Selasa, 21 Februari 2017

5 Tragedi maut basikal lajak harus jadi iktibar

Pertama sekali takziah diucapkan kepada keluarga mangsa tragedi nahas jalanraya sekumpulan remaja berbasikal dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam, Johor yang berlaku pada jam 3.00 pagi hari Sabtu lepas sehingga mengakibatkan 8 remaja maut. Sekarang baru aku rasa nak tulis tentang isu ini selepas ia reda sikit sebagai menghormati keluarga mereka yang terkorban. Lagipun benda pun dah berlaku, tak guna untuk kita memaki, menghina dan menyalahkan siapa-siapa, yang penting kita mengambil iktibar daripada kejadian ini agar ia tidak lagi berulang dan dapat dicegah pada masa akan datang.


Aktiviti berlumba basikal secara haram oleh golongan remaja di jalanraya atau lebuhraya bandar ini bukan suatu yang baru. Ia sudah lama pun berlaku, kalau tengok kat Youtube pun banyak video tentang lumba basikal haram yang digelar basikal lajak atau fly di mana mereka akan meluncur laju basikal yang telah diubahsuai di tengah-tengah lebuhraya dengan laju sambil membuat aksi superman. Biasanya aktiviti mereka dilakukan pada waktu tengah-tengah pagi buta kerana jalan lengang tanpa kenderaan.






Malah pihak polis pun sudah lama ambil tindakan dengan mengambil tindakan diplomatik, bantu hantar anak mereka pulang ke rumah, beri nasihat, tetapi aktiviti ini masih terus berleluasa. Macam juga aktiviti-aktiviti yang salah dan bahaya lain seperti mat rempit, berlumba haram dan sebagainya, dah larang dan ambil tindakan macam mana pun, ia tetap akan terus berlaku.


Dalam hal ini, ibu bapa perlu mainkan peranan untuk menjaga, mengawal dan memantau aktiviti anak-anak. Ini baru anak-anak keluar tengah-tengah pagi buta untuk membahayakan diri berlumba basikal di tengah-tengah lebuhraya, belum cerita anak-anak yang keluar merempit, keluar pergi kelab malam, pergi parti rave, keluar hisap dadah, anak perempuan keluar dengan jantan lain dan sebagainya.

Tapi tu lah, nak salahkan budak-budak ini sepenuhnya pun tak boleh. Mereka masih muda, masih mentah, terlalu naif, hanya fikir nak seronok, tak fikir panjang, tak fikir keselamatan, tak fikir pasal masa depan. Rata-rata yang terlibat dengan aktiviti macam ini pun ramai anak-anak Melayu dari kawasan rumah flat PPRT.

Bayangkan, rumah kecil, sempit, padat dan sesak, adik beradik ramai, ibu bapa bekerja lama ada juga yang tak tentu masa. Duduk rumah asyik bergaduh dengan adik-beradik, kena marah dengan mak bapak. Maka dengan persekitaran macam itu, mereka lebih mudah terdedah untuk mencari keseronokan untuk menghilangkan kebosanan dan menghilangkan tekanan, lalu mudah terpengaruh dengan aktiviti popular yang sering dilakukan oleh kawan-kawan satu kawasan.

Kalau kat situ aktiviti tarian raver paling popular, mudah untuk mereka terjebak. Kalau aktiviti basikal lajak paling popular kat situ, mudah untuk mereka terjebak. Kalau aktiviti gangster paling popular kat situ, mudah untuk mereka terjebak. Kalau aktiviti rempit paling popular kat kawasan tu, maka ramai lah anak-anak muda yang turut merempit untuk mereka mendapat kawan dan diterima menjadi geng.

Maka macam mana nak elakkan gejala ini dari berterusan dan terus berkembang terutama di kalangan anak-anak di sesuatu-suatu kawasan? Mungkin golongan komuniti yang lebih tua di kawasan itu kena masuk campur, atau cuba mempromosikan aktiviti dan hobi yang lebih sihat dan positif, yang sekurang-kurangnya tidak nampak bodoh, membahayakan diri sendiri dan orang lain serta tidak merosakkan masa depan anak-anak muda ini.

Kalau betul nak main basikal, main basikal dengan cara yang selamat, di tempat yang selamat, lengkap dengan peralatan keselamatan. Kalau nak berlumba, buat secara sah. Golongan yang lebih tua boleh bantu mereka untuk melakukan aktiviti di saluran yang betul dan lebih baik. Mana tahu, mungkin merekelah pelapis kepada pelumba-pelumba yang bakal mewakili negara satu hari nanti?

Dalam hal kemalangan itu pula, tak boleh juga salahkan pemandu itu sepenuhnya juga. Kita pun sebagai seorang pemandu kereta, kalau kita memandu waktu tengah-tengah pagi kat lebuhraya macam tu pun, dengan jalan yang sangat lengang, kita mesti akan bawa dengan laju. Kalau ikut had laju standard 110km/j pun dah kira masih laju juga.

Dan biasanya dalam keadaan macam, di atas lebuhraya pula tu, dalam kepala otak kita hanya akan alert untuk bertindakbalas pada benda-benda yang kita akan jangka berada di atas lebuhraya seperti kereta, lori, bas, motor dan lain-lain kenderaan laju. Benda selain itu seperti manusia, basikal, beca, haiwan dan sebagainya, kita tak akan jangka pun akan berada di tengah-tengah lebuhraya, membuatkan kita kurang alert dan lambat bertindak balas pada hal-hal yang kita tidak jangka.

Sebab tu ada kes orang melintas di lebuhraya kena langgar. Mayat kucing, anjing lembu dan lain-lain haiwan biasa kita jumpa bergelimpangan atas jalanraya. Motor jatuh sebab terlanggar lubang kat tengah jalan. Kereta terbabas sebab elak tayar lori pecah kat tengah lebuhraya.

Sebab apa?

Sebab benda-benda tu adalah benda yang di luar kebiasaan, benda yang kita tak jangka akan ada atas jalanraya, menyebabkan kita mudah terkejut, mudah hilang kawalan dan tidak dapat bertindak balas seperti kebiasaannya.

Sama macam kes ini. Siapa jangka waktu memandu kereta atas lebuhraya tengah-tengah pagi buta, tiba-tiba ada budak berlumba basikal kat atas jalan? Basikal tu pula rendah, siap buat aksi superman lagi, mungkin boleh berada dalam kawasan blind spot pada pemandu kenderaan 4 roda.

Apa-apa pun, benda dah berlaku, nak menyesal pun tak guna. Apa yang kita boleh buat, hanyalah terus pandang ke depan. Apa yang dah berlaku jadikah pengajaran buat kita semua.

Jadikan iktibar kepada anak-anak muda agar tidak lagi terlibat dalam aktiviti yang membahayakan diri sendiri, iktibar kepada ibu bapa agar sentiasa menjaga keselamatan anak dan memantau kegiatan dan aktiviti mereka, serta iktibar kepada semua pemandu kereta dan pengguna jalanraya agar lebih berhati-hati, terutama pada hal yang kita tidak jangka.

Ingat, kesilapan waktu dahulu bukan untuk diulangi dan diwarisi, sebaliknya untuk dijadikan iktibar dan pengajaran untuk masa hadapan.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (Awakening). Versi cetak sudah habis, namun anda boleh membeli versi digital di Google Play Books dengan harga RM14 sahaja di sini - https://goo.gl/8bZKUo.

http://buasirotak.blogspot.com/2016/11/buasir-otak-komik-awakening.html



tags: kemalangan tragedi basikal lajak fly jb kena langgar lebuhraya meninggal johor bahru kereta maut video lumba

5 ulasan:

  1. Ok..hebat lagii generasi 80,90an..🚲🚲🚗🚑

    BalasPadam
  2. Persoalannya...utk kes ni salah siapa? pemandu atau mangsa kemalangan..sy maksudkan dr segi perundangan, ikut logik mmg kita tau salah siapa.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salah mereka dan keluarga mereka ..

      Padam
  3. dari segi perundangan, sapa yg langgar dia yg salah

    BalasPadam
  4. Noob.komik digital bole buat fit to zoom tak. Jari malas nak zoom

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.