Iklan Leaderboard

Rabu, 10 Januari 2018

9 Berhenti bila sudah tidak mampu dan tiada peluang

Ini adalah artikel luahan perasan demotivational shit.

Sebagai seorang manusia, tiada siapa yang terlepas dari perasaan sedih dan kecewa. Ada orang walaupun di luaran nampak begitu gembira dan bahagia, namun jauh di sudut hatinya amat berbeza. Begitu juga dengan aku. 

Banyak benda yang aku rasa sedih dan kecewa, hanya kerana aku tidak berjaya menggapai suatu kejayaan, gagal untuk memperoleh suatu pencapaian besar, gagal melakukan suatu yang aku minat hanya kerana aku tidak mampu, tidak mampu atas kelemahan diri sendiri serta kekangan lain yang menghalang.


Walaupun aku juga minat pada sains, namun minat aku pada cabang seni lebih kuat. Dari kecil aku suka melukis, membaca komik, membaca novel cereka, mendengar muzik, bermain game, menonton filem, begitu juga dengan cabang sukan di mana aku suka bermain bola keranjang, badminton, tenis dan sebagainya, namun perjalanan hidup aku lebih cenderung kepada sains.

Mungkin juga kerana kefahaman aku terhadap bidang sains lebih besar dari bakat aku dalam bidang seni. Aku cepat faham tentang matematik, teori sains, pengkomputeran dan pengaturcaraan, pemetaan geografi, penaakulan logik dan anatikal dan sebagainya. Malah membesar dalam keluarga yang lebih cenderung kepada bidang sains membuatkan aku mahu tidak mahu pasti terikut-ikut akan kecenderungan itu.

Buku yang menarik minat aku terhadap sains ketika aku kecil.

Walaupun aku sedar kelebihan aku lebih kepada bidang sains dan telah pun membesar dengan lebih lama dalam bidang sains, namun minat aku terhadap bidang seni dan sukan tak pernah pudar, cuma aku juga sedar yang kekuatan aku dalam bidang-bidang tersebut tidaklah sebaik bidang sains, kerana aku tidak mempunyai bakat semulajadi atau bakat alami dalam bidang tersebut. Pendek kata, apa sahaja yang aku buat dalam bidang seni dan sukan ini hanya sekadar boleh atau tahu buat, tetapi bukanlah pakar dan hebat.

Aku boleh melukis tetapi sekadar melukis secara asas.
Aku boleh menyanyi tetapi suara tidak sampai dan tidak sedap.
Aku boleh bermain alat muzik seperti gitar tetapi hanya tahu not asas sahaja.
Aku boleh bersukan seperti bola keranjang tetapi sekadar tahu main sahaja, hebat itu tidak.

Mungkin ada yang cakap, bakat seni atau sukan itu boleh dilatih, perlu rajin dan berusaha keras untuk mengasah bakat itu. Namun bagi aku kerajinan dan usaha keras itu hanya relevan kepada pembelajaran yang menggunakan otak dan akal fikiran, malah ia lebih berkesan apabila seseorang mempunyai tahap kecerdasan atau kebijaksaan alami yang tinggi.

Bagi sesuatu bidang yang memerlukan imaginasi, kreativiti dan yang paling utama kemahiran yang melibatkan sistem kawalan motor dan koordinasi tubuh badan seperti jari, tangan, kaki dan suara, kau perlu ada bakat alami atau bakat semulajadi yang tinggi dalam bidang seni atau sukan itu, baru kerajinan dan usaha keras itu berguna untuk mengasah bakat alami yang kau ada.

Kalau jari kau jenis keras, memang berlatih macam mana kau takkan dapat melukis atau bermain alat muzik dengan hebat.
Kalau tangan atau kaki kau jenis bangku, berlatih macam mana pun kau takkan dapat bermain sukan yang menggunakan tangan dan kaki dengan hebat.
Kalau suara kau dah memang tak sedap dan sebutan pun pelat, berusaha keras macam mana pun mungkin kau hanya menguasai teori dan teknik menyanyi sahaja, tapi suara kau masih tak sedap, dan kau masih pelat.

Kalaulah bakat itu memang boleh diasah hanya dengan kerajinan semata-mata walaupun kau tiada bakat alami itu, sudah lama pemain bola sepak yang hebat seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi tumbuh macam cendawan, sudah lama penyanyi bersuara hebat seperti Siti Nurhaliza dan pemuzik berbakat seperti Faizal Tahir wujud lebih ramai, semua pelukis boleh melukis sehebat Vincent Van Gogh dan Leonardo Da Vinci.

Ini yang menjadi ralat pada diri aku. Aku ada minat, tetapi aku tiada bakat alami.
Aku rasa ralat apabila aku ada cerita nak dijadikan komik, tetapi aku tidak boleh melukis dengan baik untuk tukarkan cerita aku ke bentuk komik.
Aku rasa ralat apabila aku mahu mencipta dan menyanyikan lagu sendiri, tetapi aku tidak mempunyai suara yang sedap untuk aku menyanyikan sendiri lagu aku.

Aku rasa ralat setiap kali aku nak realisasikan keinginan aku, aku tak boleh buat sendiri tetapi terpaksa meminta pertolongan dan bergantung pada orang lain. Bukanlah tak boleh namun bukan mudah nak dapatkan bantuan orang lain, kerana mereka juga ada komitmen dan tanggungjawab sendiri yang perlu dilakukan dalam kehidupan.

Aku membesar dengan kecenderungan aku dalam bidang sains, namun minat terbesar aku masih lagi bidang bukan sains terutama bidang seni lukis dan muzik, walaupun aku tiada bakat alami dalam bidang tersebut. Oleh itu selama aku hidup ini, aku hanya menjadikan minat aku sebagai minat dan hobi sampingan sahaja dan tidak berpeluang untuk mengembang dan menjadikan ia suatu yang lebih serius. Lagipun aku tidak pernah berpeluang belajar melukis dan muzik secara formal dan serius, antaranya kerana faktor persekitaran keluarga dan juga usia.

Hanya beberapa tahun kebelakangan ini sahaja, baru aku cuba untuk mengembangkan minat aku dengan lebih serius. Aku cuba melukis komik, mencari kawan yang minat melukis komik, cuba kembangkan rangkaian kenalan dalam bidang seni lukis, cuba belajar menulis dan menggubah lagu dan sebagainya.

Hasil daripada keseriusan itu maka terhasillah komuniti Buasir Otak: The Komik, beberapa buku komik, penyertaan dalam pertandingan komik, satu dua lagu sendiri yang dimuatkan dalam Youtube dan lain-lain. Namun bakat aku masih sama dan tidak boleh berkembang, menyebabkan aku masih ketinggalan, tidak mampu bersaing dan jarang dipedulikan dalam komuniti seni lukis.

Aku usaha macam mana pun, pasti ada berlambak orang lain yang jauh lebih berbakat dan hebat dari aku. Aku cuba cari peluang macam mana pun, pasti orang lain yang sudah ada nama dan reputasi dalam industri mempunyai peluang yang lebih cerah. Aku nak lukis komik, ramai lagi pelukis yang jauh lebih hebat dan popular. Aku nak menulis komik, ramai lagi penulis komik yang lebih hebat dan popular.

Paling menyedihkan, aku sudah agak terlambat untuk menempatkan diri dalam industri seni lukis. Ada orang bermula seawal di bangku sekolah menengah lagi, aku pula di usia lagi beberapa tahun nak masuk 40 tahun baru sibuk-sibuk nak bertatih dalam industri, baru la terhegeh-hegeh nak kenal orang.

Dan satu perkara yang aku belajar, industri seni lukis ini tiada konsep "You support me, I support you back" lebih-lebih lagi jika kau seorang yang tiada bakat. Walau segigih mana aku cuba nak support pelukis-pelukis tempatan mahu yang baru atau lama ini dengan bagi Like dan komen karya yang mereka kongsi di media sosial, aku tidak akan dapat support yang sama dari mereka. Komik apa pun yang aku letak dalam media sosial, jarang orang yang aku sering bagi Like akan Like kembali apa yang aku post. Mungkin mereka ingat aku sekadar peminat mereka, atau mungkin kerana aku bukan sesiapa pun dalam industri, lukisan pun tak lawa mana, cerita pun tak hebat mana, muka pun tak hensem. Mungkin.

Entah kenapa aku masih beria nak cuba dan berusaha lagi untuk kekal relevan dalam dunia pembikinan komik tempatan ini, sedang aku tahu ia takkan pergi ke mana pun. Aku takkan mendapat tempat, mendapat pengiktirafan atau penghargaan pun dari sesiapa dalam industri. Nobody will notice me. Aku wujud atau tidak pun tiada siapa yang peduli. Kenapa masih terus nak mencuba sedang kau tahu kau memang langsung tiada harapan dan peluang?

Sampai aku pernah terfikir beberapa kali untuk berhenti. Berhenti dari menulis blog, berhenti dari melukis komik, berhenti dari dunia media sosial. Mungkin sudah tiba masanya untuk give up bila kau sampai ke satu tahap di mana kau buat apa pun orang takkan pandang dan hargai. Yalah, dulu masa zaman kegemilangan blog, ramai la juga baca blog ni, sekarang siapa je baca. Aku buat komik pun dulu ramai la Like dan Share, sekarang nak dapat 1 Share pun susah.

Ada orang cakap, buatlah sesuatu yang kita minat, tak perlu peduli orang suka atau tidak, ramai orang baca atau tidak. Ya, memang betul tu, kalau perkara yang kita minat itu adalah hobi yang bukan berbentuk seni. Bagi perkara yang melibatkan seni, penerimaan audien adalah faktor kepuasan.

Orang buat lagu untuk orang lain dengar.
Orang tulis cerita untuk orang lain baca.
Orang lukis komik untuk orang lain nikmati.
Orang buat filem untuk orang lain tonton.

Bila apa yang kau buat dapat sampai dan dinikmati oleh ramai orang, ia adalah satu kepuasan dalam diri kau, apatah lagi bila ramai yang suka hasil karya kau, ia seperti suatu penghargaan dan batu loncatan untuk kau terus hasilkan karya-karya untuk mereka. Tapi bila kau hasilkan semua karya hanya untuk kau layan seorang diri, ia hanya satu kepuasan berbentuk syok sendiri, yang mana ia tidaklah puas mana pun.

Namun bila difikirkan semula, apa-apa yang kita buat pun mesti ada tujuannya. Kita beribadah sebab nak mendapat redha Tuhan dan nak masuk syurga. Kita belajar sebab nak dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Kita berkahwin sebab nak mempunyai keluarga dan mahukan perhubungan seksual yang halal. Kita melancong untuk melihat tempat orang dan merehatkan minda. Sama macam berkarya, kita menulis blog untuk orang baca. Kita melukis untuk orang tengok. Kita buat lagu untuk orang dengar. Kalau kita dah hilang tujuan dan motif untuk kita melakukan suatu perkara itu, tidak pelik jika kita akan berhenti dari membuat perkara tersebut.

Berhenti itu suatu yang normal dan biasa dalam hidup. Baru-baru ini seorang Youtuber yang sangat terkenal dengan komedi dan meme telah mengumumkan untuk berhenti dari membuat lagi video-video komedi di Youtube, hanya kerana sudah hilang minat dan keseronokan. Nak kata dia popular, memang sangat popular, malah entah berapa banyak pendapatan yang dia perolehi hasil buat video meme di Youtube, namun semua itu tak menghalangnya dari berhenti.

Beza aku dengan dia, dia sanggup berhenti dalam keadaan dia sanggpu melepaskan populariti dan sanggup hilang pendapatan hanya kerana dia sudah hilang minat. Aku pula mahu berhenti bukan kerana hilang minat tetapi kerana sudah putus asa dan merasakan aku sudah pun sampai limit yang aku mampu buat, dalam keadaan aku yang bukanlah sesiapa pun. Aku sudah letih. Aku sudah penat.

Ya, ini adalah artikel demotivational. Kalau kau orang ada perasaan macam aku rasa nak berhenti dari buat apa-apa yang kau suka atau tak suka, kau berhenti jelah. Kalau kau ada rasa nak give up, dah putus harap, kau give up je. Orang lain mungkin boleh bagi nasihat, sokongan dan galakan, namun akhirnya semua orang akan tetap menjalani kehidupan masing-masing. Kau dengan hidup kau, aku dengan hidup aku. Maka kau buatlah apa yang kau rasa terbaik untuk diri kau.

Cuma buat masa ini... aku sudah berhenti untuk berharap. Mungkin aku masih cuba untuk tidak berhenti sepenuhnya lagi, tapi aku yakin masanya akan tiba juga.


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: kecewa sedih demotivate demovativational berhenti give up putus asa harap quit

9 ulasan:

  1. Teruskan.
    Teruskan apa yang diperjuangkan.
    Teruskan passion yang ada.
    Apa-apapun semoga berjaya !

    BalasPadam
  2. Teruskan menulis blog walaupon komen dah semakin kurang. Aku masih membaca jugak walaupon kadang².

    BalasPadam
  3. Xpon ko mungkin bleh tubuhkan grup wasap atau telegram yg x bermotifkan kewangan, untuk mempromosikan bakat terpendam ko kpd anon² diluar sana, sekurang²nya hasil seni ngko dapat dikenali umum..

    BalasPadam
  4. 3rd mada fakar!!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ko pulak elok masuk pusat serenti.

      Padam
  5. Silent reader here

    BalasPadam
  6. try harder or giveup

    BalasPadam
  7. i read your writings. ko ada kemahiran penulisan dan pemikiran yang tinggi. teruskan.

    BalasPadam
  8. Ko update jelah blog ni atleast 1 artikel per week ttg isu semasa pun dh ok. Nie kalo dh bersawang lama sgt. Permanent reader pun akan hilang.

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...