Jumaat, 29 Julai 2016

2 Pop Fiksyen - Jejak Pembunuh: Bahagian 2

Sekolah Berasrama Penuh. Kalau pada tahun 90-an, dengar je ayat SBP, banyak yang menjangkakan kecemerlangan. Penuh dengan budak-budak pandai akademik.

Doktrin utama sekolah asrama penuh adalah hasil keluaran SBP mestilah berjaya sebagai jurutera dan doktor. Mungkin penghasilan doktor dan jurutera demi mencapai wawasan 2020.

Kalau kau gagal menjadi doktor atau jurutera, kau akan dianggap eksperimen yang gagal.


Kejutan budaya aku bila masuk asrama penuh adalah kehidupan berdikari. Ya. terkejut. Mana pernah basuh baju sendiri, basuh spender sendiri. Dulu semua mak yang buat.Disiplin jadual waktu dari pagi sampai malam.

Kelas mengaji Al-Quran dan Fardhu Ain.
Sekolah SBP aku agak kuat menekankan agama Islam dalam kehidupan asrama.
Dan daripada sekolah ini, yang aku sedikit bersyukur walaupun jalan yang aku ambil nanti salah, aku masih ingat ajaran Islam yang ditekankan di sekolah.

Makan memang tak sedap. Paling sedap makan adalah hari Khamis. Itupun ayam masak merah isi hancur dengan nasi minyak beras lembik yang sampai sekarang aku trauma kalau makan.

Dan paling menghancurkan hidup aku, pembulian senior terhadap junior seperti aku. Ya , aku akui. Aku sedikit buas dan lasak. Maka aku dan beberapa orang kawan selalu menjadi mangsa buli senior dan hampir setiap malam , geng Terjal (merujuk kepada aku dan kawan-kawan aku) dipukul oleh senior.

Hampir setiap malam. Kalau setakat tengok budak-budak sekarang kena buli dalam media, aku tak heran. Aku dah lalui zaman dulu dari Tingkatan Satu sampai Tingkatan 3.

Tapi pada aku zaman ini paling aku banyak belajar dengan kawan.
Mimpi basah pertama, kawan bagitau apa masalahnya.
Macam mana nak lipat baju, kawan ajarkan.

Zaman paling banyak belajar dan perkara yang paling aku suka adalah perempuan.
Aku kan membesar dalam persekitan lelaki adalah dominan. Sebab tu aku selalu buli adik bongsu aku. Ini adalah zaman aku belajar cara  bercakap dengan perempuan, belajar cara nak menambat hati seorang perempuan, belajar cara nak mengurat perempuan.

Dan aku alami first rejection aku dari seorang perempuan 3 bulan sebelum PMR.
Pada aku, Zurina adalah perempuan paling cantik zaman aku belajar bercinta monyet dulu-dulu.

Zurina anak seorang arkitek dan ibunya adalah Cikgu Matematik Tambahan, juga di sekolah SBP yang menjadi seteru utama dalam ragbi dan kriket SBP.

Lupa pulak aku nak cerita.

Zaman SBP adalah zaman gelap dalam sukan bola sepak. Bola sepak sekolah menengah didominasi oleh sekolah-sekolah projek sukan dan SBP sangat, sangat tidak bagus. Jadi aku bertukar kepada ragbi dan kriket sebagai meneruskan tradisi SBP.

OK, berbalik pada cerita Zurina. Cubaan pertama untuk memenangi hati Zurina adalah dengan mula berbaik-baik dengan Zurina, rajin study dan selalu mintak tunjuk ajar dari Zurina dalam Matematik. Sampai sanggup tak balik kampung , tidur rumah kawan yang hampir masa cuti sekolah semata-mata nak pergi Kelas Tambahan yang ibu Zurina anjurkan kat rumah.

Cinta memerlukan pengorbanan. Dan dari situ aku mula faham, keluarga Zurina kaya, penuh disiplin, dan kejayaan diuukur dari kecemerlangan akademik dan pencapaian status oleh abang dan kakaknya.

Dan dari situ, sikap aku yang prejudis terhadap guru bermula bila ibu Zurina pernah sound aku,

" Azhan, kamu memang takkan berjaya dalam hidup kalau kamu tak pandai Matematik "

Dendam aku terhadap ibu Zurina bermula pada hari itu.

Tapi masa itu aku masih budak mentah. Apalah yang aku faham tentang kehidupan. Aku masih cintakan Zurina dalam diam.

Cinta? Geli aku dengar , baru umur 15 tahun dah pandai nak bercinta..

Crush aku terhadap Zurina makin membuak-buak sampaikan ada satu kawan nasihatkan aku,

Kalau kau suka sangat pergi mengaku kat dia, Cinta kau ikhlas pasti berbalas.

Itu nasihat paling bodoh sekali aku pernah ikut.
Paling Bodoh.
Sebagai perancangan, aku tulis surat yang isinya sampai sekarang aku ingat.
Tak payah ceritalah.
Segan bila diingat balik isi surat tu. Cintan karat habis.
Dan masa tu beli coklat Cadbury. Dah lah mahal nak mampus masa tu. Demi Cinta ....( Sila layan sambil dengar Lagu Search - Fantasia Bulan Madu).

Dan surat bersama coklat diletakkan di meja Zurina. Sampai tak tidur aku malam tu. Hati berbunga-bunga-, berdebar-debar.

Besok aku dapat satu post-it note warna merah jambu berlipat kemas kat bawah meja. Dalam hati, masa tu, Hanya Allah saja yang tahu. Gemuruh, takut, suka...dan kalau warna nya pink, pasti jambu.

Dan jawapan dalam nota tu..

" Minta Maaf, Saya nak fokus pada PMR dulu. Terima Kasih.."

Rasa macam satu tinju padu melekat pada tulang pipi aku.
Aduh...pedih menusuk kalbu.
Habis segala yang aku buat masa itu serba tak menjadi. Makan tak lalu, tidur tak lena, Study tak masuk, berak tak lawas....Dan paling celaka sekali, Coklat Cadbury tu dah korbankan duit nak beli burger minggu depan.

Dan malam itu aku dipanggil senior, Din. Dipukul tanpa sebarang usul periksa. Dan selepas aku lembik dan terpaksa dipapah ke dorm, baru aku dapat tahu, Din dan Zurina rupanya dah bercouple...dan aku dapat pukul Din selepas jumpa di universiti. Dendam lama.

Dan ini adalah pelajaran paling penting aku belajar di zaman sekolah menengah rendah. Lelaki yang berkuasa akan mendapat wanita cantik dan perempuan menipu sama seperti lelaki. Dendam lama susah dimaafkan.

Keputusan PMR aku? Bolehlah ...6A 2B.

Zaman ini adalah zaman yang aku banyak tak teringat pada kampung halaman. Bapak masih seperti biasa. Cuma mak mungkin sikit kesunyian sebab cuma tinggal Azrina di kampung. Abang Long aku dapat tahu dari bapak semasa melawat dah sambung di ITM.

Kisah asrama? Tak perlulah nak cerita.

Smuggle rokok, pecah dewan makan curi biskut, fly pergi bandar, tengok cerita blue (ya, kami tengok cerita blue pakai tape VCR di bilik AV sekolah) , dan macam-macam kenakalan yang bukan-bukan zaman membesar , akil baligh dan pecah suara.

Sama macam cerita budak hostel yang lain. Sekarang masih macam tu ke?

Aku laparlah, jom pergi makan?

FORM 4

Form 4 selepas PMR adalah zaman rock n roll . Rokok dismuggle masuk ke asrama setiap minggu. Muzik adalah raja kehidupan menggantikan lagu nasyid dan bacaan Al-Quran. Tak ada lagi kelas Fardhu Ain dan kelas mengaji.

Tahun Form 4 adalah tahun paling menggembirakan aku. Aku lebih suka duduk di asrama dari pulang ke kampung. Tahun honeymoon kononnya dah habis PMR. SPM lambat lagi. Lagi setahun.

Fesyen barat dan muzik rock menjadi dogma kehidupan. Aku mula kenal muzik-muzik dari kaset-kaset rock Nirvana, Metallica, Megadeth, Gun N Roses, dan banyak lagi muzik rock dan kejayaan paling besar adalah aku dan kawan-kawan berjaya smuggle dua bijik gitar Kapok dan jamming di bilik study. Sekolah yang di mana penekanan agama Islam sangat kuat sangat pantang bila bawak gitar balik hostel. Berapa bayak gitar dipecahkan oleh ustaz warden.

Dan datang pulak punk rock wave dan skinhead. Walaupun dengan info dan sumber yang terbatas, budaya ini berjaya terserap masuk dalam asrama aku dan Perak pada masa itu, sangat kuat dengan fahaman muzik Black Metal. Ganazzzz....

Underground habis.
Indie?
Indie adalah benda yang sama tapi lebih mainstream berbanding zaman itu.
Gigs seluruh Perak dan KL aku dan kawan-kawan dah sampai. ACAB, Koffin Kanser, Republik of Brickfield, Tabaraka, Langsuyr dan macam-macam lagi band underground yang menjadi kiblat muzik aku pada masa itu.

Awek ? Apa zaman ada awek. Tak rock la... Underground mana boleh ada awek.
Nanti member kutuk jiwang.
Biar takde awek, janji member tak kutuk.
No women No cry, kata Bob Marley.

Zurina? Selepas Din tamat SPM, Zurina bercouple dengan pelajar cemerlang batch aku. Kalau nak dibandingkan kehenseman, jauh hensem lagi aku. Tapi orangnya skema. Kuat study dan teramatlah pandai. Walaupun aku tak suka, tapi aku masih tak mengganggu mereka.

Sapa lah mahukan budak paling jahat dal sekolah kan?
Jahat tau..bukan nakal kata ustaz warden sampai aku dan seorang lagi kawan aku, Eddy digelar Abu Jahal dan dan Abu Lahab.

Akademik, hancur lebur.
Sampai bapak terpaksa datang sekolah kerana aku dan kawan-kawan terkenal dengan masalah disiplin dan akademik yang merudum.
Budak paling jahat kat sekolah.
Tapi sejahat-jahat kami, sukan ragbi masih menjadi tunjang kecemerlangan. Malah ada yang kawan-kawan aku sampai ke peringkat kebangsaan.
Kami masih kekalkn rutin asrama macam biasa. Cuma kehidupan terasa agak bebas dan dengan jualan rokok yang memberangsangkan, duit bukanlah masalah.
Kebebasan yang bila-bila difikirkan balik, macam dalam penjara .
Minda dan jiwa lepas bebas, sedangkan badan masih terkurung dalam penjara yang aku panggil sekolah.

Keluarga aku masih ok. Cuma bila mak datang melawat, aku tengok mak makin kurus dan cengkung. Dan aku dapat tahu dari Azrina, adik bongsu aku, mak dan bapak ada masalah rumah tangga. Mak dah tak garang macam dulu, masih aku teringat mata redup mak bila aku kena gantung sekolah selepas smuggle 3 karton rokok. Mak cuma cakap,

" Hang dah makan ke belum?"

Bapak masih seperti biasa. Cuma kelihatan sedikit sugul. Dan bila aku tanya pasal Abang Long, bapak cuba mengelak. Cuma jawapan nya,

" Ok-ok je kat Shah Alam.."

Azrina dapat sekolah SBP juga di Negeri Sembilan. Cuma mak tak setuju sebab mungkin mak kesunyian nanti. Bapak cuma mengikut kata mak. Azrina masih bersekolah biasa. Keluarga aku berpindah dari Pulau Pinang ke Tanjung Malim tak lama selepas itu.

FORM 5

Aku sendiri tak faham kenapa, masa Form 5 , semua menjadi serba perlahan. Semua dalam study mood. Kawan-kawan. Dan satu tekanan besar yang aku hadapi.

SPM.
Masa depan kepada segala-galanya.
Sekurangnya itu pemikiran aku pada masa itu. Banyak kawan-kawan pada masa ini kembali mencari ketenangan dalam ibadah. Tak kurang juga yang mula pasang awek junior.

Aku? Aku pun terikut juga, Slow, banyak bersendiri dan banyak study sendiri di dalam bilik prep. Kurang bercampur dengan kawan-kawan yang dahulu gila-gila. Dan aku suka tengok seorang Form 4 baru masuk tahun lepas.

Haniza.
Hitam Manis.
Sopan santun.
Dua kali tengok macam Nurul, bekas bini Ajai,

Tapi pengalaman dengan Zurina membuat aku bungkam. Aku tak mahu lagi memalukan diri aku sendiri.
Minta maaf. Aku pernah terluka. Dan aku berazam tidak mahu lagi  jadi macam itu. Fokus aku pada SPM.

Dan macam itulah , permainan takdir.

Bapak dan mak bercerai talak satu.
Berita yang aku dapat dari mulut mak sendiri selepas mak datang melawat aku. Dan mak akan duduk bersama Azrina dan aku akan duduk bersama bapak dan Abang Long.

Dan bapak datang melawat aku selepas itu dan membenarkan berita perceraian tersebut. Dan mak akan berkahwin lagi.

" Aku dengan mak kau dah tak serasi lagi," selamba kata bapak aku.

Aku keliru.

Tak serasi, selepas 25 tahun sampai beranak tiga tak serasi lagi?  Itu persoalan yang aku bawa sekarang dan aku masih diam. Aku tak faham dan aku rasa hilang punca.

Aku menjadi lebih gemar bersendiri. Lebih diam dari dulu. Sampaikan ustaz warden yang dulunya cukup anti dengan aku pun naik heran. Hampir setengah tahun aku bersendiri walaupun rutin asrama yang kadang-kadang memenatkan dan hanya seorang dua kawan rapat aku tahu apa terjadi pada keluarga aku. Dan aku jarang-jarang sekali balik ke rumah bapak.

Pada aku, bapak lelaki pengkhianat .
Dan aku benci mak tiri baru, betina sundal itu.

Dan takdir sekali lagi mempermainkan aku  ketika 3 bulan lagi nak SPM, mak pergi mengadap Ilahi, kemalangan ketika nak datang melawat aku.
Masa itu tak dapat dibayangkan betapa hancurnya hati aku.

Azrina paling teruk emosi. Abang Long Azri selepas 2 tahun aku tak jumpa balik semasa pengebumian mak. Dan bapak datang dengan mak tiri aku untuk menjemput Azrina pulang ke rumah bapak.Sama seperti aku. Cuma Abang Long yang membawa diri sendiri.

2 bulan emosi aku tercalar sampaikan aku terpaksa dikaunseling di sekolah. Habis aku tak belajar dan siapkan diri untuk SPM. Aku lebih banyak menyendiri. Cuma Eddy yang banyak tolong aku.

Aku cuma ok selepas sebulan nak SPM, Dah dapat menerima mak pergi.

Dan setenang mak di pusara , aku hadapi SPM dengan harapan.

Aku skor 13 agregat dan selepas itu diterima masuk di Kolej Matrikulasi Melaka.

Bersambung


Siri Pop Fiksyen - Jejak Pembunuh:



2 ulasan:

  1. oh saja share satu info.
    azhan tu umur 38 tahun. maka dia ambik SPM tahun 1996.
    Kolej Matrikulasi Melaka tu ditubuhkan 1999.
    So tak logik dia nak masuk kolej matrik melaka.
    hehe.

    BalasPadam
  2. Smuggle rokok, pecah dewan makan curi biskut, fly pergi bandar, tengok cerita blue (ya, kami tengok cerita blue pakai tape VCR di bilik AV sekolah), kena belasah dgn senior, dan byk lagi... Hahah pengalaman manis tu, rugi kalau tak alami

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

* Word verification terpaksa diaktifkan berikutan terdapat begitu banyak spam judi di ruangan komen.