Jumaat, 15 November 2019

0 Perang antara generasi abad ke-21 tiada kesudahan

1. Artikel "Lambakan Pelapis Muda Instafamous Untuk Masa Hadapan" aku sebelum ini mengundang banyak respon. Ada yang setuju trend instafamous di kalangan generasi muda membimbangkan, ada yang tak setuju aku menghentam generasi muda. Kena faham artikel aku itu bukanlah semata-mata meletakkan kesalahan pada generasi muda, sebaliknya menyeru generasi tua untuk sama-sama untuk saling mengingat dan menanam pemikiran dan mentaliti yang betul pada generasi anak-anak kita.

2. Jadi artikel kali ini berkisarkan tentang perang antara generasi di abad ke-21. Tiada satu takrifan rasmi yang menyatakan lingkungan umur sebenar bagi satu-satu generasi, namun antara yang biasa digunakan adalah seperti berikut:
  • Generasi sebelum Baby Boomer (Silent/Greatest/Interbellum): Lahir sebelum tahun 1925 
  • Generasi Baby Boomer: Lahir antara 1946 - 1964 
  • Gen-X / Baby Bust: Lahir antara 1965 - 1979 
  • Gen Xennials (Peralihan Gen-X/Y): Lahir antara 1975 - 1985 
  • Gen-Y (Millenials): Lahir antara 1980 - 1994 
  • Gen-Z (Zoomer): Lahir antara 1995 - 2012 
  • Gen Alpha: Lahir antara 2013 - 2025

3. Dalam zaman moden dunia Internet, Baby Boomer adalah generasi yang mencipta dan memulakan dunia Internet. Gen-X adalah generasi awal Internet, Gen-Y adalah generasi tengah Internet manakala Gen-Z dan selepasnya adalah generasi akhir Internet.

4. Xennials adalah orang yang paling merasai transisi atau perubahan dari dunia analog ke digital. Mereka melalui zaman kanak-kanak dan remaja tanpa Internet, melalui zaman belia ketika Internet baru berkembang, dan akhirnya melalui zaman dewasa ketika Internet dan teknologi digital sudah pun di tahap maju. Dengan kata lain, zaman kanak-kanak dan remaja mereka tiada handphone, zaman belia baru pakai handphone, manakala zaman dewasa dah pakai smartphone.

5. Di zaman digital ini, Gen-Z atau Zoomer adalah yang paling untung kerana semua teknologi dah maju, jadi mereka tak perlu nak cipta apa-apa lagi sangat dah, cuma tinggal nak tambahbaik dan bagi lebih canggih je. Lahir-lahir sudah ada Internet, smartphone, Google, Youtube, Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya. Kereta terbang je belum ada yang komersial lagi.

6. Hierarki dalam sebuah unit kekeluargaan antara ibu bapa dan anak pula, biasanya melangkaui satu atau dua generasi sahaja. Sebagai contoh, orang Zoomer ibu bapanya mungkin dari Gen-Y dan X, dan atuk neneknya pula mungkin Baby Boomer atau generasi sebelumnya. Orang Gen Y atau Millenials ini pula ibu bapanya mungkin dari Gen-X dan Baby Boomer, dan atuk neneknya pula mungkin dari Baby Boomer atau generasi sebelumnya.

7. Orang dari setiap generasi yang berlainan akan sentiasa mempunyai cara, pendapat dan pandangan yang berbeza, disebabkan mereka membesar dengan persekitaran dan budaya yang berbeza. Disebabkan jurang generasi yang besar itu, mereka ini sering bertelagah dan berperang antara satu sama lain.

8. Generasi sebelum akan sentiasa melihat keburukan dan kelemahan generasi selepas, begitu juga generasi selepas akan sentiasa memberontak dan menyalahkan generasi sebelum. Generasi sebelum sering merasa superior kerana mereka lahir dulu, sedang generasi selepas sering merasa superior kerana mereka masih muda bertenaga.

9. Pun begitu dalam satu generasi yang sama juga tidak semestinya akan saling bersetuju malah mereka juga saling bertelagah dan mempunyai pandangan yang berbeza kerana jurang umur yang agak besar antara 10 ke 15 tahun. Seperti contoh early Millenials yang lahir pada tahun 1981 mempunyai mentaliti dan pandangan yang berbeza dengan late Millenials yang lahir pada tahun 1994. Kadang-kadang nak berbual pun tak best sebab mereka tidak melalui suatu zaman yang sama. Bila early Millenials borak pasal Gaban dan Kesatria Baja Hitam, late Millenials blur sebab masa tu diorang tak lahir lagi.

10. Apa yang dilalui oleh late Millenials dan early Gen Z yang rata-rata remaja dan belia pada hari ini, pernah pun dilalui oleh Gen Xennials yang zaman remaja dan belianya pada tahun 90'an. Kalau Gen-X dan Xennials pada hari ini mengutuk trend dan minat late Millenials dan Zoomer  seperti K-Pop, TikTok, basikal lajak dan sebagainya, Baby Boomer juga pernah mengutuk trend dan minat Gen-X dan Xennials saat mereka remaja seperti Grunge, Punk, Hip Hop, skateboard dan sebagainya.

11. Sebab itu waktu kumpulan KRU masih tengah menjadi kegilaan para remaja pada tahun 90'an, mereka dicemuh oleh orang-orang tua pada ketika itu sehingga ada yang melabelkan mereka Kumpulan Rosak Ummah, lalu muncullah lagu Negatif bagi membalas cemuhan dan kecaman orang-orang generasi sebelumnya yang memuatkan lirik seperti berikut :
Setiap generasi
Punya citarasa sendiri
Gaya nan terkini
Irama muda-mudi
Fikir cara terbuka
Jangan pandang negatif saja
Inilah masaku
Biarku dengan 'jeans' biruku

12. Setiap generasi pasti merasakan generasi mereka yang melalui kehidupan paling best, namun hakikatnya semua generasi memainkan peranan dalam membentuk dan mencorak persekitaran pada suatu-suatu masa. Sebagai contoh, Gen-Y merasakan zaman permainan video klasik seperti Mario Bros paling best, sedangkan yang mencipta permainan Mario bukan orang dari Gen-Y sebaliknya Gen-X atau Baby Boomer. Sama juga pada hari ini, Gen-Z merasakan trend menggunakan aplikasi TikTok paling best, sedangkan TikTok itu sendiri bukan dibuat oleh Gen-Z sebaliknya dihasilkan oleh Gen-Y dan X.

13. Yang membentuk generasi muda pada hari ini, sebenarnya adalah disebabkan oleh generasi sebelumnya. Kumpulan K-Pop BTS menjadi kegilaan para Millenials dan Zoomer pada hari ini, namun kewujudan kumpulan BTS itu adalah hasil dari syarikat yang diterajui oleh Gen-Z dan Baby Boomer. Game PUBG dan Fortnite yang menjadi kegilaan Zoomer pada hari ini, dicipta oleh Xenials dan Gen-X, serta dipayungi oleh Baby Boomer. Basikal lajak yang popular di kalangan Zoomer, dibekal dan dijual oleh Gen-Y dan X. Para Millenials dan Zoomer yang menjadi Instafamous pada hari ini, adalah disebabkan Gen-Y dan X mencipta Instagram platform untuk orang cari populariti.

14. Golongan konglomerat yang diterajui oleh generasi tua lagilah, bagi mereka mereka generasi muda adalah lubuk duit, jadi banyaklah di antara mengambil kesempatan mencipta sesuatu trend yang bakal diminati dan digilai oleh orang muda sehingga ada yang sanggup mengetepikan nilai moral dan agama. Seperti contoh orang dewasa yang jual rokok dan vape, yang jual basikal lajak pada budak sekolah, mereka bukan peduli kesannya pada anak-anak muda, janji mereka dapat duit.

15. Ya, sikap dan mentaliti generasi muda sebenarnya banyak dipengaruhi oleh persekitaran yang diwujudkan oleh generasi sebelumnya. Anak-anak menjadi hantu TikTok, kerana ibu bapanya memberi mereka smartphone dan tidak pantau penggunaannya. Anak-anak main basikal lajak tengah malam, adalah kerana ibu bapanya tidak kisah dan tidak peduli pada aktiviti dan kegiatan anak-anak mereka. Anak-anak jadi pengotor, suka buang sampah merata-rata, adalah kerana ibu bapanya juga turut pengotor dan buang sampah merata-rata.

16. Jadi memang tidak wajar meletakkan segala jua kerosakan dan keburukan yang dilakukan oleh generasi baru ini atas bahu mereka semata-mata, sebaliknya generasi lama jugalah yang turut perlu dipersalah dan dipertanggungjawabkan kerana membuatkan mereka menjadi begitu. Bila generasi muda ini meningkat dewasa dan bebas dari tanggungan keluarga, mereka akan hilang rasa hormat kepada generasi yang lebih tua dan bebas untuk bersikap kurang ajar.

17. Seperti contoh meme "OK Boomer" yang dipelopori generasi muda barat, ia sebenarnya adalah escapism para Millenials dan Zoomer untuk memperleceh, mempersenda dan memperbodohkan pandangan, teguran dan nasihat dari generasi tua yang berpangkat ibu bapa dan atuk nenek mereka. Dengar erti kata lain, ia adalah satu bentuk penolakan kepada pepatah "orang tua lebih dulu makan garam".

18. Bagi aku tidak mengapa untuk tidak bersependapat dengan golongan yang lebih tua, kerana walaupun mereka makan garam dulu tapi tidak semestinya mereka semuanya betul, tapi bukanlah dengan cara menyindir dan bersikap biadab terhadap mereka. Macam kalau mak kau bagi nasihat suruh belajar rajin-rajin supaya dapat kerja yang bagus, atau tanya soalan bila nak kahwin dan sebagainya, kau pun takkan jawab dengan "OK Boomer", "Whatever" atau "Apa-apa jelah".

19. Namun tidak semua golongan muda itu teruk dan golongan tua itu baik. Mana-mana zaman pun, bila ramainya generasi muda yang teruk, ramai juga generasi muda yang baik. Ramainya generasi tua yang baik, ramai juga generasi tua yang macam celaka. Teruknya orang muda mungkin datang dari keluarga yang bermasalah, ibu bapa yang berpisah sehingga tidak mempedulikan anak mereka. Baiknya orang muda mungkin datang dari keluarga yang baik-baik, yang beragama dan yang berpandangan jauh.

20. Dan kitaran ini, akan terus berterusan sampai bila-bila. Hari ini, Baby Boomer dan Gen-X mengecam Millenials dan Zoomer, dan Millenials dan Zoomer pula membenci Baby Boomer dan Gen-X. 20 tahun akan datang, giliran Millenials dan Zoomer pula akan kuat komplen pada Gen Alpha, dan giliran Gen Alpha pula membenci mereka. Teruknya seseorang pada zaman mudanya, mungkin berubah menjadi baik pada zaman tuanya. Baiknya seseorang pada zaman mudanya, mungkin juga berubah menjadi jahat pada zaman tuanya.

21. Kesimpulannya, tak dinafikan pasti ada generasi tua yang akan terus membentuk sifat negatif generasi muda, tapi generasi tua lain yang masih rasional, teruslah membimbing yang muda untuk terus berada di landasan yang betul. Kalau tak mampu bimbing semua, paling tidak pun bimbing lah anak korang sendiri supaya akhirnya tidak menyusahkan orang lain dan menjadi liabiliti dalam masyarakat.

22. Dan kepada generasi muda, hormatlah pada yang generasi yang lebih tua. Ada sebab kenapa generasi tua selalu bagi nasihat dan teguran pada korang. Kadang-kadang mereka cuma tidak mahu korang semua ulangi kesilapan mereka di waktu muda dahulu. Ya, sekarang adalah masa mu, tapi ingatlah yang korang pun bukannya selamanya muda, suatu hari nanti akan tua juga dan tiba giliran korang untuk menerajui dunia serta membimbing generasi muda seterusnya pula. Sehinggalah akhirnya, korang akan jadi orang yang pernah korang benci suatu ketika dahulu.


Baca juga artikel lain berkaitan perbezaan dan jurang generasi:


P/S: Mohon rakan-rakan dapat bagi sokongan dan semangat kepada saya untuk buat lebih banyak video dengan Subscribe channel Buasir Otak TV di Youtube (klik gambar di bawah):






tags: perang antara generasi perbezaan jurang generation gap gen x y z baby ok boomer xennials millenials zoomer alpha gaduh benci kecam kutuk

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...