Dalam dunia ini, tak kira apa jua status, darjat dan latar belakang seseorang, mereka pasti ada keinginan, kehendak, cita-cita dan impian, dari orang yang ada jutaan harta sehingga orang yang tiada apa-apa yang hanya tinggal di bawah jambatan.
Atas keinginan ini, pasti ada yang akan mengambil kesempatan terhadap keinginan orang lain agar keinginannya tercapai. Kerana itulah mereka sering membuat janji palsu yang ditaburkan kepada orang lain kononnya akan memenuhi keinginan orang ramai sebaliknya hanya demi memenuhi cita-cita dan kepentingan diri sendiri.
Akhirnya, tiada orang yang boleh mengubah nasib kita melainkan diri kita sendiri. Manusia lain hanya boleh bantu dan tunjukkan jalan sahaja, yang mampu mengubah diri kita adalah diri kita sendiri. Maka usahlah terlalu berharap pada manusia lain, dan janganlah terlalu memberi harapan kepada orang lain. Usah tunggu wira datang menyelamatkan kita, sebaliknya kita sendiri perlu menjadi wira untuk ubah diri sendiri.