Jumaat, 16 Ogos 2019

4 Isu perkauman dan kenegaraan yang tiada kesudahan

1. Lagi beberapa hari kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke yang ke-62, namun minggu ini berlaku banyak isu yang berkaitan dengan perkauman, keagamaan dan kenegaraan.

2. Bermula dengan insiden pergaduhan di lebuh raya antara warga Melayu dan Cina sehingga menyebabkan kematian.

3. Ahli korporat Cina berpangkat Tan Sri yang menghina jalur gemilang dengan menukar warna putih ke hitam kerana memprotes pelaksanaan tulisan khat dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan.

4. Ahli perniagaan Cina yang menghina angkatan tentera Malaysia dengan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja dan sepatutnya mengganti pekerja asing yang diupah di ladang Felda.


5. Perdana Menteri menyifatkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) sebagai satu pertubuhan yang rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara.

6. Pendakwah tersohor dari India yang menetap di Malaysia membandingkan masyarakat Hindu di Malaysia yang dikatakan mendapat lebih banyak keistimewaan berbanding masyarakat Islam di India serta mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India berbanding kepada Perdana Menteri Malaysia.

7. Beliau juga mencetuskan kontroversi apabila berkata dalam ceramahnya yang dulunya orang Cina, India dan Inggeris datang sebagai tetamu lama, seperti mana beliau adalah tetamu baru.

TOPENG PERPADUAN

8. Benar, kita dah lebih 62 tahun merdeka, tapi hakikatnya masalah perkauman, keagamaan dan kenegaraan tak pernah selesai. Kadang yang nampak elok tu pada dasar dan luaran sahaja, di sekolah, di kawasan kejiranan, di pejabat, di kaca TV, di dalam iklan, di dalam filem, tapi belakang saling prejudis dan benci antara satu sama lain. Kita saling memakai topeng perpaduan apabila berhadapan dengan kaum lain, tetapi dengan kaum sendiri kita akan menunjukkan sikap kita yang sebenar.

PREJUDIS YANG TIADA NOKTAH

9. Macam mana orang Melayu tak prejudis kalau kaum lain masih tak fasih bertutur bahasa kebangsaan, tak hormat agama persekutuan, tidak mahu mengikuti sistem pendidikan kebangsaan dan diskriminasi mengambil pekerja berdasarkan kaum tertentu dan sebagainya?

10. Macam mana juga orang bukan Bumiputera tak prejudis kalau masih ada kuota kaum dalam matrikulasi, ada universiti untuk suatu kaum sahaja, ada diskaun pembelian rumah hanya untuk suatu kaum dan sebagainya?

11. Macam mana orang Melayu tak bersangka buruk kalau kaum Bumiputera sahaja yang ramai mahu bekerja dalam sektor keselamatan negara seperti polis, tentera dan bomba untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara, tapi lepas tu dapat hinaan dan kejian pula dari kaum lain?

12. Macam mana orang bukan Bumiputera tak bersangka buruk kalau mereka belajar rajin-rajin dapat keputusan sangat cemerlang pun susah nak masuk universiti awam tapi orang Melayu yang keputusan biasa-biasa mudah masuk universiti awam?

13. Macam mana orang Melayu tak sakit hati apabila baca komen-komen kaum lain di laman web berita dan Facebook yang sangat rasis menghina, mengkeji dan memandang rendah kaum Melayu?

14. Macam mana orang bukan Bumiputera tak sakit hati apabila baca komen-komen orang Melayu di laman web berita dan Facebook yang sangat rasis menghina, mengkeji dan memandang rendah kaum bukan Melayu?

15. Macam mana orang Melayu tak marah kalau kaum lain asyik kutuk, caci dan hina orang Melayu, tapi bila berniaga cari juga orang Melayu untuk beli produk mereka sehingga sanggup tipu sijil halal, guna jenama nama Melayu, letak tulisan jawi dan sebagainya?

16. Macam mana orang bukan Bumiputera tak marah kalau mereka nak berniaga tapi asyik suruh boikot sana sini sampai mereka terpaksa buat macam-macam semata-mata untuk pancing pelanggan Melayu yang merupakan pelanggan majoriti di Malaysia?

REALITI TAK SEINDAH MIMPI

17. Secara idealnya aku suka kalau kita semua bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama, tanpa sebarang prejudis dan diskriminasi bangsa dan agama, yang kita boleh saling pertahankan antara satu sama lain, namun realitinya sangat pahit ditelan. Aku sendiri mahu sentiasa bersangka baik pada kaum lain, tapi bila baca-baca komen kaum lain yang walaupun ditulis dalam bahasa ibunda masing-masing tapi masih boleh diterjemah, susah untuk aku terima dan berlapang dada.

18. Jadi isunya di sini masing-masing ada kepentingan yang tidak mahu dan tidak sanggup untuk dikorbankan, dan masing-masing saling membenci dan tidak boleh menerima antara satu sama lain terutama dengan orang yang tidak dikenali. Kalau orang yang dikenali seperti kawan, rakan pejabat, jiran taman dan sebagainya memanglah baik sebab nak jaga hati, tapi tengok dia komen kat Internet macam hidup dalam gua tak pernah ada kawan berlainan kaum.

CADANGAN SOLUSI

19. Entahlah, aku sebenarnya takde solusi apa sangat pada masalah ini. Dari dulu sejak zaman merdeka pun dah macam ni. Masa zaman BN dulu UMNO sering dibantah oleh MCA dan MIC serta pembangkang. Sekarang dah tukar kerajaan pun PM kena bantah oleh DAP dan orang dia sendiri. Kalau waktu merdeka dulu kita pilih jalan macam Indonesia dan Thailand, mungkin dah kurang isu-isu kenegaraan macam hari ini.

20. Jadi mungkin kalau nak adil dan saksama, semua benda kena wujudkan kuota mengikut komposisi kaum di Malaysia tak kira dalam sektor kerajaan, keselamatan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya. Kuota 69% untuk Bumiputera, 23% untuk kaum Cina, 7% untuk kaum India, 1% kaum lain-lain. Kuota kemasukan matrikulasi, universiti, penjawat awam, syarikat swasta, pasukan keselamatan, semua kena guna kuota ini.

21. Hapuskan juga semua pendidikan berasaskan kaum. Semua sekolah jadikan sekolah kebangsaan yang mempunyai sistem pembelajaran kebangsaan yang sama. Sekolah alternatif yang dibenarkan hanya yang berasaskan agama sahaja seperti sekolah agama Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya, sebab bangsa boleh diintegrasi dan diasimilasi tetapi kepercayaan tidak boleh. Semua orang kena duduk sama, wujudkan sebuah jawatankuasa perpaduan negara dan suatu ambil tindakan drastik dan teguh, kalau tidak isu ini memang tidak akan ada noktah sampai bila-bila.

ISU DR. ZAKIR NAIK

22. Itu bab penyatuan kaum dan negara. Tapi bab Dr. Zakir Naik (DZN), kita kena faham, beliau memang bukan seorang warganegara Malaysia, dan juga bukanlah maksum yang tak lari dari kesilapan, tapi beliau bukan hanya sekadar seorang tokoh pendakwah malah pakar perbandingan agama yang disegani seluruh dunia.

23. Beliau juga bukan sekadar pendakwah biasa-biasa untuk umat Islam sahaja, tapi juga pendakwah untuk orang yang bukan Islam. Untuk tujuan itu, beliau menghafal Al-Quran dan juga kitab-kitab agama lain agar boleh berhujah dan menarik orang bukan Islam kepada Islam.

24. Di luar negara termasuk negara-negara maju dialog antara agama memang biasa dilakukan dengan aman. Imam, paderi, sami, boleh je berbahas antara satu sama lain. Kita je macam takut sangat nak berdialog antara agama. Jadi bila beliau lakukan di Malaysia, ramai pula yang triggered. Bila dia cakap pasal sejarah pun, triggered juga.

25. Benda-benda berkaitan sejarah ni tak perlulah triggered sangat. Benda dah berlaku pada masa silam, baik atau buruk, ia adalah suatu yang memang sudah berlaku di masa lampau. Kalau dengan sejarah pun nak triggered, orang Jepun selamanya buruk sebab dulu pernah tibai nenek moyang kita, orang Jerman selamanya buruk sebab kekejaman Hitler pada masa dulu, dan orang Australia selamanya buruk sebab dulu menjadi tempat buangan banduan British.

AHLI POLITIK VS AGAMAWAN

26. Ahli politik pula perlu lebih berhati-hati bila bagi pandangan dan kenyataan terhadap DZN terutama yang beragama Islam. Menentang beliau bukanlah suatu political mileage yang bagus. Beliau merupakan seorang tokoh Islam yang sangat disegani umat Islam seluruh dunia, dan awak pula hanya seorang ahli politik baru yang ada berapa kerat penyokong je pun.

27. Mungkin awak boleh bersolidariti untuk kaum lain, tapi ramai orang Islam akan bersolidariti untuk DZN. Walaupun beliau bukan orang Malaysia, tapi ikatan persaudaraan atau brotherhood itu sangat kuat atas nama Islam. Sebab itu orang Islam Malaysia sanggup tolong orang Islam Palestin, Syira, Rohingya, Kemboja dan sebagainya, semuanya atas nama persaudaraan Islam walaupun bukan satu negara. Jadi kalau rasa dengan membangkitkan kemarahan umat Islam boleh panjangkan hayat politik awak, maka teruskanlah.

28. Ya, tak dinafikan DZN bukan maksum dan ada melakukan kesalahan, tapi aku rasa kalau aku nak menilai dia pun aku rasa tak layak sangat sebab kalau nak dibanding dengan ilmu dan jasa yang dia lakukan pada Islam, aku ini bukan sesiapa pun. Dia berani berdakwah pada orang bukan Islam tatkala ramai orang Islam tak mampu untuk lakukan, dan dia lakukan bukan dengan paksaan atau kekerasan pun, tapi hanya dengan pertuturan.

KEYAKINAN PADA AGAMA

29. Sebagai orang Islam, walaupun kita boleh bercampur, bergaul dan bertoleransi dengan orang bukan Islam, tapi kita kena percaya dengan yakin yang bahawasanya agama Islam adalah agama yang benar, tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah.

30. Kita kena ada suatu pengharapan agar orang lain akhirnya dapat kembali pada agama Islam, tapi kita mungkin hanya mampu berdoa dalam hati, tapi beliau mampu bertutur dengan mulut untuk menyatakan kebenaran pada orang bukan Islam di zaman ini, jadi apa lagi yang membuatkan beliau layak dibenci oleh umat Islam sendiri? Nabi sendiri bila berdakwah bukan hanya sekadar berdoa, tetapi baginda sampaikan secara lisan. Kalau semua orang pun pakat berdakwah dengan berdoa, memang takkan tersebarlah Islam ke seluruh dunia.

31. Aku sendiri bukanlah rajin sangat dengar ceramah DZN, tetapi aku rasa beruntung dan bersyukur sangat zaman sekarang masih ada pendakwah macam beliau. Dalam pada masa yang sama, jangan pula kita terlalu mengangkat dan mengagungkan beliau sehingga ke tahap memuja, kerana akhirnya beliau hanya manusia biasa juga.

32. Cuma kalau rasa nak marah dan berfikiran negatif pada beliau, kaji dan fahamkan dulu apa yang beliau benar-benar nak sampaikan, dan persiapkan diri dengan ilmu dulu kalau nak berhujah dan berdebat dengan beliau, sebab kadang-kadang kebenaran itu memang pahit.


 P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.



https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: isu perkauman kenegaraan keagamaan tiada kesudahan patriotik dr zakin naik orang cina tetamu pendatang baru lama ahli korporat perniagaan hina jalur gemilang bendera malaysia  atm pasukan tentera gaduh lebuhraya maut mati bangi kayu besbal dong zong rasis tun mahathir

4 ulasan:

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.