Selasa, 14 Julai 2020

0 Jangan biarkan anak disconnected dengan ibu bapa

1. Minggu lepas berbual dengan seorang rakan pejabat. Dia cerita anak sulung lelakinya lepasan SPM tahun lepas. Anaknya tu budak pandai, dulu sekolah berasrama penuh. Keputusan SPM pun bagus.

2. Namun isu yang dia hadapi adalah dia tak faham dengan perangai anak dia. Anak dia asal balik rumah masa cuti, asyik main game. Suka dengar muzik bukan-bukan. Lepas habis SPM tak tahu nak sambung belajar apa. Asyik upload gambar kat Instagram. Sekarang dengarnya nak jadi Youtuber dan game streamer pulak.

3. Aku faham perasaan dia sebab iyalah, ibu bapa mana je yang tak mahu anak-anak berjaya, ibu bapa mana je yang tak letakkan harapan besar pada anak-anak. Jadi bila nampak perangai anak macam tak semenggah je pada mata kita, pasti kita akan rasa kecewa.


4. Tapi bila aku tanya, anak dia suka main game apa, suka dengar lagu apa, suka tengok Youtube channel apa, semua dia tak dapat jawab, sebab dia langsung tak tahu apa yang anak dia suka, apa anak dia minat. Yang dia tahu, tengok anak dia asyik berkurung dalam bilik main komputer, dia marah macam anak tu takde masa depan.

5. Cuba kalau kita imbas balik masa zaman kita kecil dan remaja dulu, perangai kita pun bukanlah semenggah mana. Taklah semua tapi ramai lah. Kita pun dulu degil, asyik tak dengar kata mak ayah, asyik main game, asyik lepak dengan kawan-kawan, dengar lagu entah apa-apa, pasang impian nak buat benda-benda yang tak nampak masa depan dan sebagainya. Ibu bapa kita pun masa tu asyik marah kita dan mungkin jauh di sudut hati mereka, kecewa dengan kita.

6. Walaupun begitu, ramai je yang walaupun zaman kecil dulu tak semenggah, kini akhirnya berjaya dalam hidup, ada kerjaya, ada pendapatan sendiri, atau paling tidak pun berjaya jadi orang. Tapi disebabkan waktu kita kecil, mak bapak kita tak pernah nak peduli sangat pasal minat kita, sampai sekarang kita anggap ibu bapa kita tu hanya sekadar ibu bapa yang kita hormat dan sayang, yang kita jumpa bila balik kampung dan tanya khabar sekali sekali, tidak lebih dari itu.

7. Kenapa hal seperti ini berlaku? Benda ni sebenarnya terjadi apabila ibu bapa disconnected dengan anak-anak mereka tatkala mereka sedang membesar, terutama bila mula meniti usia remaja. Ibu bapa tak faham minat anak. Ibu bapa tak ambil tahu benda-benda yang berlaku pada persekitaran anak-anak. Ibu bapa tak kenal kawan-kawan anak mereka. Ibu bapa sudah tak kenal lagi anak mereka yang sebenarnya.

8. Ibu bapa hanya boleh menyuruh dan menyemai minat anak-anak masa mereka kecil je. Bagi mereka tengok Omar dan Hana, bawa mereka tengok filem Frozen, suruh diorang dengar lagu-lagu band kegemaran kita masa kita remaja, tapi hakikatnya bila mereka besar, mereka akan ada minat mereka sendiri.

9. Masa mereka 5 tahun mereka suka tengok Frozen, tapi boleh jadi bila dah umur 14 tahun, diorang boleh jadi tak minat langsung dah kat kartun Frozen, sebaliknya minat pula pada KPop, suka main PUBG, suka baca Webtoon, suka tengok video Gacha Life dan sebagainya, tanpa kita ajar pun. Sebab pasti ada faktor persekitaran yang akan mengajar mereka secara langsung atau tak langsung seperti pengaruh kawan-kawan, adik beradik, sepupu sepapat, iklan, Youtube recommendation dan sebagainya.

10. Macam zaman kita remaja dulu jugak lah. Mak bapak kita tak ajar pun, tapi kita tahu juga macam mana nak main game Super Mario, main skateboard, baca komik Alam Perwira, tengok cerita Star Wars, dengar lagu Nirvana, layan lagu Backstreet Boys dan sebagainya. Dan ibu bapa kita juga, bila tengok perangai kita masa tu, diorang akan cakap, apa benda jugaklah korang buat/tengok/dengar ni. Buang masa, takde faedah dan sebagainya.

11. Lalu kita pun memberontak dan mula rasa jauh dari ibu bapa kita sendiri, rasa disconnected dengan mak bapak kita sendiri, sebab mereka tak tahu dan tak support pun minat kita. Kita pun mula mencari orang lain yang sama minat dengan kita, yang faham kita. Kita lebih mudah dengar cakap orang lain berbanding ibu bapa kita.

12. Jadi sekarang ni bila kita jadi ibu bapa pula, kita pun buat benda yang sama. Kita nak anak-anak ikut acuan kita, tapi bila mereka semakin membesar, kita lupa yang mereka pun ada kehidupan sendiri, ada minat sendiri, ada zaman sendiri. Sedangkan kita sendiri pun tak ikut jejak langkah ibu bapa kita minat benda sama, apatah lagi anak kita.

13. Kalau kita membesar dengan mendengar lagu kumpulan KRU, mereka membesar dengan mendengar lagu K-Clique. Kita membesar dengan layan Metallica, mereka membesar dengan layan BTS. Kita membesar main gasing, mereka membesar main Beyblade. Kita membesar dengan game Contra, mereka membesar dengan game Mobile Legends. Kita membesar dengan Dragon Ball, mereka membesar dengan My Hero Academia. Lepas tu kita kondem mereka apa benda yang diorang minat tu, sebagaimana mak bapak kita kondem minat kita masa kita kecil.

14. Lepas tu kita brag, oh zaman kita la yang paling best. Permainan zaman kita lah yang paling best. Game zaman kita lah yang paling best. Filem zaman kita lah yang paling best. Kartun zaman kita lah yang paling best. Muzik zaman kita lah yang paling best.

15. Tapi percayalah, kalau kita membesar pada zaman ini pun, kita akan rasa pop culture yang tengah trending pada zaman kita membesar ni lah yang paling best, dan rasa apa benda la benda orang zaman-zaman dulu suka, alahai bapaklah tak bestnya. Macam kita yang membesar pada zaman 90-an, kita rasa Butterfinger dan OAG tu best, tapi kita tak rasa pun muzik-muzik A Go-go dan Pop Yeh Yeh zaman mak bapak dan atuk nenek kita tu best.

16. Jadi bila mak bapak langsung tak ambil tahu perkembangan semasa, benda yang tengah trending di kalangan generasi-generasi muda, tak tahu apa benda yang anak minat, itu yang anak-anak akhirnya terdisconnected dengan ibu bapa. Contohnya kalau anak minat Pewdiepie, dan mak bapak dia langsung tak kenal siapa Pewdiepe, mungkin anak-anaknya akan lebih dengar cakap Pewdiepie berbanding cakap mak bapak sendiri.

17. Sebab tu ibu bapa, kalau kita tak minat pun apa yang anak minat, sekurang-kurangnya kita ambil tahu apa yang dia minat, apa hobi dia, apa dia suka buat, lagu apa dia suka dengar dan sebagainya. Waktu kecil anak itu memang intan payung kita, tapi bila mereka dah membesar, kita kena jadikan anak sebagai kawan kita. Malah waktu mereka kecil juga, mereka anggap kita sebagai hero dan idola, tapi bila mereka dah semakin besar, mungkin kita bukan lagi hero dan idola mereka. Jadi kalau tiba waktu itu, sekurang-kurangnya dapat jadi kawan mereka pun cukup lah.

18. Dan janganlah sesekali paksa anak untuk minat apa yang kita minat, dan janganlah perlekehkan apa yang dia minat. Jika tidak, mungkin anak itu akan jadi orang asing bagi kita, bila orang lain lebih kenal dan faham anak kita lebih dari kita faham anak kita sendiri.

19. Kalau anak minat lagu Alan Walker, cuba dengar sekali lagu-lagu dia. Katakan anak kita suka main game Roblox, kita pun boleh cuba-cuba main game tu untuk tahu apa yang dia minat sangat pada game tu. Katakan anak minat main kriket, kita pun boleh ambil tahu sedikit sebanyak pasal sukan kriket. Kalau anak minat baca komik, kita pun boleh cuba baca sekali untuk tahu kenapa anak kita minat sangat pada komik tu.

20. Bayangkan kalau anak boleh ada friend talk dengan ibu bapa? Dia tengok komik kegemaran dia ada keluar episod baru, dia beritahu kita, "Ayah, komik One Piece ni dah keluar chapter baru lah". Dia tengok penyanyi kegemaran dia ada keluar lagu baru, dia kongsi dengan kita, "Mak, nanti cuba mak dengar lagu baru Billie Eilish, mak rasa best tak?". Dia tengok Youtuber kegemaran dia ada video baru, dia cakap dengan kita, "Bapak, channel Buasir Otak TV ada video animasi baru. Kelakar lah pak, nanti bapak tengok lah." Anak rasa seronok nak berkongsi dengan kita, kita pun rasa seronok nak dengar perkongsian anak.

21. Bila kita dah tahu, barulah kita ada modal nak berbual dengan anak kita, dan barulah anak kita pun senang nak berbual dengan kita, sebab kita faham apa yang mereka cakapkan, malah mereka pun dah boleh anggap kita macam kawan boleh luah dan kongsi macam-macam dengan kita. Barulah kita pun boleh bagi pandangan dan cuba guide anak kita berdasarkan kecenderungan mereka, diorang nak sambung belajar dalam bidang apa ke, sesuai kerja dalam bidang yang macam mana dan sebagainya.

22. Dalam masa yang sama, jika ada benda yang tak baik atau keburukan pada perkara yang anak kita minat, kita boleh tahu dan bagi nasihat pada mereka tentang keburukan itu, barulah mereka pun tidak memberontak dan lebih terbuka nak terima pandangan kita. Kalau tidak, memang belakang kita kena OK Boomer je lah jawabnya.

Begitulah...


P/S: Mohon rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):






tags: jangan usah biarkan anak disconnected dengan ibu bapa mak ayah terputus tidak support sokong minat paksa kecewa berjaya


Tiada ulasan:

Catat Komen

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.

Ads RichPartners