Ahad, 4 Ogos 2019

1 Salah faham drama mak nyah masuk sekolah tahfiz


1. Kecoh tentang drama Demi Tuhan Aku Bersaksi di RTM apabila ada orang muat naik beberapa poster dan gambar sedutan dari drama tersebut yang berkisarkan tentang pengamal BTLG yang belajar di sekolah tahfiz.

2. Lalu ramai yang mengecam dan mengutuk drama tersebut kerana merasakan ia memburukkan institusi tahfiz dengan gejala liwat, gangster dan mengangkat lelaki gay. Ramai yang ingatkan drama ini sedang dalam siaran, namun rupa-rupanya ia belum lagi ditayangkan. Gambar sedutan yang diambil mungkin dari iklan trailer sahaja.

3. Lalu penerbit drama memberi penjelasan yang filem ini bukanlah mempromosikan budaya BGLT mahupun memburukkan sekolah tahfiz, sebaliknya sinopsis ceritanya hanyalah tentang seorang mak nyah yang ingin bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, lalu masuk sekolah tahfiz untuk mendalami ilmu agama, namun jalan taubatnya tidaklah mudah kerana pelajar lain sukar untuk menerimanya yang merupakan bekas mak nyah.


4. Bila aku fikir-fikir balik, ini semua hanya sebuah salah faham. Baca penjelasan aku baik-baik. Sebenarnya drama ni bukan cerita nak promosi gay ke apa, sebaliknya ia cerita berunsur dakwah. Cerita ni bukannya nak cerita pasal kat sekolah tahfiz banyak gay tapi cerita pasal mak nyah nak bertaubat. Jadi kat mana dia rasa tempat yang boleh bantu dia? Sekolah tahfiz. Dia memang dah jadi mak nyah sebelum masuk sekolah tahfiz lagi, bukannya dia meliwat atau jadi gay atau jadi mak nyah lepas dia masuk sekolah tahfiz.

5. Dan bila dah masuk sekolah tahfiz tu, biasalah nama pun sekolah, mesti ada juga beberapa budak yang nakal, yang suka tak suka belajar, yang suka ejek orang, yang suka buli orang, yang rasa diri mulia, yang rasa pelajar bekas mak nyah itu hina dan jijik. Yalah mana ada benda yang perfect dalam dunia ini. Jadi memang logik lah bila ada elemen-elemen ejek dan buli tu. Biasalah nama pun drama, mesti ada banyak elemen dan unsur-unsur yang dramatik.

6. Jadi di samping penonton dapat lihat perjalanan taubat bekas mak nyah ni, dapat juga lihat macam mana guru, pengetua dan pengurusan sekolah tahfiz ini menangani isu ini. Macam mana mereka dapat bimbing bekas mak nyah ini ke pangkal jalan, bagaimana mereka akhirnya dapat mendidik pelajar lain agar tidak menyakiti dan memulau bekas mak nyah ini hanya kerana kisah silamnya.

7. Lagipun aku yakin pengakhiran drama ini mesti akhirnya ada pengajaran. Mungkin bekas mak nyah akhirnya berjaya bertaubat, dan mungkin pelajar lain akhirnya dapat bantu bekas mak nyah ini dalam jalan taubatnya. Yalah, drama dah lepas tapisan LPF, tayang pun kat RTM, takkan tiba-tiba ending dia si mak nyah kembali menjadi mak nyah dan menjadi aktivis pejuang GTBL. Tak logik.

8. Jadi kalau nak diikutkan, drama ni sebenarnya mengangkat darjat sekolah tahfiz kerana ia menjadi pilihan pendosa untuk mencari ilmu dan kembali pada jalan agama. Bagus apa, orang yang nak betul-betul nak berubah jadi baik dengan kerelaan sendiri tanpa paksaan ibu ayah, masuk sekolah tahfiz. Ia menunjukkan yang sekolah tahfiz adalah pusat ilmu dan dakwah yang sentiasa membuka pintu kepada sesiapa untuk belajar dan menuntut ilmu agama tanpa sebarang prejudis dan diskriminasi.  Nanti kalau orang buat cerita mak nyah pergi gereja untuk minta pertolongan, atau jumpa geng liberal untuk bertaubat, korang marah jugak kenapa tak pergi masjid, tak cari ustaz dan sebagainya.

9. Lepas tu cakap drama macam ini akan memberi imej dan gambaran buruk sekolah tahfiz pada orang bukan Islam, seolah-olah sekolah tahfiz melahirkan ramai gay. Come on, drama ni dah lah drama Melayu, tayang kat RTM pulak tu. Rasa-rasa ada ke orang bukan Melayu, nak tengok drama Melayu, kat saluran RTM? Lebih baik diorang tengok drama Cina kat Astro Wah Lah Toi atau drama Tamil kat Astro Vaanavil.

10. Korang ni macamlah benda ni tak pernah berlaku kat negara kita. Kan dulu pernah ada seorang mak nyah penjual kosmetik dulu nak bertaubat, dia pergi jumpa ustaz, dekatkan diri dengan orang agama. Lepas tu macam mana penerimaan kita? Ada yang bagi sokongan moral, namun ada juga yang tetap mencemuh dan mengejek beliau.

11. Nah kan sama je macam drama tu, bezanya mak nyah drama tu pergi sekolah tahfiz dan kena ejek dengan pelajar lain, yang mak nyah kosmetik tu pergi jumpa ustaz dan kena ejek dengan netizen kat media sosial. Cuma harapnya dalam drama tu budak mak nyah tu tak kembali jadi mak nyah lah akhirnya.

12. Yelah, dah nama pun cerita dakwah dan tarbiah, mestilah ada watak yang asalnya pendosa lepas tu kembali ke pangkal jalan. Seorang penagih dadah masuk pusat serenti jadi baik. Seorang bekas gangster masuk tabligh jadi baik. Seorang mak nyah masuk tahfiz jadi baik. Betul lah kan? Kalau watak asal memang dah baik, warak, alim, lepas tu kembali ke pangkal jalan, kan pelik sangat tu. Tak jadi lah cerita dakwah tapi jadi cerita syok sendiri.

13. Walaubagaimana pun aku faham, masyarakat kita ni memang defensif dalam kebanyakan hal. Bila ada watak ustaz jahat, orang kata merendahkan agamawan. Bila ada watak melayu jahat, orang kata nak jatuhkan melayu. Bila ada watak polis korup, orang kata nak menghina polis. Bila ada watak cikgu gatal, orang kata nak pandang rendah pada guru.  Bila aku tulis pasal sisi hitam sekolah berasrama, orang kata aku nak jatuhkan sekolah asrama.

14. Benda ni memang biasa dan tak boleh nak salahkan masyarakat sangat jugak, sebab rata-rata setakat itu je pun pemikiran mereka. Baca tajuk tapi tak baca pun lagi isi kandungan, terus kecam. Tengok poster tapi tak tengok pun lagi cerita, terus kecam. Dapat mesej berantai kat WhatsApp tak tahu punca asal tak tahu kesahihan, terus kecam dan forward kat orang lain pula. Biasalah tu tiada apa yang pelik pun.

15. Jadi nak tak nak, kita juga yang perlu berhati-hati sebab kebanyakan masyarakat kita sangat delusional dan tahap mentaliti kita bukanlah tinggi mana. Kalau boleh elakkan terus dari buat apa-apa cerita fiksyen realiti yang ada sisi gelap berkaitan elemen agama macam imam, ustaz, masjid, surau, sekolah agama, sekolah tahfiz, pusat zakat dan sebagainya.

16. Kalau nak buat juga, kena tunjukkan yang ia langsung tiada kelemahan, tiada cacat cela dan sempurna serba serbi. Kalau buat cerita hantu, ustaz tu kalau boleh buat dia boleh terbang dan bila tepuk tanah keluar aura. Elakkan juga buat iklan, poster atau trailer. Bila tiba masa terus je tayang kat TV atau wayang, jadi tak sempatlah orang nak berdrama dengan andaian sendiri.

17. Lagipun drama dan filem kita mana boleh paparkan sisi gelap apa-apa sangat pun. Kalau tidak dah lama ada cerita yang berkisarkan tentang budaya gay dan buli di sekolah berasrama penuh, cerita pasal polis dan penjawat awam yang kuat makan rasuah, penipuan hospital dan doktor, guru yang suka mendera anak murid, ahli politik yang terlibat dalam skandal seks, menteri yang korup kuat makan rasuah dan sebagainya.

18. Jauh beza dengan cerita Tamil, selamba masukkan elemen sisi gelap polis, cikgu, doktor, paderi, ahli politik, menteri, kerajaan dan sebagainya. Apa ada hal, cerita rekaan je pun, bukannya petik mana-mana individu sebenar pun. Kita je kat Malaysia takut sangat, itu tak boleh ini tak boleh, itu sensitif sangat, ini memburukkan sekian sekian organisasi, itu nanti ada orang terasa, ini nanti orang marah, lepas tu buat petition suruh haramkan. Sebab tu filem Allahyarham P. Ramlee masih jauh lebih hebat dari kebanyakan cerita yang ada pada hari ini, sebab beliau tidak takut untuk masukkan elemen-elemen taboo dalam filem-filemnya.

19. Jadi cerita apa yang tinggal untuk dibuat? Cerita cinta perempuan miskin kena kahwin paksa dengan anak CEO yang dapat projek RM10 billion dengan pekerja 10,000 orang, tapi mak tak suka pada menantu, nenek pula ada pilihan lain, jadi mak, nenek dan perempuan piliha nenek berpakat buat benda jahat untuk pisahkan mereka. Nak buat macam mana, plot cerita macam itu je lah yang tak buat siapa-siapa terasa.

20. Itu jelah cerita yang layak kita dapat. Kita tak layak dapat cerita sedap-sedap yang lain dari kebiasaan. Tapi bila buat cerita macam tu pun kena kecam jugak. Jadi kau orang nak apa sebenarnya?


 P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.



https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: drama demi tuhan aku bersaksi pusat sekolah tahfiz mak nyah pondan gay lgbt liwat ugut buli gangster kena kecam petition 

1 ulasan:

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.