Selasa, 2 Julai 2019

6 Kenapa ada orang tidak suka hadir reunion sekolah?

1. Biasanya setelah beberapa tahun tamat sekolah, bekas-bekas pelajar atau alumni sekolah tersebut mengadakan majlis perjumpaan semula atau reunion/gathering sekolah sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Kadang-kadang semudah berjumpa lepak di kedai mamak atau berkumpul untuk berbuka puasa bersama-sama.

2. Namun setiap kali ada reunion sekolah, terutama sekali bagi sekolah berasrama, tidak semua yang hadir, malah boleh kata ramai juga bekas pelajar sekolah itu tak hadir. Balik-balik orang yang sama je yang datang. Ajak lepak kedai mamak orang yang sama, majlis berbuka puasa orang yang sama, acara main futsal orang yang sama, reunion kat sekolah pun orang yang sama.

Gambar hiasan

3. Jadi pernah tak kita tertanya-tanya, kenapa ada orang yang tak suka dan mungkin tak pernah datang bila ada reunion pelajar sekolah? Malah ada juga yang lepas sekolah dia terus hilang dari radar, Facebook pun takde, Instagram pun takde, terus lost contact, tak dengar khabar dan berita langsung.

4. Mungkin ada di kalangan kita yang aktif beralumni ini yang merasakan mereka ini sombong, lupa sekolah tak ingat kawan dan sebagainya, namun hakikatnya kita hanya lihat hal ini dari sudut diri kita sahaja, bukan dari sudut mereka.

SATU SEKOLAH TIDAK SEMESTINYA BERKAWAN BAIK

5. Pertama sekali, walaupun kita semua pernah bersekolah di sekolah yang sama, namun hakikatnya kita bukan berkawan rapat dengan semua orang pun. Waktu sekolah dulu pun kita ada geng, ada geng budak belajar, geng skema, geng lelaki lembut, geng awek cun, geng bola, geng ragbi, geng hisap rokok dan sebagainya, dan geng-geng ini masa sekolah dulu bukannya rapat pun, malah ada geng yang lebih dominan dan berkuasa dari geng yang lain yang sering menjadi mangsa bahan, ejekan dan bulian mereka.

6. Aku sendiri tergolong dalam geng yang bukan dominan dalam batch aku, namun masa awal-awal dulu dalam 1 ke 5 tahun lepas tamat sekolah, pernah lah juga join reunion sekolah. Aku ingat semua dah berubah, dah matang, dah insaf, dah boleh hormat orang lain, namun ternyata aku silap. Walaupun dah lama tak jumpa, namun bila jumpa balik, perangai dominan mereka masih ada. Mereka masih ejek-mengejek, ungkit kisah-kisah sekolah lama yang memalukan, kalau kita bawa awek atau isteri, mereka malukan kita depan pasangan kita.

7. Kalau mereka memang baik dan satu geng dengan kita sejak dari sekolah, bolehlah juga kita terima, tapi kat sekolah dulu tak baik langsung pun dengan kita, tiba-tiba sekarang nak bahan-bahan kita lagi macam di sekolah dulu konon nak bergurau. Disebabkan itu aku dah berhenti dari join apa-apa reunion sekolah terutama yang disertai oleh geng-geng dominan tu. Kalau pergi reunion hanya untuk dimalukan, baik tak payah, no point. Come on, grow up lah.

8. Bagi aku walaupun kita semua satu batch, datang dari sekolah yang sama, tapi tak bermakna kita tiba-tiba jadi kawan baik selepas tamat sekolah macam tiada apa-apa pernah berlaku masa zaman sekolah. Dulu kat sekolah pun kita tak geng, tiba-tiba lepas sekolah kenapa nak kena geng? Dari aku jumpa orang yang akhirnya buat sakit hati je, baik aku jumpa dan berkawan dengan orang lain yang lebih menghargai aku sebagai seorang kawan, dan manusia.

ZAMAN SEKOLAH TIDAK SEMESTINYA KENANGAN TERINDAH

9. Kedua, ada orang merasakan zaman sekolahnya merupakan zaman terindah baginya, namun hakikatnya, ada juga orang yang merasakan zaman sekolahnya merupakan memori paling hitam dan kenangan terburuk baginya, yang kalau boleh dia tak nak ingat langsung dan nak lari terus dari segala apa yang ada kaitan dengan zaman sekolahnya.

10. Macam orang yang pernah bersekolah asrama, mereka yang tak pernah kena buli, yang ramai kawan baik, yang dari geng dominan, yang berkuasa di sekolah dulu, atau mereka yang kuat buli orang dulu, bagi mereka zaman sekolah mereka memang best. Namun tidak bagi mereka yang jadi mangsa ejekan melampau, mangsa buli, mangsa cabul, mangsa liwat dan sebagainya, bagi mereka zaman sekolah adalah neraka dunia, yang dia sangat benci dan takkan jejakkan kaki lagi di sekolah itu.

11. Sebab itu ada di antara kawan sekolah aku, yang walaupun dia tak pernah buat hal dan agak baik dengan aku masa sekolah, namun dengan aku-aku sekali dia cuba menjauh dan hilangkan diri. Aku pernah dapat nombor telefon dia, bila aku Whatsapp dia tak jawab. Ada sekali tu aku jumpa Facebook dia, bila aku request friend dia langsung tak accept.

12. Walaupun aku agak terkilan, tapi aku faham kenapa dia jadi macam tu. Dia mahu mulakan hidup baru, mahu lupakan terus sejarah hitam zaman persekolahannya sampai dia nak tinggalkan dan buang segala apa yang berkaitan dengan sekolahnya dulu, dari kawan-kawan yang pernah menyakitinya dulu termasuklah kawan-kawan yang tidak pernah menyakitinya, sampai dengan aku-aku pun terkena tempias sekali.

PENGALAMAN MELALUI SISI GELAP SEKOLAH BERASRAMA

13. Mungkin kita rasa benda ni macam mengarut atau kes terpencil, namun realitinya ia ada berlaku, di suatu tempat, pada diri kita, atau orang lain. Sebab itu bila aku tulis artikel "Sisi gelap sekolah berasrama yang jarang diketahui" baru-baru ini, artikel itu dikongsikan oleh ramai orang, malah ramai orang yang turut kongsikan pengalaman buruk mereka yang lebih kurang sama di ruangan komen. Hal ini memang berlaku, malah boleh memberi kesan dan menghantui seseorang hingga mereka dewasa.

14. Malangnya, seperti yang anda lihat gambar screenshot ini, ramai juga yang memperlekeh, memperkecil, merendah dan menghina orang yang pernah mengalami pengalaman buruk ini, hanya kerana mereka tidak pernah melalui pengalaman buruk tersebut, atau mereka yang menjadi golongan penindas pada masa sekolah dulu. Dengan mudahnya mereka menghukum dan melontarkan penghinaan seperti merapu, lembik, lemah, manja, duduk bawah ketiak mak, mental koyak, pathetic dan kata-kata hinaan lain. Andai kata mereka yang komen ini kawan-kawan sekolah anda dan mereka datang ke majlis reunion sekolah anda, adakah anda masih ada hati nak datang juga?



DUNIA BUKAN HANYA BERKAITAN DIRI KITA

15. Aku nak cakap, dunia ini bukan hanya berkaitan diri kita dan sekeliling kita sahaja. Kehidupan dan pengalaman setiap orang tak sama. Hanya kerana kau tak melalui pengalaman tersebut, bukan bermakna cerita itu tipu dan tak berlaku di tempat lain, pada orang lain.

16. Kau ada ibu bapa yang sayangkan kau, hakikatnya ada anak yang didera ibu bapanya di suatu tempat yang lain. Kau ada kehidupan rumahtangga yang bahagia, hakikatnya ada pasangan suami isteri bergaduh sehingga keluarga porak peranda di suatu tempat yang lain. Kau tak pernah kena buli di sekolah, hakikatnya ada anak orang lain kena buli di suatu tempat yang lain.

HULURKAN TANGAN BUKAN HINAAN

17. Jadi bila ada orang yang menghadapi kesusahan dan kesulitan cuba reach out, luahkan perasaan dan masalah mereka, kau label dia menipu, kau cakap itu kes terpencil, kau cakap itu perkara kecil, kau hina dia lembik, lemah dan sebagainya, langsung tidak ada sifat empati dalam diri. Bila ada orang yang menjadi mangsa minta bantuan dan luahkan masalah, kita seharusnya menghulurkan tangan membantu mangsa, tapi kau salahkan mangsa pula dan pertahankan pula sang penindas dan pemangsa. Manusia apa kau ni?

18. Kau hinalah apa pun, tak setuju mana pun, hakikatnya pengalaman orang tidak akan berubah dan sudah berlaku pun. Manusia takkan peduli kesusahan hal orang lain, sehinggalah ia terkena batang hidung sendiri. Bila anak orang lain kena buli, kau nafikan benda tu, kau cakap dia lembik, kau cakap benda tu biasa, kau suruh dia tahan dan sebagainya, tapi kalau anak kau sendiri yang kena buli, yang kena tindas, yang kena sepak, yang kena terajang, yang kena sterika sampai mati, aku nak tengok kau cakap anak kau lembik dan pertahankan si pembuli anak kau.

TIADA SIAPA LAYAK DITINDAS ORANG LAIN

19. Malangnya, masyarakat kita masih memandang enteng isu seperti ini, hanya kerana mereka tidak pernah melaluinya atau melaluinya sebagai pihak penindas. Aku kalau hantar anak ke sekolah asrama, aku mahu dia belajar akademik dan belajar berdikari, bukan untuk dijadikan hamba senior atau mangsa bulian.

20. Kalau dia ada isu dengan pelajaran akademik, kokurikulum, wang ringgit, barang keperluan, hal asrama, makan minum, urusan diri, aku tak kisah sebab benda tu memang menjadi kebiasaan di sekolah asrama, tapi bukannya dengan isu-isu yang tak perlu seperti hal buli mental dan fizikal. Kalau nak anak aku jadi kuat dan tahan lasak, aku tak hantar dia ke sekolah asrama, tapi hantar dia ke kem tentera. Sedangkan kat kem tentera pun kau tak boleh pukul orang sesuka hati, apatah lagi di sekolah.

JANGAN HILANGKAN KEPERCAYAAN ANAK DAN MURID

21. Para ibu bapa dan guru pula, kalau anak anda atau murid anda mengadu yang mereka kena buli, kena pukul, kena cabul, kena liwat, atau apa-apa jua jenis penindasan oleh rakan sebaya atau senior, jangan pandang remeh. Mereka cuba reach out pada anda, mengadu pada anda, kerana mereka percayakan anda sebagai ibu bapa dan guru mereka.

22. Kalau anda tidak pedulikan luahan, rintihan dan suara mereka, malah anda nafikan suara mereka, suruh mereka tahan, cakap itu perkara kecil, cakap biasalah tu sekolah asrama, maka pada siapa lagi mereka nak minta pertolongan? Pada siapa lagi yang mereka boleh menaruhkan kepercayaan? Jangan sampai akhirnya anak-anak ini ada trust issue dan hilang kepercayaan pada ibu bapa dan guru mereka, sehingga akhirnya mencari jalan penyelesaian di tempat lain yang mungkin akan memudaratkan diri dan memberi kesan buruk yang berpanjangan.

PENUTUP

23. Akhir sekali, aku harap ini adalah artikel yang terakhir berkaitan isu ini. Aku tak rasa masyarakat kita boleh diselamatkan lagi, sebab bila aku tulis isu macam ni pun masih ramai yang menyalahkan mangsa, malah ada yang berbangga pula dengan segala penindasan, kenakalan dan kejahatan yang pernah mereka lakukan di sekolah dahulu.

24. Aku sangat berharap kita boleh hidup dalam suasana yang ideal dan harmoni, yang mana aku jaga belakang kau, kau jaga belakang aku, kau jaga anak aku, aku jaga anak kau, namun realitinya tidaklah begitu. Kita hidup dalam masyarakat yang wujudnya orang yang mementingkan diri dan langsung tiada empati.  Orang macam ni, yang dari kecil sudah terdidik dengan sikap dan mentaliti seperti ini, sehingga dewasalah mereka akan mempunya sikap dan mentaliti macam itu.

25. Sebab itu bila dah masuk alam pekerjaan pun, masih berlaku budaya tikam menikam, tindas menindas, buli membuli, jilat menjilat, kroni mengkroni dan sebagainya, sebab amalan tersebut sudah menjadi kebiasaan sejak sekolah, dan ia langsung tidak dilihat sebagai suatu yang salah dan buruk di sisi mereka.

Baca juga artikel berkaitan: 


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.


https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: kenapa ada orang tidak suka hadir pergi join reunion sekolah sbp asrama 

6 ulasan:

  1. Bkn semua berjaya pun..balik2 tanya kerja apa,dh kwin blom dll..😥😮

    BalasPadam
  2. Ermmm banyak isu dalam perkongsian kali ini.

    Reunion mmg aku x pernah pergi tp beri respons (alasan) tiap kali dpt undangan.

    Aku pun harap artikel ni boleh jadi bahan rujukan untuk semua yang membaca tak kira peringkat umur. Semoga kita semua boleh berubah kepada yang lebih baik.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum wbt. semua. terlebih dahulu saya mohon kemaafan kerana saya mencelah di dalam blog ni dan sekali lagi mohon maaf kalau bahasa saya tidak begitu baik kerana saya bukanlah seorang pelajar cemerlang ketika di sekolah dulu. Hanya beberapa orang (yang senasib dengan saya) saja yang sudi menerima saya sebagai kawan kerana kami datang dari keluarga kampung miskin dan serba kekurangan, namun begitu kami jarang dimarah oleh guru mungkin atas rasa belas kasihan para guru kerana kami jarang melanggar peraturan sekolah.
    Berhubung dengan soal " keengganan menghadiri reunion sekolah " ni saya mengakui saya adalah salah seorang daripadanya. Ingin saya nyatakan disini "pengajaran" yang saya terima semasa menghadiri "reunion" buat pertama kalinya pada tahun 1996 dulu. Rasa penyesalan yang tak berhujung terus menghantui diri saya sampai ke saat ini. Puncanya bila ada di antara kawan-kawan satu kelas / lain kelas yang enggan bersalam dan seolah-olah tidak menginginkan kehadiran saya. Saya sedar bahawa keterampilan dan gaya berpakaian saya sangat jauh berbeza dengan mereka yang lain. Tahun 1996 itu saya masih belum berkerja tetap hanya sebagai seorang pekerja sambilan kepada sebuah syarikat kontraktor. Tentu sekali muka yang sentiasa dibakar matahari tak secerah dan sebersih muka mereka yang memegang jawatan dan duduk dalam pejabat berhawa dingin. Bila mereka berbual mereka banyak bercerita tentang kisah-kisah di pejabat dan tempat mereka berkerja dan saya berasa amat rendah diri dan terasa malu yang teramat sangat. Lalu akhirnya saya mengambil keputusan untuk meninggalkan majlis tersebut dengan hati yang terbuku dan malu yang amat sangat.
    Namun kitaran waktu telah menjadi perangsang kepada saya untuk memperbaiki corak kehidupan saya dengan bantuan kawan-kawan dan majikan saya kini kehidupan agak lebih baik (walaupun bukanlah mewah) dan alhamdulillah dengan izin allah mengurniakan pasangan dan anak-anak yang baik, jiran-jiran di kawasan tempat tinggal amat baik dan tidak memandang rendah pada kami sekeluarga samada orang-orang melayu mahupun mereka yang berbangsa lain.
    Namun sedemikian saya dan isteri berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki kehidupan keluarga kami tanpa mengabaikan tanggungjawab kepada ibu dan ayah kami selagi mereka masih hidup. Alhamdulillah mungkin berkat doa ibu dan ayah kami Allah mempermudahkan kehidupan kami dan anak-anak kami dan kami sentiasa mengingatkan anak-anak kami untuk tidak memandang rendah kepada orang lain bila mereka berjaya di dalam hidup mereka pada masa-masa akan datang

    BalasPadam
  4. As salaam alaikum..

    Alhamdulillah, bukan niat nak riak.. kami geng reunion sekolah dah 4 kali buat majlis gathering walaupun suasana tidak semeriah seperti majlis yg julung kalinya... tetapi in sha Allah, kami tetap akan buat majlis reunion yg ke 5 pada hujung tahun 2020 nanti sempena usia yg ke 50 tahun. Peace no war.

    BalasPadam
  5. Batch aku Maktab Mahmud Alor Setar. Sungguhpun aku antara yg berkerjaya sederhana, teringin juga jumpa kawan² yg berprofile rendah. Ada yg kerja kampung, ada yg blom kawen walau dah hampir 50an.. Ada yg biasa² saja.. Hasrat hati aku nak bersama² bantu rakan yg kurang bernasib baik. Ya.. Mmg ada projek kecik²..

    Hajat hati, teringin juga peruntukkan 500k utk apa². Aku x kesah pun 500k tu hangus gitu saja. Janji aku tolong. Mmg awal² aku pi, tgk kawan² lama, terubat rindu. Ada yg bagus, ramai yg mcm cibai. Tu sekolah agama Noob. Ada yg lebai gila, nabi tgk boleh nangis dan cirit birit.

    Apa aku boleh cakap, lps sekali jumpa, hati aku mmg koyak. Rasa menyesal pun hado sbb aku pergi. Aku doakan, reunion lps ni, aku x akan terbuka hati lagi nak pergi. Cukuplah kebudak²an yg aku layan itu hari. Cuma aku masih layan member² yg matang. Yg childish tu, pergi mati sajalah. 😭😭😭

    BalasPadam
  6. Ada seorang member sekelas ajak pergi reunion tetapi aku terpaksa tolak sebab kebetulan aku kat eropah, tengah bercuti, tapi lepas balik Malaysia, aku terjumpa blog ni, aku memang bernasib baik tak pergi reunion tu,memang tuhan tolong aku, lepas ni walau apapun berlaku, saya tak akan menghadiri sebarang reunion sekolah tetapi kalau dah terserempak dengan diorang macam kat Mall,panggung wayang, itu dah tak boleh elak, terpaksa tegur lah.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...