Rabu, 24 Julai 2019

3 Kisah benar isteri menyunting madu buat suami

Perkenalannya bermula melalui laman sosial namun dengan izin Allah SWT membuatkan hati seorang isteri terbuka untuk melamar kenalan terbabit yang juga ibu tunggal menjadi madunya.

Khuzatul Atiqah Abu Seman, 31, memilih untuk melamar Nur Fathonah Abdul Rahim, 30, sebagai isteri kedua suaminya, Samuel Dzul, 29, sebelum pasangan terbabit selamat diijab kabul, baru-baru ini.

Ia bukan sesuatu yang mudah namun bagi Khuzatul Atiqah yang sarat mengandung anak sulungnya kerana dia mahukan kehidupan suami tidak terabai serta mendapat layanan adil.

Lebih menggembirakan apabila mereka memilih untuk tinggal sebumbung di Shah Alam, Selangor yang bukan sahaja membolehkan mereka beribadah bersama-sama malah berkongsi kasih.


“Selepas disahkan mengandung, saya tidak sihat. Suami terpaksa dukung setiap hari untuk naik ke pejabat di tingkat tiga. Apabila melihat wajah suami, hati saya terdetik untuk membantunya dan saya berusaha mencari seorang lagi isteri untuknya.

“Saya terfikir jika keadaan ini berterusan siapa hendak jaga suami. Lantaran, saya mengambil keputusan untuk mencari jodoh untuknya.

“Ramai wanita yang saya temui, ada antara mereka masih anak dara tetapi apabila memberitahu niat saya, mereka memberi pelbagai alasan. Hinggalah saya bertemu Nur Fathonah dan saya melamarnya untuk suami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, pertemuan berlaku tahun lalu dan pada ketika itu, Khuzatul Atiqah tidak berbincang mengenai niatnya sehingga pertemuan kedua beberapa bulan kemudian.

“Ketika itu, saya memegang tangannya dan memberitahu niat saya. Saya tahu dia ibu tunggal dua anak dan melihat kepada keperibadiannya selain solat istikharah memohon petunjuk daripada-Nya.

“Dia (Nur Fathonah) tidak terkata apa-apa dan hanya memandang mata saya. Saya jelaskan kepadanya kebaikan serta pendapat mengenai berpoligami. Alhamdulillah, dia terima lamaran hingga disatukan,” katanya.

Sebelum ini, Khuzatul Atiqah memuat naik status kisah dia membantu mencarikan calon untuk suaminya.

Coretan itu mendapat pujian ribuan netizen malah ada yang memuji kemuliaan hatinya demi memastikan kehidupan suaminya terjaga sepanjang masa.

“Sesungguhnya... cantik aturan Tuhan. Saya pernah menolak poligami, tapi Allah takdirkan saya berkahwin dengan keluarga suami yang mengamalkan poligami. Dari pengamatan saya, sangat banyak kelebihan dan manfaat poligami yang saya nampak dengan mata kepala saya sendiri. Ayah mentua ada 3 orang isteri, di mana arwah ibu adalah isteri pertama.

Dipendekkan cerita, sepanjang 10 tahun berkahwin dan 5 tahun pertama duduk bersama keluarga mentua, secara tak langsung saya menyimpan cita-cita untuk mempunyai keluarga poligami yang harmoni.”

Tidak kurang juga coretan madunya, Nur Fathonah: “Ya Allah terima kasih Ya Allah. Untuk segala nikmat yang diberikan. Tak pernah saya sangka untuk hidup dalam keluarga yang berpoligami. Sesungguhnya tidak pernah terlintas pun dalam diri saya untuk berpoligami. Setelah saya berpisah dengan bekas suami, saya telah bertekad untuk tidak berkahwin lagi apatah lagi akan menerima suami orang. Sejak dari itu, kehidupan saya hanyalah untuk saya dan anak-anak saya sahaja.

“Saya bertungkus lumus siang dan malam demi untuk mencukupkan keperluan kehidupan. Walaupun begitu, di mata masyarakat, saya masih isteri orang dan saya sedaya upaya cuba menutup status sebenar saya sebagai ibu tunggal. Ini kerana, bagi saya, saya tidak mahu orang mengambil kesempatan dan saya dipandang rendah dan hina.”

Khuzatul Atiqah dia tidak menjangka status dimuat naik itu dikongsi warga maya hingga tular di media sosial.

“Kehidupan bermadu saya banyak pelajari daripada keluarga mentua. Bapa mentua saya berkahwin tiga dan saya masih mempunyai tiga ibu mentua,” katanya.

Ditanya apa reaksi suaminya apabila dia mahu mencari isteri kedua, Khuzatul Atiqah berkata, suaminya tidak banyak tanya dan sekadar melemparkan senyuman.

“Semua sudah selesai, saya bukan sahaja menghadiahkan sesuatu untuk suami malah turut membantu Nur Fathonah yang sebelum ini bergelar ibu tunggal,” katanya.

Ketiga-tiga pasangan terbabit menetap bersama di rumah di Shah Alam dengan membuka sebuah studio rakaman di Seksyen 15, Shah Alam.

“Status yang dimuat naik itu kerana mahu menceritakan perkara sebenar. Ini kerana, ada yang salah faham dan melemparkan fitnah kepada madu saya,” katanya.

Sumber dari Harian Metro.

* * * * * * * * * *

Berikut adalah perkongsian dari isteri pertama, Khuzatul Atiqah Abu Seman di Facebook:

Sesungguhnya...cantik aturan Tuhan. Saya pernah menolak poligami, tapi Allah takdirkan saya berkahwin dengan keluarga suami yang mengamalkan poligami. Dari pengamatan saya, sangat banyak kelebihan dan manfaat poligami yang saya nampak dengan mata kepala saya sendiri. Ayah mertua ada 3 orang isteri, di mana arwah ibu adalah isteri pertama.

Dipendekkan cerita, sepanjang 10 tahun berkahwin dan 5 tahun pertama duduk bersama keluarga mertua, secara tak langsung saya menyimpan cita-cita untuk mempunyai keluarga poligami yang harmoni.

Saya sudah berniat cuma belum ketemu calonnya. Misi pencarian juga kurang serius dan dalam masa sama, sibuk dengan urusan mendatang dan hal perniagaan. Sehinggalah Allah mengetuk hati saya, di mana saat kandungan anak ke-5 memasuki 4 bulan (April 2019) saya mengalami kesakitan seperti kontraksi bersalin dan sakit nyeri-nyeri sekitar tulang punggung dan peha sehinggakan sakit untuk bergerak dan sukar berjalan mahupun berdiri lama. Keadaan makin meneruk sampaikan saya terpaksa menggunakan kerusi roda.

Semakin hari semakin sakit dan saya hampir kemurungan. Saya terkenangkan apa akan jadi pada suami dan anak-anak saya kiranya sesuatu yang buruk menimpa saya. Sungguh hati saya sedih dan diruntun pilu... Di sini timbul perasaan, saya kena usahakan untuk mencari seseorang yang boleh menjaga keluarga saya kiranya apa - apa yang tidak diingini terjadi pada saya.

Ya, poligami adalah antara jalan terbaik. Lagi-lagi melihat tuan suami yang tidak jemu melayan saya ketika saya sakit, tanpa rungutan, sentiasa dengan senyuman manisnya menguruskan saya, anak-anak, rumahtangga dan juga perniagaan kami. Pejabat kami yang terletak di tingkat 3 dan suami kebanyakkannya mendukung saya naik dan turun berulang-alik mengikut beliau ke pejabat semata tidak mahu saya kemurungan tinggal di rumah seorang diri.

Mempunyai seorang suami yang sangat baik hatinya, penyayang dan sangat mengambil berat sememangnya anugerah buat saya. Saya berusaha dan sangat mencuba untuk menjadi isteri terbaik yang sentiasa dapat memberikan tip top service dari semua segi kepada suami namun... ya... saya juga perempuan biasa yang mudah kalah dengan nafsu dan terdorong ikut emosi sendiri.

Kasihan pada suami yang sangat baik pada kita, tapi kadang kala kita buat acuh tak acuh, layan suami ikut mood, tarik muka mencuka jika ada yang tak kena, belum lagi dengan layanan yang serba serbi kurang tapi diri kita pula merasakan yaaa aku dah bagi terbaik dan cukup dah sebab suami memang kita punya pun...

Sedangkan Allah cipta suami sebagai jambatan menuju akhirat. Suami Allah letakkan martabatnya tinggi hingga Nabi bersabda, jika ada manusia selain Allah yang patut disembah, ia adalah isteri menyembah suaminya. Lalu mana hak isteri untuk memperlekeh suami??Sedangkan berkat dan redha suami sangat penting buat seorang isteri. Jika diri sudah mengenali hakikat nafsu, kenapalah nafsu itu mahu disubur dan diberi muka lagi??

Bagi diri saya pula? Poligami adalah ubat untuk nafsu wanita sememangnya. Kita akan jadi sentiasa sedar diri, sentiasa mahu berikan yang terbaik, lebih bergantung banyak pada Allah dan banyak lagi. Belum pula manfaat kita boleh bergilir-gilir dengan madu untuk sentiasa beri yang terbaik pada suami, anak-anak akan dapat kasih sayang yang lebih banyak disebabkan bilangan ibu yang bertambah, urusan rumahtangga juga lebih mudah inshaAllah.

Saya mengenali madu saya Nur Fathonah Abdul Rahim di antara circle kawan-kawan sekolah dan beliau mempunyai bisnes mobile Spa dan saya secara tak langsung mengenalinya melalui komen-komen di Facebook di kalangan circle kawan-kawan yang sama dan kami mula menjadi sahabat alam maya lebih kurang dua - tiga tahun lepas.

Kami kemudiannya berjumpa di satu majlis makan-makan pada tahun lepas dan itu kali pertama saya melihatnya secara peribadi dan hati tidak habis memuji kecantikannya. Kami kemudiannya mula berhubung melalui WhatsApp kerana saya berniat untuk mengambil perkhidmatan mobile Spa beliau tapi belum berkesempatan. Sehinggalah pada satu hari saya menjemput beliau ke perjumpaan BNI (Business Networking International) yang menghubungkan usahawan-usahawan untuk membantu sesama mereka dalam berkongsi rezeki perniagaan.

Di hari itu juga saya dikejutkan dengan keadaan sebenar yang rupanya beliau adalah single mom yang bekerja keras menguruskan 2 orang anaknya. Tapi beliau berpesan untuk tidak memberi tahu sesiapa kerana sangat sedikit yang mengetahui status sebenar beliau dan sebolehnya beliau sorokkan dan tidak war-warkan kerna bimbang ada yang mengambil kesempatan. Saya pula saat mendengar statusnya terus terpacul di mulut saya, Jom jadi madu saya! tapi dalam hati saya di waktu itu eh eh biar betul aku ni!

Yang kelakarnya, beliau juga terkejut dengan dirinya yang tiba-tiba mahu mendedahkan statusnya pada saya sedangkan beliau seorang yang sangat sensitif dan sangat merahsiakan statusnya daripada diketahui orang. Kami kemudiannya berpisah pada hari tersebut dengan masing-masing pelik dengan diri masing-masing.

Kami terus berhubung melalui WhatsApp bertanya khabar sedikit sebanyak walaupun nampak beliau sepertinya mengelak dari saya atas sebab ajakan menjadi madu. Saya pula saat itu belum benar-benar serius memikirkan poligami atas sebab kesibukan kerja dan perniagaan. Saat saya jatuh sakit merupakan saat yang saya benar-benar memikirkan hal poligami lalu bila tibanya Ramadhan tahun ini, atas keberkatan bulan tersebut saya seperti diberí satu kekuatan luar biasa dan alhamdulillah kesihatan saya pulih sedia kala.

Ada 2 orang calon yang saya approach dan kedua-duanya menolak dan hati saya juga berasa tidak kena dari beberapa segi. Hingga satu saat saya merintih-rintih meminta pada Tuhan agar dijentik hati saya pada orang yang saya cari lalu saya teringatkan Nur Fathonah. Saya segera menghantar WhatsApp mahu berjumpa keesokan harinya. Alhamdulillah beliau bersetuju untuk berjumpa walaupun saya memberi hint mengenai availability beliau kerana saya masih mencari calon madu.

Saat berjumpa merupakan saat saya menceritakan pandangan saya mengenai poligami sambil meluahkan impian dan hasrat saya dan saya terus melamar beliau menjadi madu dan memohon beliau untuk jangan terus menolak, ambil masa untuk fikirkan terlebih dahulu dan mohon panduan dan petunjuk dariNya melalui solat istikharah.

Saya kemudiannya menyatakan hasrat saya pada suami dan bercerita tentang calon yang saya rasakan, inilah orangnya! Sebelum ini suami juga tahu keinginan saya dan kami banyak kali berbincang mengenai corak poligami bagaimana yang dirasakan sesuai dengan pimpinan dan hasrat hati suami. Menurut tuan suami, perkara ini perkara besar dan bukan main-main, kerana bebanan tanggungan jatuh ke atasnya dan beliau yang akan disoal di depan Tuhan kelak.

Tuan suami juga meminta saya berdoa dan memohon panduan dari Tuhan. Saya juga menghantar nama penuh madu saya (bakal calon di saat itu) kepada dua orang sahabat saya yang berada di Mekah dan minta didoakan namanya di depan Kaabah dan saya menghantar hasrat agar diberikan jawapan kepada persoalan saya.

Hari demi hari kami berhubung dan makin intim, sedangkan suami hanya mengetahui update dari saya dan setiap hari saya minta didoakan dan moga Allah pandu semua tindakan saya. Dipendekkan cerita, dengan kuasa Tuhan, alhamdulillah beliau bersetuju menerima lamaran saya. Itu juga setelah berbagai ujian yang kami hadapi dalam proses persetujuan dari pihak beliau.

Bagi saya, niat yang baik inshAllah Allah akan bantu permudahkan dan akan diakhiri dengan perkara yang baik. Alhamdulillah suami saya telah selamat diijabkabulkan dengan madu saya dan saya sangat gembira dan bersyukur kerana Allah telah menjawab persoalan saya.

Allah rezekikan suami saya seorang wanita yang baik, sangat menjaga dirinya dan aibnya, dan mereka direzekikan bercinta selepas kahwin. Indah bukan!

Tujuan saya bercerita, bukanlah untuk menunjuk jauh sekali berbangga. Tapi bagi menjawab persoalan dan mengelak fitnah atas sebab suami saya upload gambar kami bertiga kelmarin atas sebab-sebab tertentu. Diharapkan kisah kami menjawab persoalan dan spekulasi ramai terutama kaum keluarga, rakan-rakan dan sahabat handai yang kami kasihi.

Mohon doakan kami sekeluarga yang baik-baik belaka semoga kami sentiasa dalam panduan Allah swt dalam mengamalkan sunnah Rasul dan moga kami kekal sebagai keluarga hingga ke Jannah. Amiinn Ya Rabbalalamiinn.

P/S - Segala kebaikan semuanya datang dari Allah swt, dan segala kekurangan dan kelemahan datang dari saya sendiri. Terima kasih dan maaf zahir batin dari kami.

Lyric lagu yang sungguh bermakna dari seorang Guru yang Hebat

Mawaddah - Tirakat Poligami

Inginku kata wahai Tuhan
Bukankah keranaMu
Ku berada di atas laluan ini
Hidup di antara pergiliran
Nikmat dan ujian

Nikmat melatih rasa syukur
Ujian melatih rasa sabar

Suka dan duka ada batasnya
Gembira di akhirat untuk selama-lamanya
Harga syurga bukan segunung emas
Tetapi tangisan hati takutkan Allah

Tuhan kalau bukan keranaMu
Untuk apa ku lakukan semua ini
Setiap kali ku menghadapMu
Ku ulangkan sumpah dan janji
Hidup dan mati hanyalah untukMu.

Sudilah membantu dalam mujahadahku
Agarku berjaya menempuhnya
Agar dengannya terbinalah empayar Islam

Kalau kau berjaya menempuhnya
Sungguh kau telah berjaya terhadap nafsumu
Kalau kau mampu berkongsi suami
Sungguh engkau benar Cintakan ALLAH

Harga syurga bukan segunung emas
Tetapi tangisan hati takutkan ALLAH.....

* * * * * * * * * *

Berikut pula adalah perkongsian dari isteri kedua, Nur Fathonah Abdul Rahim di Facebook:

Bismillahirahmanirrahim…Ya Allah terima kasih Ya Allah.

Untuk segala nikmat yang diberikan. Tak pernah saya sangka untuk hidup dalam keluarga yang berpoligami. Sesungguhnya tidak pernah terlintas pun dalam diri saya untuk berpoligami. Setelah saya berpisah dengan bekas suami, saya telah bertekad untuk tidak berkahwin lagi apatah lagi akan menerima suami orang.

Semenjak dari itu, kehidupan saya hanyalah untuk saya dan anak-anak saya sahaja. Saya bertungkus lumus siang dan malam demi untuk mencukupkan keperluan kehidupan. Walaupun begitu, di mata masyarakat, saya masih isteri orang dan saya sedaya upaya cuba menutup status sebenar saya sebagai ibu tunggal. Ini kerana, bagi saya, saya tidak mahu orang mengambil kesempatan dan saya dipandang rendah dan hina.

Sememangnya ramai yang tidak tahu dan hanya segelintir keluarga yang betul-betul rapat sahaja yang tahu. Bagi saya, sebagai ibu tunggal, kita tidak patut minta belas ihsan daripada orang lain selagi kita boleh berusaha dengan kudrat yang diberikan. Keadaan sebegini berterusan hampir dua tahun sehinggalah, suatu hari Allah takdirkan saya bertemu dengan seseorang yang mengubah segalanya…saya dijemput oleh kakak madu saya sebagai seorang pelawat yang ketika itu saya kenali sebagai seorang kawan ke perjumpaan usahawan BNI.

Program ini memerlukan komitmen seawal 6.30am dan disitulah saya diajak oleh kakak madu saya untuk menyertainya. Mengenangkan komitmen untuk menguruskan persekolahan anak-anak diawal pagi saya menolak pelawaan tersebut. Oleh kerana itu kakak madu saya mencadangkan untuk saya berbincang dengan suami tentang pengurusan tersebut. Saya rasa serba salah dan berat hati menolak sedangkan kakak madu saya bersungguh-sungguh mengajak saya kerana ingin saya maju dalam perniagaan saya.

Melihat kesungguhannya dan setelah diasak berkali-kali saya akhirnya membuka cerita sebenar bahawa saya adalah ibu tunggal. Kakak madu saya terkejut lalu memeluk saya dan mengajak saya menjadi madunya. Saya terkejut dan menganggap itu hanyalah gurauan. Saya menerangkan padanya yang saya bukan meminta simpati malah saya ingin menerangkan keadaan sebenar kedudukan saya. Saya balik dalam keadaan menyesal kerana membuka cerita mengenai status sebenar saya kepadanya.

Kakak madu saya ada cuba menghubungi saya namun saya banyak mengelak hinggalah tibanya bulan Ramadan pada tahun ini, saya menerima mesej dari kakak madu saya dan bertanya khabar. Kakak madu kemudiannya bertanya adakah saya masih available dan mengajak berjumpa. Saya berat hati dan berbelah bagi namun rasa bersalah kerana banyak kali menolak dan mengelak darinya sedangkan kakak madu seorang yang sangat baik orangnya.

Pertemuan dengannya merupakan satu titik tolak dalam hidup saya. kata-katanya yang saya anggap gurauan pada mulanya rupanya dianggap serius dan kakak madu saya sangat bersungguh-sungguh bercerita tentang impian kehidupan poligami di sudut kaca matanya. Dia kemudiannya melamar saya menjadi madunya dan mengatakan firasat hatinya sangat kuat mengatakan mungkin saya orang yang dia cari.

Pada masa itu, saya seperti memahami impiannya namun saya lebih kasihankan dia kerana bersungguh-sungguh sedangkan saya tidak mempunyai apa-apa perasaan di waktu itu. Saya cuba memberi peluang untuk meraikan kesungguhannya dan memberitahunya saya akan fikirkan tentang perkara itu.

Saya diajak berbuka puasa bersama-sama dengan anak-anak dan keluarga kakak madu saya. Di situ, saya mula nampak betapa indahnya keluarga yang dia miliki. Dan saya dapat lihat wajah anak-anak saya, betapa gembiranya mereka bila dapat bersama-sama dengan anak kakak madu saya. Kami kemudiannya lebih berhubung rapat melalui whatsapp. Kakak madu saya sememangnya sangat mengambil berat tentang saya dan anak-anak. Kami menjadi semakin rapat dan kerap berhubung.

Saat ini merupakan proses perkenalan saya dengan lebih dekat lagi terhadap keluarga kakak madu saya. Walaupun berhubungan jauh dan hanya melalui WhatsApp, kami sentiasa rasa lebih dekat kerana dia sememangnya sangat mengambil berat, selalu mengingatkan tentang ibadah dan saya terasa dijaga walaupun jauh. Sejujurnya, saya tak pernah merasa diambil berat mengenai ibadah Saya dan Dia juga sentiasa mengingatkan saya selalu. Semua pesanan-pesanan disampaikan oleh bakal suami melalui perantara kakak madu.

Saya mula nampak keluarga ini boleh membimbing saya dan anak-anak saya, dari situ saya mula sedar betapa hakikatnya perempuan sebenar nya memerlukan seorang pemimpin. Walaupun sebelum ni saya pernah merasa saya tidak perlu lelaki dalam hidup saya tapi rupanya saya silap. Allah menciptakan lelaki itu boleh memimpin Dan perempuan perlu dipimpin.

Alhamdulillah setelah beberapa Kali saya memohon petunjuk dari Allah. Saya makin yakin bahawa Allah sememangnya datangkan mereka untuk saya dan anak-anak. Walaupun banyak rintangan yang kami hadapi saat mula-mula proses perkenalan dan sebelum persetujuan, namun sepanjang itu juga Allah sentiasa pegang hati-hati kami untuk bersama dan kuatkan hati kami. Akhirnya, saya terima lamaran kakak madu saya dengan hati terbuka.

Allah membuka mata saya bahawa hidup berpoligami ini sangat indah sebenarnya. Semua kita dapat buat bersama, saling bantu membantu dan lengkap melengkapi, bersama memberi yang terbaik untuk suami, bersama menjaga solat berjemaah bersama, menjaga dan mendidik anak sama-sama, masak bersama, kemas rumah bersama dan banyak lagi manfaatnya.

Alhamdulillah anak-anak saya juga lebih gembira bersama adik-beradik baru mereka. Pendek kata, terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan buat saya. Mungkin ada segelintir yang cakap, masih baru lagi jadi semuanya nampak indah tapi bagi saya bila kita buat betul-betul kerana Allah dan kita nampak matlamat kita yang mahukan keselamatan di dunia dan terutamanya di Akhirat, InshaAllah Allah pasti bantu kita dari semua sudut.

Mohon doakan saya dan anak-anak bersama keluarga baru saya bahagia dan selamat dunia akhirat.

Terima kasih pada semua yang menyokong saya dan menerima dengan positif.

Yang baik baik semua nya datang dari pada Allah, yang kekurangan itu datang dari diri saya sendiri.

* * * * * * * * * *

Berikut pula adalah perkongsian dari suami, Samuel Dzul di Facebook:

❤️❤️❤️Alhamdulillah❤️❤️❤️





Sebelum ini juga pernah keluar kisah seperti ini seperti di artikel "Sahabatku maduku".

Dulu aku pernah tulis juga sebuah cerita untuk pertandingan Cabaran Komik Online Malaysia 2015 anjuran Mat Komik pada tahun lepas yang bertajuk "Antara Cinta & Sahabat".


Boleh baca cerita komik ini sepenuhnya di sini - http://www.matkomik.com/2015/11/antara-cinta-sahabat-oleh-prince-of.html.

Baca juga cerita ini dari sudut pandang ketiga-tiga watak - "Antara Cinta dan Sahabat: The Alternate".

Kalau nak baca dalam buku bercetak, boleh dapatkan komik "Aku, Kau dan Cinta #3" terbitan KomikM yang berada di kedai-kedai buku sekarang.


Walaupun poligami itu dibolehkan dalam Islam, namun dalam masyarakat kita seperti ada suatu pandangan yang skeptikal terhadap poligami. Ini kerana terdapat walaupun banyak rumahtangga poligami yang bahagia, ada juga kes poligami yang tidak membahagiakan malah menambah derita terutama di pihak isteri akibat suami bersikap berat sebelah dan tidak adil. Jadi aku tak hairan apabila ada orang yang kecam dan bagi komen bukan-bukan bila keluar kisah macam ni.

Namun bila aku baca kisah seperti ini, aku agak kagum lebih-lebih apabila pihak perempuan sendiri yang mencarikan madu untu suaminya, kerana poligami ini adalah isu taboo dalam masyarakat kita zaman sekarang dan juga di kalangan kaum wanita. Tak dinafikan ramai lelaki mempunyai angan-angan untuk berpoligami, namun ia bukanlah mudah kerana banyak faktor yang perlu difikirkan seperti kewangan, tanggungjawab, berlaku adil, serta soal hati dan perasaan.

Apa-apa pun, kita doakan sahaja yang baik-baik buat mereka. Semoga rumahtangga mereka bahagia hingga ke jannah.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.


https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: ku sunting maduku poligami kahwin berkahwin dua madu

3 ulasan:

  1. Ya..bagaimana kehidupan mereka lps nii..pasti akn ada masalah walaupun mereka dakwa bahagia..tgk jerr sedikit masa nanti...💏💑👪

    BalasPadam
    Balasan
    1. Woi bangsat. Ko jgn hati busuk sgt la. Lantak dia la nk bahagia ke tak. Yg ko dengki sgt apehal. Forever alone. Sampah

      Padam
  2. Untung lahhh...madu ku dikaki mu..kikiki..😝😜😊

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.