Khamis, 4 Julai 2019

2 Persatuan komuniti komik menindas pelukis komik?

1. Minggu lalu Persatuan Penggiat Komik Malaysia (Pekomik) membuka sumbangan orang ramai untuk menyumbangkan karya komik mereka untuk dicetak dalam sebuah kompilasi zine yang bertemakan Malaysia. Pelukis yang komiknya terpilih akan menerima senaskah zine tersebut dan juga sijil penyertaan.

2. Malangnya ada segelintir yang mendakwa dan mengecam Pekomik menindas pelukis komik apabila mahu pelukis melukis secara percuma dan tidak memberi gaji serta bayaran kepada pelukis komik yang terpilih.

 Sumber FB Pekomik

3. Pertama sekali, perlu faham yang Pekomik, serta lain-lain juga komuniti komik tempatan yang ada di Malaysia seperti Comicore, Sucomi, MatKomik, Buasir Otak: The Komik dan sebagainya adalah Persatuan/Kelab/Komuniti/NGO komik yang bersifat independent dan bebas serta tidak berasaskan keuntungan, bukannya syarikat penerbitan komik seperti Gempak Kadokawa, PTS, Komik M, Bekazon dan sebagainya.

4. Memandangkan negara kita terdapat ramai orang yang hobinya suka melukis, dan ramai yang biasanya melukis di kertas atau media sosial sahaja, maka Pekomik mengambil inisiatif untuk memberi peluang dan menyediakan platform kepada orang ramai untuk merasai lukisan komik mereka dicetak di zine.

5. Apa itu zine? Zine adalah ringkasan kepada perkataan 'fanzine' atau 'magazine' (majalah/makalah). Beza zine dengan magazine (majalah) adalah ia diterbitkan secara sendiri (self-published) secara sukarela dengan kuantiti kecil, oleh diri sendiri atau sesebuah komuniti, menggunakan duit sendiri atau pun duit sesebuah komuniti (persatuan, kelab, NGO dan sebagainya).

6. Ia juga adalah penerbitan asli 100% individu tertentu atau kumpulan tertentu yang mewakili sesuatu bidang atau berasaskan sesuatu topik, acara, produk, hobi, minat, kegilaan, muzik, dan sebagainya. Tujuan utama penerbitan bukanlah berasaskan keuntungan sebaliknya atas dasar perkongsian minat. Biasanya pelukis akan buat dan terbitkan zine mereka sendiri dengan duit mereka sendiri, untuk diberi percuma sebagai promosi atau dijual sendiri di acara-acara tertentu.

7. Namun kadangkala ada komuniti komik yang sudi membantu pelukis yang berminat untuk terbitkan zine mereka sendiri secara solo atau kolaborasi tanpa pelukis perlu keluarkan satu sen pun, malah pelukis akan dapat naskah zine tersebut secara percuma. Segala kos penerbitan akan ditanggung oleh persatuan, dan persatuan juga akan jadi wakil tolong jualkan zine tersebut di acara komik tanpa pelukis perlu datang dan jual sendiri pun.

8. Jualan zine pula biasanya tidaklah mendatangkan keuntungan pun, malah ada kalanya tidak menguntungkan malah langsung tidak balik modal. Jika ada keuntungan, biasanya sama ada akan masuk dalam dana dan tabung persatuan bagi membiayai aktiviti persatuan untuk percetakan zine yang lain dan acara-acara seterusnya, atau dikongsi bersama pelukis juga bergantung pada perjanjian dan persetujuan awal. Yalah, dari lukisan komik korang terperap je kat media sosial tak dapat duit pun, sekurang-kurangnya dengan inisiatif ni korang dapat juga zine dan mungkin sedikit imbuhan.

9. Pelukis yang biasanya menyertai komuniti komik dan buat zine ini adalah pelukis baru dan amatur, yang kurang dikenali, yang baru nak mencipta dan menempa nama dalam industri. Jadi dengan adanya penglibatan dalam komuniti komik dan menghasilkan zine, ia boleh menguatkan lagi portfolio pelukis yang mahu menceburkan diri dan pergi jaduh dalam bidang komik mainstream. Ada juga yang sertai komuniti komik hanya untuk suka-suka dan semata-mata kerana minat.

10. Namun tiada paksaan kepada sesiapa untuk melibatkan diri dalam komuniti komik dan penghasilan zine. Nama pun sumbangan komik. Jika anda sukarela nak sertai, boleh sertai. Jika tidak, tidak ada masalah. Tiada siapa paksa, tiada siapa marah, tiada siapa kisah. Tapi kalau anda berminat, persatuan boleh sedikit sebanyak membimbing dan memberi tunjuk ajar dan panduan untuk perjalanan anda dalam dunia seni lukisan, di samping membina network dan kenal orang-orang lama dalam industri komik tempatan yang tidaklah besar mana ini.

11. Tapi kalau rasa diri anda seorang pelukis yang dah hebat, dah popular, maka tak payahlah pertikaikan apa yang komuniti komik ini buat, dan tak perlulah libatkan diri dalam persatuan komik dan penghasilan zine indie. Hantar sahajalah komik anda ke mana-mana syarikat penerbitan komik untuk diterbitkan dan dapatkan bayaran royalti, atau mohon sahajalah kerja sebagai pelukis komik atau kartunis di mana-mana syarikat buku/majalah komik yang dapat gaji bulanan, itu pun kalau diterimalah. Good luck!

12. Cuma tak kisah anda bekerja dalam bidang atau industri apa pun, atau dalam apa-apa jua hal pun, perkara paling utama dalam kita berkomunikasi adalah adab. Kalau nak bagi pandangan, atau nak berbahas, atau nak bertanyakan sesuatu yang kita kurang faham dan jelas, buatlah secara beradab dan sopan, bukan main hentam keromo sahaja menuduh, mengecam dan mencela. Nanti elok-elok orang boleh hormat, boleh berkawan, boleh tolong, terus rasa malas nak ambil peduli.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.


https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: beza persatuan komuniti komik syarikat penerbitan tindas marah sumbangan karya maksud zine

2 ulasan:

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.