumah kau. Dah lah kita ni negara pengguna, mana ada cipta perkakasan elektronik kita sendiri. Komputer, telefon pintar, server, firewall, hub, switch, semua beli dari negara luar seperti US, China, Korea, Jepun dan sebagainya. Kalau negara kita ada hasilkan peranti elektronik sendiri mungkin boleh dapat harga yang lebih murah, tapi sekarang kau bayar je lah berapa yang mereka kenakan.

13. Orang IT ini biasanya akan memang akan dilatih dengan pelbagai kemahiran teknikal untuk menguna dan mengendalikan peralatan elektronik komputer ini. Server, firewall, switch, semua mereka boleh operate, namun hakikatnya mereka hanya sekadar boleh operate sahaja lah, tapi peralatan tu semua bukan mereka punya sebaliknya dibeli dan dimiliki oleh majikan. Duit untuk beli barang-barang tu kena pakai duit majikan, bukan orang IT pun kena guna duit sendiri. Jadi kalau majikan ni jenis berjimat kedekut tahi hidung masin, bajet untuk IT semua kena potong, jadi tak guna ada pekerja dan vendor yang mahir sekalipun.

12. Mentaliti kita biasanya selagi tak rosak, selagi boleh pakai, selagi tu tak kisah. Bila sekali rosak, baru lah kelam kabut huru hara nak baiki betulkan itu ini. Kereta pun kita kena selalu servis, tukar minyak hitam, tukar oil filter, tukar tayar dan sebagainya supaya dapat mencegah kerosakan, sampai masa kena tukar bila dah terlalu banyak kerosakan. Bila benda berkaitan komputer, selagi Internet boleh jalan, selagi sistem boleh akses, selagi tu rasa boleh pakai sampai kiamat.

13. Tapi bila ada masalah, mulalah tolak situ sana salahkan sana sini. Yang jadi kambing hitam, biasalah, orang IT. Kena tanya kenapa rosak? Kena persoalkan kenapa tak tukar, kenapa takde backup, kenapa takde disaster recovery? Lepas tu kena marah lagi kenapa tak beritahu awal-awal? Padahal orang-orang atas tu lupa dulu masa orang IT hantar laporan dan proposal tebal-tebal untuk naiktaraf sistem dan infrastruktur ICT, mereka juga yang reject nak save cost lah, nak cut budget lah, nak lebihkan budget utamakan benda lain, cantikkan ruang pejabat lah, beli kereta jabatan baru dan sebagainya.

14. Dulu aku pernah tulis artikel "Sebab kenapa aku menyesal belajar sains komputer" yang dah banyak kali dicopy paste sebelum ni tanpa kredit, yang menceritakan asam garam kerja dalam bidang IT, yang mana sebenarnya bukanlah aku memang menyesal kerja dalam bidang IT ni, sebaliknya sekadar nak beritahu yang kalau korang terjun dalam bidang IT, korang mungkin akan mengalami benda yang sama atau mungkin lebih teruk, jadi bersedialah untuk menghadapi segala kemungkinan.

15. Aku pernah sekali hadapi dulu, ketika masuk kerja di sebuah kilang, kena maintain sebuah server database yang dah berusia 10 tahun namun penggunaannya sangat kritikal. Kalau down sekali, production kilang terpaksa dihentikan. Aku dah banyak kali cadangkan untuk upgrade server dan database sekali tapi ditolak. Alasannya, dah 10 tahun pakai tak pernah ada masalah pun. Tiap-tiap tahun bayar maintenance mahal tapi tak pernah rosak pun. Terus bajet maintenance untuk tahun depan kena potong. Jadi tiap-tiap hari aku ada anxiety teruk berharap janganlah ada apa-apa masalah.

16. Masuk tahun ke-11, server crash. Memang ada backup, tapi nak up kan balik server, nak restore balik database, nak recovery dan buat pengujian balik pada semua sistem yang berkaitan, ambil masa 2 3 hari. Sepanjang 2 3 hari tu produksi kilang terpaksa dihentikan, dan juga aku terpaksa berkampung di kilang, tinggalkan anak bini di rumah, tanpa dirancang. Dan macam biasa, walaupun bahagian IT yang terpaksa berhempas pulas membaikpulih semula masalah, kami jugalah yang akhirnya dipersalahkan.

17. Jadi kalau rasa tak sanggup hadapi risiko untuk dimaki, dipersalahkan, dikambing hitamkan, terpaksa kerja hari minggu dan bermalam di pejabat semua benda-benda tu, jangan kerja dalam bidang IT, lebih-lebih lagi operasi IT yang melibatkan infrastruktur IT seperti server, pangkalan data, pusat data, rangkaian dan keselamatan ICT dan sebagainya. Bekerja sendiri, atau cari kerja yang boleh masuk pukul 8 pagi balik tepat pukul 5 petang. Atau kalau nak juga kerja dalam bidang IT tapi tak mahu banyak risiko, kerja jadi programmer atau yang berkaitan dengan pembangunan sistem dan aplikasi.

18. Lagipun kerja IT ni bukannya glamor mana pun, apatah lagi nak diberi penghargaan. Kerja pun dengan mesin, depan komputer, server, pasang tarik kabel, hadap monitor tiap-tiap hari taip command yang merepek-merepek di skrin hitam. Jarang la dengar CEO syarikat atau Ketua Jabatan bagi anugerah kat pekerja IT atas pentas sebab dapat jaga server atau bangunkan sistem dengan jayanya dan sebagainya. Kalau yang naik pentas ambik piala pun, paling tidak orang lain ambil kredit.

19. Kerja orang IT terutama dalam bidang operasi IT ni macam bomba juga, luaran nampak macam relaks, kadang-kadang nampak macam takde kerja, tapi sekali bila ada masalah, merekalah yang paling kelam kabut sekali. Jadi kalau nampak orang operasi IT relaks, tu maksudnya takde masalah lah tu dan korang boleh buat kerja dengan lancar.

20. Akhir sekali, kami pekerja IT tak minta sesiapa hargai kami pun sebab kami dah biasa untuk tidak menerima penghargaan, cuma kami tak minta untuk dimarah, dihina dan dikambing hitamkan bila ada masalah, itu sahaja. Harap semua orang faham.

Baca juga artikel berkaitan berikut:

Mohon rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):




P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.



https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: pekerja kakitangan it bukan anak tiri kambing hitam klia network rangkaian down manual

3 ulasan:

  1. sob.sob.sob.sob orng IT nak bisjut?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ko merapu apa ni? Prooot dimuka ko!

      Padam
  2. Phm sgt prerasaan tu bro... Tp majoriti mentaliti kalau kite cdg upgrade mmg xnak mcm bro ckp mcm2 alasan... Bile down bru terhegeh nk kejar sane sini...sabar jela yob... Ye dok

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.