Selasa, 11 Disember 2018

3 Alkisah tulisan jawi dan tulisan Melayu purba

Kelihatan seorang pemuda Melayu sedang memandu kereta untuk menuju ke sebuah tempat bersama seorang rakannya yang berbangsa Cina. "Lama lagi ke nak sampai kampung tu?", soal Lim. "Rasanya dah nak sampai dah ni.", balas Fazli.

Tiba-tiba Lim ternampak sebuah papan tanda dan berkata, "Ha cuba tengok dia tulis apa?".

Di papan tanda tersebut tertulis "كامڤوڠ تلاڬ مراك كايڠن".

"Apa benda yang dia tulis tu? You faham ke Fazli?", tanya Lim dengan wajah penuh keliru.

"Ha betul la kita dah nak sampai. Tu dia tulis Kampung Telaga Merak Kayangan.", kata Fazli.

"Waa really aa? Hebat lah you. Macam mana you boleh tau? You boleh baca ke itu tulisan?", kagum Lim.

"Itu cuma tulisan jawi maa, mestilah saya faham.", jelas Fazli pada Lim.

Lim berkata lagi, "Tulisan jawi? Saya macam pernah belajar la waktu sekolah rendah di SRJK dulu, ada dalam buku teks, 3 muka surat sahaja, tapi saya sudah lupa lah. Saya ingat itu tulisan sudah lama, sudah takde orang pakai."


"Ada ma. Walaupun tulisan jawi sudah jarang orang guna dalam urusan rasmi, tapi kami orang Melayu masih guna terutama bagi urusan yang berkaitan agama Islam.", Fazli membalas panjang.

"Ooo yalah, saya pernah tengok you ada baca buku agama tu macam itu tulisan jawi.", kata Lim lagi.

"Maksud you kitab Al-Quran yang saya selalu baca tu? Itu memang nampak sama macam tulisan jawi tapi yang sebenarnya ia tulisan arab.", jelas Fazli lagi.

"Sedar tak sedar, sebenarnya you pun ada selalu bawa tulisan jawi dalam poket ma. Cuba you tengok you punya duit kat belakang dia, masih pakai apa tulisan jawi.", sambung Fazli.

"Haah yalah,  ada dua tulisan jawi kat duit RM10 saya ni. Apa maksudnya ni Fazli?", tanya Lim.

"Sebelah kiri itu dia tulis Bank Negara Malaysia, sebelah kanan pula Sepuluh Ringgit.", Fazli menjawab.


"Oooh macam tu. Ok habis tu apa beza tulisan jawi dengan tulisan arab? Tak sama ke?", tanya Lim lagi mahukan kepastian.

"Macam ni Lim. Tulisan jawi tu asal usulnya dari tulisan arab juga, cuma ia ditulis dan dibaca dalam Bahasa Melayu, manakala tulisan arab ditulis dan dibaca dalam Bahasa Arab", Fazli menerangkan lagi.

"Oh, maksudnya Bahasa Melayu pun ada tulisannya yang tersendiri, macam tulisan Cina, India, Jepun dan Korea? Saya ingat Bahasa Melayu cuma ditulis dalam tulisan rumi je, tak tahu pula selama ini ada tulisan sendiri.", kata Lim.

"Tapi kenapa selama ini saya tak tahu pun pasal tulisan jawi ni? Kita belajar Bahasa Melayu kat sekolah dulu pun cuma guna tulisan rumi je." tambah Lim lagi.

"Panjang ceritanya Lim, jom kita singgah kat gerai makan depan tu, saya boleh cerita kat awak, boleh?", tawar Fazli kepada Lim.

"Boleh, menarik juga nak tau ni.", balas Lim.

Mereka pun singgah di sebuah gerai makan di tepi jalan. Selepas menempah air minuman, Fazli pun mulakan ceritanya...
Tulisan Jawi telah wujud sejak sekitar tahun 1300M lagi di Kepulauan Melayu. Perkembangannya berhubung kait dengan ketibaan Islam, khususnya daripada orang Parsi. Abjad Arab yang diperkenalkan ini diubah suai agar sesuai dengan bahasa Melayu klasik lisan. Tulisan Jawi ditulis dari kanan ke kiri, dan ditokok dengan 6 huruf yang tiada dalam bahasa Arab, iaitu ca pa, ga nga va dan nya.

Tinggalan tulisan Jawi purba yang terawal ditemui pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 M (702 H) dan juga Syair Bidasari tulisan sekitar 1300–1399 M yang ditemui di Sumatera, sementara penggunaan terawal abjad Rumi untuk bahasa Melayu datang dari akhir abad ke-19.
Sebelum wujudnya tulisan Jawi, bangsa Melayu pernah menggunakan sekurang-kurangnya 3 tulisan kuno iaitu tulisan Rencong, Pallava dan Kawi.

Tulisan Melayu Purba Rencong berasal dari perkataan Melayu yang bererti 'serong' dan ia dikenali sedemikian kerana huruf-hurufnya yang serong. Ia juga merupakan tulisan Melayu tertua yang digunakan dalam sistem persuratan bahasa Melayu sejak abad keenam masihi iaitu ketika zaman kerajaan Melayu Srivijaya yang berpusat di Sumatera.

Walaubagaimanapun, tulisan Rencong dipercayai telah pun digunakan sebelum abad ketiga masihi lagi. Aksara ini dicipta oleh orang-orang Melayu dengan meniru bentuk-bentuk cabang, ranting, potongan kayu dan bentuk aliran sungai.

Tulisan Kawi juga (dinamakan tulisan Jawa Kuno) merupakan sistem tulisan terawal di Kepulauan Melayu. Ia telah wujud dalam kurun ke-8 M. Tulisan kawi digunakan untuk menulis dalam bahasa kawi yang dituturkan oleh orang Jawa ketika itu. Tulisan ini kemudiannya dibawa masuk ke kawasan-kawasan lain di sekitar Asia Tenggara dan bercambah menjadi sistem-sistem tulisan baharu.
Manakala tulisan Pallava yang turut digunakan di Kepulauan Melayu  berasal daripada tulisan Brahmi dari Selatan India. Tulisan ini mula bertapak di Pulau Jawa dan digunakan untuk menulis dalam bahasa Sanskrit.
Ketika itu bahasa Sanskrit menjadi bahasa pentadbiran dan ilmu pengetahuan. Penyebaran tulisan dan bahasa Hindu ini dijangka terhad di kalangan golongan istana sahaja disebabkan tiada kemudahan asas untuk mengajar orang kebanyakan membaca dan menulis. Tulisan Pallava juga merupakan sistem tulisan paling awal digunakan untuk menulis dalam Bahasa Melayu Kuno, yang mana banyak menerima pengaruh daripada Sanskrit.

Namun setelah penyebaran Islam di Kepulauan Melayu, orang-orang Melayu Klasik cuba untuk terus menggunakan aksara Rencong, Kawi dan Pallava untuk menulis tentang Islam. Mereka mendapati ketiga-tiganya tidak sesuai kerana tidak mampu untuk merakam bunyi perkataan-perkataan baru dari al-Quran dan hadis secara tepat.

Daripada mencipta atau menambah huruf baru pada aksara Rencong, Kawi atau Pallava, orang-orang Melayu Klasik telah mengambil keputusan untuk mengabaikan terus ketiga-tiga tulisan tersebut. Sebaliknya, orang-orang Melayu Klasik cuba mengeksperimennya ke atas huruf-huruf Arab dengan mengejanya dalam bahasa Melayu. Hasilnya, lahirlah tulisan Jawi yang berasaskan huruf-huruf Arab dengan beberapa huruf tambahan dan digunapakai dalam sistem persuratan Bahasa Melayu Klasik.
Orang Melayu memandang tinggi tulisan Jawi sebagai gerbang kepada pemahaman Islam dan kitab sucinya, al-Qur'an. Penggunaan tulisan Jawi merupakan faktor utama yang memangkin kebangkitan bahasa Melayu sebagai serantau di samping penyebaran agama Islam.

Tulisan Jawi digunakan secara meluas di negeri-negeri kesultanan Melaka, Johor, Brunei, Sulu, Patani, Ache dan Ternate seawal abad ke-15, untuk tujuan surat-menyurat diraja, titah-perintah, puisi dan juga kaedah perhubungan utama sesama saudagar di pelabuhan Melaka.

Bahasa Melayu dalam tulisan Jawi merupakan bahasa perantaraan seluruh lapisan masyarakat, baik para raja, bangsawan, ilmuwan agama mahupun orang keramaian, di samping menjadi lambang tradisi kebudayaan dan tamadun Melayu. Proses pengislaman rantau Melayu telah melariskan abjad Jawi sebagai sistem tulisan yang paling berkuasa.

Sewaktu zaman penjajahan Portugis dan British sekalipun, tulisan Jawi masih menguasai Kepulauan Melayu, terutamanya dalam bidang sastera dan kesenian, teologi, falsafah dan mistik Islam, perdagangan, dan juga perundangan negeri. Tulisan Jawi merupakan abjad rasmi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu sewaktu zaman naungan British. Apatah lagi, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.

Bagaimanapun, salah satu kelemahan utama amalan penulisan Jawi ialah ketidakseragaman sesama pengguna dari segi ejaan, yang mana menurut Pendeta Za'ba, "kebiasaan penulis-penulis yang ramai ... ada banyak tentangnya yang berlain-lain pada lain-lain orang", apatah lagi terdapat ketidaksepakatan sesama kamus-kamus bahasa Melayu yang sedia pada zaman dahulu. Hal inilah yang mendorong beliau untuk menggubal satu sistem ejaan Jawi yang baru pada tahun 1938.

Namun dengan kedatangan pengembara, pedagang dan penjelajah dari negara-negara Eropah ke Nusantara seawal abad ke-15, tulisan Rumi mula diperkenalkan. Mereka menulis kata-kata bahasa Melayu yang didengar oleh mereka di pelabuhan-pelabuhan, dalam huruf Rumi, dan mengeja kata-kata itu berdasarkan kesan bunyi yang mereka dengar.

Kemudiannnya orang Inggeris telah mengasaskan beberapa kaedah ejaan Rumi di Tanah Melayu berpedomankan kaedah transliterasi huruf Jawi kepada huruf Rumi pada abad 17 hingga abad 19.

Pada tahun 1904, terbit Ejaan Wilkinson yang dikenal sebagai Romanised Malay Spelling yang digunakan secara rasmi di semua sekolah umum di Tanah Melayu.  Ejaan ini digunakan dalam kamus bahasa Melayu karangan Wilkinson. Seiring dengan perkembangan bahasa Melayu dalam pendidikan, usaha perkembangan dan pemantapan sistem ejaan Rumi berlaku.

Semenjak penggunaan tulisan Rumi dalam Bahasa Melayu semakin meluas dan dan digunakan dalam pelbagai urusan rasmi termasuk dalam sistem pendidikan di Tanah Melayu, tulisan Jawi dilihat semakin terpinggir. Malah dalam Kongres Persuratan Melayu Se-Malaya pada tahun 1954, jawatankuasa penyiasat tulisan Jawi-Rumi telah mengambil keputusan bahawa tulisan Rumi menjadi tulisan rasmi bagi Persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa menentukannya.

Kini, tulisan Rumi bagi bahasa Melayu telah menjadi tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu seperti yang telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Walau bagaimanapun, penggunaan Jawi tidak dilarang menurut Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.

Tidak mahu warisan Melayu ini terus lenyap dan dilupakan, tulisan Jawi kini dipelihara terutamanya untuk wacana keagamaan dan kebudayaan Melayu di negeri-negeri Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis dan Johor di Malaysia, Patani di Thailand, dan juga Sulu dan Marawi di Filipina.

Pelbagai usaha dijalankan untuk menghidupkan kembali tulisan Jawi di Malaysia dan Brunei disebabkan peranannya yang penting dalam lingkungan budaya Melayu dan Islam, misalnya "Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan" sebagai ganti ejaan Za'ba yang diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1986. Tulisan Jawi juga kelihatan di muka belakang wang kertas Ringgit Malaysia dan dolar Brunei.
Seorang pakar tulisan Jawi berbangsa Korea, Prof Dr. Kang Kyoung Seok, daripada Pusan University of Foreign Studies, mula mengkaji tulisan Jawi sejak 1974 dan menganggapnya sebagai satu keunikan milik Malaysia. Menurutnya, tulisan Jawi sedang "tenat" dan jika keadaan itu berterusan, ia mungkin pupus satu hari nanti. Menurutnya, "Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan Jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan jawi nanti?"

Terang Fazli dengan panjang lebar kepada Lim.

"Wah tak sangka begitu hebat sejarah tulisan Jawi ini. Malah saya pun tak tahu Bahasa Melayu ada banyak tulisan sebelum ini. Kalau campur dengan tulisan Rumi, Bahasa Melayu ada 5 tulisan la semuanya.", ujar Lim dengan penuh minat dan bersungguh.

"Ya, tapi kini tinggal 2 sahaja yang masih orang tahu. Lagi 3 itu kini hanya tinggal lagenda sahaja.", balas Fazli sambil menghirup air teh aisnya.

"Sebab itu...", keluh Fadli, menarik nafas yang panjang, dan menyambungnya, "...orang Melayu agak sensitif dan menjadi lantang bersuara apabila hal-hal berkaitan bahasa Melayu dan agama Islam, termasuk tulisan Jawi ini disentuh dan dipertikai, kerana ia sudah pun menjadi seperti darah daging bangsa Melayu."

"Mempertikaikan penggunaan tulisan Jawi ini sama seperti mempertikaikan kenapa orang Melayu pakai baju Melayu, songkok dan baju kurung ketika ke masjid, menghadiri program agama, majlis perkahwinan, sewaktu Hari Raya dan sebagainya. Sama seperti tulisan Jawi ini, walaupun ia jarang digunakan, namun ia tetap menjadi warisan, adat, budaya dan tradisi orang Melayu."

"Pakailah baju apa pun, berseluar jeans, guna tulisan rumi, bertutur dalam bahasa Inggeris, namun warisan Melayu tidak akan hilang dan terus kekal dalam jatidiri bangsa Melayu.", tambahnya lagi.

"Saya sudah faham sekarang Fazli. Terima kasih sebab ceritakan kepada saya. Nanti bolehlah you ajarkan saya tulisan Jawi, rasa berminat pula nak tahu.", ujar Lim teruja.

"Boleh ma, takde hal punya. Lagipun tulisan Jawi ni senang sahaja. Kalau you boleh baca bahasa Melayu dalam tulisan rumi, mesti boleh baca dalam tulisan Jawi juga. Nanti you ajar pula saya cakap Mandarin, OK?", kata Fazli.

"Mestilah OK, kita kan kawan maa. Walau kita berbeza bangsa dan budaya, tapi tak salahkan untuk kita belajar adat budaya orang lain.", Lim membalas.

"Betul tu Lim. OK lah Lim dah nak dekat pukul 2 tengahari ni. Nanti kita singgah masjid atau surau sekejap ya, saya nak solat Zohor dulu. Makan ni takpe, saya belanja.", ujar Fazli.

"Terima kasih Fazli.", balas Lim lagi.

Selepas Fazli membayar harga makan dan minuman, mereka berdua pun meneruskan perjalanan untuk menuju ke destinasi.

Akhir cerita;
"Kita tidak perlu membuang atau meninggalkan tulisan Jawi walaupun Melayu amnya menggunakan tulisan Rumi. Ini adalah kerana tulisan Jawi adalah kepunyaan kita dan merupakan sebahagian daripada warisan kita." - Pendeta Za'ba (1957).


P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik (ENIGMA) yang baru di sini - http://bit.ly/buybotk6.

https://buasirotak.blogspot.com/p/buasir-otak-komik-enigma-sambungan-1-2.html

https://buasirotak.blogspot.com/p/blog-page_84.html




tags: alkisah tulisan jawi sejarah rumi aksara kawi palava pallava palawa recong asal usul bahasa melayu

3 ulasan:

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.