Jumaat, 12 Julai 2019

1 Kategori orang kaya dan tahap respek masyarakat

Di Malaysia ramai orang kaya dan juga yang tak berapa kaya tapi acah-acah kaya. Orang kaya ini pula ada yang sangat low profile merendah diri sampai kalau orang tengok perwatakan dan imej dia kita tak tahu pun dia orang kaya, tapi ada juga yang jenis suka tayang segala bentuk kemewahan di media sosial, kalau boleh nak semua orang tahu yang dia kaya. Boleh jadi dia mahu orang lain mengiktiraf kekayaannya, mahu orang lain menjadikan dirinya sebagai ikon yang harus dicontohi atau dia memang perlukan publisiti kerana ia adalah sumber kekayaannya.


Berikut adalah jenis-jenis dan kategori orang kaya yang biasa terdapat di Malaysia dan 'respect level' mereka secara umum dari sudut moraliti dan juga di mata masyarakat.

1. Jadi kaya melalui keturunan

Ramai orang kaya kat Malaysia terutamanya orang muda yang kaya biasanya menjadi kaya melalui keturunan. Seorang anak bangsawan, pemimpin politik, ahli perniagaan besar, biasanya akan mewarisi kekayaan ibu bapanya. Anaknya pula boleh jadi sama ada jadi freeloader sahaja dengan harta ibu bapanya, atau mengembangkan perniagaan syarikat ibu bapanya atau pun membuka perniagaan baru.

Orang kaya melalui keturunan ini dia pula ada 2 jenis, satu dia low profile kerana sedar yang kekayaannya itu bukanlah semata-mata kerana kerja kerasnya sebaliknya diwarisi dari ibu bapanya. Kadang-kadang dia selamna je berkawan dengan semua orang. Orang lain pun tak tahu dia anak orang kaya. Tapi bila dapat tahu je, pehhhh tiba-tiba rasa bangga ada kawan anak orang kaya.

Satu lagi jenis cari populariti suka tayang kekayaan sana sini, lepas tu acah-acah cakap yang dia bermula dari bawah, sedangkan semua orang tahu siapa mak bapak dia. Bila orang tegur, kecam atau kritik, terus koyak.

Tahap respek: Tinggi (Bagi yang low profile) / Rendah (Bagi yang tak sedar diri)

2. Jadi kaya melalui politik

Ada orang yang menjadi kaya melalui politik. Sebelum dia menjadi kaya, dia mungkin orang biasa-biasa sahaja. Tapi lepas dia sendiri, atau kawan dia, atau ahli keluarga dia menjadi ahli politik dan menang pula pilihan raya jadi wakil rakyat atau pemimpin dalam kerajaan, dia dapat macam-macam projek kerajaan atas kapasiti politik.

Orang yang kaya melalui hubungan kroni dan pengaruh politik ini biasanya tak berapa tayang kemewahan sangat di media sosial takut kantoi, tapi pada orang sekeliling dan jiran tetangga selamba sahaja. Oleh kerana kekayaan mereka memang bergantung pada kuasa politik, jadi bila kuasa politik itu hilang, mereka mungkin akan hilang kekayaan dan kena siasat SPRM, lalu terus kena denda dan kena sumbat dalam penjara.

Tahap respek: Sangat rendah

3. Jadi kaya melalui tuah

Jadi kaya melalui tuah ini boleh jadi halal dan haram, bergantung kepada kaedahnya. Ada orang main judi, tikam nombor ekor, menang jackpot terus nasib dia berubah sekelip mata dari miskin terus jadi kaya. Ada orang masuk peraduan atau pertandingan yang bukan berasaskan judi dan menang hadiah lumayan, berubah dari miskin terus jadi kaya juga.

Orang kaya yang berubah sekelip mata ini biasanya tidak menonjolkan sangat kekayaannya pada umum, biasanya dia senyap-senyap je sebab kalau orang sekeliling dia tahu yang dia tiba-tiba jadi kaya, mesti ramai orang yang nak tumpang sekaki dan klaim jadi kawan baik.

Tahap respek: Sederhana (Cara yang halal) / Rendah (Cara yang haram)

4. Jadi kaya melalui air liur

Orang yang menjadi kaya melalui air liur ini biasanya dia dah ada suatu ilmu tentang sesuatu bidang, mempunyai suatu pencapaian serta network dan pengaruh yang besar dulu sebelum dia boleh mula menjual air liur.

Contohnya dia dah ada simpanan wang yang banyak, atau dah ada perniagaan yang stabil, atau pandai nak buat marketing di media sosial, atau dah tahu selok belok main Forex, atau dah dapat steady income dengan Youtube dan sebagainya. Lepas itu dia tinggal klaim dirinya sifu, buka kelas kursus atau seminar dan caj harga yang rendah pada kelas permulaan dan kemudiannya caj hari tinggi untuk kelas peringkat seterusnya.

Ada di antara mereka yang suka tayang kemewahan di media sosial ada juga yang tidak, ada juga yang sanggup beli sijil palsu ada juga yang tidak, tapi kesemua mereka perlu menonjolkan diri sebagai seorang yang sangat berjaya kepada umum, supaya orang lain terpengaruh lalu berminat untuk menyertai kelas yang mereka anjurkan, seterusnya dapat terus menjana kekayaan mereka.

Dipendekkan cerita, mereka nak ajar orang macam mana cara nak jadi berjaya dan kaya macam mereka, tapi mereka sendiri menambah kekayaan dengan jual air liur.

Tahap respek: Rendah

5. Jadi kaya melalui penipuan

Menjadi kaya dengan cara ini paling berisiko. Memerlukan perancangan yang agak panjang dan rumit, dan kau perlu tahu bila untuk lari dan hilangkan diri. Antaranya adalah dengan menjadi scammer di Internet, menjual produk melalui konsep piramid MLM, menubuhkan skim cepat kaya atau rich network, membeli sijil dan gelaran palsu dan sebagainya.

Kau jual produk apa semua tak penting, yang penting adalah macam mana kau nak pengaruh orang supaya percayakan kau dan sanggup laburkan duit mereka kepada kau. Kecuali scammer Internet yang tak gemar berkongsikan identiti mereka secara terbuka, biasanya mereka ini sangat suka tayang kemewahan mereka di merata tempat termasuk media sosial. Mereka suka bergambar dengan duit yang banyak dan juga kereta mewah (yang mungkin bukan dia punya atau sewa sahaja) semata-mata nak pengaruh orang menyertai MLM atau skim mereka.

Masa awal-awal mereka memang bagi pulangan yang banyak kepada ahli, membuatkan ahli percaya dan tambah lagi pelaburan, sampailah satu masa foundernya cabut lari membawa semua duit ahli lalu hilangkan diri. Setahun dua kemudian, foundernya akan muncul semula dengan MLM atau skim yang baru untuk menipu kembali orang yang lain pula. Yang bawah-bawah tu kadang-kadang tak kaya mana pun, tapi sanggup memperbodohkan diri mengkayakan orang paling atas.

Tahap respek: Sangat Rendah

6. Jadi kaya melalui populariti

Hanya dengan berbekalkan populariti sahaja boleh membuatkan seseorang jadi kaya. Kumpulkan ramai pengikut di Twitter, Instagram atau Facebook, kemudian kau sudah boleh buat paid review, pengiklanan produk atau jual produk jenama kau sendiri. Cara nak jadi popular tu pula macam-macam. Ada yang melalui bakat nyanyian, atau ada rupa paras yang cantik, atau buat video yang menarik, atau buat benda bodoh sampai viral lalu kau popular atau lain-lain cara lagi. Sebab itu sekarang ini ramai orang terutama budak-budak muda berebut-rebut kumpul follower nak jadi Twitfamous, Instafamous dan selebriti Facebook, kerana benda itu boleh jana pendapatan. 

Jadi bila dah nama pun jadi kaya melalui populariti, nak tak nak mereka ini perlu popular untuk terus menjadi kaya. Jadi mereka memang suka berkongsi macam-macam di media sosial seperti aktiviti kehidupan seharian, fesyen, gambar OOTD, rumah mahal, kereta mewah, gambar percutian mewah dan sebagainya, supaya orang lain takjub dan kagum lalu mengikutnya di media sosial.

Tahap respek: Rendah

7. Jadi kaya melalui bakat

Orang yang menjadi kaya melalui bakat ini ada tapi tak ramai kat Malaysia, sebab Malaysia tidak begitu menghargai bakat orang. Contoh bakat adalah bakat dalam sukan, muzik, lakonan, seni lukis dan sebagainya. Kau boleh kaya bila jadi pemain bola di liga Eropah tapi susah di Malaysia. Kau boleh kaya bila jadi pelakon kelas A di Hollywood tapi tidak di Malaysia. Kau boleh jadi kaya dengan jadi pelukis komik yang tinggi jualan komiknya di Jepun tapi bukan di Malaysia. Kau boleh jadi kaya dengan jadi game streamer di Youtube, tapi susah di Malaysia.

Disebabkan mereka ini berbakat, jadi mereka kurang tayang kemewahan mereka sebaliknya lebih suka kongsikan bakat mereka dan juga aktiviti seharian mereka di media sosial. Kat Malaysia mungkin ada juga orang kaya jenis ini, tapi kurang. Sangat kurang.

Tahap respek: Tinggi

8. Jadi kaya melalui ilmu akademik

Yang ini mungkin ada tapi bilangannya juga mungkin sangat sedikit. Kalau seseorang itu berjaya menjadi seorang ilmuwan yang sangat hebat, menjadi pakar dalam suatu bidang, malah menjadi penerima Hadiah Nobel sekalipun, belum tentu dia boleh jadi kaya. Melainkan dia ada suatu penemuan besar atau menciptakan sesuatu yang sangat hebat, yang mana ia kemudiannya dikomersialkan dan digunakan oleh ramai orang, jadi dia mungkin akan dapat banyak pendapatan dan bayaran royalti yang besar pada penemuan dan penciptaannya itu.

Orang kaya seperti ini kalau ada pun mereka jenis low profile, tak suka nak menunjuk-nunjuk sangat kemewahan mereka. Silap-silap akaun media sosial pun takde. Kalau ada pun mereka lebih suka berkongsikan penulisan ilmu berbanding gambar kereta mewah mereka. Tapi biasanya kalau seseorang itu dah masuk dalam profesion keilmuan, dia dah tak kejar kemewahan sangat dah. Baginya dapat bekerja dan berbakti dalam alirannya pun dah cukup bahagia untuknya.

Sebab itu orang yang berprofesion doktor, jurutera, guru, artikek, akauntan, peguam dan sebagainya, walaupun sekadar kerja makan gaji sekalipun, biasanya tak kisah sangat nak cari duit di luar profesion mereka seperti masuk MLM, skim cepat kaya, berniaga produk pemutih kulit, bawa Grab dan sebagainya, sebab mereka sudah rasa bahagia dan selesa dengan profesion mereka.

Tahap respek: Sangat Tinggi

9. Jadi kaya melalui kerja keras

Menjadi kaya melalui kerja keras ni juga sedikit bilangannya, mungkin 1 dalam 100,000, atau 1 dalam sejuta, mungkin? Ramai orang berusaha teruk dan bekerja keras tapi tak kaya-kaya juga, tapi ada orang bekerja keras sehingga akhirnya boleh jadi kaya. Selain kerja keras, faktor ilmu, nasib dan juga elemen lain seperti politik juga memainkan peranan penting.

Ada orang yang bukan sahaja bekerja keras, malah walaupun dia bermula dari bawah dan tiada kelulusan akademik yang tinggi pun, dia juga pandai cari peluang, buka perniagaan, cari ilmu yang diperlukan, dikurniakan rezeki yang baik, buat pelaburan yang tepat, luaskan perniagaan ke seluruh negara, dan mungkin main politik sikit kenal orang sana sini, sehingga akhirnya berjaya menjadi antara ahli korporat yang terkaya di tanah air.

Orang macam ini, dia tak perlu terhegeh-hegeh sana sini tayang kekayaan, tergedik-gedik tunjuk kemewahan, tayang kereta mewah, rumah besar, kasut berjenama, jam tangan mahal dan sebagainya. Dia adalah ahli korporat, jadi dia tak perlukan populariti, pengikut media sosial yang ramai untuk mengekal dan menambah kekayaannya. Malah dia juga lebih suka membuat amal kebajikan berbanding mencari populariti yang tidak perlu.

Imej dia pun kadang-kadang nampak macam lebih miskin dari kita. Pakai baju t-shirt biasa, seluar biasa, selipar biasa, jam tangan biasa, tapi dalam bank ada berjuta-juta berbillion billion. Sebab apa? Sebab tiada apa pun yang mereka nak buktikan pada masyarakat.

Tahap respek: Sangat Tinggi


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.


https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: jenis kategori cara orang jadi kaya kekayaan tahap respect respect level penghormatan hormat 

1 ulasan:

  1. Entahlahhh..tenang2 saja sambil mkn rotiKAYA..🍞🍜🍝

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.