Ahad, 13 Mei 2018

4 Bagaimana UMNO-BN boleh dapat kembali sokongan?

Setiap kali parti selain BN kalah, penyokongnya tak rasa sedih dan malu sangat sebab dah biasa sangat kalah, malah boleh lagi lantang bersuara.

Tapi bila parti BN kalah, dia punya sedih dan malu terduduk tu lain macam sebab sebelum ni tak pernah kalah, malah ramai penyokong yang terus diam, ada yang tutup akaun FB terus. Ada juga yang bergaduh dan bercakaran saling menyalah sesama sendiri.

Dan aku sendiri, walaupun bukan penyokong BN, bila tengok wajah sugul Najib kat TV, baca status KJ, tengok tiada sambutan ulangtahun UMNO yang meriah seperti tahun-tahun sebelum, pun timbul rasa hiba dan sayu.


Nak panggil PH kerajaan dan BN parti pembangkang pun masih tak biasa dan rasa janggal. Mungkin sebab dah lama sangat BN memerintah, rasa nostalgik tu masih ada.
Apa-apa pun semua yang berlaku beberapa hari ini adalah pengajaran kepada kita juga, yang hidup ini ibarat roda. Ada masa kita di atas, sampai masa kita di bawah jua.

Maka usahlah angkuh dan rasa tinggi diri dengan segala status, jawatan, pangkat, ilmu, harta, kemewahaan dan kekayaan yang kita miliki di dunia. Segala apa yang lalui di dunia ini hanyalah sementara.

Sampai masa, semuanya pasti akan meninggalkan kita jua.

Maka bagaimana UMNO dan BN ini, boleh memulihkan kembali sokongan rakyat terhadap mereka?

Setelah kekalahan BN pada PRU14 yang lalu, gabungan parti Barisan Nasional memang benar-benar dilanda krisis yang parah. Sudahlah 2 parti komponen utama mereka iaitu MCA dan MIC sudah tidak mendapat tempat di hati rakyat, UMNO sendiri kini menghadapi kemelut yang besar.

Ketika majlis doa selamat dan tahlil bagi sambutan ulang tahun UMNO ke-72 di PWTC semalam, berlaku insiden pergaduhan dan pertengkaran di antara ahli UMNO yang mahu Najib letak jawatan dan ahli yang mempertahankan Najib.

Tatkala itu juga di beberapa tempat di seluruh negara, ada ahli DUN BN yang digembar gembur atau telah pun melompat masuk ke parti PH. Malah ada desas desus beberapa parti komponen BN mahu keluar dari gabungan BN untuk menyertai PH.

Semalam, setelah didesak oleh sebahagian ahli UMNO di seluruh negara dan juga atas rasa tanggungjawab, akhirnya Dato Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO.

Maka adakah dengan pengunduran Najib ini dapat memulihkan imej UMNO dan BN serta mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN khususnya?

Ada ahli UMNO berkata mereka perlu muhasabah diri dan menjenamakan semula UMNO agar dapat mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka, namun apakah caranya?

Walaupun aku bukanlah penyokong atau ahli UMNO, namun aku boleh bagi sedikit pandangan dan gambaran bagaimana UMNO dan BN boleh dijenamakan semula dan kembali mendapat kepercayaan rakyat.

Sebelum itu kita lihat kembali, bagaimanakah sebenarnya parti2 di Malaysia boleh mendapat tempat di hati rakyat?

Jika kita lihat sejarah terdahulu, bagaimana parti UMNO boleh mendapat sokongan daripada orang Melayu di Tanah Melayu?

Ya, UMNO berjuang untuk membebaskan tanah air kita dari cengkaman British bagi menuntut kemerdekaan. Dan apabila mereka berjaya, rakyat sangat menghargai dan menyayangi perjuangan ini lalu memberi mereka kepercayaan bertahun-tahun lamanya untuk mentadbir negara sebagai membalas jasa-jasa mereka.

Namun begitu, semakin lama orang yang berjuang pada zaman dahulu sudah semakin sedikit. Ramai yang sudah tua dan meninggal dunia. Kini yang tinggal hanyalah generasi anak dan cucu yang tidak hidup pada zaman perjuangan itu, baik dari sisi rakyat mahupun ahli politik.

Pemimpin UMNO yang tinggal pada hari ini sendiri bukanlah mereka yang hidup pada zaman perjuangan British sebaliknya adalah generasi anak dan cucu pejuang2 terdahulu. Dan mereka pun telah mentadbir kerajaan selama 60 tahun.

Maka apakah perjuangan yang tinggal untuk mereka tatkala mereka sedang memegang kuasa?

Ya, apa yang kelihatan kini hanyalah perjuangan untuk mengekalkan diri mereka agar terus memegang kuasa. Kerana itu media dikawal, kebebasan suara disekat dan dihadkan, pihak lawan ditekan, salahguna kuasa dan sebagainya.

Disebabkan itu sejak beberapa dekad yang lalu, parti lawan sudah mula mendapat sokongan sedikit demi sedikit dan semakin lama semakin meningkat naik.

Kerana apa?

Kerana parti lawan mahu membebaskan rakyat dari cengkaman parti pemerintah iaitu BN.

Maka apa persamaan perjuangan UMNO pada menuntut kemerdekaan dahulu dengan perjuangan parti lawan pada zaman ini?

Kata kuncinya adalah PEMBEBASAN.

Ya, kedua-duanya berjuang untuk membebaskan rakyat dari cengkaman suatu entiti. Perjuangan membebaskan rakyat dari cengkaman British adalah perjuangan generasi dahulu, manakala perjuangan membebaskan rakyat dari cengkaman BN adalah perjuangan generasi hari ini.

Maka apa yang perlu dicari oleh UMNO untuk mengembalikan sokongan rakyat hari ini adalah motif perjuangan. Perjuangan untuk membebaskan rakyat dari suatu cengkaman entiti, di mana entiti itu hari ini adalah PH.

UMNO dan BN perlu sentiasa bijak mencari kelemahan pentadbiran kerajaan PH dan menunggu kerajaan PH membuat silap untuk dijadikan motif dan wadah perjuangan yang kuat untuk membebaskan rakyat dari cengkaman itu.

Namun selagi kerajaan PH mentadbir negara dengan baik, agak sukar untuk rakyat menerima mereka kembali. Kena tunggu sehingga rakyat rasa ditekan, disekat dan dicengkam oleh kerajaan PH, yang mana mungkin mengambil masa bertahun-tahun, setelah bertukar silih generasi ke generasi, seperti mana BN bertahan selama 60 tahun, baru rakyat akan kembali berjuang bersama UMNO dan BN.




P/S: Jangan lupa untuk menyokong kami dengan membeli buku Buasir Otak: The Komik terbitan Alaf21 dan juga koleksi buku Buasir Otak: The Komik versi digital di sini - https://goo.gl/xGAx3o.





tags: bagaimana umno bn boleh kembali mendapat sokongan rakyat perjuangan najib undur diri letak jawatan

4 ulasan:

  1. teringat arwah atuk aku dulu kat sokong umno... hurmmm tp apakan daya umno perjuang selamatkan periuk nasi sendiri...

    BalasPadam
  2. Buat sesuatu, UMNO. Rakyat perlukan pilihan yang bagus untuk memilih. 😀

    BalasPadam
  3. takdenye kembali sokongan...

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.